Followers

Wednesday, June 2, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 11

Dari jauh kelibat Suria sedang makan tengahari di kafeteria diperhatikan sepasang mata dengan penuh minat. Dia tidak jadi mengikut pegawai-pegawai KZM yang lain makan bersama, sebaliknya langkah kakinya diatur menuju ke arah Suria yang membaca sambil makan.

“Sendirian aje?” Tanyanya selamba.

Suria tergaman. Serentak dia mendongak memandang Nazrul yang tersengih memandangnya. Tanpa disuruh, Nazrul segera menarik sebuah kerusi lalu duduk di hadapan anak gadis itu.

Suria tidak bersuara. Rasa terkejutnya masih belum hilang dengan kehadiran Nazrul. Tiba-tiba dia rasa tidak berselera meneruskan makan. Renungan lelaki itu dibalas dengan wajah bingung.

“Kenapa awak tengok saya macam tu?” Sebut Suria gelisah. Nazrul tersenyum simpul. Menyedari akan kegelisahan yang bersarang di fikiran Suria.

“Dah berapa tahun Suria kerja kat stesyen TV ni?” Soal Nazrul ingin tahu.

“Hmm.. lepas habis belajar, saya terus diterima bekerja kat sini. Lebih kurang tiga tahun yang lepas. Kenapa awak tanya?”

“Kenapa pilih bidang ni?”

Suria tidak terus menjawab. Dia rasa aneh dengan pertanyaan Nazrul. Kenapa pilih bidang ni? Pastilah kerana aku berminat, jika tidak buat apa aku bersusah payah korbankan masa mengejar berita dari ceruk negeri ke ceruk negeri yang lain. Suria membebel sendiri.

“Orang secantik Suria selalunya pilih pekerjaan lain. Kalau di stesyen tv pun, selalunya pilih jadi presenter berita.” Ujar Nazrul bersahaja. Suria tersenyum sendiri. Cantikkah aku ini sampai layak nak menayang muka di kaca tv tu? Dah rabun agaknya mamat seorang ni! Dia hendak ketawa tapi cuba ditahan sedaya upaya.

“Saya minat kerja ni sebab ianya mencabar. Lagipun saya tak tahu apa kerja yang lebih sesuai untuk saya selain dari kerja ni.” Jawab Suria berterus terang.

Nazrul terdiam. Matanya masih ralit menjamah wajah Suria yang bersih tanpa secalit make up. Entah kenapa memandang wajah gadis itu ketika ini, kepalanya bersarang dengan pelbagai pertanyaan.

“Awak tak nak makan apa-apa?” Pertanyaan Suria mengejutkan Nazrul. Dengan pantas dia menggelengkan kepala berserta segaris senyuman.

“Saya dah kenyang.” Jawabnya berbohong. Padahal perutnya sudah berkeroncong minta diisi.

“Kalau begitu, saya minta diri dulu. Lagipun lepas ni saya ada kerja nak disiapkan.” Suria tiba-tiba bangkit bangun menyebabkan Nazrul terpinga-pinga. Baru sekejap dia singgah duduk di situ, Suria sudah ingin beredar.

Matanya tak lepas memandang kelibat tubuh Suria yang semakin jauh. Dia menarik nafas panjang. Wajahnya dipalingkan. Serentak matanya menyapa wajah seorang lelaki berkulit hitam legam yang duduk tidak jauh dari mejanya. Ekor mata lelaki itu jelas mengekori langkah Suria.

Seakan menyedari dirinya diperhatikan, lelaki berkulit hitam legam itu tiba-tiba berpaling ke arahnya. Kedua-duanya saling berpandangan. Bertatapan dengan riak dingin.

“Encik Nazrul, seorang aje?” Sapa Akhbar yang tiba-tiba muncul di hadapannya entah dari mana. Nazrul tersenyum memandang lelaki berkepala botak itu. Sebentar kemudian, dia menjeling di belakang Akhbar. Namun kelibat lelaki yang berada di meja itu tiba-tiba lenyap. Hilang entah ke mana. Nazrul merasa tidak senang. Pandangannya jauh menerobos ke sekitar kafeteria itu. Suara Akhbar sayup-sayup kedengaran menyapa gegendang telinganya.

* * * *

Langkahnya diatur perlahan menuju ke biliknya. Sebaik pintu biliknya dikatup, Mata Nazrul terpandang kelibat seorang lelaki duduk membelakanginya. Dia meraut susuk tubuh itu dengan pandangan curiga. Sebaik lelaki itu berpaling, Nazrul mengetapkan bibirnya. Lelaki itu lelaki yang sama pernah bertemunya di Birkshire.

“Kau buat apa kat sini?” Dia bertanya agak kasar. Namun lelaki itu hanya tersenyum sambil menatap tenang ke arahnya. Kemarahan yang terpancar di wajah Nazrul dipandang remeh.

“Aku bawa pesanan dari ibu. Dia nak jumpa kau.”

“Aku akan balik jumpa dia kalau aku senang.”

“Dia nak jumpa kau sekarang.”

“Hei kau ni tak reti bahasa ke?” Tengking Nazrul. Entah kenapa anginnya sering memuncak bila berhadapan dengan lelaki itu. Kesabarannya sering teruji. Lelaki berpakaian serba hitam itu menggelengkan kepala.

“Kenapa kau ni degil sangat Nazrul? Aku hanya bawa pesanan mudah dari ibu untuk kau. Kau hanya perlu jumpa dia sekejap.” Lelaki itu seakan kesal.

“Dia ibu aku, aku tahulah bila masanya aku nak jumpa dia. Hal aku dengan dia,  tak ada kena mengena dengan kau.” getus Nazrul serius.

Lelaki itu menarik nafas panjang lalu bingkas bangun dari kerusi yang didudukinya. “Sampai bila kau nak menolak kehadiran kami dalam hidup kau Naz? Sampai bila-bila pun kita akan tetap sekeluarga.” Ujar lelaki itu sebelum mula menuju ke arah pintu.

Nazrul melontarkan pandangan ke arah lelaki itu. “Aku tak nak kau jejakkan kaki ke pejabat aku lagi. Dan suruh Ijok jangan campurtangan urusan aku juga. Tugas aku, aku tahulah bagaimana nak selesaikannya.” Ujar Nazrul serius. Lelaki itu mengerling ke arahnya namun tidak berkata apa-apa. Tak lama kemudian pintu biliknya dikatup rapat.

Nazrul tersandar lemah di kerusinya. Entah kenapa, kepalanya terasa pusing. Dia memicit-micit kepalanya yang tiba-tiba menyengat. Ada sesuatu yang terselirat di ruang hatinya sejak dulu. Dan selama ini dia sering menyimpan rasa kecewa yang tak pernah mahu sembuh.

Bertahun lamanya dia cuba lari dari realiti. Tapi hakikat itu sering mengejarnya ke mana-mana sahaja dia cuba menghindar. Sekuat mana dia cuba mengelak diri, akhirnya dia terpaksa jua akur siapa dirinya.

“Ibu tak benarkan Naz pergi. Naz anak ibu, tempat Naz harus di sisi ibu.” Kata-kata itu sentiasa mengekorinya ke mana-mana sahaja. Dan suara itu sering berlegar di telinganya saban waktu.

“Naz ada hidup Naz sendiri ibu. Ini peluang yang Naz nantikan.”

“Peluang apa? Peluang untuk tinggalkan ibu, begitu?” Tuduh wanita itu. Sepasang mata bulat bersinar itu menyergah ke wajahnya. Dia hanya diam. Pertengkaran kecil itu sering menjadi rutin mereka sejak akhir-akhir ini. Larangan wanita itu seakan-akan satu hukuman mati yang diletakkan di atas kepalanya.

Nazrul memejamkan matanya. Ingatan lalu masih segar satu persatu dalam ingatannya. Mana boleh dia melupakan setiap detik dan waktu yang menjadi sejarah kisah silamnya. Namun kehadiran wanita itu dalam hidupnya lebih menyeksakan sebenarnya.

* * * *

“Dia masih degil macam dulu.” Ujar lelaki itu sambil menanggalkan kaca mata hitam yang dipakainya. Wanita yang berada di sampingnya menoleh. Satu garis senyuman berlingkar di wajah itu. Wanita itu meluruskan pandangan. Merenung remang senja yang kian bermukim dari balkoni rumahnya.

“Biarkan saja dia Hadif. Kalau dia tidak degil, maka dia bukan anak aku.” Ungkap wanita itu dengan nada bersahaja. Hadif terdiam.

“Biar sedegil mana pun dia, suatu hari nanti dia akan balik ke pangkuan aku juga. Aku akan pastikan dia bersedia sebelum masanya tiba. Ijok mana?” Dia mengerling anak muda itu.

Hadif menarik nafas panjang. Pertanyaan tentang Ijok sering ditimbulkan padanya, padahal wanita itu sebenarnya lebih arif ke mana Ijok pergi. Bukankah arahan untuk Ijok datangnya dari mulut wanita itu sendiri?

“Saya tak pasti ibu. Sudah hampir seminggu saya tak bertemu Ijok.” Jawab Hadif sejujurnya. Sememangnya dia betul-betul tidak tahu di mana lokasi sebenar lelaki itu.

Wanita itu mengeluh panjang. Ijok semakin sukar dikawal. Meskipun dia ada mengarahkan Ijok menyelesaikan sesuatu, namun sehingga sekarang lelaki itu belum melaporkan apa-apa padanya. Ini yang membuatkan dia naik angin dengan sikap Ijok yang sering mengambil mudah tugas yang diamanahkan kepadanya.

“Kalau kau jumpa dia, katakan padanya aku nak berjumpa. Dan minta dia pindah ke rumah ini, tinggal bersama-sama kau Hadif. Supaya lebih mudah aku mencari kamu berdua bila- bila masa aku perlukan kamu berdua.”

Hadif mengangguk tanpa banyak soal. Arahan wanita itu sentiasa dipatuhi sedari kecil.

“Bagaimana dengan kerja Nazrul di KZM?”

“Nampak bagus. Dia seperti dah boleh menyesuaikan dirinya. Saya rasa dia dah mulakan tugasnya ibu.” Ujar Hadif. Wanita itu tersenyum.

“Bagus! Aku tahu Nazrul takkan hampakan aku. Hanya ini satu-satunya cara untuk kita dapatkan perempuan tu. Kita kena bunuh dia sebelum dia cukupkan korbannya. Kita kena kesan Naga Sari itu sampai dapat Hadif. Hanya senjata itu sahaja yang cukup ampuh untuk menghapuskan dia.” Tegas wanita itu.

“Saya dan Ijok sedang berusaha ibu. Kami dah dapat kesan di mana Umar berada. I will find him.” Balas Hadif.

Wanita itu tidak bersuara lagi. Dia memalingkan tubuhnya mengadap ke arah senja yang semakin berlabuh nun jauh di sana. Pandangannya bertaut dengan hembusan angin petang yang menyapa wajahnya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!