Nashriq
memandu laju tanpa sepatah suara. Duha Maisara di sisinya langsung tak
dipandang. Matanya masih mengawasi jalan raya. Hanya sesekali deru nafas
kedua-duanya kedengaran. Duha Maisara mulai resah. Entah kenapa dia merasakan
dirinya seperti menyusahkan lelaki itu.
Sejak
keluar dari Blue Ocean, belum sepatah
perkataan pun keluar dari mulut lelaki itu. Mula-mula Duha Maisara mampu
bersabar, tapi lama-kelamaan hatinya tidak sedap. “Hentikan kereta, saya nak turun,” pintanya. Namun lelaki itu
endah tak endah terhadap kata-katanya. Wajahnya masih selamba memandu.
Kata-kata Duha Maisara tidak meninggalkan sebarang reaksi.
“Awak
tak dengar ke? Saya kata saya nak turun.” Suara Duha Maisara sedikit meninggi.
Mata anak muda itu mengerling sepintas lalu ke arahnya.
“Jangan
nak buat gila. Kau tak nampak ke kau kat mana sekarang? Kiri kanan jalan sunyi.
Kalau aku tinggalkan kau kat sini, entah-entah sekejap saja kau dirogol orang.
Kau nak begitu?” Keras kata-kata itu menyentuh gegendang telinganya. Duha
Maisara mengetapkan bibirnya. Terasa geram dan marah sekaligus bertandang dalam
dirinya.
“Saya
tak minta awak tolong, saya mampu uruskan hal saya sendiri.” Ujar Duha Maisara
seraya melontar pandangan ke luar jendela.
Nashriq
tersenyum sinis. Degil juga dia ni. Langsung tak mahu mengaku yang sebenarnya
dia memerlukan pertolongan aku. Perlahan-lahan Nashriq menjeling gadis itu.
Duha Maisara memeluk tubuh seolah kedinginan. Tangan Nashriq meraba-raba jaket
di tempat duduk belakang. Nasib baik jaket itu masih ada. Dia mencapai jaket
berwarna krim itu seraya mencampakkannya ke arah Duha Maisara. Terkejut
seketika Duha Maisara apabila mukanya terkena jaket tersebut.
“Pakai.
Aku tak nak nanti kau mati kesejukan dalam kereta aku.” Sindir lelaki itu. Duha
Maisara buat tidak kisah. Jaket itu dibiarkan sahaja di ribanya. Namun beberapa
minit kemudian, dia sudah mula menyarung jaket itu ke tubuhnya. Aircond dari kereta itu benar-benar
membuatkan tubuhnya mengigil. Nashriq tersenyum kecil melihatnya.
“Kenapa
kau tak beritahu aku fasal ayah kau? Bukankah aku dah beritahu kau, kalau kau
ada apa-apa masalah, telefon aku. Ini keadaan dah jadi semakin teruk, baru kau
tahu.” Rungut Nashriq.
Duha
Maisara terdiam. Namun mulutnya mencebik ke arah lelaki itu. Merepek apa dia
ni? Suruh aku telefon tapi nombor pun tak ada di dalamnya. Gila ke apa! Bisik
Duha Maisara separuh geram.
“Kenapa
kau diam?” Mata Nashriq mencari wajah itu.
“Saya
tak ada nombor telefon awak, macamana saya nak telefon.” Jawab Duha Maisara
selamba. Giliran Nashriq terdiam. Dia termenung panjang. Mustahil, rasanya aku
dah letak nombor telefon aku tempohari.
“Bagi
aku telefon kau.” Pintanya. Mahu tak mahu Duha Maisara mengeluarkan telefon
dari dalam saku begnya. Pantas telefon itu disambut oleh Nashriq. Tergaman Duha
Maisara melihat tingkahlaku lelaki itu. Dia asyik memandang Nashriq yang
sekejap memandang ke jalan raya, sekejap pula menekan telefonnya. Tiba-tiba
lelaki itu tersenyum. Duha Maisara terkedu. Senyuman lelaki itu sekali lagi membuatkan
hatinya bergetar. Apabila mata lelaki itu menuju ke arahnya, dia cepat-cepat
melarikan anak matanya.
“Aku
dah setting nombor aku dalam ‘fast dial’. Kalau kau tekan apa saja
nombor di keypad kau tu, kau akan
jumpa nombor telefon aku. Bodoh! Itu pun tak tahu,” gelak Nashriq seolah
mempersendakan Duha Maisara. Anak gadis itu tergaman. Tak fasal-fasal dia
mendapat gelaran bodoh malam itu.
Melihat
Duha Maisara diam sahaja selepas itu, Nashriq serba salah. Marahkah dia kerana
aku memanggilnya bodoh? Atau sememangnya fikirannya sedang memikirkan ayahnya?
“Kau
nak aku bawa kau ke mana? Balik ke rumah?” Soal Nashriq ingin tahu. Dia sendiri
hanya memandu mengikut hatinya sahaja. Langsung dia tidak terfikir ke mana
patut dia bawa gadis itu.
Mendengar
pertanyaan lelaki itu, Duha Maisara terdiam. Seperti Nashriq dia juga serba
salah. Mahu kembali ke apartment
Zafran, dia bimbang jika konco-konco Black sudah menantinya di situ. Tapi
selain dari itu, dia sudah tidak ada tempat lagi untuk dituju. Nashriq dalam
diam-diam memandang gadis itu. Dia tahu apa yang sedang difikirkan oleh Duha
Maisara. Sudah pasti anak gadis itu bingung memikirkan ke mana dia harus pergi.
Lagipun hari sudah jauh malam. Bagaimana dengan aku? Ke mana patut aku bawa
dia?
* *
* *
Terkejut
Duha Maisara apabila Nashriq membawanya ke sebuah apartment. Sewaktu lelaki itu membuka pintu dengan kunci dari poket
seluarnya, dia mengundur setapak ke belakang. Hatinya mulai ragu-ragu. Patutkah
dia seorang anak gadis bermalam di rumah itu? Berdua-duaan pula dengan lelaki
yang bukan muhrimnya. Bagaimana kalau berlaku apa-apa padanya? Berbagai fikiran
buruk menerobos dalam hati Duha Maisara.
Langkah
Nashriq terhenti apabila dilihatnya Duha Maisara seolah ragu-ragu mahu masuk.
Dia merenung anak gadis itu.
“Kenapa?
Kau takut berdua-duaan dengan aku malam ni? Bimbang kalau aku melakukan
sesuatu?” Duga Nashriq seraya tertawa kecil.
Wajah
Duha Maisara mulai merah padam. Entah kenapa tutur kata lelaki itu yang terlalu
berterus terang sering membuatkan dia lemas. Malu sebenarnya. Mahu tak mahu
Duha Maisara melangkah masuk. Hampir dia terpegun melihat ruang rumah lelaki
itu yang nampak luas dan cantik. Ruang tamunya sahaja hampir dua kali ganda
ruang tamu di apartment Zafran.
“Naz,
kau baru balik? Abang baru nak…” Langkah Erman terhenti. Dia terkejut memandang
Duha Maisara. Duha Maisara turut terpegun. Lama matanya tertumpu ke wajah
Erman. Entah kenapa, dia seperti pernah melihat lelaki itu sebelum ini.
“Naz,
abang nak cakap dengan kau.” Panggil Erman seraya berlalu ke arah dapur.
Nashriq memandang Duha Maisara yang kelihatan serba-salah. Namun dia tidak
berkata apa-apa, sebaliknya mengekori Erman.
“Naz,
selama ini abang tak kisah kau nak buat apa pun. Tapi kalau kau nak bawa balik
perempuan, itu abang tak setuju. Kalau kau nak buat apa-apa pun, find another place but not this house.”
Erman berbisik.
Nashriq
tertawa kecil. Dia mencari-cari jus orange di dalam peti ais lalu menuangnya ke
dalam dua biji gelas yang dicapai dari kabinet.
“Naz,
kau dengar tak apa abang cakap ni?” Erman mulai hilang sabar.
“Abang
ingat saya nak buat apa dengan dia? Tidur dengan dia, begitu?”
“Habis, kenapa kau bawa balik perempuan tu waktu tengah malam macam ni?” Erman tercengang.
“Habis, kenapa kau bawa balik perempuan tu waktu tengah malam macam ni?” Erman tercengang.
“Dia
ada masalah. Saya hanya cuba membantunya.” Bisik Nashriq. Erman terdiam.
Betulkah begitu?
“Dia
nak tumpang untuk malam ni. Esok, saya carikan tempat lain untuk dia.” Ujar
Nashriq lagi. Dia memandang Erman, meminta pengertian. Erman mengeluh panjang.
Masak dia kalau Engku Latifah tahu ada perempuan bermalam di rumah mereka malam
itu. Erman memandang Nashriq yang masih menanti jawapannya.
“Baik,
abang izinkan, but just for tonight.”
Ungkap Erman bersetuju. Tersenyum Nashriq mendengar kata-kata Erman. Dia segera
meninggalkan lelaki itu menuju ke ruang tamu. Gelas berisi jus dihulurkan pada
Duha Maisara.
“Minum
ni dulu, nanti aku tunjukkan kau bilik.” Ujar lelaki itu. Duha Maisara
mengangguk. Dia menghabiskan minuman dalam gelas sehingga habis. Tercengang
Nashriq melihat jus dalam gelas yang sekejap sahaja dihabiskan oleh gadis itu.
“Malam
ni kau tidur dalam bilik ni. Ini bilik tetamu, tapi jangan usik barang-barang
dalam rumah ni.” Pesan Nashriq.
Duha
Maisara memandang lelaki itu. Dia ingin menyatakan sesuatu tapi dia malu. Dahi
Nashriq berkerut. Dia tahu ada sesuatu yang belum habis mahu diungkapkan oleh
gadis itu.
“Saya…saya..”
tergagap-gagap Duha Maisara mahu menyebut. Nashriq tercengang. Mata Duha
Maisara memandang ke arah pakaian yang berbalut di tubuhnya. Sejak tadi, dia
rasa kurang selesa memakai gaun malam berwarna krim muda itu. Nashriq terdiam.
Baru dia faham apa yang dikehendaki oleh gadis itu. Dia bergegas ke biliknya.
Beberapa minit kemudian, dia muncul dengan beberapa helai pakaian.
“Ini
t-shirt aku, kau boleh pakai kalau kau suka. Mungkin ia agak besar bagi kau,
tapi masih boleh digunakan. Begitu juga dengan seluar panjang ni.” Ujar
Nashriq. Duha Maisara tersenyum. Senang hatinya kerana lelaki itu memahami
situasinya.
“Oh
ya kalau kau nak tidur, jangan lupa kunci pintu bilik ni. Manalah tahu kan,
tiba-tiba aku bermimpi dan masuk ke bilik ni. Kau tentu tak mahu menyesal esok
hari kan?” Bisik Nashriq di tepi telinga Duha Maisara.
Mata
gadis itu membulat. Tajam matanya merenung ke arah Nashriq yang tertawa nakal.
Geram hatinya tuhan saja yang tahu. Tapi malam itu sedikit sebanyak dia rasa
aneh, lelaki itu banyak berbual dengannya. Malah kerap juga mengusiknya. Tidak
seperti pada awal-awal pertemuan mereka.
*
* * *
Sisa-sisa
tawa Nashriq masih bertamu sewaktu dia melangkah masuk ke biliknya. Dia
melonggarkan butang kemeja yang dipakainya, seraya berbaring di atas katil.
Matanya dipejamkan seketika. Wajah Duha Maisara muncul seimbas lalu. Dia
membuka matanya semula.
Kenapa
dengan aku kali ini? Setiap kali aku tutup mata ini, wajahnya sentiasa hadir.
Kenapa setiap kali memandangnya, hatiku selalu berdebar-debar? Apakah ini
tandanya cinta? Atau adakah kerana dia selalu mengingatkan aku pada Raihana?
Senyumannya tak ubah seperti Raihana, tapi aku pasti mereka bukan orang yang
sama.
Dia
teringat peristiwa di Blue Ocean
tadi, bagaimana Duha Maisara rebah di pangkuannya. Wajah gadis itu sembab. Dan
ketika itu dia bagaikan terpaku menatap wajah itu. Tangisan Duha Maisara
membuatkan hatinya terasa runtuh sama. Tapi anehnya bila berhadapan dengan
gadis itu, yang keluar dari mulut ini hanyalah kata-kata sindiran yang
menyakitkan telinga. Nashriq sendiri tidak tahu kenapa dia berkelakuan begini.
Duha
Maisara! Dia menyebut nama itu berulangkali dalam hati. Kenapa kau hadir di
saat-saat hatiku merindui Raihana? Nashriq mengeluh. Dia membalikkan tubuhnya.
Tiba-tiba gegaran kecil di sebelahnya membuatkan dia bingkas bangun. Dia pantas
mencapai telefon bimbitnya. Nama yang terpapar dipandang sepintas lalu.
Beberapa ketika dia tersenyum.
“Hello.”
Sapa Nashriq terlebih dahulu.
Tiada
suara kedengaran di hujung talian. Hanya helaan nafas yang perlahan kedengaran
di telinganya.
“Kau
nak cakap apa dengan aku?” Soal Nashriq lembut.
“Emm…terima
kasih. Terima kasih atas segalanya.”
“Itu
saja?” Duga Nashriq. Sengaja mahu mengusik.
Suara
itu kembali diam. Nashriq ketawa kecil. “Aku ingatkan kau telefon sebab nak
ajak aku ke bilik kau. Perlu aku bersiap?” Soal Nashriq nakal. Ketika itu juga
dia terdengar talian telefon diputuskan. Nashriq tersengih. Dia boleh
membayangkan wajah Duha Maisara yang tentunya merah padam dengan usikannya yang
kadangkala nakal. Oh tuhan, hari ini aku banyak tersenyum. Seperti duniaku yang
dulu hilang muncul kembali. Apakah ini benar-benar perasaan cinta atau sekadar
perasaan simpati padanya?
Duha
Maisara mencampakkan telefonnya ke atas meja. Kasar. Dia menekup muka. Aduh!
Kalau aku tahu begini, pasti aku takkan malukan diri sendiri dengan
menelefonnya. Bodohnya aku! Tak sudah-sudah dia mengutuk diri sendiri. Namun
niatnya benar-benar ikhlas, mahu mengucapkan terima kasih kerana lelaki itu
sudi membantunya. Namun akal ceteknya membuatkan dia malu sendiri kerana
dipermainkan lelaki itu.
4 comments:
Akak,sya nak beli buku ni..
Ada lgi tak stok?
Harap akak reply komen sya,hehe..
Saya jtuh cinta dngn novel ni😍😍
Post a Comment