Followers

Wednesday, November 13, 2013

Cinta Bukan Larangan (SC) : Bab 1


HEMBUSAN angin segar terasa menyapa nyaman di segenap wajahnya. Matanya yang kecil dibuka sedikit demi sedikit. Dia mendengus malas. Apabila kepalanya ditoleh ke arah meja kecil di sisi katil, mulutnya ternganga luas.

“Alamak, dah lewat!” Dia bingkas bangun lalu segera menuju ke bilik air. Tak lama kemudian, kedengaran air mencurah dari pintu bilik mandi yang sedikit renggang. Sepuluh minit kemudian, dia sudah siap berpakaian. Cukup dengan hanya menyapu bedak muka dan mengoles sedikit gincu bibir warna lembut ke bibirnya, dia sudah bersiap sedia untuk pergi kerja,

            Kakinya menuruni anak tangga itu agak pantas. Bibik yang sedang menyiapkan sarapan pagi terkebil-kebil memandang langkah si gadis yang kelihatan lincah.

            “Selamat pagi anak manis,” ucap wanita itu sambil tersenyum.

            “Bik, kenapa tak kejutkan Dina tadi? Nasib baik sempat. Kalau tak, lewat Dina masuk kerja.” Rengek Dina Azura dengan nada manja.

            “Bibik sudah ketuk biliknya tadi, tapi Dina ngak jawab dong sayang. Bobornya enak deh sehingga kesiangan,” balas Bibik tersenyum.

            “Lain kali Bibik ketuk kuat sikit. Semalam Dina tidur lewat, banyak kerja nak disiapkan, sebab tu Dina lambat bangun. Wah! Ada bihun goreng, ini sudah bagus.” Dina Azura tersenyum seraya menarik kerusi lalu duduk. Laju saja dia menceduk bihun goreng ke pinggannya. Bibik sekadar tersenyum simpul melihat gadis itu menjamah bhun itu agak gelojoh, maklumlah sedang mengejar masa.

Kadangkala dia terasa belas melihat gadis itu. Dari pagi, tengahari sehinggalah ke malam, gadis itu sentiasa berseorangan. Biarpun rumah itu cukup besar, namun hanya ada mereka berdua saling menemani sesama sendiri. Bagaimana kalau dia sudah tidak ada nanti? Siapa yang akan menemani gadis itu makan? Siapa pula yang akan bergurau senda dan berbual-bual dengan Dina Azura?

            “Kenapa Bibik diam aje ni? Selalunya mulut Bibik bising pagi-pagi macam ni,” tegur Dina Azura seraya menoleh ke arah wanita yang berusia hampir seabad itu. Bibik tersenyum hambar.

            “Bibik khawatir sama kamu Dina.”

            “Kenapa pulak?” Terkebil-kebil Dina Azura memandang wanita itu.

            “Iya..kok nanti kalo bibik udah pulang ke Sulawesi, pasti sukar kita ketemu lagi.” Ujar Bibik dengan nada sayu.

Mendengar kata-kata Bibik, suapan Dina Azura segera terhenti. Dia memandang wajah itu. Sebak hatinya mendengar kata-kata wanita itu.

            “Berapa lama lagi kontrak bibik?” Tanya ingin tahu.

            “Kurang lebih lima bulan. Emangnya kenapa?”

            “Kalau Dina pujuk mama lanjutkan kontrak bibik, apa bibik mahu kembali ke sini?” Soal Dina Azura seraya memandang wanita itu.

            Bibik terdiam. Entah apa mahu dijawabnya pada gadis itu. Meskipun dia jatuh sayang pada Dina Azura yang hampir sebaya dengan anak perempuan tunggalnya, namun dia juga merindui keluarganya di tanah seberang.

            “Dina, Bibik bukan enggak mahu kembali ke sini lagi. Tapi bibik kangen bangat ama keluarga bibik di sana. Dina ngak usah repot-repot deh sama Bibik, masih ramai yang sayang dan kangen sekali sama Dina. Bapak sama ibu, Kak Diaznya juga begitu bukan?” pujuk Bibik lembut.

            “Bik, Dina sayang sangat dengan bibik. Kalau bibik pergi nanti, siapa nak temankan Dina? Mama dan ayah tu selalu tak ada kat rumah, Dina sunyi.” Rintih Dina Azura separuh merayu. Mengharapkan wanita itu menukar fikirannya.

            “Dina kan masih punya Kak Diaznya.” Pujuk Bibik tersenyum.

            “Bibik ni, asyik-asyik Kak Diaz...Kak Diaz yang disebutnya. Diaz tu abang Dina bukannya kakak.” Rungut Dina Azura.

Bibik spontan tertawa. Lucu mendengar kata-kata itu meniti keluar dari bibir gadis itu.

            “Iya benar, orang-orang di Sulawesi menggelar kakak untuk saudara yang lebih tua. Tapi aneh, ngapain selama Bibik tinggal di sini, Bibik enggak pernah mendengar Dina bicara tentang Deng Diaz itu?” Tanya Bibik ingin tahu. Sudah lama dia tertanya-tanya sebenarnya.

            Dina Azura terdiam. Kata-kata Bibik sedikit sebanyak membuatkan hatinya tersentuh. Serta-merta seraut wajah muncul di pelusuk fikiran. Sudah 10 tahun berlalu, namun dia masih mengingati setiap garis dan alur di wajah itu. Malah alis mata, bentuk bibir, juga sepasang renungan itu masih tetap bersemadi di lubuk hatinya.

            “Bik, err... Dina dah lewat nak pergi kerja.” Ujar Dina Azura seraya bangkit dari kerusi yang didudukinya. Wajah yang muram dipamer sebelum dia mengangkat beg tangannya lalu segera beredar dari situ.

            Mata Bibik terkebil-kebil memerhatikan anak gadis itu. Dia tahu Dina Azura sengaja mengelak dari berbicara soal abangnya. Sejak dia bekerja dengan keluarga itu 8 tahun yang lalu,  sekalipun dia tidak pernah melihat atau bersua muka dengan anak lelaki tunggal keluarga majikannya. Malah tidak sekalipun Dina Azura dan ibubapanya bercakap-cakap tentang lelaki dipanggil Diaz itu. Itulah yang menghairankan bibik selama ini.

*  *  *  *

BUNYI hon bertalu-talu yang mencelah masuk ke gegendang telinganya hanya dibuat acuh tak acuh. Dia mengerling jarum jam di pergelangan tangannya. Hampir pukul 2.30 petang. Pada waktu-waktu begini biasanya jalan raya kembali sesak dengan pekerja-pekerja kolar putih dan kolar biru yang baru kembali dari keluar makan tengahari. Dia juga tidak berkecuali ingin pulang semula ke pejabatnya setelah keluar makan bersama seorang klien syarikat. Begitulah rutin hidupnya setiap hari. Dalam seminggu, hampir tiga empat kali dia akan keluar bertemujanji dengan klien.

            Pandangannya dibuang ke luar jendela. Sebuah motorsikal baru sahaja melewati keretanya di tengah-tengah kesibukan trafik. Matanya tertoleh ke arah seorang lelaki dalam usia awal 40an yang dibonceng dua anak kecil berpakaian seragam sekolah. Wajah lelaki itu berkeringat apatah lagi di dalam cuaca terik begini. Serta merta hati Dina Azura dihambat kesayuan. Kasihan lelaki itu, sanggup meredah cuaca terik di tengah-tengah kota semata-mata mahu menjemput anak pulang dari sekolah.

            Memandang lelaki itu dan anak-anaknya, dia sedar betapa dia cukup beruntung lahir dalam keluarga yang cukup serba-serbi. Malah sejak kecil dia ke sekolah dihantar pemandu ayahnya. Di rumah pula ada pembantu yang menguruskan makan minum dan pakaiannya. Hakikatnya, semuanya memang mencukupi. Hanya yang berkurang  cuma kasih sayang dan perhatian. Pahit rasanya bila memikirkan keluarganya yang tidak seperti keluarga orang lain.

            “Dina tak kisah ke duduk kat rumah ni dengan Bibik sahaja kalau ayah dan mama berangkat ke Amerika nanti?” Ayahnya bertanya beberapa minggu yang lalu. Dia hanya menggeleng.

            “Macamana kalau Dina ikut kami ke sana?” Usul ibunya pula.

Dia memandang wanita itu. Mata ibunya penuh dengan harapan agar dia menyetujui cadangan itu. Tapi sekali lagi dia menggelengkan kepala. Ikut mereka ke Amerika? Tak mungkin itu dilakukannya walaupun sebenarnya dia teringin hendak ke sana. Dia tahu apa tujuan ibubapanya ke sana, apatah lagi perjalanan terancang tiap-tiap tahun itu atas satu tujuan. Dan tujuan itu berkait tentang soal abangnya Diaz.

            Bunyi hon yang membingitkan sekali lagi menerjah gegendang telinganya, sekaligus menghalau lamunan singkatnya. Dia terpinga-pinga. Sebuah teksi baru sahaja mengambil tindakan drastik memotong laluan tepi menimbulkan kemarahan beberapa buah kenderaan lain. Dia hanya tersengih seraya memandang teksi tersebut. Macam-macam hal orang sekarang ni. Semuanya nak cepat sampai ke destinasi mereka, sehingga lupa pada orang lain, bisiknya sekadar bercanda kosong.

 Apabila ada ruang di hadapannya, Dina Azura segera menekan pedal kereta. Keretanya bergerak perlahan-lahan ke hadapan menyaingi teksi yang baru melewatinya sebentar tadi. Tiba-tiba dia tergerak hati mahu berpaling ke arah teksi tersebut. Kelibat penumpang yang duduk di belakang teksi itu menarik perhatiannya. Dahinya berkerut seribu. Lelaki itu menoleh. Dan kali ini dia terpegun. Dadanya berdebar-debar menatap pandangan sisi lelaki itu. Tak mungkin! Bukankah lelaki itu berada di USA?

Dia cuba meneliti wajah itu lebih teliti, tapi sudah tidak sempat apabila teksi yang membawa lelaki itu terus meluncur laju meninggalkannya yang baru terkial-kial mahu menukar gear. Dina Azura menarik nafas panjang.

Kejutan yang dialaminya masih belum mahu surut. Dia membawa persoalan tentang lelaki itu sehingga ke pejabatnya. Betulkah aku melihat dia sebentar tadi atau semua itu hanya khayalan belaka? Sepuluh tahun lelaki itu menghindar darinya, tak mungkin dia akan pulang lagi ke mari. Kau hanya bermimpi kosong Dina, bisik hati kecilnya. Sebak menghurung dada buat seketika!

“Kenapa termenung ni?” Emelda menegur seraya mengetuk pintu biliknya beberapa kali. Dia terpegun. Serta merta ingatannya pada lelaki yang dilihatnya di dalam teksi tadi terus menghilang. Dia segera melemparkan senyuman ke arah gadis itu.

“Baru balik?” Soalnya tanpa menjawab pertanyaan gadis itu.

Emelda mengangguk seraya melangkah masuk tanpa disuruh. Gadis itu menghela kakinya ke arah jendela. Menarik tirai jendela yang lupa dibuka Dina Azura sewaktu masuk tadi.

Sorry aku tak sempat lunch dengan kau hari ni.”

“Tak apa, aku pun baru balik jumpa klien tadi. Dah makan pun kat luar tadi.” Dina Azura tersenyum. Emelda menarik kerusi lalu duduk

“Kau ada dengar apa-apa berita dari Tuan Halim?” Soal gadis itu.

Dahinya berkerut. Berita apa pulak ni? Suara Emelda bagaikan mengajaknya berteka-teki pula.

“Tuan Halim baru saja dapatkan kita klien besar untuk projek besar. Khabarnya klien tu nak advertisekan projek perumahan yang mereka sedang bina sekarang.”

“Ye ke? That’s good, lagipun aku dah naik muak asyik buat storyboard iklan biskut dengan sabun. Teringin juga nak cuba sesuatu yang lain. Bila Tuan Halim beritahu kau?” Dina Azura bertanya.

“Dia tak beritahu. Aku yang dengar dia berbual dalam telefon tadi.“ Emelda tersengih lebar.

Dina Azura tersenyum-senyum. “Hebat betul kau ni sampai boleh intip gerak geri Tuan Halim. Dia mesti bangga gila kalau dia tahu.” Usik Dina Azura terkeheh-keheh ketawa.

“Kau jangan nak perli-perli aku tahu.” Gadis itu ketawa besar. “Aku dengar pun secara tak sengaja masa nak hantar dokumen ke bilik dia. Saja aku beritahu kau dulu supaya senang kau rebut peluang nanti.” Sambung Emelda tidak mahu mengalah.

Ketawa kedua-duanya terburai sehingga terdengar ke luar bilik. Hubungan mereka memang akrab sebab mereka pernah sama-sama menjadi intern di syarikat tersebut sebelum dilamar menjadi pekerja tetap.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!