Followers

Wednesday, September 8, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 24

SURIA memandu keretanya menuju ke arah HKL. Dia dalam perancangan mahu bertemu dengan Doktor Ibrahim, koroner yang telah ditugaskan melakukan autopsi ke atas mayat Masyitah Kassim.

“Maaf, saya nak cari Doktor Ibrahim.” Sapa Suria pada seorang lelaki berkepala botak yang baru keluar dari bilik di hadapannya.

“Cik ni siapa?” Soal lelaki itu dengan wajah berkerut.

“Saya Suria, wartawan dari Stesyen KZM.” Suria memperkenalkan dirinya. Kali ini dia cukup pasti, orang yang ingin dicarinya sudah berada di hadapan mata.

“KZM? You ni Cik Suria Baharom kan?”

Sebelum sempat Suria mengiyakan, seorang lelaki tiba-tiba muncul dari belakang Doktor Ibrahim. Mata Suria beralih arah. Dia memandang lelaki berjaket itu dengan perasaan sebal. Lelaki itu turut merenungnya dengan wajah merah padam. Sejurus Izwan berpaling ke arah Doktor Ibrahim.

“Doktor pergi dulu, sekejap lagi saya datang.” Suruh lelaki itu. Tanpa banyak soal, Doktor Ibrahim terus melangkah pergi.

Suria terpinga-pinga melihat lelaki berkepala botak itu lewat di hadapannya. Dia terburu-buru mahu mengejar. Namun pegangan lelaki berjaket itu terlebih dahulu singgah di pergelangan tangannya. Suria terpempan. Bulat biji matanya menatap lelaki itu. Hujung bibirnya diketap geram.

“Tuan Izwan, could you please let me go?” Suria meronta-ronta agak kasar.

“Kalau kau nak cari maklumat tentang Masyitah, aku tak boleh benarkan.” Balas lelaki itu. Suaranya tegas.

Suria terdiam. Renungan matanya singgah lama di wajah Izwan yang membalas tatapan matanya dengan berani. Sekelumit senyuman hadir di bibir lelaki itu, menyebabkan Suria merasa dirinya seperti dipermainkan.

* * * *

Suria menghirup jus orangenya dengan rakus, sambil matanya melirik ke arah Izwan yang sedang serius bercakap menggunakan telefon bimbit. Matanya meratah lama pada wajah lelaki berkumis nipis itu. Kulit lelaki itu sawo matang dengan alis kening yang tak terlalu tebal seperti sesetengah lelaki lain.

Dalam diam-diam, entah mengapa dia cuba membandingkan wajah lelaki itu dengan Nazrul. Nazrul berkulit putih, kacak, selalu sahaja tersenyum dan kadangkala suka tergelak. Lelaki di hadapannya pula nampak lebih serius apabila berbicara. Wajahnya boleh tahan juga walaupun tidak sekacak Nazrul. Not bad! Ada aura yang boleh membuatkan seorang wanita memandangnya sehingga dua tiga kali. Ah! Kenapa pula dengan aku ni? Gila ke tiba-tiba membandingkan mereka berdua? Apa relevennya? Suria menggelengkan kepalanya. Cuba membuang pelbagai fikiran karut di kepalanya.

Apabila Izwan menghabiskan perbualan, mata lelaki itu segera berkalih ke arahnya. Suria jadi gugup. Sepantas kilat anak matanya dilarikan, segan jika Izwan perasan bahawa dia tak sudah-sudah merenung wajah lelaki itu penuh asyik.

Izwan tidak terus bersuara. Anak matanya asyik meneliti anak gadis itu yang nampak simple dengan blouse dan jeans yang senada. Rambut Suria diikat tocang ekor kuda. Sesekali pandang, wajah Suria kelihatan keanak-anakan dengan fesyen rambut sebegitu.

“Okey, apa kau nak tahu fasal kes tu?” Soal Izwan kembali serius.

Suria menarik nafas panjang. Dia seolah bermimpi apabila lelaki itu tiba-tiba mengajaknya minum di kantin hospital. Dan dia juga tidak percaya bila lelaki itu mengaku akan menjawab setiap pertanyaannya.

“Betul kau nak tolong aku?” Soal Suria masih ragu-ragu.

“Cik Suria, lima minit aje. After that you have to go.” Balas Izwan acuh tak acuh. Suria termenung panjang. Apa soalan yang boleh ditanya dalam masa lima minit?

“Okey, kalau macam tu aku nak tahu tentang orang yang mengirimkan email pada aku tempohari. Kau dah jumpa dia?” Soal Suria ingin tahu.

Izwan tidak terus menjawab. Nafasnya direngus kasar sambil matanya menatap ke arah Suria tidak berkelip. “Kami dah serbu tempat tu, tapi ia hanya rumah kosong yang dah dua tahun tak berpenghuni. Kami tak jumpa sesiapa pun kat sana.” Beritahu Izwan.

“Rumah kosong? Mustahil! Kalau kosong, bagaimana isyarat tu boleh datang dari situ?” Suria mengerutkan dahinya. Aneh!

“Kami pun tak pasti bagaimana boleh berlaku begini. Tapi dalam dunia di mana teknologi dari hari ke sehari semakin canggih, semua ini tak mustahil jika ada orang sengaja memanipulasikan pihak polis dan wartawan sendiri.” Sambung Izwan selamba.

Suria terdiam. Ligat kepalanya memikirkan persoalan itu. Pintar juga orang yang mengirimkan email itu kepadanya. Dia kembali melontarkan pandangan ke arah Izwan.

“Sejauh mana siasatan pihak polis terhadap kes kematian Masyitah?”

“Setakat ini kami masih mengumpul bukti.”

“Apakah benar dia dibunuh?”

Izwan menggelengkan kepala. “Belum tahu lagi.” Tenang nada suara Izwan memberitahu.

“Belum tahu?” Suria tercengang.

“Ya, selagi tidak ada bukti baru yang boleh mengaitkan mangsa dengan pembunuh itu, kami tak boleh keluarkan laporan rasmi.” Jawab Izwan acuh tak acuh.

Suria memandang lelaki itu dengan rasa tidak puas hati. Entah kenapa, jawapan Izwan bagaikan berdolak-dalih dengannya.

“Boleh aku tahu kenapa kes ini ada campurtangan pihak unit risikan?” Mata Suria memandang tepat ke wajah lelaki itu.

Izwan terpaku. Pertanyaan Suria yang terus-terang membuatkan dia terkedu. Bebola matanya mencerlung tajam ke wajah Suria.

“Kau sendiri tahu kan yang aku tak boleh bincangkan soal penglibatan Unit D4 dalam kes ini. Kau anak bekas polis, tentu kau faham dengan maksud aku.” Bidas Izwan.

Suria menarik nafas panjang. Sukarnya dia mahu berbicara dengan lelaki seperti Izwan. Lelaki itu benar-benar sebal dan menjengkelkan hati. Kata nak berterus terang, tapi jawab macam hendak tak hendak sahaja! Rungut Suria sudah mula bosan dengan situasi yang dihadapinya.

“Macam aku katakan tadi, selagi tidak ada bukti baru, kami tak boleh keluarkan sebarang statement tentang kes ini. Harap kau faham. Oh ya, aku belanja untuk minuman tu.” Lelaki itu segera bingkas bangun.

Suria terpinga-pinga. Kelibat Izwan yang berlalu pergi meninggalkan perkarangan kantin hospital disorot dengan sepasang matanya yang membulat. Keluhannya meluncur laju dari bibir. Degilnya si Izwan ni, langsung tak mahu membantu. Menyesal pula dia bermurah hati memberikan foto-foto tempohari pada lelaki itu. Suria mengguman sendiri.

Selesai menghirup saki baki minumannya, Suria turut beredar meninggalkan perkarangan kantin hospital. Destinasi yang ditujunya ialah bilik Doktor Ibrahim. Moga-moga Doktor Ibrahim boleh menjelaskan tentang butir perkara yang terkandung dalam bedah siasat mayat Masyitah dengan lebih terperinci. Belum sempat dia mahu mengetuk pintu bilik Doktor Ibrahim, tiba-tiba pintu di hadapannya terkuak. Seorang lelaki berkulit hitam legam keluar dari bilik Doktor Ibrahim dalam keadaan mencurigakan. Suria tergaman. Siapa pulak ni?

Apabila lelaki itu berpaling, wajahnya menjadi sasaran. Suria tergaman. Airmuka lelaki itu membuatkan dia gerun. Aatah lagi dia menyedari, sepasang mata lelaki itu sedang merenung tajam ke arahnya. Lelaki itu tiba-tiba mengatur langkah deras ke arahnya. Dia jadi cemas sekaligus curiga dengan lelaki itu. Namun lelaki itu hanya melewatinya tanpa melakukan apa-apa. Suria menarik nafas lega. Dia memberanikan dirinya memandang lelaki itu. Matanya sempat melirik parut panjang di bahagian pelipis kiri lelaki berkulit hitam itu.

Sebaik kelibat lelaki itu menghilang, dia kembali menoleh ke arah bilik Doktor Ibrahim yang sedikit renggang. Daun pintu dikuak selebarnya. Kepalanya menjengul masuk dari celah-celah pintu yang terbuka luas. “Doktor?” Panggilnya perlahan.

Bunyi suara mengerang tiba-tiba singgah di cuping telinganya. Dahinya segera berkerut. Dia segera bergegas masuk. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat bilik lelaki itu bersepah bagaikan baru dilanda garuda. Tambah dia terkejut apabila melihat sekujur tubuh sedang terbujur kaku di atas lantai dengan wajah lebam dan dahi yang berdarah. Doktor Ibrahim?

* * * *

Dia memerhatikan dengan gerun tatkala jururawat berbadan gempal itu asyik membersihkan luka di wajah Doktor Ibrahim. Sesekali lelaki separuh umur itu mendesis kesakitan. Bibirnya yang pecah disapu dengan antiseptik pembasmi kuman.

Izwan yang berdiri di penjuru pintu hanya mampu mengeluh. Pandangannya singgah pada Suria sebelum perhatiannya tumpah pada Doktor Ibrahim. Mujurlah dia belum jauh meninggalkan perkarangan hospital itu ketika Suria menghubunginya melalui telefon bimbit Doktor Ibrahim.

“Saya dah arahkan orang-orang saya geledah seluruh kawasan hospital ni. Malah deskripsi wajah orang yang mencederakan doktor sudah saya jelaskan pada orang-orang saya. Kalau betul dia masih berada di dalam kawasan hospital ni, kita akan jumpa dia secepat yang mungkin.” Ujar Izwan.

Doktor Ibrahim mengangguk. Dia memandang Suria yang nampak resah. “Terima kasih Cik Suria. Kalau tak ada Cik Suria, entah apa jadi pada saya.” Ujar Doktor Ibrahim. Dia benar-benar terhutang budi pada gadis itu. Suria hanya mengangguk lesu.

“Doktor tahu apa yang lelaki tu mahukan?” Soal Izwan lagi ingin tahu.

Doktor Ibrahim terdiam. Dia sendiri tidak kenal siapakah lelaki berkulit hitam legam itu. Ketika lelaki itu masuk ke biliknya, dia seolah-olah dipukau.

“Lelaki tu bertanyakan di mana mayat Masyitah disimpan. Dia juga minta saya keluarkan semua laporan-laporan yang berkaitan dengan kematian Masyitah. Bila saya enggan, dia pukul saya.” Cerita Doktor Ibrahim.

“Doktor pernah lihat dia sebelum ni?”

Doktor Ibrahim menggeleng. “Tak pernah nampak. Tapi tumbukan dia kuat betul. Saya nampak dia tumbuk semua cermin yang ada kat dalam bilik ni sampai pecah.” Mata Doktor Ibrahim merayap ke arah deraian kaca dari cermin tingkap biliknya serta cermin dari bingkai potret. Kelakuan lelaki itu memang aneh!

Suria memandang ke arah kaca-kaca yang bertaburan di merata tempat. Dia naik gerun memikirkan lelaki yang dilihatnya sebentar tadi. Apabila pandangannya beralih arah, matanya bertembung pandang pula dengan Izwan yang sedang memerhatikannya.

“Kau pula bagaimana? Pernah nampak lelaki tu sebelum ni?” Soal Izwan serius. Suria cepat-cepat menggelengkan kepalanya. Izwan mengeluh panjang. Kalau semuanya tak nampak, bermakna sukarlah dia mahu mengesan lelaki itu dalam tempoh yang singkat.

“Boleh aku tahu kau buat apa sebenarnya kat sini? Kenapa kau tak balik lagi selepas kita jumpa tadi?” Soal Izwan lagi. Matanya sengaja dibeliakkan besar-besar.

Suria terkedu. Tidak menyangka soalan itu terpacul dari mulut Izwan. Dia menggerakkan tubuhnya yang berasa lenguh kerana agak lama tercegat di situ.

“Aku nak jumpa Doktor Ibrahim.” Jawabnya berterus terang.

“Kan aku dah cakap, jangan campur dengan urusan siasatan pihak polis. Yang kau degil sangat ni kenapa?” Marah Izwan tiba-tiba.

“Aku tak rasa aku menganggu pihak polis. Aku cuma ada soalan yang perlu aku tanyakan pada Doktor Ibrahim.” Jawab Suria, tetap berdegil. Izwan menarik nafas panjang. Gadis itu memang keras kepala.

“Apa yang Cik Suria nak tanya?” Sampuk Doktor Ibrahim pula. Dia mengisyaratkan agar jururawat yang merawat wajahnya supaya keluar sebentar. Wanita itu akur lalu segera keluar. Hanya tinggal mereka bertiga sahaja dalam bilik itu.

“Saya cuma nak tahu kesan pada leher mayat yang dijumpai di hutan simpan di Puchong tu. Apakah ia disebabkan oleh serangan manusia atau binatang buas?”

Doktor Ibrahim tersentak. Pertanyaan Suria terlalu terus terang. Bagaimana dia mahu menjawabnya? Doktor Ibrahim menjeling ke arah Izwan yang merenung tajam ke arah Suria yang kelihatan selamba.

“Err..mana Cik Suria dapat maklumat ni?”

“Saya ada sumber saya sendiri. Saya cuma ingin tahu, apakah benda yang menyebabkan kematian gadis itu sebenarnya?”

Doktor Ibrahim semakin gelisah. Izwan sudah mendengus keras.

Suria berpaling lalu merenung wajah Izwan yang seperti singa lapar menatapnya.

“What? Salah ke aku tanya?” Getus Suria tetap berdegil. Dia langsung tidak ambil peduli pada wajah Izwan yang kelihatan berang.

“Okey, apa yang kau nak tahu? Tanyakan saja pada aku.”

Suria tersenyum sinis. Sekarang baru nak pelawa?

“Apakah benar dia mati dibunuh?”

“Yes, we can say that.” Renung Izwan.

“Dibunuh oleh siapa atau apa?”

“Aku dah kata, selagi pihak polis belum menemui sebarang bukti, kami tak boleh buat sebarang kesimpulan.”

Suria mengetapkan bibir. Hatinya terbakar, namun dia cuba bersabar. Nak mencari berita sensasi memang bukan kerja mudah. Ada saja halangannya. Kalau dia menyerah, dia takkan berjaya sampai ke tahap sekarang.

“Saya dapat tahu, kematian mangsa disebabkan kehilangan darah yang banyak akibat kesan luka di lehernya. Apakah kita sekarang berhadapan dengan kes psikopat, pembunuh yang menjadikan mangsa sebagai objek di luar sedarnya?” Kali ini pertanyaan Suria ditujukan pada Doktor Ibrahim pula. Lelaki itu tergaman.

“Manusia atau makhluk jenis apa yang boleh merobek tubuh dan menghancurkan wajah mangsa dalam tempoh satu jam sahaja? Dan selepas itu menghisap pula darah mangsa?” Suria menyambung pertanyaan.

Izwan mengerutkan dahinya. Kata-kata gadis itu mengundang rasa aneh. Macamana Suria tahu mengenai tempoh selang masa kematian mangsa. Bagaimana gadis itu juga boleh tahu tentang punca kematian mangsa yang sedang disiasatnya?

“Kenapa? Rasa pelik? Mayat tu mati lebih kurang pukul pukul 3 atau pukul 3.15 secara tepatnya kerana pihak renjer mendengar jeritan gadis itu pada tempoh itu. Kalau Tuan Izwan tengok pada jam GP yang dipakai oleh Masyitah, jarum jam menunjukkan waktu yang sama. Dan sejam kemudian, pihak renjer menemui mayatnya dalam keadaan menyedihkan sebelum pihak polis tiba di tempat kejadian. Jadi masa yang diambil hanya kurang dari satu jam bukan? So apa cerita sebenarnya Tuan Izwan?” Suria memandang lelaki itu tidak berkelip.

Izwan menyimpul senyuman seraya menggelengkan kepalanya. Dia takkan tertipu dengan helah Suria kali ini. “Mungkin ini kerja kanibal.” Balas Izwan selamba. Suria tersengih. Kata-kata Izwan seperti biasa tidak pernah menjawab persoalannya. Dia mengerling ke arah Doktor Ibrahim yang lebih banyak berdiam diri.

“Kanibal? Hmmm..teori Tuan Izwan menarik! Tujuh tahun yang lalu, pihak polis pernah berhadapan dengan kes pembunuh kanibal seperti yang Tuan Izwan katakan. Tapi profail kes menyebut yang pembunuh kanibal biasanya akan mencerai-ceraikan anggota badan mangsa setelah membunuh. Dan sebahagian anggota tubuh mangsa yang mati selalunya tidak akan ditemui di tempat kejadian. Profail yang sama pernah dikeluarkan oleh Federal Bereau of Investigation mengenai kanibalisme dan digunapakai oleh semua penganalisis kes. Ia juga dikenali sebagai anthropophagy, bermaksud manusia yang memakan daging manusia yang sama spesies dengannya sebagai tanda kekuasaan mereka terhadap individu lain. Tapi dalam kes ini, tubuh mangsa tidak diceraikan hanya dicederakan sahaja. Darahnya pula dihirup dan wajahnya dirosakkan. Tubuh mangsa pula hanya dibiarkan begitu sahaja setelah dibunuh. Saya tak fikir ini kerja kanibal Tuan Izwan.” Ujar Suria panjang lebar.

Izwan terpegun. Pendapat gadis itu benar-benar membuatkan dia kehilangan kata-kata. Dia mengerling ke arah Doktor Ibrahim di sisinya. Lelaki itu memandangnya seraya tersenyum.

“She’s right.” Bisik Doktor Ibrahim. Kagum dengan kepetahan Suria berhujah.

link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!