Followers

Tuesday, December 18, 2018

Spy Hati Dari Chantilly (Bab 3)

SURI Imani sedang duduk bersantai di beranda rumah apabila mendengar namanya diseru Hana, teman baiknya. Perhatiannya segera beralih. Wajah Hana nampak tegang seraya memandang ke arah skrin televisyen leper yang berada di ruang tamu.
“Kenapa, Hana?”
“Tu bukan berlian yang kita tengok semalam, kan?” soal Hana ingin tahu.
Dia menoleh ke arah televisyen. Tertarik dengan gambar berlian di hadapannya dengan caption Le Diamant Manquant.
“The Grand Conde,” bisik Suri Imani tanpa disedari.
Walaupun dia tidak fasih berbahasa Perancis tetapi sedikit sebanyak dia tahu apa yang sedang berlaku. Paris dikejutkan dengan berita kehilangan The Grand Conde, berlian yang berada di Musee de Conde yang dilawati mereka semalam.
 “Pelik! Punyalah banyak berlian yang lebih berharga kat situ, kenapa pilih The Grand Conde?” Bisik Suri Imani, seperti khusyuk memikirkan sesuatu.
“Agaknya dia suka The Grand Conde tu. Macam kau jugak,” ujar Hana.
“Suka?” Kerut di dahinya melebar.
Pink diamond with pear shape and 9.01 carats. Not so lovely for woman. Every women will love Rose of Dubai or Pink Star but not The Grand Conde.”
Entah kenapa kata-kata itu diulang tayang di fikirannya. Selain dari dirinya, ada seseorang yang lebih mengenali The Grand Conde. Dan orang itu adalah lelaki yang ditemuinya di depan ruang galeri yang menempatkan The Grand Conde.
Dia memejamkan mata sebentar. Cuba mengingatkan wajah lelaki itu. Cuba mengingatkan bagaimana suara lelaki itu? Apakah sama dengan suara lelaki bertopeng yang ditemuinya semalam? Tetapi sejurus kemudian dia membuka matanya dan mengeluh. Bukan senang nak mengingatkan suara yang hanya berbual dengannya tak sampai lima minit pun. Ah! Tak mungkin! Lelaki sekacak itu tak mungkin seorang pencuri! Aku banyak sangat tengok filem Inggeris ni! Hati kecilnya menolak sangkaan yang baru tumbuh di fikiran.
 “Kau dah kemaskan barang-barang kau?” Pertanyaan Hana membuatkan dia tersentak. Segera dia berpaling ke arah teman yang terkelip-kelip memerhatikannya.
“Dah, aku dah siap kemas. Malam nanti Farid datang ambil aku,” ujar Suri Imani, tersenyum.
 “Untungnya orang tu, boyfriend hantar pergi airport,” usik Hana.
“Mestilah dia hantar. Kalau bukan dia siapa lagi,” ujar Suri Imani, ketawa kecil.
Hana hanya mencebik.
“Kau tu patut berterus terang aje dengan Farid. Aku takut nanti kau yang perasan lebih sedangkan Farid tu hanya anggap kau tu kawan biasa dia,” nasihat Hana.
Dia hanya mampu tersenyum hambar. Berterus terang? Tidak cukupkah lagi signal yang dtunjukkannya pada Farid? Semua perilakunya hanya menunjukkan yang dia amat menggilai lelaki bernama Farid Ilham itu.
“Dia akan jadi hak aku, Hana. Kau tengoklah nanti.” Suri Imani mengetap bibir. Bertekad sepenuh hati mahu memiliki hati lelaki itu.

FARID tersenyum memandangnya. Dia juga. Matanya asyik meraut pandang wajah Farid yang sedang memandu. Sesekali Farid menoleh. Wajah lelaki itu berkerut melihatnya.
“Kenapa Suri asyik pandang abang macam tu?” soal Farid.
“Suri berat hati nak tinggalkan abang kat sini,” rengek Suri Imani. Manja macam anak kucing!
“Abang masih ada seminggu kat sini. Nanti abang balik Kuala Lumpur, abang call Suri. Kita keluar makan sama-sama,” cadang Farid, tersenyum.
“Lepas abang balik nanti, ikut Suri balik rumah ya? Suri nak kenalkan abang dengan famili Suri. Abang mesti kenal dengan Kak Lin. Dia kakak kesayangan Suri. Kalau abang dah kenal dia, mesti abang suka dia. Dia baik, cantik.”
“Baik dan cantik macam adiknya?” Farid ketawa besar.
Suri Imani hanya mampu membalas ketawa Farid dengan senyuman. Bunyinya macam membanggakan diri, tetapi itulah kenyataan. Dia memiliki seorang kakak yang cantik dan sempurna serba-serbi. Dan sebagai seorang adik, tak salah dia berbangga dengan kakaknya sendiri.
“Abang hantar Suri sampai sini aje tau. Abang kena balik ke hotel untuk pembentangan sesi malam ni. Maaf ya,” ujar Farid seraya menghentikan kereta yang dipandunya ke seberang jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Paris Charles de Gaulle. Sesetengah penduduk Paris lebih mengenali Charles de Gaulle sebagai Roissy Airport.
“Tak apa, Suri faham abang sibuk,” ujar Suri Imani, kemudian keluar dari perut kereta.
Farid turut keluar lalu mengeluarkan bagasi Suri Imani dari dalam perut kereta.
Suri Imani memandang ke arah Farid dengan wajah sedih. Seminggu dia berada di Paris, dan dalam tempoh ini, Farid jarang-jarang menemaninya. Lelaki itu terlalu sibuk berseminar. Mujurlah ada teman-teman lamanya seperti Hana, Atea dan Rachel yang sanggup menemaninya berjalan-jalan di Paris.
“Ni yang buat muka sedih kenapa? Macamlah abang tak balik lagi.” Farid sempat lagi berseloroh sebaik sahaja dilihatnya wajah Suri Imani muram sekali.
“Suri sedih.”
“Sedih nak tinggalkan abang kat sini?” Farid tersenyum-senyum.
Suri Imani hanya mengangguk. Dah tahu bertanya pulak!
“Abang pun sedih bila Suri pergi nanti. Siapa nak temankan abang makan Croissont lagi?”
“Suri batalkan aje tiket dan temankan abang seminggu lagi boleh?”
Farid ketawa besar dibuatnya. Sudah sampai depan CDG pun gadis itu masih mahu membuat kelakar.
“Suri tak rindu mama dan ayah? Tak rindukan kakak Suri yang baik dan cantik tu?” soal Farid, sengaja menguji.
Suri Imani terdiam. Siapa kata tak rindu? Tapi dia lebih berat hati mahu berpisah dengan lelaki yang paling dicintainya. Farid ini macam tahu-tahu sahaja mencari kelemahannya.

KERETA yang membawanya sudah sampai ke destinasi. Tapi dia masih belum turun dari perut kereta. Matanya mengerling lelaki di sampingnya yang kelihatan tenang.
Do I have to do this?” tanyanya separuh mengeluh.
Lelaki berjambang tebal itu hanya tersenyum.
“Semuanya dah disediakan. Pasport kamu pun dah disediakan. Naik kapal terbang ke Kuala Lumpur malam ni. Dan tunggu arahan terbaru.”
Dia mengeluh panjang.
 “Oh ya, Aria minta maaf pada kamu. Katanya dia dah buat silap besar,” ujar lelaki itu.
Sekali lagi dia mengeluh mendengar nama lelaki muda itu.
“Kamu jangan terlalu berkasar dengan dia. Dia berbakat besar sebenarnya, cuma perlu diasuh. Kesilapan malam semalam tak sepatutnya berlaku. Tetapi itu akan jadi latihan yang bagus untuk kamu dan Aria,” nasihat lelaki itu.
“Kita dah bincang hal ni dulu, uncle. I don’t need any help. I’m doing this alone,” ujarnya, bertegas.
Lelaki itu tidak memberi sebarang komen. Renungan lelaki itu menikam ke wajahnya agak lama. Dia hanya mampu mengeluh.
“Fasal perempuan tu. Uncle dah jumpa dia?” Dia mengalihkan pertanyaan pada hal yang lebih penting.
Lelaki itu menggeleng.
“Dia akan muncul jugak. Kamu hanya perlu sabar.”
“Sampai bila?”
Lelaki itu tidak menjawab. Arahan diberi kepada pemandunya untuk menghentikan kereta di hadapan CDG. Lelaki itu mengangkat kening ke arahnya.
Dia menarik nafas panjang. Memahami perbualan itu sudah berakhir. Dia turun dari perut kereta dengan hanya bertemankan beg sandang kecilnya.
Langkahnya diatur ke arah bangunan lapangan terbang. Dia menanti di boarding area dengan wajah bosan. Semasa melewati sebuah kedai buku, dia sempat masuk dan membeli senaskhah bahan bacaan. Buku itulah yang akan menjadi penemannya sewaktu menanti di kawasan menunggu. Khusyuk dia membaca tanpa mempedulikan penumpang-penumpang yang akan menaiki penerbangan yang sama dengannya.
Tiba-tiba sesuatu terjatuh di kakinya. Dia merendahkan buku yang dibacanya, lalu ternampak kelibat seorang gadis sedang tunduk mengutip barang-barangnya yang tercampak ke lantai. Asalnya dia hendak membantu, tetapi sebaik sahaja terpandang raut wajah itu, serta-merta dia menarik topi yang dipakainya sehingga rapat ke wajah. Dia cam wajah itu. Itulah gadis yang ditemuinya di Musee de Conde kelmarin. Walaupun sebelum ini mereka pernah berbual-bual, tetapi malam ini dia harus berhati-hati.  Malah rantai milik gadis itu juga masih berada di tangannya. Kalau dia pulangkan sekarang, tentu ia akan jadi masalah paling besar.
Tak semena-mena si gadis duduk selang dua tempat kosong berhampiran dengannya. Dia menarik nafas panjang. Bukunya dinaikkan ke muka, pura-pura khusyuk membaca walhal jika ada kesempatan dia akan menjeling gadis itu yang kelihatan muram.
Di hadapan mereka, seorang lelaki tua sedang membaca keratan akhbar yang memaparkan kecurian berlian yang dipamer di Musee de Conde. Dia perasan mata si gadis turut melencong ke arah akhbar itu. Gadis itu pastinya masih trauma dengan apa yang telah berlaku semalam. Dia sendiri tidak pernah menyangka, setiap rancangannya yang selalunya teliti kali ini terganggu dengan kesilapan teknikal yang dilakukan oleh Aria, orang baru yang dihantar oleh Tuan Rourke. Malah kehadiran gadis itu juga menjadi salah satu punca kekecohan di Musee de Conde.
Mujurlah dia dapat melepaskan diri selepas dia menyelamatkan gadis itu dari terkena peluru salah seorang pengawal. Jika tidak rekod bersihnya akan tercemar. Lagipun selama ini, belum pernah kerja-kerja yang dilakukannya mengorbankan nyawa yang tak berdosa. Seboleh-bolehnya dia tidak mahu mencederakan sesiapa.


Bunyi pengumuman di lapangan terbang itu membuatkan khayalan singkatnya menghilang. Sudah sampai masa penerbangannya. Dia menoleh mencari-cari wajah si gadis. Gadis itu turut bangun dari kerusi yang didudukinya. Menyedari itu semua, dia tergamam. Jangan-jangan gadis itu juga menaiki penerbangan yang sama dengannya. Aduh! Masalah besar!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!