Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 13


            Mata Nashriq meliar memerhatikan rumah dua tingkat yang agak besar itu. Ruang dinding yang luas dihias dengan pelbagai lukisan beraneka bentuk di setiap penjuru. Betullah kata Erman kelmarin, Dato’ Mustadza adalah peminat seni lukisan, sama seperti ayahnya Zainal Ikram. Tak hairanlah rumahnya sendiri dihias seperti galeri.

            “Nah minuman kau.” Erman muncul seraya menunjukkan segelas cocktail ke arah Nashriq. Anak muda itu menyambutnya tanpa banyak soal. Gelas cocktail dihirup perlahan tanpa melarikan anak matanya. Sebuah lukisan di suatu penjuru seperti pernah dilihatnya dulu. Hatinya terdetik.

            “Itu macam lukisan dalam bilik pejabat ayah dulu.” Tanpa sedar, Nashriq terlepas kata. Erman turut memerhatikannya. Dahinya berkerut. Dia juga pernah melihat lukisan itu sebelum ini. Lukisan itu kalau tak salah adalah hasil tangan salah seorang pelukis masyur Indonesia pada tahun 30an, dilukis pada zaman pemerintahan Sukarno.

            “Kenapa lukisan ayah boleh ada di sini?” Nashriq mengerutkan dahinya. Hairan. Matanya menoleh ke arah seraut wajah yang sedang berbual-bual dengan ibunya di suatu sudut. Sesekali dilihatnya Engku Latifah tergelak besar ketika berbual-bual dengan Dato’ Mustadza. Dia mengalihkan pandangannya pula. Engku Iskandar dan isterinya turut kelihatan, namun Nashriq tidak berniat mahu menegur ayah dan ibu saudaranya itu. Dia mengeluh panjang.

            “Kenapa, bosan?” Erman mengerling ke arah Nashriq. Anak muda itu mengangguk.

            “Sabarlah, kau kena ikut majlis macam ni. Lagipun majlis ni bukan setakat majlis biasa, tapi juga untuk memperkenalkan kau pada sebahagian besar kakitangan-kakitangan Mega Timur.” Nasihat Erman. Bimbang juga dia jika Nashriq tiba-tiba menghilangkan diri seperti selalu.

            “Dah berapa lama Dato’ Mustadza tu jadi salah seorang pesero syarikat?” Tanya Nashriq ingin tahu. Dia memang belum pernah berbual dengan lelaki itu. Menurut Katrina, lelaki itu agak serius orangnya.

            “Selepas dua tahun Tuan Zainal meninggal, urusan Mega Timur agak kelam kabut. Nasib baik Dato’ Mustadza campur tangan. Dia antara pesero terbesar di Mega Timur.” Jelas Erman.

            “Selepas ayah meninggal?” Nashriq mengerutkan dahinya.

            Erman mengangguk. “Tapi dia jarang campurtangan dalam urusan pentadbiran syarikat. Cuma sesekali dia muncul. Kata orang, syarikat logistik terkenal KBM tu jatuh disebabkan dia. Kau boleh kata yang Dato’ Mustadza tu ada pengaruh yang cukup besar pada media dan orang atasan.”

            Nashriq terdiam. Hebat sangatkah orang tua itu?

            Jauh dia termenung hingga tidak sedar sesusuk tubuh memerhatikannya dari jauh. Suraya mengigit jari. Perlukah dia ke sana menegur Nashriq atau cukup sekadar dia memandang dari jauh. Bagaimana kalau dia muncul di hadapan lelaki itu, lalu Nashriq melarikan diri sekali lagi darinya? Berbagai andaian muncul di kepala Suraya.

            “Siapa yang you pandang tu Sue?” Teman-temannya menegur. Suraya tersentak. Matanya berpaling ke arah teman-temannya. Masing-masing kelihatan hairan.

            “Tak ada apa-apalah, jom kita ke sana. I nak tunjukkan koleksi lukisan ayah I,” ajak Suraya. Namun dia sempat berpaling, melirik ke arah Nashriq yang sedang rancak berbual-bual dengan Erman.

*  *  *  *

            Don’t be too worry, saya rasa Nashriq mampu mengambilalih jawatan Puan Engku suatu hari nanti. He’s kinda smart person. What he needs is just a time..” Ujar Dato’ Mustadza sambil memandang ke arah Engku Latifah yang tak putus-putus menatap kelibat Nashriq dari jauh.. Dia mengerti perasaan wanita itu.

            Engku Latifah memandang lelaki itu sambil tersenyum. Sikap Dato’ Mustadza mengingatkan dia pada arwah suaminya. Lembut dan penyayang. Namun sikap Nashriq berbeza terus dari Zainal Ikram.

            “Saya seorang ibu, Dato’. Seorang ibu tak dapat lari dari perasaan bimbang. Berbelas tahun dia hidup di rantau orang. Sehingga sampai masanya saya merasa hubungan kami semakin renggang. Semakin jauh jaraknya.”

            “Kalau dia semakin jauh, Puan Engku sepatutnya cuba mendekatinya. Mungkin dia masih belum boleh melupakan kematian ayahnya. Saya dengar Zainal benar-benar sayangkan Nashriq, bukan begitu?”

            Engku Latifah tersenyum. Zainal bukan setakat sayang, malah dia dan Nashriq umpama ‘bestfriend’. Ke mana sahaja berdua. Malah setiap cuti sekolah, Zainallah yang paling banyak menghabiskan masa dengan Nashriq berbanding dirinya. Dia pula sentiasa sibuk dengan urusan syarikatnya sendiri.

            Mungkin inilah balasan kerana aku selalu mengabaikan perasaan Nashriq selama ini! Di saat Zainal berusaha merebut kasih sayang Nashriq, aku pula sekejap-sekejap berulangalik dari Milan ke Hokkaido, atas urusan kerja. Sesibuk mana pun Zainal, masih ada masa untuk anak, sedangkan aku? Tanpa sedar Engku Latifah menarik nafas berat.

            “You kena balik Tif,  harijadi Nashriq dah tak lama.”

            “I sibuk lah Nal, you sajalah handle majlis harijadi dia. Suruh Kak Lijah masak, then jemput kawan-kawan sekolah dia datang.” Usulnya senang.

            “Tif, you tahu tak dah lebih seminggu you kat Milan tu. Tentu you tak tahu kan yang Kak Lijah dah berhenti kerja. I dah ambil tukang masak baru.”

            “Kak Lijah berhenti? Kenapa tak beritahu I dulu?” Dia tergaman.

            “Dah berbuih mulut kak Lijah beritahu you, tapi you yang tak nak dengar. Merata tempat I cari pembantu, nasib baik ada isteri Munif ni.”

            “Isteri Munif?” Dia mengerutkan dahinya. Dia tidak pernah tahu pemandu suaminya itu sudah beristeri.

            “Hmmm, I dah suruh Munif dengan Maisara pindah ke bilik belakang. Mulai hari ni, mereka akan tinggal dengan kita. Sekurang-kurangnya ada juga orang yang boleh menjenguk Nashriq kalau I tak ada. Nak harapkan you? Jumpa sebulan sekali pun susah,” sindiran Zainal Ikram masih jelas di ingatannya.

            Engku Latifah menghela nafas berat. Mengingatkan Munif sekeluarga, perasaan Engku Latifah semakin berkecamuk. Kalau bukan kerana Munif, tentu suaminya sampai sekarang masih bersama mereka. Tentu Nashriq akan mesra dengannya. Mengenangkan sikap dingin Nashriq ada kaitan dengan anak perempuan pasangan itu, dia semakin sakit hati. Mana mungkin dia akan membenarkan anak kepada orang yang membunuh suaminya berada di samping Nashriq. Tak mungkin semua itu akan terjadi.

            “Puan Engku?” Mata Dato’ Mustadza terpaku pada wajah itu. Engku Latifah tersentak. Baru dia sedar yang dia masih berada di majlis itu. Dia memandang Dato’ Mustadza. Di samping Dato’ Mustadza, berdiri seorang gadis manis memandang ke arahnya.

            “Puan Engku tentu masih belum kenal dengan anak bongsu saya kan. Ini Suraya.” Dato’ Mustadza memperkenalkan gadis di sebelahnya. Engku Latifah tergaman. Dia tidak sangka Dato’ Mustadza memiliki seorang anak perempuan. Sangkanya selama ini lelaki itu hanya memiliki seorang anak lelaki. Malah dia kenal anak lelaki Dato’ Mustadza yang kini menguruskan syarikat ayahnya.

 Mata Engku Latifah seolah terpegun melihat senyuman gadis itu. Cantik! Tentu sesuai kalau digandingkan dengan Nashriq. Dia mula memasang angan-angan.

            Suraya menghulurkan tangannya. “Puan Engku apa khabar?” sapa Suraya.

            “Baik. Suraya kerja di mana?” Soalnya kembali.

            Suraya sekadar tersenyum. Perlahan-lahan dia melirik ke arah ayahnya. Dato’ Mustadza tergelak kecil, membuatkan Engku Latifah tertanya-tanya.

            “Puan Engku, sebenarnya Suraya ni bekerja di Mega Timur. Dah hampir setahun dia bekerja di situ.”

            “Apa? Suraya bekerja di Mega Timur?” Engku Latifah tercengang. Kenapa selama ini dia tidak pernah nampak anak gadis itu?

            “Saya bekerja di bahagian unit perhubungan awam. Tentu Puan Engku jarang nampak saya, sebab bilik jabatan saya terletak di sayap kiri.” Terang Suraya bagaikan tahu apa yang sedang difikirkan oleh wanita itu.

            “Kenapa Suraya tak pernah beritahu saya siapa Suraya?”

            “Maaf Puan Engku, saya cuma nak cari pengalaman kerja. Lagipun saya melalui proses temuduga sama seperti orang lain, langsung tidak ada kena mengena dengan ayah. Saya harap Puan Engku faham.”

            “Budak-budak Puan Engku, bukan boleh dipaksa-paksa. Lagipun saya sendiri suka Suraya bermula dari bawah, biar dia tahu betapa susahnya orang-orang tua macam kita ni masa mula-mula bertapak dalam dunia perniagaan.

            Engku Latifah tersenyum. Dia memandang anak gadis itu tidak mahu lepas. Tentu Mega Timur akan bertambah kukuh jika dia menyatukan hubungan antara Nashriq dan gadis itu. Apakah Nashriq akan bersetuju dengan rancangannya? Perlahan-lahan mata Engku Latifah mengerling ke arah Nashriq dari jauh. Bebola matanya tertumpu pada senyuman Nashriq ketika berbual dengan Erman. Entah mengapa hati Engku Latifah jadi sayu. Kenapa anak itu boleh tersenyum di hadapan orang lain tapi tidak di hadapanku? Kenapa?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!