Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 4


            Engku Iskandar termenung panjang. Dia memandang isterinya seperti tidak percaya. Engku Zarina hanya mengangguk mengiyakan.

            “Betul bang, I dengar perkara ni dari mulut Latifah sendiri. Latifah yang beritahu I budak Nashriq tu dah balik ke mari dengan Erman.”

            “Huh, apa mimpi Nashriq tu balik? Selama ini bukan dia yang enggan balik ke mari, meski berbuih mulut Latifah tu memujuk?”

            “You agak, Nashriq balik ke mari sebab nak ambilalih tugas you di syarikat?” Tanya Engku Zarina. Lelaki itu terdiam. Mungkinkah? Lagipun anak muda itu pewaris empayar Zainal Ikram. Dia tahu selagi Erman ada di samping Nashriq, pasti lelaki itu akan kembali menuntut hak yang sah sepertimana yang termaktub dalam wasiat.

            “Apa lagi Latifah cakap fasal Nashriq?”

            “Fasal apa lagi kalau bukan fasal budak Hana tu. Dari dulu sampai sekarang, mulut Nashriq tak lekang menyebut nama budak keparat tu.” Engku Zarina mencebik.

            “Dia tahu tentang Hana?”

            “Saya tak rasa macam tu. Kalau Latifah tak tahu, maka Nashriq juga takkan tahu apa sebenarnya yang berlaku. Entah apa reaksi Nashriq kalau tahu budak Raihana tu sebenarnya sudah mati.” Engku Zarina tergelak kecil.

            Engku Iskandar tersenyum. Hanya dia dan isterinya sahaja yang tahu apa sebenarnya yang berlaku dua belas tahun tahun dulu. Suatu ceritera yang dicipta untuk memalsukan dongeng yang hampir wujud.

            Kalau bukan kerana dia menemui pusara Suhana di Kampung Telaga Pandak, sudah tentu dia takkan tahu rahsia yang cuba disembunyikan oleh Zainal dan Munif dari pengetahuannya dan adiknya Engku Latifah. Sebijak-bijak kau Zainal, kau tetap tak boleh menipu aku, Engku Iskandar tersengih. Dia mula teringat kisah lama.

Tubuh gadis itu dihenyak kasar ke arah dinding, Gadis itu mengaduh kesakitan. Namun kedua-dua lelaki, orang suruhannya hanya tertawa memandang ke arah tubuh kecil itu. Dia yang duduk tersorok di suatu sudut hanya memandang tanpa sepatah kata..

            “Pakcik-pakcik ni siapa? Kenapa buat Hana macam ni?” Gadis itu teresak-esak   menahan sakit. Tangannya masih terikat sejak dia di bawa dari hospital tadi.

            “Kau tak perlu tahu kenapa kami buat semua ni. Lagipun kami dibayar tinggi untuk menangkap kau.”

            “Pakcik nak buat apa dengan Hana?” Wajah itu  jelas ketakutan.

            “Itu bukan urusan kami. Nasib kau juga bukan kami yang tentukan.” Lelaki bercermin mata itu bersuara, lantas  menoleh ke belakang.

Dia tahu sudah tiba masanya dia muncul. Perlahan-lahan dia mara ke hadapan. Raihana turut menyorot langkahnya perlahan-lahan. Dan seperti yang diduga, anak gadis itu tergaman melihatnya.

            “Pakcik Is?”

            Dia memandang gadis itu tidak berkelip. Bibirnya mengorak senyuman lebar. Wajah gadis yang dalam ketakutan itu ditenung tajam. “Kenapa, kamu terkejut tengok aku?”

            “Pakcik Is ke yang suruh mereka tangkap Hana? Tapi kenapa?”

            “Kenapa? Sepatutnya kamu lebih tahu. Tanyalah ayah dengan mak kamu kenapa aku buat begini.” Dia tergelak besar.

            “Tapi Hana tak salah pakcik. Hana juga percaya ayah bukan pembunuh.”

            “Siapa yang percaya kata kamu? Nashriq percaya?”

            Gadis itu terdiam. Raut wajahnya serta-merta berubah.

Dia memerhatikan gadis itu dengan perasaan benci yang semakin kuat bercambah dalam dirinya. Sejak dia tahu rahsia itu, wajah gadis kecil itu sentiasa merantai jiwanya. Setiap keinginan yang dia himpunkan sejak sekian lama, musnah begitu sahaja.

            “Ayah kamu pembunuh. Anak seorang pembunuh macam kamu tak layak hidup bersama  waris kekayaan empayar Zainal Ikram. Kamu mengerti maksud aku kan?”

            “Jadi pakcik nak buat apa dengan Hana? Pakcik nak bunuh Hana?”

            “Bunuh? Aku takkan kotorkan tangan aku untuk anak pembunuh macam kamu. Aku hanya nak bawa kamu jauh dari sini.” Ujarnya. Raihana tersentak. Pergi dari sini?

 “Tidak! Hana tak boleh tinggalkan tempat ini. Hana tak mahu tinggalkan mak, pakcik. Mak perlukan Hana. Kalau pakcik tak mahu Hana jumpa dengan abang, Hana janji. Hana takkan bertemu abang lagi seumur hidup Hana.” Rayu gadis itu. Namun airmata gadis itu sedikitpun tidak mampu melenturkan keras hatinya.

“Kamu ingat aku peduli dengan janji kamu? Lagipun mak kamu dah tak boleh menemani kamu lagi. Kamu pun tak perlu tunggu dia.” Dia tergelak besar, diikuti deraian tawa teman-temannya.

Raihana tergaman. Entah kenapa kata-kata lelaki itu mencambahkan rasa gementar dalam dirinya. Dia bimbang. Benar-benar risau jika ada sesuatu yang buruk berlaku pada ibunya.

“Mak kamu dah mati, Raihana. Ayah kamu juga akan mati sendirian di dalam penjara.” Bisiknya di tepi telinga yang kecil mulus itu. Mata Raihana menatapnya dengan pelupuk yang bergenang. Dia tahu umpannya mengena. Dia tahu kata-katanya umpama racun berbisa yang sedang mengalir dalam urat saraf gadis kecil itu.

 “Kamu tak percaya mak kamu dah mati? Baru sebentar tadi aku hantar mak kamu ke syurga.” Ketawanya semakin besar sambil menggoyang-goyangkan botol kecil berwarna hitam gelap di tangannya.

Melihat botol di tangan lelaki itu, jantung Raihana bagaikan berhenti berdenyut. Dia menggelengkan kepalanya. Tidak! Tak mungkin! Mak tak akan tinggalkan Hana sendirian. Mak tak mungkin pergi!

            Ketawa lelaki-lelaki itu bergema lagi, sedangkan tubuh Raihana sudah terkulai di suatu sudut. Dalam sekelip mata, dia hilang segala-galanya. Wajah ibu dan ayahnya silih berganti muncul, sebelum semakin berbalam dalam kilauan airmata yang kian lebat menitis di pipinya. Dia pasrah.

            Bibir Engku Iskandar melemparkan senyum senang. Siapa sangka, duri yang cuba dihapuskan dalam hidupnya dengan mudah sahaja dibuang. Tidak perlu dia bersusah payah. Ada orang menyenangkan lagi kerjanya. Selagi gadis itu kekal diam di alam barzakh, Nashriq tidak akan tahu rahsia yang tersembunyi sejak sekian lama.

*  *  *  *

            Bustaman mengeluh panjang. Wajah Black nampak riang di hadapan matanya. Dia cuak. Bulat matanya melihat wang-wangnya habis begitu sahaja di tangan Black. Namun dia akui lelaki itu cukup pakar dalam permainan poker. Jika tidak, masakan dia berulangkali kalah di tangan lelaki itu.

            “Bagaimana Man? Hehehe…jangan sedih, lain kali kau boleh cuba lagi.” Black tertawa sinis. Dia mengetapkan bibirnya. Sedari tadi, lelaki itu tak habis-habis berlagak di hadapannya. Helaian wang yang dimenanginya, tak sudah-sudah ditayangkan di hadapannya. Dia tahu lelaki itu sengaja mahu menaikkan darahnya.

            “Sabar Man, kau bukan tak tahu Black ni banyak kaki. Mati kau nanti dihentamnya,” bisik Hussein, seolah memberi amaran.

            Dia sudah mengenggam penumbuk. “Celaka punya Black, habis semua wang aku malam ni. Ini kaulah punya fasal.” Dia mencerlung tajam ke arah Hussein.

            “Hei kawan, aku pulak yang disalahkan. Kau tu yang tak pandai main poker, balik belajar dulu lah.” Hussein melawan. Bustaman mengeluh. Dia sudah mati kutu. Nak balik, tambang teksi pun tak lepas.

            “Hussein, pinjam duit kau sikit pada aku.” Dia memandang lelaki itu.

            Sorrylah Bustaman, malam ni aku dah taja dua orang kawan kita kat meja hujung tu. Duit aku entah boleh dapat balik ke tidak. Kau pergi cari Badri.” Suruh Hussein.

            “Huh mamat tu lagi kedekut nak mampus.” Bustaman mencebik. Hussein tergelak besar.

            “Tak pun, kau call anak kau minta dia datang ke mari.”

            “Siapa?” Bustaman mengerutkan dahinya.

            “Hai anak sendiri pun tak ingat. Mana-manalah yang kau rasa boleh beri kau duit.” Saran Hussein. Dia diam. Hendak minta duit pada siapa? Baru siang tadi, dia minta wang dari Duha Maisara. Hampir setengah bulan gaji gadis itu dihabiskan di meja judi. Lagipun kalau dia memaksa Duha Maisara mengeluarkan lagi wangnya di bank, sampai mati pun Zafran takkan memaafkannya.

            Bustaman termenung panjang. Dia melangkah lemah melalui lorong-lorong di belakang bangunan itu. Namun langkahnya terhenti tiba-tiba, tatkala terpandang sesusuk tubuh sedang berlalu di hadapannya. Black!

            Lelaki itu terhoyong hayang melangkah. Bustaman tersengih tiba-tiba. Barangkali lelaki itu mabuk agaknya. Bagus! Orang mabuk selalunya tak boleh melawan. Baik aku rampas semula duit aku tadi. Bustaman mula berkira begitu. Perlahan-lahan langkah Black diekori dari jarak dekat. Dia sudah tidak kira. Perasaan tamak lebih menguasai dirinya saat itu, berserta dengan dendam terhadap lelaki berkulit hitam gelap itu. Tangannya digenggam kuat. Bersedia untuk memulakan tindakan pertama!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!