Followers

Thursday, October 16, 2008

Vendetta 7

Kojie mengerling dari cermin hadapan sebaik terdengar Anabella ketawa mengekek halus. Dia tersenyum-senyum memandang. Hai, sempat lagi ke bermimpi? Kojie ketawa kecil. Langsung dia tidak sedar Anabella sudah pun bangun dari lena dan asyik memandang ke hadapan kereta dengan wajah mamai.
Mata Anabella asyik memandang signboard di sepanjang perjalanan. Dia sebenarnya masih keliru. Ke mana hala tujuan mereka? Ke Kuala Lumpurkah? Tapi melihat papan tanda Temerloh, senyuman Anabella mekar semula. Dia merenung Kojie tidak berkelip. Tiba-tiba sahaja persepsinya terhadap Kojie berubah seratus peratus.
“Kita nak ke Kuantan ya.” Sapa Anabella perlahan.
Kojie tersentak. Stereng yang dipegangnya hampir senget dek kerana kuss semangat dibuat Anabella. Dia memandang anak gadis itu sekilas. Wajah Anabella tersenyum riang memandangnya. Kojie melarikan wajahnya. Dia acuh tak acuh mengiyakan.
“Baik hati kau tolong aku. Thanks Kojie.” Ucap Anabella ikhlas. Kojie hanya mengangguk. Dia masih belum boleh percaya seratus peratus pada Anabella. Berkali-kali dia dipermainkan gadis itu, dia tidak boleh alpa lagi.
“Aku buat semua ni bukan sebab aku nak tolong kau. Tapi aku tak nak apa-apa berlaku pada kereta ni. Itu aje.” Sahut Kojie antara dengar dengan tidak. Anabella terdiam. Dia malas mahu menyanggah kata-kata Kojie. What so ever lah…asalkan aku sampai Cherating cukuplah.
“Kau nak berhenti rehat?” Kojie bertanya tiba-tiba.
Anabella meluruskan pandangan. Mereka semakin menghampiri Hentian Rehat di kawasan Temerloh. Tanpa menunggu jawapan Anabella, Kojie segera memandu masuk ke kawasan hentian tersebut.
Selepas mencuci muka di toilet, Anabella mencari-cari Kojie di deretan kedai-kedai makan. Sebaik nampak kelibat anak muda itu, dia segera melangkah ke arah Kojie.
“Nak minum apa?” Tanya Kojie?
“Teh.” Jawab Anabella ringkas.
“Teh panas lagi?” Kojie seolah menyindir. Anabella terdiam. Dia sudah tidak kuasa mahu marah-marah lagi.
“Aku nak teh ais.” Jawab Anabella. Kojie hanya tersenyum. Dia segera bergegas membuat pesanan. Sebentar kemudian Kojie kembali dengan dua gelas teh ais dan sirap limau. Sambil minum, masing-masing diam melayan perasaan. Sesekali Anabella melirik lelaki di hadapannya.
Baru kali ini dia cuba memerhatikan Kojie dengan teliti. Rambut Panjang Kojie yang hampir menutup mata mengalahkan rambutnya sendiri yang hanya separas bahu. Wajah lelaki itu tumbuh meliar dengan misai dan kumis yang tak terurus. Namun mata lelaki itu bersinar-sinar apabila memandang sesuatu. Jika dipandang betul-betul, Kojie bukanlah teruk benar. Anabella cuba memadankan imej Kojie yang kemas dan bercukur di dalam kepalanya, namun serentak dia menggelengkan kepala. Fragmen wajah Kojie yang begitu hanya membuang fragmen-fragmen lain di kepalanya. Baik kau tak usah berfikir, Bella!
Mata Anabella beralih pula ke pakaian lelaki itu yang lusuh benar. Kemeja berbelang biru dipadankan dengan jeans yang koyak rabik di kepala lutut, benar-benar menampakkan gaya seorang mat selekeh yang kerap kali melepak di hadapan pejabatnya. Anabella menelan liur. Imej lelaki itu benar-benar sempoi habis. Terlalu sempoi mungkin….jika tidak masakan kehadiran mereka di situ mengundang perhatian beberapa pasang mata pengunjung lain.
“Yang kau asyik pandang aku ni dari tadi apasal?” Tiba-tiba suara Kojie meletus di telinga Anabella. Dia tergaman. Serentak dia mengalihkan matanya. Sepasang mata bersinar-sinar tajam mencerlung ke wajahnya. Anabella sedikit cuak.
“Kenapa pulak? Salah kalau aku pandang?” Balas Anabella tidak mahu kalah.
“Salah tu tak salah..tapi kalau kau dah mula berkenan kat aku..baik kau lupakan aje. Aku dah ada seseorang dalam hati aku tahu.” Tukas Kojie. Oh Hezra sayang…Kojie takkan menduakan Hezra dengan orang lain.
Gulp! Anabella sekali lagi menelan air liur. Wajah Kojie diratah dengan pandangan kosong. Gila apa ke mamat ni? Simpang malaikat 44 kalau kau ingat aku ni dah jatuh syok kat kau. Daripada kau yang macam tak cukup sen, tak cukup sifat…baiklah aku pilih tokei kedai makan tu yang masuk juga duit tiap-tiap bulan, getus Anabella.
“Tolong lah sikit Encik Kojie, kalau aku dah syok sangat kat kau, buat apa aku nak pergi Cherating lagi. Please la, Iqbal aku sepuluh kali ganda lagi handsome dari kau tau tak.” Balas Anabella tidak mahu kalah.
Ya tak ya juga! Kojie menggaru kepala tidak gatal. Dia tersengih sendiri. “Ni aku nak tanya kau sikit ni. Yang kau susah-susah nak ke Cherating ni, kau yakin ke yang lelaki tu akan terima kau?” Kojie mengajukan pertanyaan.
“Apasal pulak?” Anabella tergaman.
“Yalah, nanti aku takut kau yang nangis tak berlagu bila dah sampai ke sana nanti. Lagipun Cik Bella, lelaki tu dah ada teman wanita. Sekarang ni kau yang jadi orang ketiga.” Cebik Kojie seakan mempersendakannya.
Anabella membeliakkan matanya besar-besar. Entah kenapa dia jadi tidak senang dengan kata-kata Kojie.
“Orang ketiga ke, keempat ke atau ke sepuluh sekalipun…aku akan tetap jumpa dia dan luahkan isi hati aku. Cakap-cakap kau ni takkan ubah fikiran aku tau tak.” Balas Anabella seraya memasamkan mukanya. Kojie tergelak kecil. Entah kenapa dia rasa lucu melihat kesungguhan Anabella kali ini. Baru aku duga sikit, dah meradang…macamana dia nak kumpul tenaga untuk berperang dengan teman wanita lelaki itu nanti, fikir Kojie sambil tersengih.
* * * *
Rasa tersinggung Anabella berlanjutan sehingga mereka kembali ke kereta. Dia benar-benar berang dengan kata-kata Kojie yang tidak putus-putus mahu melemahkan semangatnya. Aku dah sampai sejauh ini, tak mungkin aku akan menyerah sebelum mencuba. Ah pedulikan kata-kata mamat tu, anggap saja dia cemburukan aku dan Kojie, Anabella memujuk hati yang rawan. Tak guna dia melayan kerenah Kojie yang menjengkelkan hati.
Belum sempat dia mahu masuk ke dalam kereta, matanya terpandang gerak geri Kojie yang nampak aneh. Mata lelaki itu asyik tertinjau-tinjau ke suatu arah. Anabella segera mengekori arah anak mata Kojie. Seketika dahinya berkerut. Siapa pulak yang Kojie pandang tu? Dia kenal perempuan tua itukah?
“Kojie, siapa tu?” Tanya Anabella ingin tahu. Kojie tidak menjawab. Hanya matanya sahaja meliar ke wajah perempuan tua yang sedang duduk di bangku di hentian rehat itu. Sebuah beg sederhana besar berada di atas lantai di tepinya.
Melihat Kojie sudah melangkah ke arah wanita itu, Anabella tidak ada pilihan lain turut mengekori lelaki itu. Menyedari kehadiran mereka, wanita tua itu menoleh. Umurnya dalam lingkungan 60an dan nampak tua benar. Kain selubung yang dipakainya nampak usang dan lama.
“Nek…nenek buat apa kat sini? Dah lewat ni…nenek tunggu siapa?” Tanya Kojie lembut. Anabella terkedu. Rupa-rupanya Kojie mahu bertanya khabar perempuan tua yang nampak kasihan.
“Nenek nak pergi rumah anak nenek kat Kuantan. Tapi bas yang nenek naik tu dah tinggalkan nenek masa nenek nak pergi solat tadi.” Ujar wanita tua itu dengan nada sayu. Terkebil-kebil mata wanita itu memandang Kojie dan Anabella silih berganti.
“Rumah anak nenek tu kat mana?”
“Kat Gebeng.”
“Kalau nenek tak keberatan….marilah tum…” Tiba-tiba sahaja mulut Kojie diserkup dengan tapak tangan Anabella. Anabella segera menarik Kojie agak jauh.
“Kau dah gila ke? Kita kan nak pergi Cherating.” Ujar Anabella menyanggah cadangan Kojie mahu menumpangkan nenek tua itu. Melihat Kojie tidak membalas kata-katanya, Anabella semakin geram.
“Lagipun aku nak cepat sampai ke Cherating. Kalau kita hantar nenek tu, masa kita akan terbuang macam tu aje kat jalan raya.” Bebel Anabella lagi. Kojie tetap diam. Anabella segera berpaling. Melihat Kojie yang hampir mati kelemasan kerana tekupan tangannya, Anabella terkejut. Pantas dia melarikan tapak tangannya. Kojie tercungap-cungap mengambil udara untuk bernafas.
“Kau nak bunuh aku ke ni?” Herdik Kojie benar-benar berang. Bulat matanya mencerlung ke arah Anabella yang tersengih. Opss sorry..Anabella menggaru kepala tidak gatal. Dia sendiri tidak perasan dia menarik Kojie dan menekup mulut lelaki itu agak kuat.
“Maaf, aku tak sengaja.” Anabella menyusun kata dengan lebih berhemah. Lagipun dia takut tersilap kata, Kojie akan bertukar fikiran. Hancur impiannya mahu menjejaki Iqbal jika tanpa bantuan lelaki itu.
“Apa masalahnya kalau nenek tu ikut kita sekali? Lagipun kita akan lalu ke Gebeng dalam perjalanan nak ke sana.” Seru Kojie mempertahankan keputusannya.
“Nenek itu hanya melambatkan kita Kojie. Lagipun kita tak kenal siapa nenek tu. Macamana kalau nenek tu bukan orang baik?”
Kojie tercengang mendengar kata-kata Anabella. Sejurus kemudian dia ketawa terbahak-bahak. Entah kenapa kata-kata Anabella benar-benar melucukannya.
“Cik Anabella, kalau nenek tu benar-benar orang jahat, kau serahkan saja pada aku. Aku akan karate dia keluar terus dari kereta.” Ujar Kojie sambil cuba menahan tawa. Anabella menarik muka masam. Ketawa Kojie bagaikan menyindir saja lagaknya. Dia tahu Kojie memperlekehkan kata-katanya. Tapi di zaman serba canggih ni usia bukan lagi soal pokok untuk manusia itu melakukan kejahatan. Jika tidak masakan di dada akhbar dulu pernah tersiar berita tentang seorang datuk yang merompak bank atau wanita berusia 40an yang kerjanya menyeluk saku.
“Kojie, beringat sebelum terkena,” nasihat Anabella. Kojie memandang gadis itu tidak berkelip. Dahinya berkerut.
“Bella, kau tak kasihan langsung ke tengok nenek tu sorang diri menunggu kat hentian rehat ni. Hari pun dah jauh malam. Sekarang ni banyaklah kereta yang keluar masuk. Kalau pukul 12 ke atas nanti macamana? Kau sanggup tengok nenek tu menunggu sorang diri kat sini? Kalau kena atas batang hidung kau macamana?”
Anabella terdiam. Dia memusingkan tubuhnya memandang wanita tua itu yang masih memandang ke arah mereka dengan pandangan sayu. Anabella mengeluh kecil. Pandai nenek tu merenung aku macam tu. Macam tahu-tahu aje aku tak boleh tengok rupanya tu…keluh Anabella.
* * * *
“Baiknya hati cucu berdua ni sanggup tumpangkan nenek ni ke rumah anak nenek kat Gebeng sana. Syukur ada orang baik hati lagi zaman sekarang ni.” Puji nenek itu setelah mereka berlepas dari Temerloh menuju ke Kuantan.
Kojie hanya tersengih seraya melirik Anabella yang masam-masam manis rupanya. “Tak apa-apa nenek, lagipun kasihan saya tengok nenek kena tinggal dek bas tu. Hairan juga, takkan bas tu boleh tak perasan nenek belum naik tadi. Tak ambil berat langsung,” rungut Kojie yang baran bila memikirkan sikap pemandu basa yang tak berhati perut.
“Tak apalah cu, memang salah nenek. Nak pergi solat tak beritahu orang lain. Lagi pun orang tua macam nenek ni siapa nak kisah ada ke tak ada ke. Sama aje,” ujar wanita tua itu dengan nada mendatar.
Kojie hanya tersenyum. Sesekali dia melirik ke arah Anabella yang diam sahaja sedari tadi. Dia lekas-lekas menyiku Anabella membuatkan gadis itu tersentak. Tajam mata gadis itu merenungnya.
“Apa?” Bisik Anabella antara dengar dengan tidak.
“Boraklah dengan nenek tu,” Bisik Kojie pula separuh geram.
Anabella menarik muka empat belas. Dia rasa berang kerana diarah-arah sesuka hati oleh Kojie. Lantak akulah kalau aku nak bercakap ke nak apa ke!
“Cucu berdua ni nak ke mana?” Tak disangka-sangka nenek tua itu yang dahulu membuka pertanyaan. Kojie dan Anabella serentak tergaman.
“Err..kami nak ke Cherating nek,” beritahu Kojie.
“Cherating? Nak buat apa?” Soal orang tua itu lagi. Anabella tersengih sinis. Banyak tanya pulak orang tua ni. Ha menjawablah kau Kojie, jangan nak babitkan aku pulak.
“Err..saja nak jalan-jalan makan angin nek,” balas Kojie. Takkan nak beritahu aku nak temankan minah sengkek ni rampas boyfriend orang! Kojie menjeling Anabella di sisinya. Gadis itu selamba sahaja memandangnya.
“Bini cucu ni bisu ke? Dari tadi nenek tengok dia diam aje…tak bercakap.” Nenek itu mengalihkan pandangan ke arah Anabella yang sudah berubah mukanya. Kojie tergelak dengan mulut terbuka lebar. Hahaahaha….meletup dunia ni kalau perempuan ni jadi bini aku. Dia ketawa besar.
“Kenapa anak nenek tak ambil je nenek kat rumah?” Kojie bertanya. Sengaja dia mahu memancing perbualan untuk mengelakkan dia dari tertidur.
“Nenek tak nak susahkan dia.”
“Issh susah apanya nek. Itukan dah jadi tanggungjawab seorang anak pada ibunya. Kalau ibu saya masih hidup, tentu saya tak kisah nak ke mana-mana untuk hantar dia.” Balas Kojie. Anabella tersentak mendengar kata-kata Kojie. Entah kenapa ayat terakhir yang keluar dari mulut Kojie membuatkan perasaannya berbelah bahagi. Tiba-tiba sahaja tumpah rasa simpatinya pada lelaki itu. Sesengkek-sengkek dia pun masih ada ibu dan ayah untuk mengadu nasib. Tapi Kojie….Anabella melayan perasaan sendiri.
Entah sejak bila Anabella terlelap seketika. Dia terjaga dari lena sebaik terasa udara sejuk menghembus ke mukanya. Anabella menggeliat sambil mengerling ke arah Kojie. Dia melihat lelaki itu masih leka memandu. Sejurus Anabella teringatkan wanita tua di belakangnya. Dia segera menjeling wanita itu dari cermin sisi. Melihat sekujur lembaga berambut panjang mengerbang kehitaman sedang merenung ke arahnya, dada Anabella berdegup kencang. Serentak tangannya mencapai lengan Kojie lalu diramas sekuat hati.
Kojie menoleh. “Kau ni kenapa pulak? Sawan?” Dengus Kojie seraya merenung tajam ke wajah Anabella yang pucat lesi.
“Kojie….aku…aku takutt.” Suara Anabella gementar. Dia rasa seram sejuk melihat lembaga yang tidak jelas wajahnya di belakang. Mana perginya wanita tua tadi? Dalam takut-takut, Anabella sempat memikirkan nasib nenek tua itu.
“Kau takut apa ni?”
“Kat be…belakangg tu…” Bisik Anabella sambil memejamkan matanya.
“Kat belakang? Apa fasal?” Kojie mengerling ke belakang. Wanita tua yang menumpangnya sedang tertidur. Dia mengalihkan pandangannya ke arah Anabella yang berwajah pucat lesi. Macam-macam hal, keluh Kojie mula rimas dengan kerenah Anabella.
“Takkan kau tak nampak-nampak Kojie..” Tekan Anabella apabila dilihatnya Kojie selamba sahaja. Dia mengerling lagi. Wajah lembaga itu menyeringai memandangnya. Anabella semakin gementar. Pautan di lengan Kojie semakin kemas.
“Nampak apa?”
“Tu..kat belakang tu…mata merah…rambut panjang..tersengih-sengih tengok aku…” Anabella mengutarakan satu persatu imej lembaga yang duduk diam di belakang kereta dengan nafas tersekat-sekat. Kojie mengerutkan dahinya. Sah! Perempuan ni dah kena sawan ni. Dia tertawa besar. Kata-kata Anabella sedikit pun tidak menggoyahkan hatinya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!