Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 30


            Nashriq memandu laju tanpa sepatah suara. Duha Maisara di sisinya langsung tak dipandang. Matanya masih mengawasi jalan raya. Hanya sesekali deru nafas kedua-duanya kedengaran. Duha Maisara mulai resah. Entah kenapa dia merasakan dirinya seperti menyusahkan lelaki itu.

            Sejak keluar dari Blue Ocean, belum sepatah perkataan pun keluar dari mulut lelaki itu. Mula-mula Duha Maisara mampu bersabar, tapi lama-kelamaan hatinya tidak sedap.       “Hentikan kereta, saya nak turun,” pintanya. Namun lelaki itu endah tak endah terhadap kata-katanya. Wajahnya masih selamba memandu. Kata-kata Duha Maisara tidak meninggalkan sebarang reaksi.

            “Awak tak dengar ke? Saya kata saya nak turun.” Suara Duha Maisara sedikit meninggi. Mata anak muda itu mengerling sepintas lalu ke arahnya.

            “Jangan nak buat gila. Kau tak nampak ke kau kat mana sekarang? Kiri kanan jalan sunyi. Kalau aku tinggalkan kau kat sini, entah-entah sekejap saja kau dirogol orang. Kau nak begitu?” Keras kata-kata itu menyentuh gegendang telinganya. Duha Maisara mengetapkan bibirnya. Terasa geram dan marah sekaligus bertandang dalam dirinya.

            “Saya tak minta awak tolong, saya mampu uruskan hal saya sendiri.” Ujar Duha Maisara seraya melontar pandangan ke luar jendela.

            Nashriq tersenyum sinis. Degil juga dia ni. Langsung tak mahu mengaku yang sebenarnya dia memerlukan pertolongan aku. Perlahan-lahan Nashriq menjeling gadis itu. Duha Maisara memeluk tubuh seolah kedinginan. Tangan Nashriq meraba-raba jaket di tempat duduk belakang. Nasib baik jaket itu masih ada. Dia mencapai jaket berwarna krim itu seraya mencampakkannya ke arah Duha Maisara. Terkejut seketika Duha Maisara apabila mukanya terkena jaket tersebut.

            “Pakai. Aku tak nak nanti kau mati kesejukan dalam kereta aku.” Sindir lelaki itu. Duha Maisara buat tidak kisah. Jaket itu dibiarkan sahaja di ribanya. Namun beberapa minit kemudian, dia sudah mula menyarung jaket itu ke tubuhnya. Aircond dari kereta itu benar-benar membuatkan tubuhnya mengigil. Nashriq tersenyum kecil melihatnya.

            “Kenapa kau tak beritahu aku fasal ayah kau? Bukankah aku dah beritahu kau, kalau kau ada apa-apa masalah, telefon aku. Ini keadaan dah jadi semakin teruk, baru kau tahu.” Rungut Nashriq.

            Duha Maisara terdiam. Namun mulutnya mencebik ke arah lelaki itu. Merepek apa dia ni? Suruh aku telefon tapi nombor pun tak ada di dalamnya. Gila ke apa! Bisik Duha Maisara separuh geram.

            “Kenapa kau diam?” Mata Nashriq mencari wajah itu.

            “Saya tak ada nombor telefon awak, macamana saya nak telefon.” Jawab Duha Maisara selamba. Giliran Nashriq terdiam. Dia termenung panjang. Mustahil, rasanya aku dah letak nombor telefon aku tempohari.

            “Bagi aku telefon kau.” Pintanya. Mahu tak mahu Duha Maisara mengeluarkan telefon dari dalam saku begnya. Pantas telefon itu disambut oleh Nashriq. Tergaman Duha Maisara melihat tingkahlaku lelaki itu. Dia asyik memandang Nashriq yang sekejap memandang ke jalan raya, sekejap pula menekan telefonnya. Tiba-tiba lelaki itu tersenyum. Duha Maisara terkedu. Senyuman lelaki itu sekali lagi membuatkan hatinya bergetar. Apabila mata lelaki itu menuju ke arahnya, dia cepat-cepat melarikan anak matanya.

            “Aku dah setting nombor aku dalam ‘fast dial’. Kalau kau tekan apa saja nombor di keypad kau tu, kau akan jumpa nombor telefon aku. Bodoh! Itu pun tak tahu,” gelak Nashriq seolah mempersendakan Duha Maisara. Anak gadis itu tergaman. Tak fasal-fasal dia mendapat gelaran bodoh malam itu.

            Melihat Duha Maisara diam sahaja selepas itu, Nashriq serba salah. Marahkah dia kerana aku memanggilnya bodoh? Atau sememangnya fikirannya sedang memikirkan ayahnya?

            “Kau nak aku bawa kau ke mana? Balik ke rumah?” Soal Nashriq ingin tahu. Dia sendiri hanya memandu mengikut hatinya sahaja. Langsung dia tidak terfikir ke mana patut dia bawa gadis itu.

            Mendengar pertanyaan lelaki itu, Duha Maisara terdiam. Seperti Nashriq dia juga serba salah. Mahu kembali ke apartment Zafran, dia bimbang jika konco-konco Black sudah menantinya di situ. Tapi selain dari itu, dia sudah tidak ada tempat lagi untuk dituju. Nashriq dalam diam-diam memandang gadis itu. Dia tahu apa yang sedang difikirkan oleh Duha Maisara. Sudah pasti anak gadis itu bingung memikirkan ke mana dia harus pergi. Lagipun hari sudah jauh malam. Bagaimana dengan aku? Ke mana patut aku bawa dia?

*  *  *  *

            Terkejut Duha Maisara apabila Nashriq membawanya ke sebuah apartment. Sewaktu lelaki itu membuka pintu dengan kunci dari poket seluarnya, dia mengundur setapak ke belakang. Hatinya mulai ragu-ragu. Patutkah dia seorang anak gadis bermalam di rumah itu? Berdua-duaan pula dengan lelaki yang bukan muhrimnya. Bagaimana kalau berlaku apa-apa padanya? Berbagai fikiran buruk menerobos dalam hati Duha Maisara.

            Langkah Nashriq terhenti apabila dilihatnya Duha Maisara seolah ragu-ragu mahu masuk. Dia merenung anak gadis itu.

            “Kenapa? Kau takut berdua-duaan dengan aku malam ni? Bimbang kalau aku melakukan sesuatu?” Duga Nashriq seraya tertawa kecil.

            Wajah Duha Maisara mulai merah padam. Entah kenapa tutur kata lelaki itu yang terlalu berterus terang sering membuatkan dia lemas. Malu sebenarnya. Mahu tak mahu Duha Maisara melangkah masuk. Hampir dia terpegun melihat ruang rumah lelaki itu yang nampak luas dan cantik. Ruang tamunya sahaja hampir dua kali ganda ruang tamu di apartment Zafran.

            “Naz, kau baru balik? Abang baru nak…” Langkah Erman terhenti. Dia terkejut memandang Duha Maisara. Duha Maisara turut terpegun. Lama matanya tertumpu ke wajah Erman. Entah kenapa, dia seperti pernah melihat lelaki itu sebelum ini.

            “Naz, abang nak cakap dengan kau.” Panggil Erman seraya berlalu ke arah dapur. Nashriq memandang Duha Maisara yang kelihatan serba-salah. Namun dia tidak berkata apa-apa, sebaliknya mengekori Erman.

            “Naz, selama ini abang tak kisah kau nak buat apa pun. Tapi kalau kau nak bawa balik perempuan, itu abang tak setuju. Kalau kau nak buat apa-apa pun, find another place but not this house.” Erman berbisik.

            Nashriq tertawa kecil. Dia mencari-cari jus orange di dalam peti ais lalu menuangnya ke dalam dua biji gelas yang dicapai dari kabinet.

            “Naz, kau dengar tak apa abang cakap ni?” Erman mulai hilang sabar.

            “Abang ingat saya nak buat apa dengan dia? Tidur dengan dia, begitu?”
            “Habis, kenapa kau bawa balik perempuan tu waktu tengah malam macam ni?” Erman tercengang.           

            “Dia ada masalah. Saya hanya cuba membantunya.” Bisik Nashriq. Erman terdiam. Betulkah begitu?

            “Dia nak tumpang untuk malam ni. Esok, saya carikan tempat lain untuk dia.” Ujar Nashriq lagi. Dia memandang Erman, meminta pengertian. Erman mengeluh panjang. Masak dia kalau Engku Latifah tahu ada perempuan bermalam di rumah mereka malam itu. Erman memandang Nashriq yang masih menanti jawapannya.

            “Baik, abang izinkan, but just for tonight.” Ungkap Erman bersetuju. Tersenyum Nashriq mendengar kata-kata Erman. Dia segera meninggalkan lelaki itu menuju ke ruang tamu. Gelas berisi jus dihulurkan pada Duha Maisara.

            “Minum ni dulu, nanti aku tunjukkan kau bilik.” Ujar lelaki itu. Duha Maisara mengangguk. Dia menghabiskan minuman dalam gelas sehingga habis. Tercengang Nashriq melihat jus dalam gelas yang sekejap sahaja dihabiskan oleh gadis itu.

            “Malam ni kau tidur dalam bilik ni. Ini bilik tetamu, tapi jangan usik barang-barang dalam rumah ni.” Pesan Nashriq.

            Duha Maisara memandang lelaki itu. Dia ingin menyatakan sesuatu tapi dia malu. Dahi Nashriq berkerut. Dia tahu ada sesuatu yang belum habis mahu diungkapkan oleh gadis itu.

            “Saya…saya..” tergagap-gagap Duha Maisara mahu menyebut. Nashriq tercengang. Mata Duha Maisara memandang ke arah pakaian yang berbalut di tubuhnya. Sejak tadi, dia rasa kurang selesa memakai gaun malam berwarna krim muda itu. Nashriq terdiam. Baru dia faham apa yang dikehendaki oleh gadis itu. Dia bergegas ke biliknya. Beberapa minit kemudian, dia muncul dengan beberapa helai pakaian.

            “Ini t-shirt aku, kau boleh pakai kalau kau suka. Mungkin ia agak besar bagi kau, tapi masih boleh digunakan. Begitu juga dengan seluar panjang ni.” Ujar Nashriq. Duha Maisara tersenyum. Senang hatinya kerana lelaki itu memahami situasinya.

            “Oh ya kalau kau nak tidur, jangan lupa kunci pintu bilik ni. Manalah tahu kan, tiba-tiba aku bermimpi dan masuk ke bilik ni. Kau tentu tak mahu menyesal esok hari kan?” Bisik Nashriq di tepi telinga Duha Maisara.

            Mata gadis itu membulat. Tajam matanya merenung ke arah Nashriq yang tertawa nakal. Geram hatinya tuhan saja yang tahu. Tapi malam itu sedikit sebanyak dia rasa aneh, lelaki itu banyak berbual dengannya. Malah kerap juga mengusiknya. Tidak seperti pada awal-awal pertemuan mereka.

*  *  *  *

            Sisa-sisa tawa Nashriq masih bertamu sewaktu dia melangkah masuk ke biliknya. Dia melonggarkan butang kemeja yang dipakainya, seraya berbaring di atas katil. Matanya dipejamkan seketika. Wajah Duha Maisara muncul seimbas lalu. Dia membuka matanya semula.

            Kenapa dengan aku kali ini? Setiap kali aku tutup mata ini, wajahnya sentiasa hadir. Kenapa setiap kali memandangnya, hatiku selalu berdebar-debar? Apakah ini tandanya cinta? Atau adakah kerana dia selalu mengingatkan aku pada Raihana? Senyumannya tak ubah seperti Raihana, tapi aku pasti mereka bukan orang yang sama.

            Dia teringat peristiwa di Blue Ocean tadi, bagaimana Duha Maisara rebah di pangkuannya. Wajah gadis itu sembab. Dan ketika itu dia bagaikan terpaku menatap wajah itu. Tangisan Duha Maisara membuatkan hatinya terasa runtuh sama. Tapi anehnya bila berhadapan dengan gadis itu, yang keluar dari mulut ini hanyalah kata-kata sindiran yang menyakitkan telinga. Nashriq sendiri tidak tahu kenapa dia berkelakuan begini.

            Duha Maisara! Dia menyebut nama itu berulangkali dalam hati. Kenapa kau hadir di saat-saat hatiku merindui Raihana? Nashriq mengeluh. Dia membalikkan tubuhnya. Tiba-tiba gegaran kecil di sebelahnya membuatkan dia bingkas bangun. Dia pantas mencapai telefon bimbitnya. Nama yang terpapar dipandang sepintas lalu. Beberapa ketika dia tersenyum.

            “Hello.” Sapa Nashriq terlebih dahulu.

            Tiada suara kedengaran di hujung talian. Hanya helaan nafas yang perlahan kedengaran di telinganya.

            “Kau nak cakap apa dengan aku?” Soal Nashriq lembut.

            “Emm…terima kasih. Terima kasih atas segalanya.”

            “Itu saja?” Duga Nashriq. Sengaja mahu mengusik.

            Suara itu kembali diam. Nashriq ketawa kecil. “Aku ingatkan kau telefon sebab nak ajak aku ke bilik kau. Perlu aku bersiap?” Soal Nashriq nakal. Ketika itu juga dia terdengar talian telefon diputuskan. Nashriq tersengih. Dia boleh membayangkan wajah Duha Maisara yang tentunya merah padam dengan usikannya yang kadangkala nakal. Oh tuhan, hari ini aku banyak tersenyum. Seperti duniaku yang dulu hilang muncul kembali. Apakah ini benar-benar perasaan cinta atau sekadar perasaan simpati padanya?

            Duha Maisara mencampakkan telefonnya ke atas meja. Kasar. Dia menekup muka. Aduh! Kalau aku tahu begini, pasti aku takkan malukan diri sendiri dengan menelefonnya. Bodohnya aku! Tak sudah-sudah dia mengutuk diri sendiri. Namun niatnya benar-benar ikhlas, mahu mengucapkan terima kasih kerana lelaki itu sudi membantunya. Namun akal ceteknya membuatkan dia malu sendiri kerana dipermainkan lelaki itu.

4 comments:

Unknown said...

Akak,sya nak beli buku ni..
Ada lgi tak stok?

Unknown said...

Harap akak reply komen sya,hehe..
Saya jtuh cinta dngn novel ni😍😍

Unknown said...
This comment has been removed by the author.
Unknown said...
This comment has been removed by the author.

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!