Followers

Saturday, December 25, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 36

APABILA kereta Izwan berhenti di sebuah kawasan gudang lama yang nampak kosong, Suria sudah tidak mampu menahan perasaan ingin tahu. Melihatkan kawasan sekitar yang sunyi sepi, entah kenapa dia jadi ragu-ragu. Menyesal pula rasanya dia mengikut Izwan ke tempat seperti ini.

Dari jauh, bunyi salakan anjing kota meremangkan bulu tengkuknya. Tanpa disedari, dia mendekatkan dirinya ke arah Izwan. Tubuh mereka bersentuhan, membuatkan Izwan menoleh sejenak. Wajah Suria yang pucat lesi menjamah perhatiannya.

“Kita kat mana ni?” Soal Suria.

Izwan tidak menjawab. Dibiarkan sahaja Suria terus berteka-teki. Langkahnya terus dihela mendaki tangga curam sebuah bangunan lama. Mahu tak mahu Suria terpaka mengekori lelaki itu. Untuk ditinggalkan sendirian di tempat seperti itu, dia tidak sanggup. Dia melangkah pantas cuba menyaingi langkah Irwan yang mula menyusuri terowong gelap yang sedikit berair.

Suria merasakan kakinya mula kedinginan. Dia memandang ke bawah kakinya. Sekumpulan anak-anak tikus yang berenang di dasar air cetek membuatkan dia terkejut besar. Matanya terbeliak. Sepantas kilat dia melompat ke sisi Izwan. Tangan lelaki itu diraih pantas. Izwan tergaman.

“Tikus….” Ucap Suria terketar-ketar.

“Kata wartawan gagah berani, takkan dengan tikus kecil ni dah nak mengalah.”

Suria menoleh. Kata-kata sindiran itu membuatkan dia merengus. Namun sebaik dia menangkap seraut wajah sedang memandang ke arahnya, Suria terpanar. Serentak pautan di lengan Izwan segera dilepaskan. Dia menjarakkan dirinya. Rasa segan mula berakar umbi, apatah lagi dia menyedari dia memeluk lengan Izwan agak kuat.

Izwan tersengih sahaja melihat tingkah laku Suria. Langkahnya diteruskan menuju ke suatu arah. Suria tiada pilihan lain. Dia terpaksa mengikut sahaja. Apabila sampai di hujung jalan, seorang lelaki kurus kering tercegat di suatu sudut. Melihat ke arah mereka, bibir lelaki itu melemparkan senyuman.

“Wan,” tegur lelaki itu.

“Sean. Yang lain mana?”

“Ada di dalam, masuklah.” Ujar lelaki itu seraya membuka sebuah pintu di hadapan mereka. Izwan melangkah masuk terlebih dahulu. Namun melihat Suria yang seakan ragu-ragu mahu mengekorinya, dia segera menarik tangan gadis itu. Suria tergaman namun hanya membiarkan. Dia lebih terkejut lagi apabila menyedari dirinya kini berada di sebuah bilik yang agak luas, serta mempunyai peralatan-peralatan yang kelihatan canggih.

Dua lelaki serta seorang gadis yang sedang mengadap beberapa buah komputer serta sebuah kerangka utama menoleh ke arah mereka. Lelaki yang dipanggil Sean tadi, menjengah masuk lalu berjalan di hadapan Izwan. Salah seorang lelaki yang ada di dalam pula meluru pantas ke arah mereka lalu menepuk bahu Izwan.

“Kenapa kau datang waktu-waktu begini? Siapa tetamu kita ni?” Mata lelaki itu menyorot ke arah Suria.

“Ini Suria Baharom, wartawan KZM.”

“Suria Baharom? Maksud kau ini benar-benar Suria Baharom?” Wajah lelaki itu terus berubah. Dia memandang Suria bagaikan hendak terkeluar biji mata. Suria tercengang melihat reaksi lelaki itu.

“Yup, inilah Suria Baharom. Kenapa dengan kau ni?” Wajah Izwan berkerut memerhatikan ke arah Adib yang kelihatan aneh. Pertanyaan Izwan menimbulkan gelak tawa orang-orang yang berada di dalam bilik itu.

“Takkan kau tak tahu Wan. Adib ni peminat nombor satu Suria Baharom.” Salah seorang dari lelaki-lelaki itu menyampuk. Adib hanya tersenyum. Tangannya pantas dihulurkan ke arah anak gadis di hadapannya yang kelihatan bingung.

“Adib Mustaza. Dah lama saya mengikuti perkembangan laporan-laporan berita jenayah yang Cik Suria laporkan. Paling saya suka, kes Geng Sabung yang Cik Suria dokumentasikan dengan unit PDRM tahun lepas.” Ujar lelaki itu.

“Terima kasih,” Suria tersenyum hambar cuba menutup rasa gugupnya. “Kita kat mana ni?” Dia menjeling Izwan yang berdiri di suatu sudut. Lelaki itu kelihatan begitu asyik membelek beberapa keping gambar di atas meja kecil di situ. Izwan memandang sebentar ke arah Suria.

“Sebenarnya, tempat ni adalah ibu pejabat kami. Aku ditugaskan untuk mengetuai satu unit siasatan khas untuk menyiasat kes yang berlaku di Hutan Air Hitam tempohari.”

Dahi Suria berkerut seribu.

“Kau rasa aneh kenapa kami berkumpul di sini bukan di PDRM bukan?” Pintas Izwan. Dia tersenyum tenang sambil menjeling teman-temannya yang turut melontarkan pandangan ke arah Suria.

“Beberapa bulan yang lalu, terdapat beberapa susulan kes pembunuhan yang melibatkan gadis-gadis yang ditemui mati dalam keadaan misteri dan mengerikan di Johor Bharu. Waktu itu aku ditugaskan untuk mengetuai siasatan dan pihak atasan mahu ianya dirahsiakan dari pengetahuan orang ramai. Adib ni pakar analisis dari Jabatan Kimia, Sean dan Katrina pula dari interpol manakala Jaidin pula pakar komputer dari unit D4. Selain itu ada beberapa lagi anggota kami yang bertugas mengumpul maklumat di luar.” Jelas Izwan.

Penjelasan Izwan membuatkan Suria tercengang. “Kenapa nak rahsiakan hal ni? Dan kenapa kamu semua berada di sini?” Soalnya ingin tahu.

“Err Cik Suria pernah tengok X-Files tak?” Soal Adib Mustaza tiba-tiba.

Bulat biji mata Suria memerhatikan Adib Mustaza yang tak putus-putus tersengih. Apa relevennya soalan itu?

“Begini Cik Suria, sebagaimana yang kita tonton di televisyen bagaimana FBI mempunyai special task force untuk menanggani hal-hal yang bersangkut pahut dengan kes di luar normaliti atau disebut paranormal, maka kita di Malaysia juga begitu. Hampir empat puluh tahun yang lalu, sebelum kami ada satu unit khas telah ditubuhkan secara rahsia oleh pihak kerajaan kita untuk menyiasat kes-kes yang melibatkan the unknown extra-dimensional life forms atau kami panggil di sini sebagai entiti. Ketika itu mereka mendapat bantuan sebuah organisasi rahsia yang tidak diketahui. Tapi pihak kerajaan menggelar mereka sebagai Trackers. Tapi bila para trackers dituduh terlibat dalam satu pembunuhan beramai-ramai, mereka tiba-tiba menghilangkan diri. Tidak ada sesiapa pun yang tahu di mana mereka berada sekarang.” Cerita Adib Mustaza. Izwan hanya mendengar dari sisi temannya, sambil merenung ke arah Suria yang kelihatan bingung.

“Bila para trackers menghilangkan diri, pihak polis menghadapi kesukaran meneruskan siasatan ke atas kes-kes dalam fail polis yang digelar sebagai Venom.”

“Venom?” Dahi Suria berkerut.

“Venom adalah kod sulit untuk kes-kes aneh yang gagal diselesaikan dengan kaedah biasa. Tugas kami di sini adalah untuk menyelesaikan semua kes-kes yang diklasifikasikan sebagai Kes Venom.” Jelas Izwan pula.

“Dan Kes Venom yang kau maksudkan itu, apakah salah satunya melibatkan kes pembunuhan di Hutan Air Hitam tu?” Suria menduga.

Izwan tersenyum tenang. Seperti yang diduga, Suria lebih bijak dari apa yang disangkakannya.

“Bagaimana kalau aku katakan, kes kematian Masyitah dengan beberapa kes yang sedang kami siasat beberapa bulan kebelakangan ini saling berkait? Kami tak boleh pastikan dengan jelas apa sebenarnya yang membunuh gadis-gadis itu. Tapi apa yang kami pasti, kematian gadis-gadis itu bukan kematian yang biasa.”

“Maksud kau?” Mata Suria memandang tepat ke wajah Izwan.

“Sebelum muncul kes di Air Hitam, kami berada di Johor selama hampir dua bulan yang lalu. Beberapa orang gadis ditemui mati dengan cara yang sama dengan kesan tebukan di leher serta kelaran di serata tubuh. Di situlah bermulanya Kes Venom kami yang pertama.” Ujar Izwan. Matanya mengerling ke arah Jaidin. Bagaikan memahami apa yang dimahukan oleh Izwan, Jaidin terus memaparkan beberapa kepingan gambar di skrin LCD. Wajah Suria membayangkan kengerian sewaktu melihat imej mayat yang cukup menggerunkan pada layar LCD.

“Mangsa pertama yang kami siasat, namanya Salina Ibrahim. Dia ditemui mati tidak jauh dari kawasan hutan di Kluang. Tapi waktu kami jumpa dia, mayatnya hampir reput. Mangsa kedua pula, Jalena seorang jurujual pasaraya, juga ditemui mati di kawasan yang sama. Dan mangsa ketiga seorang pelajar kolej bernama Sarah. Yang ini mayatnya ditemui di dalam rumah sewanya sendiri. Kesemua mangsa ini mempunyai paten kematian yang sama seperti Masyitah.” Ujar Izwan.

Suria terkedu. Tiga mangsa dibunuh dengan cara yang sama seperti yang berlaku pada Masyitah? Mungkinkah ini kerja pembunuh bersiri? Dan jenis manusia apakah yang akan mengigit leher mangsa dan menghisap darahnya?

Penjelasan Izwan membuatkan fikirannya terus bingung. Dia tidak pernah tahu tentang kematian yang serupa pernah berlaku di Johor beberapa bulan yang lalu. Malah laporan tentang kes-kes yang dikatakan oleh Izwan juga tidak pernah dilaporkan di televisyen. Dia mengalihkan perhatian ke arah Izwan. Lelaki itu sudah melarikan matanya ke arah seorang lelaki bertubuh kurus runcing yang duduk di hadapan sebuah komputer.

“Bagaimana dengan analisa pita video yang aku serahkan tempohari?” Soal Izwan pada lelaki itu.

“Aku dah periksa imej video di tempat kejadian. Ada frekuensi gelombang elektromagnetik yang tak stabil dan sentiasa berubah-ubah. Aku cuba padankan dengan video dari crime scene di Batu Pahat, kedua-duanya matching.” Ujar lelaki itu seraya memancarkan transmitter ke arah kerangka utama di hadapan mereka.
“Sama macam video yang lain?”

“Yup, seolah-olah ada satu bentuk gangguan gelombang yang menghalang pancaran imej dari rakaman video di tempat kejadian. Tapi kami masih tak tahu apa puncanya.” Jelas Jaidin.

Izwan terdiam. Pandangannya kini tertumpu ke arah imej yang mula terpapar di skrin putih di hadapannya. Suria yang melihat turut terpegun. Dia menoleh ke arah Izwan bagaikan meminta kepastian. Izwan mengangguk.

“Ini rakaman video di Hutan Simpan Air Hitam tempohari.” Ujar Izwan ringkas.

Suria menumpukan perhatian. Dia nampak jelas bagaimana beberapa anggota polis forensik sedang mengumpulkan bahan bukti. Beberapa anggota polis yang lain sedang membalut tubuh Masyitah dengan plastik hitam.

“Ini gambar-gambar mayat yang diambil secara jarak dekat. Kalau kau tengok dengan teliti, kawasan kejadian memang sangat bersih. Malah pihak forensik sendiri langsung tidak menemui apa-apa petunjuk atau sebarang DNA yang boleh mengaitkan kematian Masyitah dengan unsur-unsur kriminologi selain dari DNA kepunyaan Masyitah sendiri” Jelas Izwan.

Suria menatap lelaki itu tidak berkelip.“Takkan langsung tak ada?”

“Luka di lehernya memang kerana luka digigit sesuatu. tapi kami tak menemukan apa-apa sampel air liur yang boleh dianalisa.” Jelas Adib pula. “Koyakan pada mukanya juga menunjukkan seolah-olah kulit mukanya disiat haiwan buas. Tapi pada hakikatnya, kami tak jumpa sebarang simen DNA binatang buas pada tubuh mangsa. Paling aneh, melalui ujian sisa karbon yang dilakukan pada kesemua mayat, kami menemukan bahan berupa garam laut. ” Sambung Adib lagi.

“Garam laut? Tapi mustahil! Mereka bukannya mati lemas.” Bangkang Suria.

“Garam itu satu petunjuk besar buat kami Suria. Kalau kami tahu kenapa garam itu boleh terdapat dalam tubuh mangsa, mungkin kes ini akan berjaya diselesaikan.” Ujar Izwan. Suria terdiam sejenak.

“Bagaimana dengan kesan gigitan di leher mangsa? Apakah kamu pasti ia bukan disebabkan binatang buas?” Soal Suria inginkan kepastian.

“Biasanya binatang pemangsa akan menyerang dari arah belakang dan sisi mangsa. Selepas itu ia akan membunuh dengan mengigit kerongkong atau belakang leher mangsa menggunakan giginya. Rahang bintang buas biasanya lebih pendek dan otot mukanya memungkinkah haiwan pemangsa ini menggigit dengan kuat sehingga ia mampu mematahkan leher mangsa. Mangsa yang mati diserang haiwan buas biasanya diklasifikasikan mati kerana patah tengkuk atau mati lemas kerana tidak dapat bernafas. Tapi dalam kes pembunuhan Masyitah, tengkuknya tidak patah, sebaliknya darahnya dihisap sehingga hampir kering. Setahu kami, haiwan pemangsa lebih berminat meratah 70 paun daging mentah dari sekadar 4 hingga 5 liter darah segar.” Jelas Adib panjang lebar.

“Habis kalau bukan binatang buas, kerja siapa? Pontianak?” Suria membuat serkap jarang sambil tersenyum sinis.

Izwan terdiam. Dia memandang gadis itu agak lama. Kata-kata Suria tidak langsung membuatkan dia marah. Dia tahu apa yang akan dijelaskannya pada Suria lebih tidak logik lagi berbanding dengan apa yang disebut oleh gadis itu.

Suria memandang lelaki itu dengan wajah bingung. Sikap berdiam diri Izwan membuatkan dia terpaku. “You are not serious right?” Matanya memandang Izwan bagaikan meminta kepastian.

Izwan mengangguk. “Kalau ini sesuatu yang tak boleh diterima oleh akal manusia. Rasanya orang yang paling sesuai mempercayainya ada di hadapan aku sekarang ini.” Keluh Izwan. Suria tersentak. Bulat matanya mencari wajah Izwan.

“Beberapa bulan yang lalu, sewaktu kami mula menyiasat tentang kes-kes pembunuhan ini, kami didatangi oleh seorang lelaki yang tak dikenali. Dia memberi amaran pada kami tentang sesuatu yang akan hidup dan mencari korban di kalangan gadis-gadis muda. Mulanya kami langsung tidak mengendahkannya, sehinggalah korban ketiga berlaku.” Jelas Izwan seraya memandang Suria yang masih keliru.

“Dalam mitologi melayu, makhluk yang hidup bergantung pada darah dipanggil pontianak. Di Indonesia ia disebut kuntilanak ataupun boentianak. Masyarakat melayu percaya bahawa makhluk sebegini berasal dari wanita yang mati ketika bersalin dan rohnya berkeliaran kerana tak diterima oleh bumi. Itu cerita yang sering kita dengar sejak kecil. Namun turut ada mitos yang mengatakan terdapat sejenis makhluk dari laut yang berkeliaran seperti manusia biasa pada siang hari tetapi hidup di malam hari dengan bergantung kepada darah untuk mendapatkan kuasa dan hidup yang abadi. Dan mitos ini lebih lama dari kewujudan pontianak itu sendiri.” Sambung Izwan.

Suria memandang lelaki di hadapannya dengan wajah bingung. Penerangan Izwan langsung tidak membantunya memahami apa sebenarnya yang telah berlaku. Malah sebaliknya dia berasa lebih keliru.

“Suria, semua yang aku ceritakan tadi dianggap satu mitos. Satu kepercayaan masyarakat silam yang berakar umbi dari keturunan demi keturunan serta disebarkan dari mulut ke mulut. Ya, semua ini hanyalah mitos. Tapi bagaimana kalau mitos ini dijadikan sesuatu yang benar-benar wujud dan semua kematian gadis-gadis ini merupakan satu ritual untuk menyokong mitos tersebut?”

“Maksud kau?” Mata Suria terkebil-kebil.

Izwan terdiam sejenak. Matanya menyorot ke arah teman-temannya sebelum melewati wajah Suria semula. “Sejak dulu upacara pengorbanan dianggap satu upacara yang amat penting dalam sesebuah kumpulan yang mendewakan makhlus-makhluk jahat. Bagaimana kalau gadis-gadis yang mati ini adalah satu bentuk korban yang digunakan untuk menjamu sesuatu yang mereka sembah?”

Suria tercengang. Kata-kata Izwan kedengaran aneh. Bukankah lelaki itu tidak percaya dengan semua ini? Malah seingatnya, Izwan pernah mengetawakannya apabila dia mengaitkan amalan ajaran sesat dengan kematian Masyitah.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!