Followers

Monday, June 14, 2010

Arina : Bab 7

SEBUAH televisyen sedang menayangkan tajuk sebuah berita tentang kecurian sebuah skrol lama yang dikatakan milik Kaum Mayan. Skrol itu dikatakan dimiliki oleh seorang ahli perniagaan yang hanya dikenali sebagai The Eye, dan dipinjamkan untuk dipamerkan di ruang legar TCMM sempena Pameran Kesenian Antarabangsa yang sepatutnya berlangsung dua hari yang lalu. Tapi atas alasan keselamatan, pameran kesenian itu terpaksa dibatalkan dan pihak polis Filiphina dan Interpol kini sedang dalam siasatan untuk mengesan beberapa lelaki yang dikatakan dalang dalam kecurian itu.

Seorang lelaki mengambil remote control lalu menutup siaran televisyen di hadapannya. Dia tersengih. Berita di kaca televisyen itu cukup melucukannya.

Aneh! Kenapa Skrol ke-25 dianggap milik Kaum Mayan? Siapa Kaum Mayan tu? Tahukah mereka semua apakah benda yang disebut Skrol Suci itu?

Pihak berkuasa di sini memang berbeza dari di tempatnya. Mereka kurang menitikberatkan soal-soal keselamatan dari setiap sudut. Kerana itu skrol yang dikatakan berharga itu berjaya dilarikannya tanpa apa-apa masalah.

Sebelum mereka berjaya melarikan skrol itu, mereka terpaksa mengintip berhari-hari lamanya dan memastikan di bilik kebal yang mana satukah skrol tersebut ditempatkan. Semua ini penting untuk memastikan usaha mereka berjaya.

Setelah perancangan rapi dibuat, mereka menjalankan misi rahsia menyeludup masuk ke Trade Centre yang agak ketat kawalannya dengan kapasiti hampir 50 orang pengawal pada satu-satu masa. Dan ternyata usaha mereka sebenarnya lebih mudah berbanding apa yang mereka fikirkan.

Bunyi tapak kaki yang datang dari arah belakang mengejutkan Nakhael. Perhatiannya segera dialihkan. Seorang lelaki muda melangkah masuk lalu tercegat memerhatikannya di muka pintu. Nakhael tersenyum.

Lelaki itu mengeluh. “Aku terasa seperti kita sudah bertahun-tahun di sini, sedangkan kita hanya sampai ke mari beberapa bulan yang lalu. Tempat ini melemaskan aku. Mati aku kalau lama lagi aku kat sini. Aku lebih suka mati berperang di sana dari hanya menunggu di sini.” Keluh lelaki itu.

Nakhael tersenyum menatap ke arah Jerry yang asyik merungut-rungut sedari tadi. Lelaki itu memang orang yang paling kuat membantah apabila Tuan Fahlun memutuskan untuk menghantar mereka ke satu tempat yang dipanggil Mandaluyong, terletak di tengah-tengah bandaraya Metro Manila yang sentiasa sibuk. Semuanya kerana Kunci Orkid yang menyimpan sejarah pengembaraan Bloomer, seorang ahli sains teragung di tempat mereka.

Hanya dengan mencari kunci-kunci itu, Tuan Fahlun mengharapkan mereka semua dapat membetulkan keadaan yang berlaku di tempat mereka. Semuanya kerana apa yang tertulis di dalam catatan jurnal milik Bloomer yang kini berada di dalam simpanan Majlis Tertinggi. Menurut catatan Bloomer dinyatakan tentang sebuah skrol yang mampu merramal dan menunjukkan di mana lokasi kunci-kunci itu berada.

Setelah beberapa bulan mereka menjejak lokasi skrol itu, mereka menemukan skrol itu melalui satu teknologi dipanggil internet dan youtube. Di mana dalam youtube, terdapat maklumat tentang Skrol Suci milik Kaum Mayan kepunyaan seorang ahli perniagaan yang menyerupai bentuk Skrol ke-25 seperti dalam catatan Bloomer.

Skrol ke-25 berbentuk gulungan kertas usang yang diikat dengan tali berwarna merah yang mempunyai rantai berbentuk bunga orkid. Dan kerana rantai kunci itu, mereka sepakat mengatakan, skrol yang ada di dalam peti deposit Trade Centre Manila itu adalah skrol milik Bloomer yang mereka cari-cari selama ini.

“Nakhael…” suara itu memanggil Nakhael yang jauh termenung.Yang nyata semangat Nakhael terbang seketika apabila suara Jerry agak kuat sehingga menyentak emosinya.

“Apa?”

“Kau menungkan apa tu?” Jerry menegur.

“Tak ada apa-apa.” Nakhael menggelengkan kepala.

“Bohong! Jangan beritahu aku kau sedang bimbangkan keadaan Alwiz di Kuala Lumpur kan.” Pintas Jerry.

Nakhael terdiam. Dia tidak memberi sebarang reaksi pada kata-kata lelaki itu.

“Jangan bimbang, Alwiz tak akan apa-apa. Sejak dulu begitu. Antara kita berlima, dia orang yang paling tabah.” Seru Jerry.

Nakhael menoleh ke arah Jerry. Nafasnya ditarik perlahan. “Bukan Alwiz yang aku risaukan Jerry.” Keluh Nakhael. Jerry tercengang.

“Habis tu?” Lelaki itu menyambung pertanyaan.

“Arina! Aku paling risaukan tentang Arina.” Sebut Nakhael lambat-lambat. Jerry tergaman. Nama yang meniti dari bibir Nakhael membuatkan dia terdiam.

“Aku bimbang pencarian kita ini akan menyulitkan keadaan Arina! Magdalena menghantarnya ke sini dengan harapan tidak ada seorang pun tahu tentang Arina yang masih hidup. Tapi Tuan Fahlun pula menghantar kita ke sini untuk menemui Fahrin Toh.” Getus Nakhael.

“Habis? Apa yang kau bimbangkan? Bukankah Alwiz sendiri yang menawar diri untuk menemui Fahrin Toh?” Jerry bertanya ingin tahu.

“Masa silam Jerry. Setiap orang takut pada masa silam. Arina tidak boleh tahu tentang masa silamnya. Dan aku memahami betapa hati Alwiz akan terluka bila berhadapan dengan Arina. Sejak dulu dia sering terluka. Kali ini juga tidak akan ada bezanya!” Keluh Nakhael. Benar-benar rungsing!

“Kau rasa Alwiz mampu maafkan Arina?” Tanya Jerry.

Nakhael tidak menjawab pertanyaan itu. Bukan dia tidak mahu menjawab tapi dia tidak mampu menjawabnya. Alwiz sering bersikap tertutup tentang apa sahaja berkaitan Arina.

* * * *

DIA melangkah perlahan-lahan ke arah sebuah ruangan yang diubahsuai menjadi bilik kurungan. Di tangannya terdapat sebuah tray berisi makanan yang dibeli siang tadi di kawasan berhampiran.

Bunyi tapak kakinya mengejutkan seorang anak muda yang sedang tidur di suatu sudut. Melihat kehadirannya, anak muda itu segara membalikkan tubuhnya.

Nakhael segera membuka pintu bilik kurungan lalu menolak tray berisi makanan ke arah anak muda itu. Setelah itu, pintu tersebut ditutup dan dikuncikan semula seperti rutinnya sejak seminggu yang lalu.

“Siapa kamu?” Suara anak muda itu singgah dalam bahasa tagalog. Nakhael tidak menjawab. Wajahnya selamba sahaja menatap ke arah anak muda yang berwajah selekeh dan tidak terurus.

“Kenapa? Kenapa awak buat macam ni pada saya?” Tanya anak muda itu keras.

Chayi mengetapkan bibir. Meskipun bimbang takut diapa-apakan, namun dia tidak boleh hanya berpeluk tubuh tanpa mengetahui apa sebabnya dia diperlakukan sebegini.

Nakhael merenung ke arah anak muda itu. Wajah Chayi entah mengapa mengingatkan dia pada Ketsu Kaien.

“Semua orang akan mencari saya. Mereka takkan lepaskan awak semua.” Getus Chayi lagi. Sengaja mahu memprovok lelaki di hadapannya agar bersuara.

Nakhael tersenyum simpul. Kata-kata anak muda itu tidak disanggah.

“Makanlah makanan tu sebelum sejuk.” Ujar Nakhael bertutur menggunakan bahasa melayu.

Chayi tergaman. Suara yang meniti dari bibir lelaki berperawakan tampan dan kemas itu menggusarkan hatinya tanpa disedari.

“Awak boleh cakap bahasa melayu?” Chayi terpinga-pinga. Sejak seminggu yang lalu, dia menyangka lelaki-lelaki yang mengurungnya itu kesemuanya rakyat Filiphina. Malah jika tidak bertutur Tagalog, lelaki-lelaki itu akan berbahasa Inggeris dan adakalanya mereka semua bertutur dalam loghat yang langsung gagal difahaminya.

“Aku boleh cakap apa sahaja bahasa. Itu salah satu keistimewaan kami.” Balas Nakhael tenang.

“Kami? Kami itu siapa?”

Nakhael mendekati tubuhnya ke arah gerigi besi di hadapannya. Matanya memandang wajah Chayi dari jarak lebih dekat. Seakan tahu lelaki itu mahu mengatakan sesuatu, Chayi memberanikan diri mendekati lelaki itu.

“Chayi..kau akan bebas. Kami cuma perlukan sedikit masa.Jangan bimbang, kami bukannya jahat sehingga sanggup mencederakan orang yang tidak berdosa. Setelah kerja kami selesai, kau akan balik ke rumah dengan selamat dan jalani hidup kau macam biasa. Dan aku janji, kau takkan melihat kami lagi seumur hidup kau!” Bisik Nakhael.

Chayi tersentak. Kata-kata lelaki itu mengundang seribu persoalan. Malah dia buntu memikirkan tentang lelaki-lelaki misteri yang sering berlegar di luar kandang bilik kurungannya. Sejak dia diculik dua lelaki di pusat beli belah beberapa hari yang lalu, belum sekalipun dia dikasari. Malah dia tidak pernah dibiarkan kebuluran. Ini membuatkan dia dilimpahi harapan, agar kata-kata lelaki itu akan dikotakan. Dia sudah rindu mahu bertemu keluarganya.

Sepanjang dia dikurung, dia seolah diberi kesempatan untuk memuhasabahkan diri. Menilai peribadinya luar dan dalam. Timbul rasa penyesalan dalam dirinya bahawa betapa selama ini dia telah banyak berdosa pada ayahnya. Nasihat lelaki itu dianggap bebelan dan sindiran yang membebankan perasaan. Sedangkan jauh di sudut hati dia tahu ayahnya hanya mengambil berat dan tidak mahu dia terjerumus dengan kenakalan kawan-kawannya yang suka berparti liar dan menghabiskan masa di luar rumah.

Maafkan Chayi ayah. Chayi janji kalau Chayi selamat pulang ke rumah, Chayi akan jadi anak yang baik seperti yang ayah inginkan. Chayi akan dengar nasihat ayah dan Kak Arina! Rintih Chayi dalam kesedihan.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!