Followers

Monday, June 14, 2010

Arina : Bab 8

MATA Arina masih terpejam rapat apabila dia mendengar bunyi pintu biliknya dibuka seseorang. Namun dia tidak ambil peduli. Dia masih melayan matanya yang mengantuk kerana semalaman dia tidak dapat tidur.

Telinganya sempat menangkap bunyi tapak kaki melangkah masuk. Arina tahu tentu ibu saudaranya datang mengejutkannya setiap pagi seperti selalu. Sejak kecil Suhanalah pengganti kepada arwah ibunya. Kadangkala jika dia bermalas-malasan agak lama di atas katil, wanita itu akan mengusik dengan menarik selimut yang membalut tubuhnya. Kata Suhana, anak dara tidak baik bangun tidur lewat..nanti rezeki lari.

Tapi Arina tidak larat lagi mahu melayan Suhana yang baru datang. Tubuhnya masih lemah dan kepalanya sedikit pusing. Mungkin kejutan semalam menjadi puncanya sehingga dia tidak dapat tidur dan akhirnya kesiangan begini.

Bunyi tirai langsir ditarik menganggu tidurnya. Dia mengeluh kecil. “Ala Mak Lang, biarlah Arin tidur lama sikit. Semalaman Arin tak boleh tidur, bagilah Arin can hari ni.” Keluh Arina tanpa membuka matanya.

Suhana tidak bersuara. Arina merasa lega. Sangkanya Suhana tidak kisah dengan permintaannya. Dia membalikkan tubuh. Ingin tidur dalam keadaan lebih selesa. Namun tiba-tiba sahaja selimutnya ditarik ke bawah. Tangan Arina pantas memegang hujung selimutnya. Namun dia merasakan tarikan itu semakin kuat sehingga pautannya terlepas.

“Mak Lang….” Rengek Arina manja.

“Matahari dah lama tegak. Kau patut bangun sekarang.” Satu suara muncul.

Arina tersentak. Dia membuka kelopak matanya lalu membalikkan tubuh. Dia hujung katil, Alwiz berdiri dengan senyuman tidak bersalah.

Arina membeliakkan matanya. Terkejut dengan kehadiran Alwiz, dia segera bingkas bangun.

“Kau…kau buat apa kat sini? M..macamana kau masuk?” Dia bertanya dengan suara tertahan. Bimbang suaranya menyebabkan seisi rumah datang meluru. Mana dia mahu letakkan mukanya jika dia dilihat berdua-duaan bersama Alwiz di dalam satu bilik. Malu besar dia nanti!

Alwiz memandangnya dengan senyuman. “Bilik kau tak kunci.”

“Bohong! Aku dah kunci pintu bilik tu semalam.” Bantah Arina.

“Kau yakin kau ada kunci?” Alwiz mengangkat keningnya. Senyuman lelaki itu sinis.

Arina terpempan. Dia cuba mengingatkan saat dia masuk ke biliknya semalam. Betul ke aku dah kunci? Atau aku sebenarnya memang terlupa? Ah gasaklah!

“Samaada aku lupa atau tidak, itu bukan persoalan utama. Soalnya sekarang, kau tak boleh sesuka hati masuk ke dalam bilik aku tanpa kebenaran. Kau tak tahu ke semua ni?” Herdik Arina separuh berbisik. Bengang betul dia dengan tindakan Alwiz. Takut pun ada melihat lelaki itu di situ.

Alwiz hanya ketawa kecil melihat gelagat Arina yang serba tidak kena. “Aku datang cuma nak pulangkan peti First Aid ni. Tapi bila aku ketuk pintu bilik, tiba-tiba pintu bilik kau ni terbuka. Aku ingat kau dah bangun. Jangan bimbang, aku tak lihat apa-apa benda yang tak sepatutnya aku lihat.” Jawab lelaki itu selamba.

Arina membeliakkan biji matanya. What? Dia tiba-tiba hilang sabar dengan kata-kata lelaki itu.

“Kau keluar sekarang. Mati aku kalau Mak Lang aku nampak kau kat sini!” Suruh Arina dengan nafas tidak keruan. Berkali-kali dia memerhatikan ke arah pintu biliknya. Cuba mengawasi kalau-kalau Suhana tiba-tiba menjengah masuk.

“Kau kata kau tak boleh tidur semalam? Kenapa?” Tanya Alwiz tak disangka-sangka. Arina tergaman. Matanya berbalas renungan dengan sepasang mata Alwiz yang kelihatan tenang.

“Aku tidur ke tak tidur ke, tak ada kena mengena dengan kau Encik Alwiz. Aku nak kau keluar sekarang atau aku…” Gumam Arina sedikit kasar.

“Aku pun tak boleh tidur semalam.” Pintas lelaki itu.

Arina terdiam. Dia terpegun menatap sinaran di mata Alwiz. Untuk seketika dia terasa kaku bila berhadapan dengan lelaki itu. Renungan Alwiz menikam sehingga ke lubuk hatinya. Meninggalkan kesan rona merah di wajahnya. Dan anehnya kali ini dia hanya membiarkan sahaja fragmen Alwiz terus mendominasikan dirinya.

“Banyak nyamuklah dalam bilik tu…aku tak boleh tidur.” Sambung Alwiz lagi. Arina tercengang. Ketawa Alwiz sudah meletus membuatkan dia malu sendiri. Ceh..sebab nyamuk rupanya. Malunya aku!

“Kenapa? Kau mesti fikir aku tak boleh tidur sebab hal semalam kan?” Pertanyaan Alwiz berbaur nakal.

Arina menarik nafas panjang. Dia tahu lelaki itu sengaja menyindirnya. Dia bingkas bangun dari katilnya lalu mencapai tuala yang tersidai di pelantar. Kepalanya ditoleh ke arah Alwiz dengan wajah mencuka.

“Aku nak mandi. Lepas aku keluar nanti, baik kau beredar dari bilik aku atau aku menjerit panggil Mak Lang aku.” Ugut Arina lalu melangkah ke arah bilik air. Berdentum bunyi pintu bilik air dihempas gadis itu di hadapan muka Alwiz.

Alwiz tersenyum sendiri. Mula terasa lucu dengan gelagat Arina. Namun senyuman yang terpamer hanya sebentar sahaja. Wajah muram Alwiz mendadak muncul. Dia menoleh ke arah potret besar gadis itu di kepala katil. Senyuman riang Arina yang terpamer di dada potret menggetarkan perasaannya. Jangan senyum begitu Arina! Atau aku tak mampu melepaskan kau buat kali kedua, bisik hati kecil Alwiz.

* * * *

KETIKA dia turun untuk bersarapan, Alwiz dilihatnya sedang berbual-bual dengan ibu saudaranya Suhana. Kedatangan Arina membuatkan kedua-duanya berhenti berbual. Suhana menoleh.

“Lambat bangun hari ni sayang.” Tegur Suhana seraya tersenyum.

Arina tidak menjawab. Sebaliknya matanya memandang ke arah Alwiz yang terkelip-kelip memerhatikannya. Tatapan lelaki itu dibalas dengan pandangan sebal.

Arina menarik kerusi di hadapan Suhana lalu segera duduk. Hidangan nasi goreng yang terhidang di hadapan matanya kelihatan tidak menyelerakan, meskipun perutnya menggebu rasa lapar. Kehadiran Alwiz bersama mereka ketika ini benar-benar membuatkan seleranya terbantut.

“Arin tak kerja hari ni?”

Dia menggelengkan kepala. “Tak Mak Lang. Arin dah call Vick, kata Arin nak cuti buat sementara waktu.” Jawabnya seraya mengerling ke arah Alwiz yang berwajah selamba.

Suhana terdiam mendengar kata-kata gadis itu. Dia memahami perasaan Arina. Kasih sayang Arina terhadap Chayi melebihi segala-galanya.

“Sabarlah sayang, Mak Lang yakin kita akan jumpa semula dengan Chayi nanti. Kita tunggu ayah balik ya.” Pujuk Suhana.

“Bila Encik Fahrin nak balik ke mari?” Tiba-tiba Alwiz membuka mulutnya. Suhana dan Arina serentak berpaling.

“Mungkin beberapa hari lagi. Dia ada urusan dengan pihak kedutaan dan pihak polis di sana. Mereka akan sama-sama membantu menjejaki Chayi.” Ujar Suhana.

“Saya harap Encik Fahrin akan jumpa dengan Chayi.” Balas Alwiz.

Suhana tersenyum. “Minta-minta begitulah Alwiz. Chayi dengan Arina memang tak boleh dipisahkan. Sejak dulu begitu!” Canang Suhana.

“Seperti saya dengan Arina?” Alwiz tersenyum.

Suhana terpegun. Lama kemudian wanita itu tersenyum simpul. Merasa lega kerana lelaki itu kelihatan benar-benar mencintai anak saudaranya. Sebaik Suhana berpaling, wajah Arina yang merah padam membangkitkan rasa hairannya.

“Arin..kenapa ni?” Soal Suhana. Arina segera tunduk memandang pinggan di hadapannya yang masih kosong.

“Mak Lang..Arin nak beritahu sesuatu pada Mak Lang.” Ujar Arina.

Alwiz tergaman. Kata-kata gadis itu membuatkan jantungnya berdegup kencang. Apakah Arina mahu membongkarkan tentang siapa dirinya pada makciknya? Benarkah gadis itu sudah nekad?

Suhana menatap wajah anak gadis itu dengan perasaan hairan. Kata-kata Arina memancing minatnya untuk terus mendengar.

Perlahan-lahan Arina mengangkat wajahnya. Merenung ke arah Suhana sesaat dua sebelum melontarkan pandangan ke arah Alwiz. Mata lelaki itu merenung tajam ke arahnya seolah memberi amaran.

Jangan cakap apa-apa Arina! Think twice before you say something!

Dia tersentak. Bibir Alwiz langsung tidak bergerak. Tetapi kenapa dia mampu mendengar suara lelaki itu? Apakah aku benar-benar mendengar suaranya atau sememangnya aku sudah gila?

Ingat tentang Chayi adik kau. Dia bukan dengan aku sekarang ini, dan aku tidak boleh menjamin keselamatan dia jika rancangan kami terganggu kerana sikap kau yang degil!

Arina gugup menatap Alwiz.. Wajah lelaki itu serius memandangnya. Entah kenapa dia yakin, suara yang muncul di kepalanya benar-benar suara Alwiz.

Entah mengapa Arina tiba-tiba keresahan. Dia teringatkan beberapa hari yang lalu bagaimana Alwiz yang berdiri hampir sepuluh kaki darinya tiba-tiba sahaja muncul di belakangnya tanpa apa-apa bunyi. Pergerakan lelaki itu cukup pantas. Semua ini membuatkan dia rasa pelik, tapi cepat-cepat dia buang perasaan yang tidak enak itu jauh-jauh dan menganggap dia sedang berkhayal yang bukan-bukan. Tapi itu kejadian beberapa hari yang lalu, bagaimana pula dengan sekarang? Apakah dia masih berani mengatakan yang semua ini hanyalah khayalan kosongnya?

“Arin nak cakap apa dengan Mak Lang?” Suara Suhana singgah menghalau lamunan singkatnya.

Arina menoleh. Debaran di dadanya tidak berkurang. Namun apa yang mahu dikatakannya sebentar tadi menghilang dalam sekelip mata. Fikirannya terasa kosong bagaikan hamparan padang pasir yang kering kontang.

‘Sebenarnya Mak Lang, Arin..Arin ingat nak minta izin Mak Lang bawa Alwiz keluar jalan-jalan sekejap lagi.” Suaranya keluar. Bernada sumbang dan gementar. Dia sempat menjeling ke arah Alwiz yang kelihatan lega.

Suhana terpaku untuk seketika. Sejurus kemudian, wanita itu ketawa terkeheh-keheh. Arina tergaman. Alwiz turut menoleh ke arah Suhana.

“Arin…Arin, itupun nak minta izin dengan Mak Lang. Pergi sajalah, tak payah nak minta izin Mak Lang. Lagipun Alwiz pun tak biasa dengan tempat kita ni. Sekurang-kurangnya tidaklah dia asyik memerap di sini saja.” Ujar Suhana.

“Cuma satu saja Mak Lang nak ingatkan kamu berdua.” Nada suara Suhana berubah. Wajah kedua-duanya dipanah tajam silih berganti.

“Apa Mak Lang?”

“Mak Lang nak kamu ingat yang kamu berdua ni baru bertunang. Belum rasmi pun lagi. Jadi Mak Lang harap kamu berdua jaga diri masing-masing. Kita masih ada agama dan adat yang harus dipegang.” Nasihat wanita itu.

Wajah Arina merah padam. Meskipun dia tahu wanita itu sekadar mengingatkannya, namun entah kenapa dia terasa malu bila wanita itu menasihatinya di hadapan Alwiz.

Alwiz dilihatnya turut diam. Apabila matanya menjeling lelaki itu, tiba-tiba sahaja Alwiz menoleh lalu merenung ke arahnya. Tatapan mata lelaki itu membuatkan dia semakin gelisah. Dia pura-pura menceduk nasi goreng ke pinggannya lalu mula menjamah nasi goreng masakan Mak Tam. Perlahan dan senyap di tempatnya! Sambil makan, kepalanya dipenuhi dengan pelbagai syak wasangka. Siapa sebenarnya Alwiz Syah yang ada di hadapannya?

* * * *

KETIKA dia mengundurkan keretanya keluar dari petak garaj, Alwiz tiba-tiba membuka pintu kereta lalu menerpa masuk. Arina menoleh. Tergaman dan pada masa yang sama terkedu melihat kemunculan lelaki itu di sampingnya.

“Kenapa kau masuk dalam kereta aku? Turun sekarang!” Suruh Arina dengan wajah merah padam.

“No, aku nak ikut kau.” Balas Alwiz sambil berpeluk tubuh di sampingnya. Arina mengerutkan dahinya. Hai tak reti bahasa ke?

“Turun dari kereta aku sekarang Alwiz.” Herdik Arina sedikit kasar.

Alwiz tiba-tiba menoleh lalu memandangnya. Kerlingan lelaki itu tidak menunjukkan tanda-tanda marah. Sebaliknya senyuman lelaki itu pula yang meniti di bibirnya.

“Kau kata dengan Mak Lang kau tadi nak bawa aku jalan-jalan.” Lelaki itu mengingatkannya.

Arina mengguman geram. Berbakul sumpah seranahnya ditujukan ke arah Alwiz yang kelihatan tidak mengerti maksudnya sebentar tadi. Tidakkah lelaki itu faham bahawa dia sebenarnya hanya memberi alasan untuk mereka berdua? Alasan agar Mak Langnya tidak mengesyaki mereka dan pada masa yang sama memudahkan kerja lelaki itu walau apa sahaja kemahuannya.

“Aku lebih rela humbankan kereta ni dalam gaung, dari bawa kau jalan-jalan.” Getus Arina. Sinis!

“Then, kita akan mati sama-sama. Isn’t it romantic?” Lelaki itu ketawa besar.

Arina berpaling. Tajam matanya menatap ukir senyuman Alwiz yang menyebalkan tapi pada masa yang sama mendebarkan hatinya. Gila! Dia jadi bingung setiap kali berhadapan dengan lelaki itu. Belum pernah dia merasa dirinya seperti ini. Bingung, resah, marah tapi pada masa yang sama terawang-awang. Dirinya bagaikan seorang persona yang tidak memahami bait-bait puisi sendiri!

“So? Kita nak ke mana ni?” Tanya Alwiz ingin tahu.

Arina menarik nafas panjang. Dia tidak berdaya mahu menyuruh lelaki itu keluar dari perut keretanya, apabila matanya terpandang kelibat Suhana di muka pintu. Wanita itu melambai-lambaikan tangannya. Mahu tak mahu Arina terpaksa melemparkan senyuman untuk ibu saudaranya.

“Now kau tak ada alasan lagi untuk menendang aku keluar dari kereta ni.” Bisik Alwiz di sisinya. Arina terdiam. Kata-kata lelaki itu tidak dipedulikan. Dia mengenggam stereng kereta sekuat hati, cuba bersabar untuk seketika. Mahu tak mahu dia terpaksa membawa lelaki itu bersamanya. Hasrat hati mahu singgah bertemu temannya Brianna musnah dengan kemunculan Alwiz.

Di dalam kereta, Arina lebih suka membisu. Alwiz juga dilihatnya diam sahaja. Sesekali Arina menjeling lelaki itu dari sudut matanya. Mata lelaki itu asyik meninjau ke luar jendela kereta, merenung setiap bangunan dan jalan yang mereka lewati. Gerak-geri lelaki itu bagaikan sebuah mesin scan yang sedang mengimbas setiap benda yang disorot oleh sepasang matanya yang tajam.

Kadang-kala dia benar-benar tidak faham dengan lelaki itu. Pertemuan mereka bermula di Mandaluyong dan jejaknya diekori lelaki itu sehingga ke mari. Untuk apa sebenarnya? Dan untuk apa juga Chayi diculik? Jika lelaki itu mahukan wang tebusan, pasti sudah lama Chayi dibebaskan, apatah lagi ayahnya seorang yang mampu untuk membayar berapa sahaja jumlah wang tebusan yang diminta.

Lebih dari itu dia juga mula berasakan satu keanehan pada diri lelaki itu. Sesuatu yang membuatkan dia sering tertanya-tanya tentang kemunculan lelaki itu. Siapakah dia yang sebenarnya? Manusiakah atau ….Dia menggeleng kepala. Tidak berani meneruskan fikirannya. Namun jauh di sudut hati dia menyedari, lelaki di sampingnya tidak sama dengan lelaki-lelaki lain yang pernah dikenalinya. Atau mungkin juga takkan pernah sama dengan mana-mana lelaki yang ada di muka bumi ini.

“Macamana kau buat?” Tiba-tiba terpacul pertanyaan itu dari bibir Arina. Alwiz rasa terganggu lalu segera berpaling.

“Buat apa?” Soal Alwiz dengan wajah keliru.

“Buat macam tadi. Bercakap dengan aku tanpa…tanpa menggerakkan bibir dan..dan mengeluarkan suara.” Dia terkiai-kiai mahu menyebutnya. Terasa bodoh pun ada!

Alwiz terkelip-kelip memandangnya. Arina tiba-tiba rasa menyesal mengeluarkan pertanyaan sebegitu. Namun apakan daya, dia harus menyelongkar asal usul lelaki dari Filiphina itu.

“Kau merepek sebab tak cukup tidur ke?” Suara Alwiz kedengaran. Sinis.

Arina menoleh. Kaget!

“Mana ada manusia yang mampu bercakap tanpa menggunakan suaranya? Kita tinggal di dunia realiti bukannya di sebuah dunia magis.” Selar Alwiz selamba.

“Aku tak bodoh Alwiz. Aku tahu apa yang kau mampu lakukan. Mata dan kepala aku sendiri nampak. Siapa kau sebenarnya?” Tukas Arina sedikit keras.

“Aku Alwiz Syah.” Jawab lelaki itu dengan tegas.

“Aku bukan tanya nama kau, Aku tanya siapa kau di sebalik nama itu?”

“Aku hanya lelaki biasa Arina. Tak ada keistimewaan apa-apa dan tidak juga memiliki sebarang kuasa sakti. Puas hati?” Pintas Alwiz dengan suara meninggi.

Arina terkedu. Nada suara Alwiz membuatnya bungkam seketika. Dia memandang lurus ke arah jalan. Hatinya berasa cuak dengan jawapan lelaki itu. Jawapan yang tidak menjawab apa-apa sememangnya tidak layak dipanggil jawapan. Buang masa aje aku tanya!

Alwiz merenung gadis di sisinya. Wajah mencuka Arina ditatap tidak puas. Sebahagian hatinya meronta-ronta mahu mengatakan sesuatu, tapi sebahagian dari hatinya melarang. Apalagi dia terikat dengan sumpah Magdalena Anna untuk tidak mencari gadis itu lagi dan menyimpan wajah itu di hatinya.

“Kau takkan mampu memiliki cinta yang sama selepas kau membuangnya jauh-jauh.” Kata-kata Night suatu ketika dahulu menghimbau ke dalam fikirannya.

Dia tergaman. Wajah Night dipandang lesu. Lelaki itu mengangkat Black Haunting di tangannya separas bahu.

“Semua ini tak perlu Night.”

Night merenung tajam ke arahnya. “Jangan berdalih lagi Alwiz. Kau tahu apa yang aku maksudkan. Keluarkan Pencoit Saber kau, kita bertarung satu lawan satu. Kalau aku menang, aku minta kau lepaskan Arina.” Bisik Night tegas.

“Aku tak mahu bertarung dengan kau Night.” Matanya merenung tepat ke arah lelaki itu.

Night tersenyum sinis. “Kenapa? Kau takut kalah?”

“Bukan itu sebabnya. Pedang Berlima tidak seharusnya kita gunakan untuk menentang satu sama lain. Lagi-lagi kerana Arina.” Hujahnya.

Night mengetap bibir menahan geram. “Kau memang membuatkan aku hilang sabar Alwiz. Hubungan persahabatan kita terjejas hanya kerana kau yang mahukannya. Aku minta kau lepaskan dia. Lakukannya kalau kau masih mengenang hubungan saudara antara kita. Aku merayu.” Suara Night sebak.

Bunyi hon yang membingitkan telinga menyentak emosinya. Kenangan yang bertaut di fikiran Alwiz memudar secara tiba-tiba. Dia menoleh. Arina mengetuk stereng kereta sambil marah-marah.

“Sikit-sikit jam…kalau macam ni, macamana nak sampai?” Rungutan gadis itu kedengaran di telinga Alwiz. Dia terpinga-pinga melihat bibir Arina yang menyumpah seranah kereta di hadapannya.

Tiba-tiba Alwiz tersenyum sendiri. Terasa lucu kerana dia mampu membaca bahawa sumpah seranah gadis itu sebenarnya ditujukan padanya. Marahlah aku cukup-cukup Arina! Memang inilah hukuman yang sepatutnya aku terima! Aku bukan lagi lelaki yang layak menerima cinta sesiapapun! Terutama cinta dari seorang gadis yang pernah bertahta di hatiku suatu ketika dahulu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!