Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 8


Zafran menumbuk meja di hadapannya agak kuat. Wajahnya merah padam menahan marah yang menggunung tinggi. Wajah ayahnya dan Duha Maisara dipandang silih berganti. Tajam renungannya, membuatkan Duha Maisara langsung tidak berani mengangkat muka.

Dia benar-benar tidak sangka kepulangan Zafran hari itu membawa angin puting beliung. Kalau dia tahu begini, baik dia overtime saja di tempat kerjanya. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu menanggung beban resah yang berpanjangan.

Zafran melempiaskan dirinya ke dada sofa. Namun matanya masih menatap ke arah ayahnya yang terpaku di suatu sudut. Mulut Zafran melepaskan keluhan berat. Sudah lama dia bersabar dengan lelaki itu. Tapi nampaknya sabarnya hanya sia-sia sahaja. Dia benar-benar hampa dengan sikap lelaki itu.

“Yan benar-benar tak sangka ayah macam ni. Yan ingat bila usia ayah dah meningkat, ayah akan berubah sikap. Ayah akan ingat tanggungjawab ayah, tapi dugaan Yan silap. Ayah benar-benar mengecewakan Yan.” Ujar Zafran kesal.

Bustaman terdiam. Dia mengerling Duha Maisara yang tercegat macam tunggul kayu. Duha Maisara turut memandangnya. Wajah gadis itu nampak serba-salah.

“Ayah jangan nak pandang Duha macam tu. Bukan Duha yang ceritakan pada Yan perihal ayah ni. Ada orang nampak ayah kena tahan polis di sarang judi tu.” Getus Zafran.

            “ Yan, ayah…ayah tak sengaja.” Balas Bustaman tergagap-gagap.

            “Tak sengaja? Tak sengaja berjudi atau tak sengaja memukul orang? Ayah tahu tak betapa Yan malu dengan sikap ayah ni. Dari ayah muda sampai ke tua, sikap ayah langsung tak berubah. Sampai bila ayah nak macam ni?” Soal Zafran, benar-benar rungsing. Bustaman terdiam. Dia sudah mati kutu mahu menjawab.

            “Nasib lelaki tu tak mati. Tapi kalau dia mati bagaimana? Ayah akan di penjarakan, ayah tahu tak?” Sambung Zafran separuh geram.

            “Duha pun satu. Kenapa Duha tak beritahu abang fasal ayah? Duha ingat dengan merahsiakan hal ni, abang takkan tahu sampai bila-bila, begitu?” Giliran Duha Maisara pula dihujani pelbagai pertanyaan. Mata Zafran melirik tajam ke arahnya. Duha Maisara serba-salah.

            “Sekarang beritahu abang, mana Duha dapat wang sebanyak tu untuk jamin ayah?” Soal Zafran.

            Duha Maisara memandang ayahnya, namun Bustaman tunduk tidak berani mengangkat wajah. Lelaki itu memang takutkan Zafran sejak dulu.

            “Err…Duha keluarkan wang simpanan Duha.” Jawabnya.

            Zafran tergaman. Wang simpanan? “Banyak simpanan Duha sampai beribu. Betul itu duit Duha sendiri, bukan Duha pinjam dari sesiapa?” Soal Zafran lagi bagaikan kurang percaya.

            Duha Maisara menganggukkan kepalanya. Namun matanya seakan tidak mampu bertentang pandang dengan Zafran. Bimbang Zafran dapat menghidu pembohongannya. Bagaimana kalau Zafran dapat tahu wang yang digunakan untuk menjamin ayahnya dipinjam dari Mami Jun? Entah mengapa Duha Maisara serba salah jadinya. Tiba-tiba dia rasa bersalah kerana berbohong dengan Zafran.

*  *  *  *

            Mata Zafran asyik mencuri pandang wajah ayu Duha Maisara yang sedang menghirup secawan kapucino pekat. Tingkahlaku Duha Maisara lemah lembut memikat hati. Dia terkesima seketika apabila sepasang mata berbulu lentik itu mengangkat wajah memandangnya. Terasa dadanya sarat dengan debaran. Hati lelakinya bergetar tak tertahan.

            “Kenapa abang pandang Duha macam tu? Abang masih marahkan Duha?” Duga gadis itu, sedikit resah.

            Zafran melarikan matanya. Dia memandang cawan kopinya sendiri yang masih banyak berbaki. Hatinya terusik.

            “Duha tahu Duha salah. Duha tak patut rahsiakan dengan abang fasal ayah ditangkap polis. Duha minta maaf, bang,” ucap Duha Maisara.

            Zafran mengeluh. Lagi-lagi soal ayahnya menjadi punca perbincangan mereka setiap kali bertemu. Kadangkala dia risaukan keselamatan Duha Maisara. Apatah lagi ayahnya memang ramai musuh. Zafran risau jika salah seorang musuh ayahnya datang mencari Duha Maisara untuk membalas dendam.

            “Lain kali Duha jangan buat macam ni lagi. Apa-apa saja yang ayah buat, Duha kena beritahu abang. Abang sayangkan Duha. Abang tak mahu apa-apa yang buruk berlaku pada Duha.”

            Duha Maisara terdiam mendengar kata-kata Zafran. Dia tahu lelaki itu mengambil berat tentangnya. Dalam dunia ini, hanya Zafran yang baik dengannya. Kalau tiada Zafran, mungkin dia sudah mati di kaki lima.

            “Ayah tu tak jahat. Dia cuma suka berjudi, tapi dia baik dengan Duha,” ujar Duha Maisara. Zafran menarik nafas panjang. Apakah kata-kata Duha Maisara itu ikhlas atau sekadar untuk menyedapkan hatinya. Mana mungkin lelaki tua itu melayan Duha Maisara dengan baik. Bukan dia tidak tahu sikap ayahnya selama ini.

            “Kerja abang kat hospital tu macamana?” Tanya Duha Maisara tiba-tiba. Sengaja dia mahu menukar topik dari terus berbual fasal ayahnya.

            “Okey, tak lama lagi praktikal abang tamat. Kemungkinan abang akan ditugaskan di hospital yang sama.”

            “Baguslah kalau macam tu. Senang Duha nak berulangalik melawat abang nanti.” Duha Maisara tersenyum senang. Lega mendengar perkhabaran Zafran. Bimbang juga dia jika Zafran ditugaskan di hospital yang agak jauh, mana mungkin dia boleh bertemu Zafran selalu.

            “Kalau abang dah ditugaskan nanti, abang nak cari rumah lain yang dekat dengan hospital. Abang nak Duha tinggal dengan abang.” Putus Zafran.

            “Ayah?”

            “Ayah tak termasuk dalam rencana abang. Hanya kita berdua, Duha.” Ujar Zafran serius. Duha Maisara tersentak. Dia memandang Zafran yang turut merenungnya. Pandangan keduanya bertaut.

            “Duha tak faham…”

            “Abang nak Duha tinggal dengan abang. Duha saja, bukan ayah.”

            Duha Maisara tergaman. Dia keliru jadinya mendengar kata-kata Zafran itu. Apa maksud Zafran mengatakan hanya mereka berdua sahaja yang tinggal? Bagaimana dia boleh tinggal berdua saja dengan Zafran. Zafran lelaki dan dia seorang gadis. Mana mungkin dia tinggal berdua dengan Zafran dalam satu rumah. Lagipun, dia dan Zafran bukannya adik beradik di sisi agama, meskipun ayah Zafran yang membelanya.

            Tangan Zafran tiba-tiba meraih jari-jemarinya. Jemari halus runcing itu dibawa rapat ke dadanya. Duha Maisara terkejut besar dengan tindakan Zafran.

            Apabila mata anak muda itu menatapnya tidak berkelip, Duha Maisara terkedu. Bingung dengan panahan mata Zafran yang nampak berbeza.

            “Lepas abang tamat latihan nanti, abang nak bawa Duha tinggal dengan abang. Abang nak kita hidup bersama sampai bila-bila pun. Abang nak Duha wujud dalam hati abang sama macam dulu. Abang nak Duha jadi isteri abang.” Ucapan Zafran membuatkan jantung Duha Maisara bagaikan terhenti berdegup. Dia memandang lelaki itu seperti tidak percaya. Namun wajah Zafran tampak serius.

*  *  *  *

            Sepanjang malam dia tidak dapat lena. Sekejap dia berbalik ke kanan, sekejap dia berbalik ke kiri pula. Namun matanya masih tidak dapat dilelapkan. Pengakuan Zafran hari ini benar-benar di luar dugaan.

            “Abang dah lama sukakan Duha, sejak kali pertama ayah abang bawa Duha balik ke rumah. Duha tahu kan yang abang tak ada adik beradik perempuan. Waktu itu abang sayangkan Duha dan anggap Duha macam adik abang. Kita membesar sama-sama. Tapi entah sejak bila, perasaan abang mula bertukar. Sayang abang bertukar menjadi cinta. Abang cintakan Duha.”

            Matanya dipejamkan. Entah kenapa kata-kata Zafran membuatkan dadanya bergolak kencang. Selama ini Zafran tidak pernah menunjukkan tanda-tanda menyukai dirinya lebih dari seorang adik. Malah bersama Zafran, dirinya terasa dilindungi oleh seorang abang. Mana mungkin lelaki itu akan mencintainya.

            Duha Maisara bingkas bangun. Dia pantas membuang selimut yang membalut tubuhnya. Kakinya dihela menghampiri jendela biliknya yang sedikit terbuka. Matanya memandang awan gelap. Entah mengapa, perasaan Duha Maisara terhimbau pada kenangan lama.

            Dia cuba bangun, namun kepalanya terasa berdenyut kuat. Dia mendesis kesakitan. Kepalanya lantas jatuh ke dada bantal semula. Dia tidak berupaya langsung untuk bangun. Tangannya meraba-raba kepalanya yang berbungkus kain putih. Terasa perit.

            “Jangan bangun, kepala awak cedera. Nanti lagi teruk jadinya.” Muncul suara yang entah di mana gerangannya. Dia tergaman. Kepalanya ditoleh ke sebelah kiri. Cepat sahaja matanya menangkap sesusuk tubuh seorang budak lelaki yang sedang duduk membaca di tepi tingkap, mengadap ke arahnya.

            “Abang ni siapa?” Tanyanya ingin tahu.

            Mendengar suaranya bertanya, budak lelaki itu menoleh sebentar. Namun belum sempat budak itu ingin membalas, pintu bilik itu terburu-buru dikuak dari luar. Kedua-dunya serentak berpaling. Seorang lelaki berusia awal 40an melangkah masuk, tergesa-gesa.

            “Yan, ayah kena pergi sekarang. Kamu tunggu di rumah ni elok-elok. Kalau ada orang datang tanyakan ayah, jawab saja kamu tak tahu,” pesan lelaki itu. Dia ingin beredar keluar, namun matanya tertancap pada wajah gadis kecil yang sedang memandangnya dari katil bujang di bilik itu.

            Perlahan-lahan lelaki itu mendekatinya. “Kamu dah sedar ya? Baguslah, dah tiga hari kamu pengsan tak sedarkan diri. Ini rumah aku. Aku yang bawa kamu balik ke rumah ni. Nama aku Bustaman dan itu anak aku Zafran.” Lelaki itu memperkenalkan dirinya.

            Dia sekadar memandang kosong pada dua wajah asing itu. Fikirannya jadi keliru  tiba-tiba.

            “Siapa nama kamu ni? Kat mana kamu tinggal?” Soal lelaki itu.

            Dia tidak menjawab. Matanya asyik mengawasi kelibat lelaki itu. Sesaat pandangannya beralih ke arah budak lelaki yang turut memandangnya. Haruskah dia percaya pada lelaki itu? Bagaimana kalau lelaki itu sama macam lelaki-lelaki yang pernah menangkapnya dulu.

            “Aku tanya siapa nama kamu? Takkan nama sendiri pun tak ingat,” kata-kata lelaki itu berupa sindiran. Pedas kedengaran.

            Dia memandang lelaki itu agak lama. Beberapa ketika, bibirnya terketar-ketar menyebut namanya. “Maisara. Du..Duha Maisara.”

            Dia tidak tahu kenapa dia harus berbohong. Tapi pada waktu itu, fikirannya tak dapat berfikir panjang. Nama Maisara terlalu dekat di hatinya kerana itu nama ibunya. Asalnya dia tidak ingat bagaimana dia boleh sampai ke rumah Bustaman dua beranak. Namun suatu hari dia mendengar Zafran dan ayahnya bergaduh besar.

            “Yan takkan bagi ayah pergi lagi. Ayah tak boleh tinggalkan rumah ni.” Jerit Zafran ketika itu.

            “Yan, ayah kena lari. Along tu dah tahu kat mana ayah tinggal. Kalau sampai dia jumpa, mati ayah nanti.”

            “Tak boleh. Kalau ayah nak lari, ayah kena bawa Yan sekali. Yan nak ikut ayah.”

            “Habis budak tu bagaimana? Ayah tak boleh bawa dia. Kalau Yan nak ikut ayah, Yan kena setuju dengan cadangan ayah.”

            Zafran kedengaran terdiam. Duha Maisara mendekatkan dirinya pada pintu. Entah mengapa hatinya teramat ingin tahu kemelut apa yang sedang melanda keluarga itu sebenarnya.

            “Tak boleh. Kita tak bolehkan tinggalkan Duha macam tu saja. Kasihan dia. Lagipun ayah yang langgar dia. Kalau bukan sebab ayah, tentu dia masih ingat siapa kelaurganya. Tentu kita boleh hantar dia kepada keluarganya.” Bentak Zafran radang.

            Duha Maisara terpempan mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Zafran. Baru dia ingat tentang kemalangan yang dialaminya beberapa minggu yang lalu. Dia masih ingat bagaimana ketika dia cuba melarikan diri dari lelaki-lelaki yang menangkapnya, sebuah kenderaan muncul tiba-tiba semasa dia hendak melintas. Namun yang dia ingat hanyalah pancaran cahaya yang menyuluh ke wajahnya. Selepas itu dia tidak ingat apa-apa. Sedar-sedar sahaja kepalanya sudah berbungkus. Rupa-rupanya Bustaman yang melanggarnya.

            “Syy, jangan cakap kuat sangar, dengar dek budak tu nanti. Ayah tak sengaja langgar dia. Lagipun dia yang tiba-tiba muncul di hadapan van ayah.” Bustaman cuba membela diri.

            “Tapi ayah bawa dia balik ke rumah kita, sedangkan ayah sepatutnya bawa dia ke hospital. Yan tahu, ayah takut ditangkap polis kan?” Duga Zafran.

            Bustaman terdiam. Anak itu terlalu pintar untuk dibohongi.

            “Ayah nak tunggu sampai dia ingat, baru ayah nak pulangkan dia pada keluarganya.” Jawab Bustaman, cuba memberi alasan.

            “Bukan ayah nak tinggalkan saja dia macam tu sebab nak lari dari along?’

            Duha Maisara tersandar lemah di dinding bilik. Hatinya terasa sebak. Rupa-rupanya Bustaman mahu meninggalkan dia sendirian. Sebenarnya bukan dia tidak ingat siapa dirinya, siapa keluarganya. Hanya dia berpura-pura tidak ingat. Lagipun apa gunanya dia kembali ke rumah itu, kalau ibunya sudah pergi mengadap Ilahi.

            Tapi kerana Zafran, Bustaman sudi jua membawa dia pergi. Hari itu juga mereka meninggalkan tempat itu dan memulakan kehidupan baru di tempat lain. Kepada Bustaman, dia memanggil lelaki itu ayah dan Zafran menjadi abangnya saat itu. Namun hidupnya bukan semudah yang disangka. Lagi-lagi kerana Bustaman terang-terangan menunjukkan sikap pilih kasih terhadapnya.

            Sedari kecil, dia sudah bekerja di merata tempat. Malah dipaksa bekerja keras, sedangkan Zafran disuruh belajar. Namun dia langsung tidak kisah. Lagipun Zafran lebih pandai belajar darinya. Lagipun dia amat bersyukur kerana dibenarkan tinggal di situ.          Kalau bukan kerana Zafran dan ayahnya, mungkin jua dia akan membesar dan kelaparan di jalan. Mungkin jua dia akan mati di jalanan.

            “Mulai hari ni, Duha adik abang….”kata-kata Zafran hanya disambut dengan senyuman. Dia tahu Zafran menyayanginya.

            “Betul Duha tidak ingat siapa keluarga Duha?”

            Dia menggelengkan kepala.

            “Tapi Duha boleh ingat nama Duha sendiri. Aneh kan!”

            Dia hanya diam mendengar bicara Zafran ketika itu. Hendak berterus terang pada Zafran, dia bimbang lelaki itu akan menuduhnya pembohong besar. Malah Zafran mungkin akan menghalau dia keluar dari tempat itu. Sedangkan dia masih perlukan perlindungan Zafran dan ayahnya. Dia masih mengingini kasih sayang Zafran terhadapnya. Oh tuhan! Apa patut aku lakukan sedangkan luka di hati ini terlalu ingin aku lupakan buat selama-lamanya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!