ASYIK benar gadis kecil itu melukis
sehingga tidak mempedulikan sesiapa. Kerana tertarik mahu melihat apa yang
dilakukan gadis kecil itu, Danira diam-diam merapati Melia dari arah
belakang.
Sebaik menyedari kehadiran Danira, Melia
cepat-cepat menutup kertas lukisannya, seolah-olah tidak mengizinkan Danira
mengintainya.
Melihat
reaksi anak gadis itu, Danira ketawa kecil. Terasa lucu melihat sampai begitu
sekali reaksi Melia mahu menyorokkan kertas lukisan itu dari tatapan matanya.
“Melly tak nak beri kakak tengok lukisan tu
ke?” Danira bertanya lembut.
Melia
menggelengkan kepala.
“Kenapa
tak boleh?” Tanya Danira lagi. Sengaja mahu memancing isi perbualan dengan
gadis cilik itu.
“Tak
boleh. Belum siap lagi.” Jawab Melia sambil menggelengkan kepalanya.
“La
ye ke? Kalau macam tu, Melly siapkan dulu, kakak tak mahu ganggu. Nanti kalau dah
siap panggil kakak ya.” Dia tersenyum seraya beredar ke arah beberapa orang
kanak-kanak lain yang turut leka menyiapkan lukisan masing-masing.
Selang
beberapa minit, Danira terpandang kelibat Melia sedang melambai-lambai ke
arahnya. Dia segera mendekati anak kecil itu.
“Kenapa? Dah siap?”
Melia
mengangguk seraya menunjukkan sekeping kertas lukisan yang baru selesai
dilukisnya. “Ini datuk, nenek, Pak Su, Mak Naj dengan papa.” Canang Melia sambil
menunjukkan wajah-wajah karikatur yang dilukisnya. Danira ketawa sendiri. Comel
lukisan Melia itu, meskipun wajah nenek yang dilukis Melia tidak ada bezanya
dengan wajah-wajah lain.
“Hmmm semua
ada. Mana mama pulak?” Soal Danira.
Melia terkelip-kelip memandangnya dengan wajah
bingung.
“Takkan lukis gambar papa dengan yang lain aje.
Sepatutnya Melly kena lukis gambar mama juga.” Ujar Danira tanpa menyedari raut
wajah Melia mula muram.
“Melly
tak ada mama.” Jawab Melia lamba-lambat.
Danira mengerutkan dahinya. Kata-kata anak
kecil itu gagal difahaminya. Apa maksud Melia? Dia ingin bertanya lagi, namun
apabila dilihatnya Melia seakan tidak berminat mahu bercerita panjang lebar,
hasrat hatinya terkubur begitu sahaja,
“Kakak
dengar Encik Filman dah lama bercerai dengan bekas isterinya. Kononnya dia
ditinggalkan bekas isterinya. Sejak bayi lagi Melia ditinggalkan dengan Encik
Filman.” Bisik Siti apabila dia mengajukan perihal Melia pada wanita itu.
“Kenapa mereka
bercerai kak?”
“Entahlah. Bila dah tak suka tu, macam-macamlah
alasannya. Tapi kakak rasa bekas isteri Encik Filman tu memang bodoh. Kalau
kakaklah dapat lelaki sebaik Encik Filman, tentu kakak tak lepas.” Balas Siti,
rancak bercerita.
Danira terdiam. Meskipun
dia langsung tidak mengenali Filman dan keluarganya, namun jauh di sudut hati
dia setuju dengan kata-kata Siti. Aneh!
Lelaki sekacak dan sebaik Filman pun masih ditinggalkan isteri?
“Kenapa Nira tiba-tiba tanya fasal Encik
Filman?” Giliran Siti pula bertanya ketika melihat Danira termenung panjang.
Gadis itu terpempan seketika.
“Takkan berkenan kut…” Siti sudah
tersengih-sengih. Danira membeliakkan matanya besar-besar. Terkejut dengan
kata-kata Siti sekaligus bimbang jika kata-kata itu sampai ke telinga Lynn atau Umaira.
“Eh mana ada Kak Siti. Saja Nira tanya sebab
kasihankan Melly tu, selalu lambat dijemput balik.” Danira mereka alasan
sendiri.
Siti tergelak besar. Wajah merah padam Danira
mengundang rasa lucunya. Apatah lagi apabila dilihatnya Danira seolah-olah
kalut dan gugup melayan serkap jarangnya sebentar tadi.
“Kalau ya pun apa
salahnya Nira. Encik Filman tu
bukan laki orang dah, tak salah kalau nak cuba .” Usik Siti lagi.
Danira terdiam. Bingung dengan usikan wanita
itu yang agak nakal. Tidak tahu bagaimana harus menjawab kata-kata Siti, dia beralah
lalu angkat kaki. Berpura-pura melayan kanak-kanak yang sedang asyik bermain di
penjuru sudut. Siti hanya mampu tersengih sebelum menyambung kerjanya yang
tergendala sebentar tadi.
* * * *
Danira
sibuk mengemas buku-buku cerita di atas rak bertingkat yang sengaja diskru di
permukaan dinding. Sambil menyusun buku-buku itu, dia sempat membelek beberapa
buah buku cerita bergambar seperti Cinderella,
Red Riding Hood, The Gummy Bear dan pelbagai lagi jenis bahan bacaan yang
lain.
Beberapa hari yang lalu, dia ada melihat Lynn dan Umaira
membacakan cerita-cerita itu pada anak-anak yang berada di taska tersebut.
Melihat kanak-kanak itu riang mendengar pelbagai cerita dongeng itu, entah
kenapa hatinya turut terhibur. Lenyap seketika masalah yang membelenggu dirinya
selama ini.
Apabila Kamila tiba-tiba muncul, wanita itu
dilihatnya bercakap-cakap dengan seseorang menggunakan telefon bimbit. Dahi
Kamila berkerut-kerut sambil melirik ke arahnya.
“Baiklah
Fil, nanti kakak hantar dia.” Ujar wanita itu. Danira menoleh apabila mendengar
Kamila menyebut nama ‘Fil’. Dia tahu panggilan itu ditujukan buat Filman. Sebaik
wanita itu menghabiskan perbualan, perhatian Kamila segera tertumpu ke arahnya.
“Nira,
kakak nak minta tolong sikit. Encik Filman tak dapat ambil anaknya petang ni,
dan kebetulan pulak ahli kelurganya yang lain ada hal masing-masing. Dia minta
kakak hantar Melly ke rumah, tapi kakak ada janji dengan saudara kakak nak
ambil dia di LCCT petang nanti. Boleh tak kalau Nira tolong hantarkan Melly
pulang?” Pinta Kamila serba salah. Sebenarnya dia tidak mahu menyusahkan Danira
tapi sepupunya yang berasal dari Pantai Timur itu hanya sesekali singgah
menjenguknya di Kuala Lumpur .
Danira tergaman mendengar
permintaan itu. Hendak menolak, nampak sangat dia tidak mengenang budi Kamila
yang telah banyak menabur jasa padanya. Usai berfikir beberapa ketika, dia
menggangguk setuju. Wajah Kamila ceria dan beransur lega apabila dia bersetuju
mahu menghantar Melia pulang ke rumah. Wanita
itu menghilang seketika entah ke mana sebelum keluar beberapa minit kemudian.
“Okey,
ini alamat rumah dengan pelan rumah kalau-kalau Nira sesat nanti.” Ujar Kamila
lalu menghulurkan sekeping kertas ke tangannya. Wanita itu juga menghulurkan
beberapa keping not merah. Mulanya dia enggan menerimanya tapi Kamila tetap
berkeras. Wang untuk tambang teksi ke sana ,
bilang wanita itu. Mahu tak mahu Danira terpaksa menerima apatah lagi dia
sendiri tidak mempunyai wang walaupun sekadar untuk tambang ke sana ke mari.
Petang
itu juga, dia menghantar Melia pulang berbekalkan alamat dan pelan kawasan
perumahan itu. Ketika teksi yang dinaikinya berhenti di hadapan sebuah rumah
dua tingkat yang berpagar setinggi lima
kaki, dia tercengang. Perasaan kagumnya singgah sebaik dia melihat rumah besar
itu. Tiba-tiba dia teringatkan rumah miliknya yang telah tergadai pada Pak Long
dan Mak Longnya. Walaupun rumah lamanya tidaklah sebesar rumah di hadapannya kini,
tapi ia tetap syurga di hatinya suatu ketika dahulu.
Melia menarik-narik tangan Danira memaksanya mengikut
masuk ke dalam kawasan rumah itu. Danira terpaksa mengikut. Di tepi pintu pagar
itu terdapat sebuah pondok pengawal keselamatan. Dia terpandang seorang lelaki tua
berpakaian pengawal keselamatan asyik memandangnya dengan pandangan curiga.
“Cik
nak cari siapa?” Soal pengawal keselamatan yang mengawal rumah itu, walaupun
dia sudah melihat kelibat Melia bersama perempuan tidak dikenali itu turun dari
teksi sejak awal-awal lagi. Sudah menjadi tugasnya untuk menyoal sebelum
membenarkan sesiapa pun masuk ke kawasan rumah itu.
“Maaf
pakcik, saya nak hantar Melly balik. Saya kerja dengan Puan Kamila di Sissy Kindergarden.” Balas Danira
lembut.
Lelaki tua berumur dalam lingkungan 40an itu
memandangnya seketika, sebelum mengalihkan perhatian pada Melia yang tidak
lepas dari memegang tangannya.
“Mak Engku tak ada
di rumah sekarang ni. Tengku Filman pun tak ada. Yang ada hanyalah Tengku Najla
dengan Encik Aliff.” Ujar lelaki itu, menyangkakan yang gadis di hadapannya itu
mahu bertemu dengan pemilik rumah. Danira cepat-cepat menggelengkan kepala.
“Tak apa pakcik, saya tak berniat mahu bertemu sesiapa. Saya
hanya mahu menghantar Melly pulang. Itu saja!” Jawab Danira. Dia mengalihkan
pandangan ke arah Melia seraya tunduk mengadap anak kecil itu. Terkelip-kelip mata Melia memandangnya.
“Melly,
kakak hantar sampai sini saja ya. Esok kita jumpa kat taska.” Ujarnya seraya
mengucup dahi anak kecil itu.
“Kakak
tak nak singgah rumah Melly dulu?” Bibir mungil itu bertanya. Danira segera menggelengkan
kepala.
“Tak
elok begitu sayang, lagipun rumah Melly tak ada orang sekarang ni.”
“Pak
Su Aliff ada. Mak Su Naj pun ada kat rumah.” Sampuk Melia pantas, seakan-akan
tidak merelakan dirinya beredar.
Danira
tersenyum kecil. “Tak apalah sayang, besok saja kita jumpa kat taska. Kakak pun
kena balik, nanti Mak cik Kamila marah.” Ujar Danira memberi alasan. Dia
memandang pengawal keselamatan itu semula.
“Pakcik
tolong bawa Melly masuk ke dalam ya.” Pinta Danira. Lelaki itu hanya
mengangguk. Danira segera berpaling lalu melangkah pergi.
Dalam masa yang sama, Aliff tiba-tiba keluar dan
berdiri di atas balkoni rumah di tingkat dua. Dia tiba-tiba terpandang kelibat seorang
gadis baru sahaja meninggalkan perkarangan rumahnya. Dahinya serta-merta
berkerut. Siapa tu?
“Pak
Man!” Panggil Aliff separuh melaung. Osman berpaling seraya mendongak.
“Ya Encik Aliff?”
“Siapa yang baru datang tu?” Soal Aliff lagi.
“Entahlah
Encik Aliff, katanya dia kerja dengan Puan Kamila dekat taska. Dia datang nak
hantar Melly pulang.” Jawab Osman turut sama menjerit.
Aliff terdiam. Dari taska Melly? Kenapa Filman
tak jemput Melly sendiri? Hati Aliff tertanya-tanya. Dia memandang ke arah si
kecil yang sedang dipegang tangannya oleh Osman, pengawal keselamatan di rumah
itu.
“Kenapa
jerit-jerit ni Aliff?” Najla
tiba-tiba muncul di belakangnya.
“Tak
ada apa-apa. Ada
seorang perempuan hantar Melly balik tadi. Agaknya abang Filman sibuk, sebab tu
tak dapat ambil Melly di taska.” Ujar Aliff.
“Isk
abang Filman pun satu, percaya sangat kat orang-orang kat taska tu. Buat-buat
orang tu culik Melly, tak fasal-fasal kita yang dapat susah.” Najla merungut
seakan-akan tidak senang dengan tindakan Filman. Aliff hanya tersenyum
mendengar andaian yang berputik di fikiran Najla.
“Mungkin
abang Filman tak dapat hubungi kita agaknya. Yang Naj nak marah-marah
ni kenapa?” Usik Aliff tersengih.
Belum sempat Najla
mahu menjawab, derap langkah kecil kedengaran sedang mendaki tangga. Kedua-duanya serentak berpaling. Melia muncul
sambil membawa beg sandang kecil berwarna pink.
“Hai
sayang, dah balik pun baby Pak Su
ni,” tegur Aliff seraya mendepakan tangannya. Melia ketawa kecil lalu berlari
ke arah lelaki itu. Najla tergelak melihat gelagat Aliff mengagah Melia. Macam
budak-budak, bisik hati kecil Najla. Namun sifat Aliff yang pandai melayan
anak-anak kecil itulah yang membuatkan hati Najla seperti terbuai. Sayang
lelaki itu tidak mahu faham apa yang dirasakannya.
“Siapa
yang hantar Melly balik tadi?” Pertanyaan Aliff mematikan lamunan Najla. Dia
turut memandang ke arah anak kecil itu. Turut ingin tahu siapakah gerangan
orang yang menghantar anak saudara kesayangannya pulang.
“Kakak.”
Jawab anak kecil itu petah.
“Kakak?”
Aliff dan Najla saling berpandangan. Serentak kedua-duanya ketawa besar.
Jawapan Melia terlalu ringkas untuk mereka cerna. Aliff segera menggeletek
perut Melia membuatkan anak kecil itu terkeheh-keheh ketawa.
1 comment:
uhh bile lh nk temu kn nira ngan aliff neh...cam ade sesuatu je...
Post a Comment