Followers

Sunday, November 11, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 18


            ASYIK benar gadis kecil itu melukis sehingga tidak mempedulikan sesiapa. Kerana tertarik mahu melihat apa yang dilakukan gadis kecil itu, Danira diam-diam merapati Melia dari arah belakang. 

Sebaik menyedari kehadiran Danira, Melia cepat-cepat menutup kertas lukisannya, seolah-olah tidak mengizinkan Danira mengintainya.

            Melihat reaksi anak gadis itu, Danira ketawa kecil. Terasa lucu melihat sampai begitu sekali reaksi Melia mahu menyorokkan kertas lukisan itu dari tatapan matanya.

“Melly tak nak beri kakak tengok lukisan tu ke?” Danira bertanya lembut.

            Melia menggelengkan kepala.

            “Kenapa tak boleh?” Tanya Danira lagi. Sengaja mahu memancing isi perbualan dengan gadis cilik itu.

            “Tak boleh. Belum siap lagi.” Jawab Melia sambil menggelengkan kepalanya.

            “La ye ke? Kalau macam tu, Melly siapkan dulu, kakak tak mahu ganggu. Nanti kalau dah siap panggil kakak ya.” Dia tersenyum seraya beredar ke arah beberapa orang kanak-kanak lain yang turut leka menyiapkan lukisan masing-masing.

            Selang beberapa minit, Danira terpandang kelibat Melia sedang melambai-lambai ke arahnya. Dia segera mendekati anak kecil itu.

“Kenapa? Dah siap?”

            Melia mengangguk seraya menunjukkan sekeping kertas lukisan yang baru selesai dilukisnya. “Ini datuk, nenek, Pak Su, Mak Naj dengan papa.” Canang Melia sambil menunjukkan wajah-wajah karikatur yang dilukisnya. Danira ketawa sendiri. Comel lukisan Melia itu, meskipun wajah nenek yang dilukis Melia tidak ada bezanya dengan wajah-wajah lain.

            “Hmmm semua ada. Mana mama pulak?” Soal Danira.

Melia terkelip-kelip memandangnya dengan wajah bingung.

“Takkan lukis gambar papa dengan yang lain aje. Sepatutnya Melly kena lukis gambar mama juga.” Ujar Danira tanpa menyedari raut wajah Melia mula muram.

            “Melly tak ada mama.” Jawab Melia lamba-lambat.

Danira mengerutkan dahinya. Kata-kata anak kecil itu gagal difahaminya. Apa maksud Melia? Dia ingin bertanya lagi, namun apabila dilihatnya Melia seakan tidak berminat mahu bercerita panjang lebar, hasrat hatinya terkubur begitu sahaja,

            “Kakak dengar Encik Filman dah lama bercerai dengan bekas isterinya. Kononnya dia ditinggalkan bekas isterinya. Sejak bayi lagi Melia ditinggalkan dengan Encik Filman.” Bisik Siti apabila dia mengajukan perihal Melia pada wanita itu.

            “Kenapa mereka bercerai kak?”

            “Entahlah. Bila dah tak suka tu, macam-macamlah alasannya. Tapi kakak rasa bekas isteri Encik Filman tu memang bodoh. Kalau kakaklah dapat lelaki sebaik Encik Filman, tentu kakak tak lepas.” Balas Siti, rancak bercerita.

Danira terdiam. Meskipun dia langsung tidak mengenali Filman dan keluarganya, namun jauh di sudut hati dia setuju dengan kata-kata Siti. Aneh! Lelaki sekacak dan sebaik Filman pun masih ditinggalkan isteri?

“Kenapa Nira tiba-tiba tanya fasal Encik Filman?” Giliran Siti pula bertanya ketika melihat Danira termenung panjang.

Gadis itu terpempan seketika.

“Takkan berkenan kut…” Siti sudah tersengih-sengih. Danira membeliakkan matanya besar-besar. Terkejut dengan kata-kata Siti sekaligus bimbang jika kata-kata itu sampai ke telinga Lynn atau Umaira.

“Eh mana ada Kak Siti. Saja Nira tanya sebab kasihankan Melly tu, selalu lambat dijemput balik.” Danira mereka alasan sendiri.

Siti tergelak besar. Wajah merah padam Danira mengundang rasa lucunya. Apatah lagi apabila dilihatnya Danira seolah-olah kalut dan gugup melayan serkap jarangnya sebentar tadi.

“Kalau ya pun apa salahnya Nira. Encik Filman tu bukan laki orang dah, tak salah kalau nak cuba.” Usik Siti lagi.

Danira terdiam. Bingung dengan usikan wanita itu yang agak nakal. Tidak tahu bagaimana harus menjawab kata-kata Siti, dia beralah lalu angkat kaki. Berpura-pura melayan kanak-kanak yang sedang asyik bermain di penjuru sudut. Siti hanya mampu tersengih sebelum menyambung kerjanya yang tergendala sebentar tadi.

*  *  *  *

            Danira sibuk mengemas buku-buku cerita di atas rak bertingkat yang sengaja diskru di permukaan dinding. Sambil menyusun buku-buku itu, dia sempat membelek beberapa buah buku cerita bergambar seperti Cinderella, Red Riding Hood, The Gummy Bear dan pelbagai lagi jenis bahan bacaan yang lain.

Beberapa hari yang lalu, dia ada melihat Lynn dan Umaira membacakan cerita-cerita itu pada anak-anak yang berada di taska tersebut. Melihat kanak-kanak itu riang mendengar pelbagai cerita dongeng itu, entah kenapa hatinya turut terhibur. Lenyap seketika masalah yang membelenggu dirinya selama ini.

Apabila Kamila tiba-tiba muncul, wanita itu dilihatnya bercakap-cakap dengan seseorang menggunakan telefon bimbit. Dahi Kamila berkerut-kerut sambil melirik ke arahnya.

            “Baiklah Fil, nanti kakak hantar dia.” Ujar wanita itu. Danira menoleh apabila mendengar Kamila menyebut nama ‘Fil’. Dia tahu panggilan itu ditujukan buat Filman. Sebaik wanita itu menghabiskan perbualan, perhatian Kamila segera tertumpu ke arahnya.

            “Nira, kakak nak minta tolong sikit. Encik Filman tak dapat ambil anaknya petang ni, dan kebetulan pulak ahli kelurganya yang lain ada hal masing-masing. Dia minta kakak hantar Melly ke rumah, tapi kakak ada janji dengan saudara kakak nak ambil dia di LCCT petang nanti. Boleh tak kalau Nira tolong hantarkan Melly pulang?” Pinta Kamila serba salah. Sebenarnya dia tidak mahu menyusahkan Danira tapi sepupunya yang berasal dari Pantai Timur itu hanya sesekali singgah menjenguknya di Kuala Lumpur.

            Danira tergaman mendengar permintaan itu. Hendak menolak, nampak sangat dia tidak mengenang budi Kamila yang telah banyak menabur jasa padanya. Usai berfikir beberapa ketika, dia menggangguk setuju. Wajah Kamila ceria dan beransur lega apabila dia bersetuju mahu menghantar Melia pulang ke rumah. Wanita itu menghilang seketika entah ke mana sebelum keluar beberapa minit kemudian.

            “Okey, ini alamat rumah dengan pelan rumah kalau-kalau Nira sesat nanti.” Ujar Kamila lalu menghulurkan sekeping kertas ke tangannya. Wanita itu juga menghulurkan beberapa keping not merah. Mulanya dia enggan menerimanya tapi Kamila tetap berkeras. Wang untuk tambang teksi ke sana, bilang wanita itu. Mahu tak mahu Danira terpaksa menerima apatah lagi dia sendiri tidak mempunyai wang walaupun sekadar untuk tambang ke sana ke mari.

            Petang itu juga, dia menghantar Melia pulang berbekalkan alamat dan pelan kawasan perumahan itu. Ketika teksi yang dinaikinya berhenti di hadapan sebuah rumah dua tingkat yang berpagar setinggi lima kaki, dia tercengang. Perasaan kagumnya singgah sebaik dia melihat rumah besar itu. Tiba-tiba dia teringatkan rumah miliknya yang telah tergadai pada Pak Long dan Mak Longnya. Walaupun rumah lamanya tidaklah sebesar rumah di hadapannya kini, tapi ia tetap syurga di hatinya suatu ketika dahulu.

Melia menarik-narik tangan Danira memaksanya mengikut masuk ke dalam kawasan rumah itu. Danira terpaksa mengikut. Di tepi pintu pagar itu terdapat sebuah pondok pengawal keselamatan. Dia terpandang seorang lelaki tua berpakaian pengawal keselamatan asyik memandangnya dengan pandangan curiga.

            “Cik nak cari siapa?” Soal pengawal keselamatan yang mengawal rumah itu, walaupun dia sudah melihat kelibat Melia bersama perempuan tidak dikenali itu turun dari teksi sejak awal-awal lagi. Sudah menjadi tugasnya untuk menyoal sebelum membenarkan sesiapa pun masuk ke kawasan rumah itu.

            “Maaf pakcik, saya nak hantar Melly balik. Saya kerja dengan Puan Kamila di Sissy Kindergarden.” Balas Danira lembut.

Lelaki tua berumur dalam lingkungan 40an itu memandangnya seketika, sebelum mengalihkan perhatian pada Melia yang tidak lepas dari memegang tangannya.

            “Mak Engku tak ada di rumah sekarang ni. Tengku Filman pun tak ada. Yang ada hanyalah Tengku Najla dengan Encik Aliff.” Ujar lelaki itu, menyangkakan yang gadis di hadapannya itu mahu bertemu dengan pemilik rumah. Danira cepat-cepat menggelengkan kepala.

            “Tak apa pakcik, saya tak berniat mahu bertemu sesiapa. Saya hanya mahu menghantar Melly pulang. Itu saja!” Jawab Danira. Dia mengalihkan pandangan ke arah Melia seraya tunduk mengadap anak kecil itu. Terkelip-kelip mata Melia memandangnya.

            “Melly, kakak hantar sampai sini saja ya. Esok kita jumpa kat taska.” Ujarnya seraya mengucup dahi anak kecil itu.

            “Kakak tak nak singgah rumah Melly dulu?” Bibir mungil itu bertanya. Danira segera menggelengkan kepala.

            “Tak elok begitu sayang, lagipun rumah Melly tak ada orang sekarang ni.”

            “Pak Su Aliff ada. Mak Su Naj pun ada kat rumah.” Sampuk Melia pantas, seakan-akan tidak merelakan dirinya beredar.

            Danira tersenyum kecil. “Tak apalah sayang, besok saja kita jumpa kat taska. Kakak pun kena balik, nanti Mak cik Kamila marah.” Ujar Danira memberi alasan. Dia memandang pengawal keselamatan itu semula.

            “Pakcik tolong bawa Melly masuk ke dalam ya.” Pinta Danira. Lelaki itu hanya mengangguk. Danira segera berpaling lalu melangkah pergi.

Dalam masa yang sama, Aliff tiba-tiba keluar dan berdiri di atas balkoni rumah di tingkat dua. Dia tiba-tiba terpandang kelibat seorang gadis baru sahaja meninggalkan perkarangan rumahnya. Dahinya serta-merta berkerut. Siapa tu?

            “Pak Man!” Panggil Aliff separuh melaung. Osman berpaling seraya mendongak.

            Ya Encik Aliff?”

            Siapa yang baru datang tu?” Soal Aliff lagi.

            “Entahlah Encik Aliff, katanya dia kerja dengan Puan Kamila dekat taska. Dia datang nak hantar Melly pulang.” Jawab Osman turut sama menjerit.

Aliff terdiam. Dari taska Melly? Kenapa Filman tak jemput Melly sendiri? Hati Aliff tertanya-tanya. Dia memandang ke arah si kecil yang sedang dipegang tangannya oleh Osman, pengawal keselamatan di rumah itu.

            Kenapa jerit-jerit ni Aliff?” Najla tiba-tiba muncul di belakangnya.

            “Tak ada apa-apa. Ada seorang perempuan hantar Melly balik tadi. Agaknya abang Filman sibuk, sebab tu tak dapat ambil Melly di taska.” Ujar Aliff.

            “Isk abang Filman pun satu, percaya sangat kat orang-orang kat taska tu. Buat-buat orang tu culik Melly, tak fasal-fasal kita yang dapat susah.” Najla merungut seakan-akan tidak senang dengan tindakan Filman. Aliff hanya tersenyum mendengar andaian yang berputik di fikiran Najla.

            “Mungkin abang Filman tak dapat hubungi kita agaknya. Yang Naj nak marah-marah ni kenapa?” Usik Aliff tersengih.

Belum sempat Najla mahu menjawab, derap langkah kecil kedengaran sedang mendaki tangga. Kedua-duanya serentak berpaling. Melia muncul sambil membawa beg sandang kecil berwarna pink.

            “Hai sayang, dah balik pun baby Pak Su ni,” tegur Aliff seraya mendepakan tangannya. Melia ketawa kecil lalu berlari ke arah lelaki itu. Najla tergelak melihat gelagat Aliff mengagah Melia. Macam budak-budak, bisik hati kecil Najla. Namun sifat Aliff yang pandai melayan anak-anak kecil itulah yang membuatkan hati Najla seperti terbuai. Sayang lelaki itu tidak mahu faham apa yang dirasakannya.

            “Siapa yang hantar Melly balik tadi?” Pertanyaan Aliff mematikan lamunan Najla. Dia turut memandang ke arah anak kecil itu. Turut ingin tahu siapakah gerangan orang yang menghantar anak saudara kesayangannya pulang.

            “Kakak.” Jawab anak kecil itu petah.

            “Kakak?” Aliff dan Najla saling berpandangan. Serentak kedua-duanya ketawa besar. Jawapan Melia terlalu ringkas untuk mereka cerna. Aliff segera menggeletek perut Melia membuatkan anak kecil itu terkeheh-keheh ketawa.

1 comment:

Unknown said...

uhh bile lh nk temu kn nira ngan aliff neh...cam ade sesuatu je...

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!