Followers

Sunday, June 13, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 13

HAMPIR sehari suntuk Syarifah Asmah menyiapkan diri di salun. Malamnya dia ada acara khas makan malam amal bersama isteri-isteri orang kenamaan. Rambutnya disanggul kemas, manakala wajahnya disolek agak tebal oleh jurusolek yang biasa mendandannya apabila ada acara-acara penting.

Inilah satu-satunya peluang untuknya bergaul dengan orang-orang kenamaan. Dia tidak betah hanya duduk diam di rumah mengurus rumahtangga. Jemputan dari Datin Hamidah seminggu yang lalu benar-benar menggembirakannya. Dari awal lagi dia sibuk merancang pakaian dan barang kemas yang akan dipakainya.

Syed Rahim buat endah tak endah sahaja tatkala Syarifah Asmah sibuk bergaya sakan di hadapan cermin. Dia begitu asyik dengan akhbar di tangan. Namun sesekali dia melirik isterinya dengan ekor mata.

“Baik-baik sikit Cik Asmah, nanti pecah pulak cermin tu kalau dihadap, ditenung lama-lama. Awak tu dah cukup cantik, tak payah ditilik berjam-jam.” Sindir Syed Rahim pada si isteri. Menjeling panjang Syarifah Asmah dibuatnya.

“Saya cantik pun untuk awak juga. Supaya awak tu tak malu beristerikan saya.” Balas wanita itu. Berderai ketawa Syed Rahim mendengarnya.

“Banyak ke awak nak menderma untuk tabung amal kawan datin awak tu? Setahu saya awak nak sedekah anak yatim sepuluh ringgit pun berkira.” Sindir Syed Rahim lagi.

“Yang awak tu asyik nak sakitkan hati saya ni kenapa? Bukannya saya minta duit dengan awak pun. Lagipun Datin Hamidah tu yang jemput saya. Kenapa? Awak cemburu ke sebab saya bergaul dengan datin-datin, puan-puan sri?”

“Suka hati awaklah As. Saya cuma nak ingatkan awak, mereka tu jemput awak bersebab. Tak lama lagi tu, adalah mana-mana datin sibuk bertanyakan Hazril dengan awak. Maklumlah anak-anak gadis datin-datin tu banyak lagi kosong sana sini. Saya takut nanti tak terlayan pula awak dibuatnya.” Gelak Syed Rahim.

Syarifah Asmah mendengus. Malas dia nak pedulikan suaminya yang masih tersenyum-senyum penuh makna. Ketika keluar dari bilik, telinganya menangkap bunyi deringan telefon namun dibiarkan sahaja. Dia melabuhkan punggung di sofa sambil membetulkan selendang yang hampir terjatuh dari bahunya.

Deringan telefon masih galak berbunyi. Keluhan kecil meniti keluar dari bibirnya. Mana pulak si bibik ni, rungut Syarifah Asmah. Pembantu rumah Indonesianya itu memang agak lembab sedikit dibandingkan dengan pembantu rumah lamanya yang telah diberhentikan kerja.

“Bibik! Bibik! Telefon berbunyi tu!” Terjerit-jerit Syarifah Asmah memanggil, sampai serak suaranya. Sejurus kemudian seorang wanita dalam lingkungan akhir usia 40an, terkocoh-kocoh keluar dari arah dapur. Senduk besar masih melekat di tangan wanita itu.

“Ya non, ada apa non?” Tanya bibik.

Melenting Syarifah Asmah sebaik memandang pembantu rumahnya. “Mana bibik pergi? Takkan tak dengar telefon tu berbunyi sejak tadi? Apa bibik pekak ke?” Jerkah Syarifah Asmah meradang.

“Maaf non, nanti bibik angkat.” Terketar-ketar wanita itu memandangnya sebelum menuju ke arah telefon.

“Hello. Iya? Mahu bicara sama siapa? Sebentar ya.”

Bibik memandang Syarifah Asmah. “Non, telefonnya.” Beritahu Bibik sedikit cemas. Dia memang takutkan Syarifah Asmah yang garang seeprti singa lapar.

“Siapa?” Soal Syarifah Asmah bernada malas.

“Enggak tahu non..”

“Hish bibik ni, lain kali tanyalah siapa. Takkan itu pun nak diajar.” Dengus Syarifah Asmah. Dengan kasar dia merampas gagang telefon dari pegangan Bibik.

“Hello!”

“Hello As, masih ingat aku?”

Suara di hujung talian mengejutkan Syarifah Asmah. Dia tersentak bagai tidak percaya. Serta-merta wajahnya berubah pucat. Bibik yang berdiri tidak jauh dari situ memandang kehairanan. Wajah cik puannya yang tebal dengan mekap itu kini kelihatan keruh dan tidak bermaya.

Sebaik gagang telefon diletakkan, Syarifah Asmah kelihatan mendail semula. “Hello Datin, minta maaf saya tak dapat datang malam ni. Saya ada urusan penting.” Ujar Syarifah Asmah dengan nada suara tersekat-sekat.

* * * *

Wajah lelaki yang berjambang kemas itu direnung tajam bagaikan hendak ditelannya. Namun lelaki itu hanya tersenyum memandangnya. Sesekali lelaki itu merenung kopi panas yang masih berbaki di hadapannya.

“Hmm dah lama rasanya aku tak minum kopi di restoran ni. Rasanya tetap sedap macam dulu juga. Kenapa kau tak minum?” Lelaki itu memandangnya.

“Apa kau nak dengan aku Azam?”

Lelaki itu ketawa kecil. Pertanyaan Syarifah Asmah dibiarkan berlalu sepi. Dia menyedari wanita itu mahu cepat-cepat selesai berurusan dengannya.

“Kenapa kau balik semula ke sini? Kau tak sepatutnya pulang.” Gumam Syarifah Asmah sambil mengetap bibir.

“Kenapa pula aku tak boleh pulang? Ini tempat aku. Lagipun aku bukannya buruan seperti yang kau katakan lima belas tahun yang lalu.” Sanggah lelaki itu.

Syarifah Asmah tergaman.

“Kenapa? Terkejut? Kau terkejut dengan apa yang aku katakan? As…As…kalaulah mereka tahu siapa kau sebenarnya. Kau ni tak ubah macam ular betina yang kekenyangan dalam mahligai mewah setelah menelan cukup-cukup mangsa kau. Tapi tak boleh salahkan kau. Kau memang pandai sembunyikan rupa sebenar. Kalau tidak masakan Rahim yang bodoh tu pun boleh terpedaya.” Lelaki yang dipanggil Azam itu ketawa sinis.

Syarifah Asmah merenung tajam ke arah lelaki itu. Tangannya mengenggam kemas bucu gelas air putih di hadapannya. Hatinya meruncing. Ikutkan hati, mahu sahaja dia simbah wajah lelaki itu dengan air di gelasnya, namun dia cuba bersabar. Dia ingin tahu apakah sebab lelaki itu kembali semula setelah menghilangkan diri selama ini.

“Apa sebenarnya yang kau nak Azam?”

Azam merenung wanita di hadapannya. Wajah yang tidak pernah dimakan usia itu tetap seperti dahulu. Tapi kecantikan wanita itu kecantikan yang bersifat parasit. Tidak seperti sepupunya Radhiah yang lemah lembut dan baik hati.

“Aku mahu kau gantikan semula lima belas tahun yang telah aku bazirkan untuk kau As.” Ungkap Azam penuh teka-teki.

“Apa maksud kau?” Dahi Syarifah Asmah berkerut.

“Tentu kau masih ingat apa yang berlaku lima belas tahun dulu kan? Agaknya apa reaksi suami kau jika aku beritahu dia segala-galanya yang aku tahu tentang masa lalu kau?” Azam merenung tajam. Wajah wanita itu segera berubah. Rona-rona di wajah itu mulai memerah dan menegang.

“Berani kau ugut aku ya Azam. Kau sendiri tahu aku tak pernah memaksa kau melakukannya untuk aku. Kau yang bodoh!” Bentak Syarifah Asmah.

“Betul, tapi kau pandai menyakinkan aku As. Kau memang pandai berlakon. Kau perdayakan aku kononnya Radzi pernah memperkosa kau, sedangkan sebenarnya kau yang tergila-gilakan Radzi. Kau juga cemburukan Radhiah, sepupu kau yang menganggap kau adiknya sendiri.”

“Diam! Jangan kau berani sebut nama Radhiah di depan aku lagi. Kalau bukan disebabkan dia, aku yang akan menjadi isteri Radzi. Aku yang lebih berhak ke atas Radzi sebab akulah tunang Radzi.” Bentak Syarifah Asmah.

“Tapi Radzi cintakan Radhiah, bukan kau. Tapi kau ni kejam. Walaupun kau dah berkahwin dengan Rahim tapi kau tetap berdendam. Dendam sepuluh orang lelaki pun takkan sama dengan dendam seorang perempuan seperti kau Syarifah Asmah Hani.”

Syarifah Asmah ketawa sinis. Cerita lama yang ingin dilupakannya, kini dibuka satu persatu oleh Azam Rasyid, lelaki yang pernah bekerja di Perkasa Budi suatu ketika dulu. Lelaki yang amat dipercayai oleh Syed Radzi.

Sejujur-jujur seorang lelaki tetap mampu ditundukkan oleh seorang wanita seanggunnya. Hanya dengan menggunakan airmata, dia mampu menundukkan hati Azam. Menukar seorang lelaki yang amanah menjadi seorang kaki judi dan kaki botol. Dia sabar menunggu peluang mendekati Radzi, biarpun waktu itu dia sendiri telah disunting menjadi isteri Syed Rahim.

Menjadi isteri Syed Rahim dan menantu keluarga Syed Al-Gibran merupakan satu tiket untuknya mendekati Syed Radzi. Satu-satunya peluang untuknya mengatur rancangan untuk merampas kembali Syed Radzi dari tangan Radhiah yang amat dibencinya. Meski dengan apa cara sekalipun!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!