Followers

Monday, June 21, 2010

Arina : Bab 11

ALWIZ terkedu apabila melihat Arina menghampirinya dengan sedulang makanan. Dulang makanan itu diletakkan di atas meja, sementara gadis itu mengambil tempat duduk. Sepinggan ayam goreng dikeluarkan dari dulang lalu diletakkan di hadapannya.

“Apa ni?” Bulat matanya memerhatikan hidangan yang cukup sedap baunya.

Arina acuh tak acuh pada pertanyaan Alwiz lalu menyorongkan segelas air pula. Dia mula menjamah makanannya sendiri tanpa mempedulikan Alwiz yang asyik memerhatikannya.

Melihat Arina seakan tidak berminat mahu bercakap dengannya, hendak tak hendak Alwiz juga turut menjamah hidangan tersebut.

“Hmm..sedap.” Pujian Alwiz bukan dibuat-buat. Sebetulnya dia belum pernah merasai makanan tersebut.

Arina menjeling ke arah Alwiz dengan mulut yang sengaja diherotkan. Tolonglah! Takkan tak pernah makan kat KFC kut! Bikin gimik lebih saja! Rungut Arina.

Mata Alwiz sempat menangkap kerlingan tersebut. Dia tahu gadis itu masih menyimpan rasa marah padanya.

“Bila ayah kau nak balik dari Filiphina?” Dia membuka pertanyaan. Sengaja bertanya padahal dia sudah dimaklumkan oleh Suhana tentang Fahrin Toh yang hanya akan pulang dengan penerbangan malam esok.

“Esok dia balik.” Jawab Arina seraya memandang lelaki itu. Mata Alwiz tidak berkalih. Renungannya bertaut dengan sepasang mata milik Arina yang redup bersinar. Gadis itu tidak pula bertindak melarikan anak matanya seperti selalu.

“Bila kau nak bebaskan Chayi?” Tanya Arina ingin tahu.

“Lepas semuanya selesai. Lepas aku dapat apa yang aku mahu.”

“Apa sebenarnya yang kau mahukan Alwiz?”

Alwiz tidak menjawab. Dia tidak tahu bagaimana harus menjawab sebenarnya. Dalam hal ini dia amat yakin, Arina tidak pernah mengingati apa-apa pun mengenai masa lalunya. Tidak juga mengingati dirinya lagi!

“Jangan libatkan Arina, Alwiz.” Suara Magdalena Anna tergiang-giang di telinganya. Memberi amaran! Dia menarik nafas panjang.

“Apa yang kau cari sebenarnya dekat ruang tamu rumah aku tempohari?” Arina tiba-tiba teringatkan peristiwa malam itu. Sudah lama dia tergerak hati mahu bertanya apakah sebabnya lelaki itu curi-curi menyelongkar rumahnya. Hendak kata mencuri, pagi itu dia sempat memeriksa barang-barang di rumahnya dan ternyata tidak ada satupun yang hilang. Malah Mak Lang Suhana langsung tidak mengadu ada kehilangan barang atau sebagainya. Ini bermakna Alwiz tidak berniat mahu mencuri barang-barang di rumahnya. Jadi apa perlunya lelaki itu menyelongkar seperti pencuri? Apa tujuannya? Pening kepala Arina memikirkannya.

“Tak ada apa-apa.” Jawab Alwiz seraya menyuap salad ke mulutnya lalu dikunyah perlahan. Wajahnya tampak muram.

“Kenapa kau tak nak beritahu aku apa-apa tentang benda yang kau mahukan dari ayah aku? Penting sangatkah benda tu pada kau sehingga kau sanggup menculik adik aku dan ugut aku begini?” Soal Arina lagi. Dia sudah mula hilang sabar. Wajah Alwiz direnung agak lama.

“Ada banyak benda yang seeloknya tidak harus kau campur Arina. Jalani rutin hidup kau seperti biasa, seperti sebelumnya. Biarkan sahaja aku yang berurusan dengan ayah kau. Dan selepas Chayi dibebaskan, kau takkan jumpa aku lagi. Itu janji aku!” Bisik Alwiz perlahan. Ada getaran bermukim di hujung suaranya.

“Betul kau takkan muncul lagi dalam hidup kami?” Arina menagih sebuah kepastian.

Alwiz mengangguk lalu tersenyum hambar.

“Aku akan terima janji kau tu kalau kau beritahu aku sekarang ini, siapa diri kau yang sebenarnya Alwiz.” Balas Arina.

Alwiz tergaman. Tatapan mata Arina tajam menjamah serata wajahnya.

“Aku tak boleh beritahu….”

“Kau manusia?” Pintas Arina.

Alwiz mengerutkan dahinya. Hairan mendengar kata-kata Arina.

“Kenapa kau tanya begitu?”

“Beritahu aku yang aku tak gila bila aku mampu dengar suara kau dalam kepala aku. Dan tolong yakinkan yang aku juga tak gila bila kau tiba-tiba muncul di hadapan aku sedangkan jarak kita hampir sepuluh kaki. Siapa kau sebenarnya?”

Alwiz terdiam. Bicara Arina ditelan dengan wajah berkerut. Airmuka gadis itu serius menatap ke wajahnya.

“Dan aku juga nak tahu siapa yang kau kejar masa kita kat galeri tu tadi?”

“Aku tak tahu apa maksud kau.” Mata Alwiz beralih ke arah gelas di hadapannya. Air itu dihirup dengan straw tanpa mempedulikan pertanyaan gadis itu.

Arina mengetap bibirnya. Dia benar-benar meradang kerana tidak diendahkan. Bercakap dengan lelaki itu seperti bercakap dengan patung. Kenapa setiap kali dia bertanya, lelaki itu enggan menjelaskan apa-apa padanya? Dia sudah bosan dengan semua ini. Dia sudah hilang kesabaran berhadapan dengan sikap Alwiz yang langsung tidak difahaminya.

Tiba-tiba Arina mencapai gelas minumannya lalu isinya dicampakkan ke arah Alwiz. Lelaki itu terkejut besar. Malah seisi restoran yang sedang menjamu selera juga tergaman melihat kejadian itu. Suasana riuh rendah di restoran itu senyap seketika bagaikan dilanda garuda.

Alwiz memerhatikan dirinya yang basah kuyup. Perlahan-lahan dia mengangkat mukanya. Wajah gadis itu merah padam memandang ke arahnya. Mata Arina yang mencerlung garang sekadar ditatap tanpa niat mahu memarahi gadis itu. Perlahan-lahan Alwiz mencapai tisu di atas meja lalu mula mengelap wajahnya yang dibasahi coke.

“Marah aku sekarang.” Suruh Arina tiba-tiba.

Alwiz terpegun. “What?”

“Aku dah buat kau marah, jadi kau boleh buat apa sahaja yang kau suka. Bunuh saja aku kalau kau mahu. Puaskan hati kau tu.” Gumam Arina separuh geram.

Alwiz tersengih. Kata-kata gadis itu disambut dengan wajah tenang. Melihat gerak geri lelaki itu tidak berubah, hati Arina semakin dangkal. Tanpa berfikir panjang dia mengambil pinggan berisi ayam di hadapannya lalu dicampakkan ke arah Alwiz.

Melihat layangan pinggan itu tepat ke arah mukanya, mata Alwiz terbeliak. Dia tidak mengelak. Sebaliknya sepantas kilat tangannya menghalang di hadapan mukanya lalu menyambut pinggan lebar itu..

Gerakan lelaki itu yang cukup pantas membuatkan Arina terpegun. Kaget!

Alwiz meletakkan pinggan yang disambutnya di atas meja. Bukan dengan gerak geri perlahan tapi dihempas kasar di atas meja. Kemarahannya mula memuncak. Dia melirik tajam ke arah si gadis dengan wajah sebal. Benar-benar berang dengan tindakan Arina yang tidak dijangka. Matanya dialihkan ke arah sekitar ceruk restoran itu. Beberapa pelanggan yang berada di meja berhampiran kelihatan terlopong memerhatikannya.

Alwiz mula berasa tidak sedap hati. Dia tidak mahu tindakannya itu bakal membuahkan pertanyaan orang-orang yang sempat memerhatikannya. Lagi-lagi dia telah melakukan sesuatu yang mungkin dianggap aneh oleh kebanyakan orang-orang di situ.

Dia bingkas bangun. Tangan Arina ditarik kasar lalu mereka keluar dari restoran itu. Arina meronta-ronta cuba melepaskan diri, namun Alwiz langsung tidak mahu melepaskannya. Restoran di dalam pusat beli belah itu ditinggalkan agak jauh.

“Let me go.” Pinta Arina berkeras.

Alwiz tiba-tiba berhenti. Dia membalikkan tubuh memandang gadis itu. Wajah merah padam Arina ditatap dengan jarak yang agak dekat, menyebabkan gadis itu terkedu. Mulut Arina serta merta diam.

“Apa sebenarnya yang kau nak buktikan kat dalam tu tadi?” Tanya Alwiz dengan wajah merah padam. Giliran dia pula bertanya.

“Kau tahu tak tindakan kau tadi boleh membuatkan kita berdua dalam bahaya?” Marahnya lagi.

“Bahaya dari siapa? Kau yang sedang membahayakan diri aku Alwiz. Kau yang datang ke mari dan ugut aku. Kau dah lupa ke?” Getus Arina dengan wajah berang.

Alwiz terdiam. Dia tidak mahu bertekak dengan Arina lagi. Satu keluhan meniti keluar dari bibirnya.

“Cakap aku betul kan?”

Alwiz berpaling.

“Apa yang betul?”

“Kau bukan manusia biasa. Atau sememangnya kau bukan manusia.”

“Merepek!” Dengus Alwiz mulai berang.

“Manusia biasa takkan mampu bercakap hanya menggunakan fikirannya, manusia biasa takkan mampu menyambut pinggan yang aku lemparkan tu seperti tadi, atau muncul di hadapan aku sepantas kilat. Adegan tadi tu hanya sesuai muncul dalam filem Matrix. You are definitely not human.” Tukas Arina yakin.

“And you are definitely crazy.” Bentak Alwiz seraya mencekak lengan Arina. Gadis itu mengaduh kesakitan. Namun Alwiz seakan tidak peduli. Dia segera mengheret Arina keluar dari situ. Meninggalkan kawasan pusat beli belah itu.

“Macamana ni tuan? Mereka dah nak pergi tu.” Seorang lelaki mengingatkan teman di sebelahnya. Boorak menoleh.

“Macamana apa lagi? Kita ikut saja mereka. Kalau kita tahu mana mereka tinggal, lagi senang kerja kita. Lepas kita dapatkan perempuan tu, kita bunuh saja gerero tu dan bawa Arina balik ke tempat kita. Masa itu, tuanku akan gembira mendapat kembali perempuan tu.” Dia tersenyum lebar.

“Tapi Alwiz bukan gerero biasa tuan. Selagi Pencoit Saber berada di tangannya, kita bukan lawannya.” Kata-kata lelaki bertubuh kurus itu gementar. Dia masih mengeruni kilasan pedang yang mengeluarkan cahaya kemerah-merahan yang boleh melumpuhkan lawan. Pedang itu telah memakan korban beribu-ribu tentera Raja Kreuk dan menjadi lagenda di Drutasia.

Pencoit Saber milik Gunung Ais itu bukan calang-calang pedang biasa seperti ratusan pedang tak bertuan yang tertanam di Gunung Ais. Hanya yang terpilih akan memiliki pedang itu dan menguasai kekuatannya yang dahagakan darah. Setiap tulang belulang yang terkena penangan pedang itu akan membeku menjadi flos lalu akhirnya tulang-tulang itu akan hancur berderai.

Kata-kata orang bawahannya membuatkan Boorak terdiam seketika. Jauh di sudut hati dia juga menggeruni Alwiz. Malah ramai teman-temannya yang telah terkorban nyawa angkara lelaki itu.

* * * *

ARINA menghempas pintu kereta dengan kuat. Ia sengaja dilakukan sebagai tanda protes untuk Alwiz. Dengan wajah yang menyinga, dia segera beredar masuk ke dalam rumahnya.

Alwiz yang memerhatikan gerak geri gadis itu hanya mampu memandang tanpa bersuara. Perlahan-lahan dia turut keluar dari perut kereta lalu menuju ke bonet belakang untuk mengambil saki baki barang-barang yang dibeli Arina dari pusat beli belah tadi.

Sebaik dia menutup bonet kereta, tiba-tiba matanya terpandang kelibat Arina muncul di sampingnya. Alwiz tergaman. Gadis itu dilihatnya pucat lesi.

“Kenapa?” Tanya Alwiz, hairan dengan perubahan wajah gadis itu. Tadi masam mencuka, sekarang gelisah pula!

Arina tidak menjawab. Hanya jari telunjuknya dihalakan ke arah rumahnya. Alwiz berpaling, namun dia tidak melihat apa-apa yang aneh di situ. Apa yang mahu diperkatakan oleh Arina sebenarnya?

“Ayah….ayah dah balik.” Sebut Arina tergagap-gagap.

Alwiz terdiam. Fahrin Toh dah pulang ke mari? Tapi bukankah dia hanya akan pulang keesokan harinya? Itu yang diberitahu oleh Suhana dan sumber itu juga yang diperolehi dari Mr. Joshee kelmarin.

Belum sempat dia membalas kata-kata Arina, tiba-tiba dia terpandang kelibat Suhana bersama seorang lelaki separuh umur di muka pintu. Matanya bersapa dengan pandangan Fahrin Toh yang penuh curiga, sedang memerhatikan ke arahnya dengan renungan tajam.

“Makcik aku dah beritahu ayah aku fasal kita. Dia nak jumpa kau sekarang.” Sambung Arina gelisah. Dia sendiri terkejut apabila melihat ayahnya tiba-tiba muncul petang itu. Mulanya dia gembira melihat lelaki itu. Tapi belum sempat dia mahu memeluk ayahnya, pertanyaan lelaki itu yang cukup keras membuatkan dia tersentak.

“Siapa lelaki tu?”

Dia tergaman. Matanya menjeling Suhana yang memberi isyarat agar dia menjawab dengan tenang. Tapi bolehkah dia berlagak tenang walhal hakikatnya dia sedang berbohong di hadapan semua orang?

“Dia…dia…”

“Betul dia tunang Arin?” Sekali lagi pertanyaan Fahrin Toh singgah, membuatkan Arina mati kutu mahu menjawab. Sudahnya dia hanya mampu terkedu memandang wajah ayahnya yang merah padam

“Pergi panggil dia. Ayah nak jumpa dia sekarang juga.” Tegas nada arahan Fahrin Toh. Jelingan tajam lelaki itu cukup untuk membuatkan dia terburu-buru keluar dan mencari Alwiz. Perasaan hatinya bagaikan berperang sesama sendiri di dalam. Rasa takut dan gelisah membuatkan tubuhnya mengigil dan gementar.

Dia berpaling ke arah Alwiz. Anehnya lelaki itu langsung tidak menunjukkan respon yang sama sepertinya. Sebaliknya Alwiz dengan tenang memaut lengannya lalu mengheretnya ke arah ayahnya.

Arina tergaman. Tindak tanduk lelaki itu pasti akan membuatkan ayahnya tambah berang. Arina memang sedia maklum dengan sikap ayahnya yang pemarah. Apatah lagi dengan apa yang telah berlaku pada keluarga mereka sejak akhir-akhir ini. Hal antaranya dengan Alwiz pasti akan melonjakkan kemarahan lelaki itu.

“Encik Fahrin…” Alwiz tunduk hormat lalu menghulurkan tangannya. Namun Fahrin Toh langsung tidak menyambutnya. Wajah lelaki itu merah padam menatap wajah Alwiz dari atas ke bawah. Dia benar-benar mahu tahu siapakah lelaki yang tiba-tiba muncul di rumahnya dan mengaku tunang anaknya.

“Saya Alwiz Syah…Arin’s fiancee.” Alwiz memperkenalkan dirinya. Selamba.

Arina yang mendengar tergaman. What? Dia tak nampak ke muka ayah aku yang macam asam keping tu, ada hati lagi mengaku aku ni tunangnya? Gumam Arina geram dengan sikap Alwiz.

“Awak kata awak tunang anak saya. Is it true?”

Alwiz mengangguk.

“Saya tak percaya!” Keras suara Fahrin Toh membalas.

Alwiz terdiam. Dari nada suara lelaki itu, dia tahu angin lelaki itu sedang memuncak.

Suhana yang berada di tengah-tengah antara Fahrin Toh dan Alwiz cepat-cepat menyampuk. “Apakata kita masuk dulu bang, bincang elok-elok.” Pujuk Suhana. Tak sudah jadinya mereka berbincang di hadapan pintu begini.

Fahrin Toh tersenyum sinis. “Tak ada apa yang perlu dibincangkan lagi. Saya nak awak kemaskan barang-barang awak dan keluar dari rumah saya sekarang juga.” Arahan Fahrin Toh mengejutkan seisi yang mendengar. Suhana dan Arina saling berpandangan sesama sendiri. Alwiz pula kelihatan tenang mendengar kata-kata lelaki itu.

“Bang, jangan buat macam ni, tak elok. Apa-apa pun, benda dah nak jadi. Alwiz ni baik budaknya.” Pujuk Suhana cuba mengubah keputusan abangnya. Namun lelaki itu menoleh dengan raut wajah garang membuatkan Suhana terkedu. Gerun melihat tatapan mata abangnya yang seperti mahu menerkam.

“Encik Fahrin, saya sayangkan Arina. Saya benar-benar sayangkan dia.” Ujar Alwiz secara tiba-tiba. Fahrin Toh menoleh. Wajah lelaki muda itu membayangkan keyakinan. Fahrin Toh menoleh pula ke arah anaknya. Arina terkebil-kebil memandang ke arah Alwiz.

“Saya kenal siapa anak saya. Dia takkan bertunang dengan sesiapa pun tanpa pengetahuan saya ayahnya. Awak takkan boleh menipu saya jika itu tujuan awak.” Tukas Fahrin Toh tidak mahu percaya.

“Saya boleh buktikan pada Encik Fahrin yang Arina benar-benar tunang saya, kalau itu yang Encik Fahrin mahukan.” Balas Alwiz.

Arina yang mendengar tercengang. Buktikan? Dengan apa? Bagaimana? Sedangkan dia tidak pernah bertemu dengan Alwiz sebelum ini. Lelaki itu benar-benar sudah gila!

Dia memandang ayahnya yang kelihatan sedang memikirkan sesuatu. Hati Arina mengharapkan agar ayahnya takkan termakan pujuk dengan kata-kata lelaki itu. Kalau boleh dia mahukan ayahnya menghalau Alwiz pergi dari situ. Lagipun dia tidak mahu tahu apa-apa tentang bukti yang dikatakan oleh Alwiz. Tapi apakah wajar lelaki itu dihalau sedangkan lelaki itu adalah satu-satunya kunci untuk dia melepaskan adiknya?

“Baik, kalau awak mampu buktikan kata-kata awak tu, saya sedia untuk mendengar.” Balas Fahrin Toh akhirnya.

Arina tergaman. Dia menjeling ke arah Alwiz yang tersenyum memandangnya. Melihat senyuman lelaki itu, hatinya tiba-tiba rasa jengkel. Meluat betul dia melihat lelaki itu !

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!