Followers

Saturday, July 25, 2009

Sayangku Casper : Bab 1

TEKUN benar dia membaca di biliknya. Novel-novel yang dipinjam dari perpustakaan negeri tidak menunggu lama untuk dihabiskan. Lantaran dia memang hantu buku dan gila membaca. Itulah istilah yang dipanggil oleh kawan-kawannya yang culas. Bodoh! Lebih baik gila membaca dari gila judi atau gila perempuan. Atau gilakan paintball contohnya.

Tia! Itu panggilan yang sering dicanang kawan-kawannya. Tia adalah singkatan dari Tia Adila, nama yang diberi oleh arwah ibunya Rosmah. Kata ibunya dia akan menjadi kesayangan semua orang satu hari nanti. Tapi itu kata ibu yang kini sudah menjadi arwah. Hakikatnya hidupnya tidak seindah seperti yang disangka.

Ada sebahagian dari hidupnya yang sedang melalui satu fasa yang sebal, menyusahkan dan menyakitkan hati. Dan banyak benda yang kian berubah di sekelilingnya. Kebahagiaan bukan lagi satu definisi yang tertera dalam kamus hidupnya. Dan semua itu berpunca oleh dua manusia yang kini menghuni dan menjadi tuan di rumah itu.

Mengingati semua itu, Tia menarik nafas panjang. Hilang sekejap tumpuannya pada buku yang berada di tangannya. Dia melontar pandangan ke luar jendela. Di luar titis-titis hujan terpercik ke kaca jendela, lalu memusatkan tumpuannya pada titis-titis air yang melekat di situ.

Fikirannya entah kenapa terkenangkan ayahnya. Sudah dua minggu ayahnya tidak pulang ke rumah. Dalam tempoh ini hatinya cukup terseksa. Rindunya membuak-buak. Namun apa dayanya mahu mengatakannya di hadapan lelaki itu. Selama ini ayahnya tidak pernah ingin tinggal walapun satu hari di rumah. Dunia lelaki itu hanyalah perniagaannya serta agenda keliling dunianya. Rumah ayahnya adalah bilik hotel dan tempat tidur ayahnya adalah jet peribadi lelaki itu. Perniagaan ayahnya membuatkan lelaki itu lebih banyak menghabiskan masa di luar negara dari bersamanya.

Bedebuk! Bunyi benda jatuh yang cukup kuat itu melencongkan perhatian Tia dari arah jendela. Dia seraya menjeling pintu biliknya yang terkatup rapat. Bibirnya tersungging senyuman kecil. Macam tahu aje siapa yang berdiri kat luar tu, bisik hati kecilnya. Ini mesti perempuan double XXL yang poyo tu. Nak apa lagi dia?

Sekali lagi bunyi benda jatuh disulami suara teriakan kedengaran di telinganya. Macam bunyi gajah tergelincir. Dia ketawa dalam hati. Tak sia-sia dia tuangkan minyak di hadapan biliknya. Minyak urat milik Pak Mat, tukang kebun rumahnya yang disonglap petang kelmarin memang benar-benar berguna untuk menghalau gajah besar yang menghuni rumahnya. Mengacau hidupnya sejak sepuluh tahun yang lalu.

“Tia!” jerit suatu suara yang serak-serak basah laksana Ella sedang belajar menyanyi keroncong. Bunyinya cukup lantang dan tembus ke dalam biliknya. Dia menutup buku di ribanya lalu bingkas ke arah pintu. Daun pintu diselak perlahan.

Melihat wajah comot berambut mengerbang berdiri di hadapannya, Tia tidak dapat menahan tawa. Lucu melihat keadaan Karin yang seperti baru dilenyek bas ekspress.

“Oh berani kau ketawakan aku ya! Mari sini kau!” Herdik Karin lalu tiba-tiba menarik cuping telinga Tia. Berang betul hatinya kerana diketawakan gadis itu. Sudahlah dia sakit kerana baru sahaja jatuh tertiarap macam nangka busuk.

“Sakitlah kak…” Tia mengaduh kesakitan. Namun Karin langsung tidak mempedulikan gadis itu, sebaliknya dia rasa puas dapat memiat kulit telinga Tia yang dibencinya.

“Tahu sakit? Yang kau buat kat aku, kau ingat tak sakit?” Jerkah Karin. Geram benar dia bila berkali-kali jatuh dengan gaya bersememeh. Macam sumpahan pulak! Asal dia lalu bilik Tia, dia mesti akan jatuh. Asal dia jatuh, mesti depan bilik Tia!

Kalau bukan sebab arahan ibunya menyuruh dia menggesa Tia menyiapkan makan malam untuk mereka, tak ingin dia menghampiri bilik gadis itu yang penuh dengan perangkap medan perang. Trauma pun ada bila mengenangkan ada-ada saja yang berlaku padanya jika dia menghampiri bilik Tia Adila Faruk. Mungkin sebab itulah ibunya asyik menyuruh dia yang pergi ke bilik Tia. Padahal ibunya sendiri sudah serik!

“Kakak yang jatuh sendiri, bila masa Tia tolak?” Tia menjawab meskipun mulutnya mengherot menahan sakit. Pulasan di telinganya semakin kuat bila Karin membeliakkan biji matanya sebaik mendengar kata-katanya. Marah benar gadis bersaiz XXL itu sebaik melihat dia yang suka menjawab. Dah memang mulutnya suka menjawab, nak buat macamana? Bukan dia suruh pun! Alasan nak cover line!

“Sudah! Kau jangan nak songeh. Dah masak belum?”

Tia tercengang. Masak?

“Masak air ke masak maggi?” Dia pura-pura bingung.

“Masak air dengan maggi buat apa? Masak nasi la bodoh! Kau ni sama aje macam mak kau, bodoh tak habis-habis. Mujur dia mati awal, kalau tak ada dua orang bodoh ayah kena tanggung kat rumah ni.” Tempelak Karin dengan wajah menyinga.

Tia tergaman. Kata-kata Karin membuatkan darahnya tiba-tiba mendidih. Kurang asam punya perempuan! Kalau mak kau tak menggatal dengan ayah aku, belum tentu mak aku meninggal awal!

Tiba-tiba dirinya dihujani sebak. Kata-kata Karin yang kejam tidak berperasaan membuatkan dia mahu menangis. Mak! Tia rindu kat mak. Sampai hati mak biarkan Tia kena buli dengan Si Siput Sedut dengan Si Tembam ni!

“Ha yang kau buat muka sedih ni apasal? Pergi masak nasi sekarang. Kejap lagi aku dengan mak aku nak makan.” Suruh Karin dengan wajah garang. Tubuh kecil Tia ditolak ke arah ruang dapur yang hanya berjarak lima kaki dari bilik Tia di bahagian belakang.

Mahu tak mahu Tia terpaksa menurut. Dia segera menanak nasi dan lauk-pauk untuk dua beranak itu. Tugas yang menjadi kelazimannya sejak sepuluh tahun lalu. Dia benar-benar tidak tahu sampai bila dia harus bersabar dengan kedua-dua perempuan itu. Sampai bila ayah?

* * * *

Berpeluh-peluh Halijah dan anak perempuannya menyantap hidangan nasi panas bersama ayam masak kari, sayur boccoli campur dan udang masak merah yang dimasak oleh Tia.

Tia hanya memerhati dari tepi. Sesekali bila Karin menjerit meminta nasi tambah, dia akan berlari ke arah gadis itu lalu menyenduk tiga empat senduk nasi ke pinggan gadis itu. Hatinya mengguman geram. Mangkuk nasi yang satu jengkal tu pun nak suruh aku jugak yang sendukkan. Padanlah si badak ni dah bertambah dua kali ganda saiz asal. Semua benda nak orang buatkan. Tia, ambilkan aku air. Tia, ambilkan aku kasut. Tia, ambilkan aku seluar dalam tu. Tak reti-reti nak ambil sendiri? Gumam Tia dengan wajah yang dicebik tanpa sengaja.

“Tia, tuangkan aku air oren lagi.” Suruh Karin.

Tia terkulat-kulat sebentar. Kan aku dah cakap! Namun dia malas mahu mencari masalah, terus berlari ke arah peti sejuk dan mengeluarkan satu jug jus oren yang dibancuhnya siang tadi.

“Makcik nak jus oren ni?” Tanyanya pada Halijah yang tak berhenti mengunyah sejak dari tadi. Agaknya sedap sangat lauk yang aku masak ni, bisik hati Tia. Jangan kata Halijah dan Karin, dia sendiri terliur melihat lauk-pauk hasil air tangannya. Semuanya berkat ajaran arwah ibunya sewaktu wanita itu masih hidup. Sejak kecil ibunya sudah mengajarnya memasak lauk-pauk yang mudah-mudah. Dan apabila Halijah dan Karin datang dalam hidupnya, ilmu memasak itu memang sangat berguna apabila dia terpaksa mempraktikannya setiap masa.

“Aku nak air kiwi. Bancuhkan aku air kiwi.” Suruh Halijah pula.

“Err..kiwi dah takde la makcik. Dah habis stok kat dalam peti ais tu. Apa kata Tia buatkan makcik air tembikai? Okey tak?” Dia bertanya.

Kata-katanya disambut jelingan tajam dari Halijah. Wanita itu berhenti mengunyah lalu menatapnya dengan wajah mencuka.

Karin yang sedang asyik mengunyah hanya tersengih ke arah anak gadis itu. Habislah kau kena balun dengan mak aku nanti! Ejek Karin dalam hati. Sambil memandang Tia dan ibunya silih berganti, tangannya asyik mencapai udang kara di dalam pinggan di hadapannya. Habis satu..satu dikunyahnya dengan bersemangat. Seleranya memang dipam-pam setiap kali dia menghadap makanan.

“Kan aku dah cakap pada kamu hari tu beli buah kiwi tu banyak-banyak, simpan dalam peti ais tu. Yang kamu tak ikut cakap aku tu apasal?” Jerkah Halijah dengan mata yang sengaja dibeliakkan besar-besar. Geram sungguh dia bila menatap wajah Tia yang berlagak bodoh-bodoh alang di hadapannya.

Tia terdiam. Dia menggaru kepala tidak gatal sambil tersengih memandang wanita bertubuh rendang itu. “Memang makcik ada suruh Tia pergi beli. Tapi…tapi…” Dia tersekat-sekat mahu memberitahu.

“Hah tapi apa?” Gerutu wanita itu sambil merengus marah.

“Tapi makcik tak beri duit suruh Tia beli. Tia ingatkan makcik nak pergi beli sendiri.” Jawab Tia selamba. Halijah yang mendengar tercengang.

“Makcik kan tahu, Tia mana ada duit nak beli buah kiwi makcik tu. Tia nak beli buku pun tak cukup duit.” Sambung anak gadis itu lagi.

Halijah terdiam. Dia menjeling anak gadis di hadapannya dengan wajah jengkel.

“Huh aku suruh beli, macam-macam alasan kamu ni Tia. Kalau bab bercakap mengalahkan perdana menteri, ada je alasan kamu.” Rungut Halijah. Dia segera menyeluk saku bajunya dengan tangan kiri. Alamak! Susah pulak nak ambil.

“Nah ambil duit sepuluh ringgit ni buat beli buah kiwi.” Halijah meletakkan sekeping not merah di atas meja. Tia terkulat-kulat memerhatikan wang sepuluh ringgit itu. Suruh beli banyak, tapi bagi sepuluh ringgit aje? Makin kedekut perempuan ni nampaknya! Keluh Tia seraya menelan liur.

“Hah yang tercegat macam tu lagi kenapa? Ambillah duit ni. Nanti kamu ke pasar carikan buah tu.” Suruh Halijah. Tia hanya mampu mengangguk. Apa nak buat? Jadi pak turut sajalah nampaknya dia!

Halijah menghalakan pandangannya ke arah pinggan nasinya untuk menyambung makan yang tergendala sebentar tadi. Tapi sebaik dia melihat ke arah pinggan-pinggan lauk di hadapannya, Halijah mengucap panjang.

“Masya Allah, habis licin lauk pauk ni kau bedal ya Karin. Langsung tak tinggalkan kat mak. Bertuah punya anak!” Herdik Halijah seraya menjeling anak gadisnya yang bertubuh besar. Karin hanya mampu tersengih dengan mulut yang kelihatan comot dengan kuah kari.

Halijah hanya mampu menggelengkan kepala. “Kalau macam ni gaya kamu makan, siapalah yang nak berbinikan kamu ni Karin oii?” rungut Halijah dengan wajah gusar. Risau benar hatinya melihat saiz tubuh Karin yang jauh lebih besar dari peserta-peserta Loser Of Asia.

2 comments:

anis said...

best lah crita ni
besstt
nak lagi!!

Yeun Yie said...

memng best..cpt smbng tau..klu sya jdi tia, dh lme sya lawn blik si karin n halijah tu..gram rse nye tau..kat rmah sndri tpi mcm kt pnjara!! uhhh...pnjang daa tulis..
nga syok bce nih..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!