Followers

Thursday, December 23, 2010

Blue Sunset : Bab 18

ZAHAR menguap panjang. Rasa kantuk terus menguasai diri meskipun selepas sembahyang subuh tadi, dia menyambung tidurnya sehingga pukul 10 pagi. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia terus tidur. Tapi mengenangkan dia ada janji dengan Amir, kawan satu sekolahnya sewaktu di MRSM dulu, dia memaksa diri bersiap seadanya.

Tepat pukul 11 pagi, dia sudah terpacul di ruang tamu. Pandangannya dilempar ke arah neneknya yang sedang mengemas ruang tamu. Ayahnya seperti biasa tidak pernah lekat di rumah meskipun di hujung minggu.

“Nenek....” panggil Zahar perlahan.

“Hmm..” sahut Rukiyah acuh tak acuh. Masih ralit menyapu habuk pada frame gambar yang tersusun berderet di atas rak panjang di ruang tamu.

“Zahar nak keluar kejap ni nek.” Beritahu Zahar seraya mencapai kunci kereta di atas televisyen. Rukiyah berpaling.

“Nak ke mana?” Tanyanya ingin tahu.

“Zahar nak jumpa Amir. Dia baru balik dari Leeds minggu lepas.” Ujar anak muda itu. Mata Rukiyah mula mengecil.

“Ni Amir mana pulak ni?”

“Amir kawan Zahar masa kat MRSM dulu. Dia baru habis belajar, tu yang kami rancang nak jumpa ni.” Selar Zahar mula bosan mahu melayan pertanyaan neneknya yang tidak pernah habis. Ni kalau layan ni mahu tahun depan pun tak sudah tanya, gumam Zahar. Tapi belum sempat dia mahu melangkah ke arah pintu, wanita itu memanggil namanya semula. Zahar berpaling.

“Kenapa nek?” Soal Zahar dengan wajah bingung.

“Nenek nak minta tolong kamu hantarkan bubur ni ke hospital boleh tak?”

Zahar tercengang. Bubur? Rukiyah segera bergegas ke arah dapur sebelum keluar sejurus kemudian. Satu termos merah berisi bubur nasi dihulur ke arah Zahar yang kelihatan berat hati mahu mengambilnya.

“Tolong hantar bubur ni pada makcik Kamelia kamu.” Suruh Rukiyah.

“Aqi tu kan ada. Bagi ajelah kat dia.” Gerutu Zahar dengan wajah mencuka.

“Sebab dia tak ada la, nenek bagi kamu.” Selar Rukiyah.

“Dia ke mana?” Wajah Zahar berkerut mendengar kata-kata wanita itu.

“Entahlah, dari pagi tadi lagi dia keluar sampai sekarang tak balik-balik. Katanya nak balik rumah ambil barang. Nenek dah reneh bubur ayam ni dari pagi lagi, tapi Aqi lupa nak ambil. Nenek tahu hari-hari cuti macam ni, dia mesti nak temankan mak dia kat hospital tu.” Ujar Rukiyah.

“Ala lecehlah nenek ni.” keluh Zahar.

Rukiyah mencerlung tajam. “Leceh apa ke bendanya? Bukan nenek suruh kamu bermalam kat hospital tu pun. Bawakan aje makanan ni ke hospital, itu aje. Susahlah kamu ni Zahar, nenek nak minta tolong sikit pun payah.” Rungut Rukiyah tak henti-henti.

Zahar terkedu. Dah sampai dah leteran tak bermata tu! Hendak tak hendak dia pantas mencapai termos di tangan Rukiyah. “Yalah..yalah nanti Zahar hantarkan.” Ujarnya seraya berlalu pergi.

Kerut di wajah Rukiah segera berubah. Senyuman kecil hadir mengulit rasa. Hmm...nak juga budak ni dengar cakap aku. Dasar keras kepala! Gumam Rukiyah lalu ketawa kecil.

* * * *

Ketika dia sampai di wad di tingkat 7, Zahar terus mengorak langkah ke arah bilik Kamelia ditempatkan. Termos di tangannya dibimbit berhati-hati. Bimbang isi bubur tumpah, tak fasal-fasal dia dihambur neneknya lagi.

Ketika dia melewati sebuah bilik, matanya terpandang kelibat beberapa orang lelaki sedang berkumpul tidak jauh dari situ. Masing-masing memegang kamera dan buku nota kecil. Telinganya sempat menangkap perbualan lelaki-lelaki itu.

“Sampai bila kita nak tunggu ni? Dah dekat dua jam dah ni.” Rungut salah seorang lelaki-lelaki itu.

“Alah kerja macam kita ni biasalah kalau kena tunggu. Kau tu pun sabarlah. Nak dapat berita dari aktress terkenal, kenalah sabar sikit. Kalau tak, melepas.” Balas teman di sisinya pula.

Zahar yang terdengar perbualan tersebut terpinga-pinga. Aktress mana pulak yang masuk hospital ni? Jururawat yang kebetulan lalu di sisinya dipanggil.

“Nurse, siapa kat dalam bilik tu?” Soal Zahar ingin tahu.

Jururawat berbadan gempal itu menoleh seketika sebelum mengalihkan pandangan ke arahnya. “Kalau tak salah Sri Jalena. Pelakon filem tu.” Ujar si jururawat sambil tersenyum ke arahnya.

Zahar terpempan. Sri Jalena?

“Dia sakit apa?” Terpacul soalan lain dari mulut Zahar.

“Menurut doktor, tekanan darahnya rendah. Dia jatuh pengsan sewaktu ditemuramah. Suaminya yang kejarkan dia ke mari.” Cerita wanita itu panjang lebar.

Zahar terdiam. Entah kenapa kata-kata jururawat itu membuatkan seluruh sendi-sendinya terasa lemah. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah bilik di hadapannya. Pasti wanita itu berada di dalam bilik itu ditemani suaminya. Hakikat itu benar-benar menyakitkan hatinya. Dengan perasaan berbaur, Zahar meneruskan langkah.

* * * *

Kamelia terkejut besar sebaik melihat Zahar terpacul di biliknya secara tiba-tiba. Wajah lelaki itu seperti biasa muram tak berseri.

“Zahar nak jumpa dengan Aqi ke? Dia tak sampai lagi.” Ujar Kamelia tanpa dipinta. Dia menyangka anak muda itu mahu bertemu dengan Aqi. Tapi melihat Zahar menggelengkan kepala, wajah Kamelia berubah.

“Tak makcik, saya nak jenguk makcik.” Ujar Zahar lemah. Langkahnya diatur ke arah Kamelia. Sebuah kerusi ditarik lalu diduduki. Kamelia terpisat-pisat memerhatikan anak muda itu.

Zahar meletakkan termos yang dipegangnya di atas meja. “Nenek kirim bubur ayam. Ada dalam termos tu. Makcik dah makan?” Tanya Zahar.

“Belum lagi. Susah payah aje nenek Zahar tu siapkan bubur tu untuk makcik. Kadang-kadang makcik rasa segan sangat dengan Zahar dan keluarga. Banyak sangat berbudi pada makcik dan Aqi sampai tak terbalas rasanya.” Keluh Kamelia.

“Jangan cakap macam tu makcik. Nenek saya buat semua ni sebab dia ambil berat tentang Aqi, tentang makcik. Dia memang suka membantu. Cuma saya yang sepatutnya minta maaf dengan makcik. Kalau-kalau sikap saya pernah menyinggung hati makcik.” Ujar Zahar dengan kalimah bicara yang tersusun rapi.

Kamelia menggelengkan kepala seraya tersenyum. “Makcik tak pernah terasa hati dengan Zahar. Makcik tahu Zahar budak baik. Hakikatnya Zahar dah banyak tolong Aqi.” Ujar Kamelia lembut.

Zahar menarik nafas panjang. Wajah wanita di hadapannya diraut teliti. Wajah itu agak pucat namun masih bersifat keibuan. Tanpa solekan berlebihan dan tanpa pakaian mahal, wanita itu benar-benar kelihatan seperti seorang ibu.

“Aqi beruntung ada ibu macam makcik.” Ujar Zahar perlahan.

Kamelia terdiam. Wajah muram Zahar hadapannya ditilik penuh perhatian. Seolah-olah ada sesuatu yang tersirat pada kata-kata lelaki itu. Ada sesuatukah yang menganggu fikiran anak muda itu?

“Apa untungnya Zahar? Makcik ni dahlah tak ada harta, berpenyakit pulak tu. Tak ada apa-apa yang boleh makcik tinggalkan untuk Aqi.” Keluh Kamelia.

“Tapi saya tahu Aqi sayangkan makcik.”

Kamelia tersenyum mendengarnya. “Itu kerana kami hanya berdua sahaja. Kalau bukan Aqi, dengan siapa lagi makcik nak bermanja? Makcik benar-benar sayangkan Aqi. Cuma satu saja yang buat makcik terkilan.”

Zahar memasang telinga.

Kamelia mengeluh sejenak sebelum menyambung kata-katanya. “Sejak kecil Aqi tak pernah kenal siapa ayahnya. Dia tidak pernah merasa belaian kasih sayang seorang lelaki dipanggil ayah.”

Zahar terdiam. Dia sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang terjadi pada ayah Aqi, suami makcik Kamelia. Dia hanya tahu wanita itu tidak tinggal bersama suaminya. Tapi apakah lelaki itu masih hidup atau sudah mati, dia sendiri tidak arif. Lagi-lagi mahu mengambil tahu perihal anak gadis itu dari mulut neneknya. Tapi entah kenapa, sekarang ini dia begitu berminat mahu mendengar keluhan makcik Kamelia yang berbaur resah.

“Kalau makcik tak kisah, boleh saya tahu apa sebenarnya yang dah jadi dengan ayah Aqi? Kat mana dia sekarang ni?”

Kamelia memandang Zahar dengan wajah tidak keruan. Pertanyaan lelaki itu membuatkan kelopak matanya mula digenangi air.

“Panjang ceritanya Zahar. Mungkin ini silap makcik. Kami kahwin dalam usia yang terlalu muda. Belum pandai nak mengemudi rumahtangga, sudah ada hati nak berkahwin. Akhirnya semuanya hancur dalam sekelip mata. Kerana berkenankan seorang wanita, suami makcik tu tinggalkan makcik begitu aje. Makcik diceraikan.” Luah Kamelia.

Zahar terdiam. Begitu rupanya kisah makcik Kamelia!

“Waktu kami bercerai, makcik dapat tahu yang makcik mengandung. Tapi kerana terlalu kecewa dengan apa yang dah berlaku, makcik tinggalkan rumah lama dan berpindah ke mari. Makcik langsung tak mahu beritahu suami makcik tu tentang anak dalam kandungan makcik. Hati perempuan kalau dah kecewa, memang akan bertindak tanpa berfikir panjang. Tapi siapa sangka, perbuatan makcik tempohari tanpa sedar menyusahkan Aqi sendiri.” Bisik Kamelia sayu.

“Maksud makcik?” Zahar kurang mengerti.

“Zahar tengoklah keadaan makcik ni. Makcik tahu hayat makcik ni dah tak panjang. Tapi makcik bimbangkan keadaan Aqi. Tanpa makcik, Aqi akan sebatang kara. Sebab tu makcik minta Aqi cari ayahnya sampai jumpa. Makcik nak pulangkan Aqi pada yang lebih berhak sebelum makcik menutup mata.” Sayu nada suara Kamelia bercerita.

Zahar termenung panjang. Tak disangkanya, nasib Aqi tidak jauh berbeza darinya. Bezanya gadis itu kehilangan ayah, dan dia pula kehilangan ibu. Mereka sama-sama kehilangan sesuatu dalam hidup.

2 comments:

IVORYGINGER said...

kak sy mcam dpt tangkap sesuatu la. ayah tiri zahar sbnrnya ayah aqi n ibu tiri aqi adalah ibunya si zahar. betul x??? pandai ja bt conslusion. ahaks... ;D
akak bila la ceta ni nk publish. lama dah tggu ni. dptkan softcopy dl boleh??? he... ;D

Mazni Aznita said...

hehe org yg menulis mmg pandai buat konklusi..insya allah cerita ni akan boleh diikuti dalam versi novel tahun depan..tak berani nk agak, tpi mungkin sblm bookfair kut..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!