Followers

Thursday, July 1, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 19

SEAWAL pagi lagi Aliya sudah dikunjungi jururawat yang bertugas memberi ubat. Dia tercari-cari juga wajah Doktor Badrul, namun hampa.

“Nurse, Doktor Badrul mana?” Tanpa segan silu dia bertanya. Keinginan hati untuk melihat lelaki itu semula begitu membuak-buak di sanubarinya.

“Doktor Badrul biasanya buat pemeriksaan tepat pukul 8.15 pagi nanti. Adik ada apa-apa masalah ke?” Tanya jururawat itu.

Aliya menggelengkan kepalanya.

Dia sabar menunggu sehingga pukul 8.30 pagi. Sebaik terdengar suara Doktor Badrul berbual-bual dengan seorang jururawat di dalam wadnya, Aliya pura-pura memejamkan mata.

“Adik bangun sekejap, doktor nak buat pemeriksaan.” Salah seorang jururawat itu mengejutkannya. Perlahan-lahan Aliya membuka mata. Dilihatnya lelaki itu tersenyum memandangnya.

“Boleh tidur ke malam semalam?” Lembut suara doktor itu bertanya.

Aliya mengelengkan kepala.

“Biasanya malam pertama memang susah nak lelap. Atau bimbangkan kuliah yang terpaksa tangguh hari ni mungkin. Jangan bimbang, pakcik dah pesan suruh Boy maklumkan pada fakulti Aliya tentang keadaan Aliya.” Ujar lelaki itu.

“Boy?” Aliya mengerutkan dahinya. Nama itu kedengaran asing baginya.

Doktor Badrul tergelak besar. “Laa lupa pulak. Biasanya pakcik panggil Haikal dengan panggilan Boy aje. Aliya belajar di fakulti mana?” Lelaki itu mengajaknya berbual sambil melakukan pemeriksaan rutin terhadapnya.

“Fakulti ekonomi.”

“Satu universiti dengan Boy kan? Patutlah kelmarin Boy beria-ria nak pinjam kereta, rupanya nak bawa gadis manis naik rupanya. Tapi malang tu tak kenal masa dan tempat. Selamat dalam kereta, luar kereta pulak jadi malang.” Lelaki itu berceloteh sambil merasa nadi di pergelangan tangannya. Aliya tidak berkata apa-apa. Dia lebih senang berdiam diri.

“Dik, bagi nama penuh. Kami nak masukkan dalam data.” Salah seorang dari jururawat itu bersuara. Di tangannya sudah bersedia dengan fail dan pen.

“Aliya. Aliya Murni Binti Ibrahim.” Beritahu Aliya perlahan.

Tiba-tiba Doktor Badrul menjatuhkan tangannya. Raut wajah lelaki itu serta-merta berubah. Aliya dapat mengesan kerut di wajah lelaki itu. Adakah kerana dia menyebut namanya tadi atau secara kebetulan sahaja tangannya tiba-tiba terlepas dari pegangan lelaki itu?

Dia perasan bebola mata lelaki itu menatapnya agak lama. Bibir lelaki itu bergerak-gerak bagaikan ingin menyatakan sesuatu padanya. Tapi akhirnya lelaki itu cuma membisu. Aliya pasti lelaki itu memang mengenalinya. Dari gerak geri lelaki itu, dia benar-benar pasti Doktor Badrul mula mengingati siapa dia.

“Bila saya boleh balik doktor?” Aliya bertanya sambil matanya tidak putus-putus memandang lelaki itu.

“Err..kalau laporan pemeriksaan dah keluar dan tak ada apa-apa, petang nanti Aliya dah boleh keluar wad. Aliya ada sesiapa yang boleh dihubungi untuk bawa Aliya keluar wad? Kawan misalnya?” Soal lelaki itu.

“Entahlah, nanti saya fikirkan.” Balas Aliya. Sebenarnya dia tidak tahu siapakah yang patut dihubunginya. Hendak menelefon Syazana, kasihan pula dia pada teman yang satu itu. Lagipun dia bukannya cedera apa-apa pun, hanya tangan saja yang calar-balar dan terseliuh. Ah, aku boleh pulang ke kampus menaiki teksi aje, putus Aliya akhirnya.

“Kalau tak ada siapa-siapa, pakcik suruh Boy datang ambil ya?” Lelaki itu memandangnya seolah-olah meminta persetujuan.

“Emmm..tak payahlah doktor, saya tunggu kawan ajelah nanti.” Aliya berbohong. Dia segan untuk meminta tolong Haikal lagi. Sudahlah bersusah payah Haikal menghantarnya ke hospital semalam. Lebih baik dia balik sendiri sahaja. Tapi terfikir juga dia, kalau lelaki itu benar-benar tidak mengenalinya, pasti lelaki itu akan menyebut tentang ibu bapanya dan bukan kawan-kawannya.

Doktor Badrul terdiam apabila gadis itu menolak pelawaannya. Dia tersenyum memandang Aliya sebelum beredar memeriksa pesakit yang lain pula. Namun senyumannya terasa pahit.

Aliya! Dia hampir terlupa, lima belas tahun berlalu dengan pantas. Tentulah si kecil yang comel itu sudah bertukar menjadi gadis manis. Kalau sahaja gadis itu tidak menyebut nama penuhnya, dia akan terus terlupa pada nama itu. Pada pemilik seraut wajah ayu yang memiliki sepasang mata bundar yang menawan. Aliya, maafkan pakcik nak. Janji untuk menjaga Aliya tidak dapat pakcik tunaikan, keluh Doktor Badrul resah.

Kalau sahaja isterinya tidak sakit dan dalam masa yang sama dia terpaksa menjaga Perkasa Budi, tentu sahaja Aliya akan dibawa tinggal bersamanya. Itu memang hasrat awalnya sewaktu Aliya diambil sebagai anak angkat. Tapi apakan dayanya, beban tugas di Perkasa Budi dan keadaan Mariah menyebabkan dia terus lupa pada Aliya. Lupa pada anak kecil yang ditinggalkan di rumah anak-anak yatim itu.

Lima tahun Mariah berjuang melawan kanser sehinggalah wanita itu menghembuskan nafas terakhirnya di katil hospital. Dalam tempoh itu, dia menjadi seperti orang gila. Dalam tempoh masa itu juga, dia mengabaikan banyak perkara. Dia menjadi individu yang terlalu kuat bekerja. Hospital sudah menjadi rumah keduanya sehingga kadang-kala dia sendiri tertidur di katil hospital.

Begitulah rutin kehidupannya selepas isteri tersayang pergi meninggalkannya. Kadang-kadang rentetan hidup ini begitu aneh. Selepas hampir lima belas tahun, dia dipertemukan kembali dengan gadis manis itu. Itupun dalam keadaan yang tak disangka-sangkakan. Sesungguhnya hidup ini aneh!

* * * *

Dia bergegas ke hospital sebaik diberitahu oleh Syazana tentang kemalangan yang menimpa Aliya. Setelah mengetahui nombor bilik Aliya ditempatkan, dia segera berkejar ke situ.

Dari pintu bilik yang agak renggang, dilihatnya Aliya sedang memandang ke luar jendela. Pandangan gadis itu jauh seolah-olah seperti memikirkan sesuatu. Matanya terpandang tangan Aliya yang berbalut. Sesekali dilihatnya gadis itu mengaduh keperitan sambil memegang tangannya. Entah kenapa hatinya tiba-tiba sayu melihat keadaan gadis itu.

Perlahan-lahan dia mengetuk daun pintu, sekadar untuk memaklumkan kehadirannya di situ. Aliya segera berpaling. Wajah gadis itu berubah sebaik melihat kemunculannya.

“Encik Adam? Apa Encik Adam buat kat sini?” Soal Aliya kebingungan.

Dia tidak menjawab, sebaliknya menarik kerusi berhampiran lalu duduk di tepi katil. Ditepuknya hujung katil mengisyaratkan supaya gadis itu duduk di situ. Mahu tak mahu Aliya menurut dengan wajah bingung.

“Syazana yang beritahu saya Aliya kemalangan. Apa sebenarnya yang dah jadi? Macamana Aliya boleh cedera sampai macam ni? Syazana kata Aliya keluar dengan seorang budak. Siapa dia? Macamana dia boleh biarkan Aliya cedera sampai macam ni?” Bertubi-tubi soalan itu keluar dari mulutnya. Aliya dilihatnya tercengang. Namun dia tidak peduli. Dia hanya mahu tahu salasilah kisah yang menyebabkan gadis itu terlantar di hospital dengan tangan berbalut dan wajah yang sedikit calar-balar.

“Hah kenapa diam saja? Cepat beritahu saya apa halnya ni?”

Aliya tersenyum sendiri. Lucu pun ada melihat gelagat lelaki itu yang lebih resah berbanding dirinya. Sudahlah datang secara tiba-tiba. Lepas tu berleter pula seperti mak nenek.

“Sebenarnya masa nak melintas jalan, saya tak pandang jalan tu betul-betul. Langsung tak perasan ada kereta tengah laju. Jadi bila nak mengelak, apa lagi jatuhlah atas jalan.” Aliya bercerita serba ringkas. Langsung tidak disebutnya nama Haikal di depan lelaki itu.

Adam mengeluh panjang. Tidak disangkanya perkara sebegini boleh berlaku. Sejak dalam perjalanan tadi, hatinya tidak putus-putus bimbangkan keadaan Aliya. Bermacam-macam perkara buruk terlintas di fikirannya. Lagipun Syazana hanya memberitahunya Aliya kemalangan, tapi butir lanjutnya dia sendiri tidak pasti.

“Apa kata doktor?”

“Tak ada apa-apa yang serius. Calar sikit aje. Encik Adam tak payahlah risau, saya okey. Tadi saya baru buat pemeriksaan. Kalau tak ada apa-apa, mungkin petang ni saya dah boleh balik.” Beritahu Aliya. Kasihan juga dia melihat wajah lelaki itu yang mempamerkan kebimbangan.

“Kalau macam tu, kita sama-sama tunggu laporan doktor tu keluar. Lepas tu saya bawa Aliya balik.” Putus Adam.

Aliya hanya mengangguk. Sebenarnya dia amat menyenangi kehadiran lelaki itu di sisinya ketika ini. Meskipun pada mulanya dia merancang mahu balik sendirian ke kampus, namun kehadiran lelaki itu entah kenapa benar-benar melegakan hatinya. Dirinya terasa dihargai.

Sesekali dia berdesis. Rasa ngilu pada bahagian tangannya makin terasa. Tanpa disedari gelagat Aliya diperhatikan Adam penuh perhatian.

“Sakit?” Tanya Adam. Kasihan pula dia melihat keadaan Aliya yang sesekali berkerut dahinya.

Aliya angkat muka lalu tersenyum. Dia menggelengkan kepala.

“Degil!” Rungut Adam sambil tergelak kecil. Aliya turut sama tergelak.

Kehadiran Doktor Badrul di muka pintu menghentikan tawa kedua-duanya. Doktor Badrul kelihatan tergaman melihat Adam. Begitu juga dengan lelaki itu.

Mata Aliya ralit memerhatikan gelagat kedua-dua lelaki itu. Ada suatu keanehan menerpa ke dalam fikirannya kini. Dia benar-benar pasti kedua-dua lelaki itu saling mengenali antara satu sama lain. Matanya sendiri menyaksikan Adam berbual-bual mesra dengan Doktor Badrul di tempat letak kereta fakultinya. Tapi kenapa kedua-duanya kini hanya berdiam diri dan berlagak seolah-olah tidak mengenali antara satu sama lain?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!