Followers

Tuesday, March 30, 2010

Mitos Cinta Suria - Bab 1

Tahun 1985 – Pinggir Hutan di sempadan Johor

Dia berlari sekuat hati. Nafasnya termengah-mengah tidak keruan. Setiap denai dijejak pantas bagaikan kakinya tidak jejak ke tanah. Dia ingin segera meninggalkan tempat itu, meskipun tidak pasti ke mana arah tujuannya. Dari jauh dia terdengar hingar-bingar suara ramai sedang mengejar jejaknya. Dia semakin cemas. Bimbang nyawanya melayang kali ini.

Sesekali matanya mengawasi bungkusan kain yang dibawanya. Aneh! Sejak tadi, bayi yang dipangkunya tidak mengeluarkan sebarang suara. Apakah bayi itu sudah mati? Apakah dia memeluk bayi itu terlalu kemas sehinggakan bayi itu sukar bernafas? Berbagai andaian singgah di kotak fikirannya, namun untuk membuka bungkusan yang membalut tubuh bayi itu, dia tidak sanggup. Pesanan wanita itu masih terpahat kukuh dalam ingatannya.

“Jangan buka balutan ini sehingga encik berjaya tinggalkan tempat ini. Kalau sampai encik tertangkap, encik akan mati bersama bayi saya.” Ujar perempuan itu bersama linangan airmata.

Dia tersentak. Lamunannya terhenti apabila ada air jernih menitik ke kepalanya. Dia mendongakkan wajah. Dada langit gelap pekat. Dia merasa udara di sekelilingnya semakin lembab dan berangin. Kedinginan malam semakin mencengkam urat-urat tubuhnya.

“Encik kena pergi sebelum tengah malam, kalau tidak, encik sudah tidak ada peluang untuk lari lagi!” Bisik wanita itu.

“Kamu bagaimana?” Dia memandang wanita itu.

“Soal saya encik usah bimbang, saya tahu menjaga diri. Tapi tolong selamatkan anak-anak saya.” Rayu wanita itu.

Entah mengapa hatinya tiba-tiba gementar. Dia mengerling jarum jam di tangannya. Sudah hampir tengah malam. Apa akan berlaku jika aku tidak meninggalkan hutan ini sebelum tengah malam? Akan berkuburkah aku di tempat ini dibunuh oleh mereka semua? Perasaan gementarnya terus mencuit-cuit rasa. Nyawanya bagai di hujung tanduk. Bila-bila masa saja nyawanya boleh bercerai dari jasad.

Bunyi anjing menyalak, membuatkan bulu romanya tiba-tiba meremang. Semakin lama bunyi itu semakin dekat. Tanpa membuang masa dia melajukan langkahnya. Namun bunyi salakan anjing tetap mengekorinya di sepanjang perjalanan.

Tiba-tiba bayi di pangkuannya merengek perlahan. Dia tersentak. Bukan kerana rengekan bayi itu, tetapi kerana matanya terpandang sesuatu di sebalik pohon besar di hadapannya. Sesusuk tubuh lembaga berkelubung berdiri tidak jauh dari situ.

Tubuhnya menggeletar apabila terpandang sepasang mata merah bersinar yang merenung tajam ke arahnya. Bunyi menderam singgah di penjuru telinganya. Entah mengapa, badannya terasa lemah longlai. Kakinya seolah dipasak ke bumi, tak mampu bergerak.

Makhluk itu cuba mendekatinya. Sinaran sepasang mata merah yang kian membesar membuatkan dia terpaku, bagaikan dipukau. Tapi serentak tubuhnya tiba-tiba ditarik sepasang tangan kekar. Wajahnya pucat lesi sebaik terpandang tiga lelaki yang tak dikenali tiba-tiba muncul di situ.

“Tinggalkan tempat ini!” Kata-kata yang keluar dari bibir salah seorang darinya kedengaran tegas dan seperti mengarah. Lelaki itu menyimpan jambang sejemput di bawah dagu. Yang lain-lain mundur ke hadapan, lalu terkumat-kamit membaca sesuatu yang dia sendiri tidak faham.

“Kamu semua siapa?” Dia menyoal seraya mengerling ke arah tempat lembaga itu berdiri tadi. Anehnya lembaga itu tiba-tiba ghaib. Apakah kerana mentera yang dibaca kedua-dua lelaki tadi? Wajahnya segera ditoleh ke arah lelaki berjambang. Wajah itu kelihatan lembut dan tenang.

Belum sempat lelaki itu mahu menjawab, suatu bunyi bising disertai jeritan nyaring saling sahut menyahut, berkumandang agak kuat. Lelaki berjambang itu memandang kedua-dua kawannya lantas mendongak ke arah langit. Kesemua mereka beristighfar panjang.

“Mereka dah mulakan.” Bisik salah seorang teman lelaki itu.

“Kalau begitu, kita kena cepat.” Balas lelaki berjambang itu lalu mula membuka langkah. Dia pula hanya terpinga-pinga memandang ketiga-tiga lelaki berpakaian serba hitam seperti pahlawan di zaman silam. Gaya mereka seperti hendak berperang.

Tiba-tiba langkah lelaki berjambang itu terhenti. Lelaki itu menoleh ke arahnya. Sejurus mata lelaki itu tertancap pada bayi di tangannya. Melihat lelaki itu tiba-tiba mendekatinya, tanpa disedari dia terundur-undur ke belakang sambil mengawasi kelibat lelaki itu.

Lelaki berjambang itu kini berada di hadapannya. Kain yang membalut tubuh bayi itu diselak lelaki itu perlahan-lahan. Mata lelaki berjambang itu merenung lama pada seutas kalung bertatahkan batu biru yang tersarung di kepala bayi itu. Beberapa ketika kemudian, lelaki berjambang itu mengalihkan kelopak matanya. Wajahnya pula menjadi sasaran sepasang mata yang merenung tajam.

“Mana seorang lagi?” Lelaki berjambang itu bertanya.

Dia terkesima mendengar pertanyaan itu. Seorang lagi? Apa maksud lelaki itu?

* * * *

1974 - Lembah Lenggong, Perak.

Dia sibuk mengerahkan pekerja-pekerjanya melakukan ekskavasi di kawasan yang telah ditandakan sejak dua jam yang lalu. Dari tanah lapang seluas suku hektar, dia mengecilkan jarak lingkungan sehingga 120 meter persegi untuk memudahkan galian.

Pekerja-pekerjanya mula berhempas pulas membanting cangkul dan penyodok lalu mula menggali tanah satu kaki untuk setiap setengah jam. Dia hanya mengawasi dari jauh. Sesekali panas terik mentari mengundang keresahan. Tubuhnya mula bermandi peluh. Beberapa pelajarnya Hamdan dan Farid turut sama mengawasi kerja-kerja penggalian itu dari khemah kecil di tepi radius galian. Yang lain-lain, Sariah, Rahima dan Amri pula ditugaskan menyemak data yang mereka kumpul sejak di Kota Tampan lagi.

Seorang anak muda menghampirinya lalu menghulurkan sebotol air masak padanya. Dia menyambut tanpa banyak soal. Air itu diteguk rakus menyusuri anak tekaknya terus ke esophagus dan turun ke perut.

“Terima kasih Zack.” Dia tersenyum. Zakaria hanya mengangguk lalu berpaling ke arah pekerja-pekerja tempatan yang mereka upah.

“Agak-agak berapa lama lagi Prof?” Soal Zakaria sudah tidak sabar.

“Dah tak lama dah, Insya Allah.” Jawabnya tenang. Dia mengerti sifat terburu-buru anak muda itu. Dia dulu juga begitu sewaktu hendak menimba ilmu. Tapi bidang arkeologi memerlukan ketelitian dan kesabaran yang cukup tinggi, Jika tidak sabar, mahu angin satu badan. Jika tidak teliti pula, silap-silap data yang terkumpul akan bercelaru dan mereka semua terpaksa bermula semula di tapak permulaan.

Dia sudah berkecimpung dalam bidang arkeologi sudah lebih sepuluh tahun. Minatnya mengembara dan mengkaji sesuatu membawanya memilih arkeologi sebagai satu cabang ilmu yang paling dicintai.

Dan hari ini dia dan seramai 6 orang pelajarnya telah berada di bumi Lenggong itu sejak sebulan yang lalu, membuat survey serta mengumpul data. Kali ini tugas mereka adalah untuk menjejak tinggalan sejarah serta bukti kewujudan artifak-artifak tinggalan zaman hoabinhian.

Pada asalnya mereka telah memasang khemah di sekitar Kota Tampan. Malah pencarian jejak golongan haobinhian membawa kepada penemuan alat batu, gendang gangsa dan tembikar hasil peninggalan era zaman lampau. Dari Kota Tampan, mereka bergerak pula ke laluan berhampiran Bukit Jawa. Dan sepanjang ke Bukit Jawa, mereka banyak menemukan jejak-jejak haobinhian. Kerana itu dia mengarahkan khemah mereka dibina di situ.

“Prof, ada percanggahan data. Radius ekskavasi yang kita collect ni mempunyai anomali .” Rahima, salah seorang pelajarnya tiba-tiba muncul sambil memegang helaian kertas data. Dia mengerutkan dahinya. Salah?

“Sepatutnya kita kena bergerak 30 langkah lagi ke bahagian utara.” Beritahu Rahima.

Dia meneliti helaian kertas-kertas yang dibawa oleh Rahima. Serentak matanya mendadak berpaling ke arah pekerja-pekerja yang sibuk menggali. “Hentikan kerja-kerja tu. Pindah tempat.” Arah Profesor Umar separuh menjerit.

Pekerja-pekerja yang berada di dalam lubang galian saling berpandangan sesama sendiri. Lubang yang ditanda itu sudah digali sedalam hampir lima kaki, tiba-tiba sahaja mereka diminta berhenti. Ini menimbulkan rasa hairan sebilangan pekerja-pekerja itu. Namun mereka tidak banyak soal, lagipun gaji mereka dibayar lelaki itu.

Namun sebaik pekerja-pekerja itu keluar dari dalam lubang, suara teriakan seorang lelaki kedengaran. Profesor Umar berpaling. Seorang lelaki yang masih tertinggal dalam lubang menjerit-jerit.

“Ada apa Said?”

“Ada sesuatu kat sini Profesor.” Ujar lelaki itu termengah-mengah. Profesor Umar dan Zakaria segera menerpa ke dalam lubang. Farid, Amri dan Hamdan turut meluru ke arah lubang besar di hadapan mereka. Manakala yang lain-lain lebih senang berdiri di belakang.

Dari atas, mereka melihat satu lingkaran bulat tertanam di dalam lubang itu.

“Apa tu Prof?” Tanya Zakaria hairan. Namun Profesor Umar tidak terus menjawab. Matanya asyik merenung lingkaran tersebut.

“Saya tak perasan benda ni tadi sebab saya berdiri kat atas benda ni. Tapi tiba-tiba sahaja pasir di bawah kaki saya mendap ke bawah. Saya ingatkan pasir jerlus tadi. Lepas tu saya nampak benda ni.” Cerita Said panjang lebar.

“Apa benda sebenarnya tu?” Soal Farid pula tidak puas hati. Dia melompat ke dalam lubang. Hamdan turut ikut serta. Pekerja-pekerja yang baru keluar tadi juga ikut berkerumun. Masing-masing kelihatan berminat dengan benda yang baru ditemui.

“Bentuknya macam perigi.” Tiba-tiba Profesor Umar bersuara. Kesemua pasang mata kini tertumpu ke arah lelaki berusia 40 tahun itu. Masing-masing tercengang mendengar kata-kata lelaki itu. Perigi?

* * * *

Ketika yang lelaki sibuk menggali lubang perigi yang dikatakan oleh Profesor Umar, Rahima dan Sariah pula sibuk mengumpul sampel tanah dan abu di kawasan perigi tersebut untuk dibuat kajian.

“Perigi ni dibina dari batu-bata yang bercampur dengan kulit siput dan kerang.” Bisik Profesor Umar sambil sibuk meneliti dinding perigi tersebut.

Farid dan Amri saling berpandangan. Zakaria turut menyentuh dinding perigi yang telah digali hampir separuh oleh pekerja-pekerja itu. Dia turut tertarik dengan perigi tersebut.

“Prof rasa, perigi ni dah wujud sejak zaman lampau?” Tanya Zakaria.

“Tak mungkin kaum hoabinhian sudah ada tamadun untuk membina perigi. Mereka masyarakat pesisir air yang menjadikan sumber air sebagai makan dan minuman. Tak mungkin perigi ni wujud sejak zaman itu.” Sanggah Farid merujuk kepada golongan Hoabinh yang wujud antara 13,000 hingga 3000 sebelum masihi. Farid mengalihkan pandangan ke arah Profesor Umar, bagaikan mahu mencari sokongan lelaki itu.

Profesor Umar tidak melayan perang pendapat kedua anak muda itu. Dia lebih berminat dengan perigi tersebut. Kepala Profesor Umar tidak habis-habis menjenguk ke dalam. Hamdan dan Said sedang berusaha mengorek tanah dan pasir yang terdapat dalam perigi tersebut. Dua jam kemudian Hamdan mula menjerit.

“Ada apa Hamdan?” Tanya Profesor Umar sudah tidak sabar.

“Ada sesuatu kat sini Prof. Dekat bawah ni macam ada lapisan penutup di bawah pasir. Sepertinya dibuat dari plat keluli.” Laung Hamdan dari bawah.

“Keluli?” Profesor Umar tergaman. Tanpa bertangguh, dia turut menuruni perigi yang telah dikorek menggunakan tali yang dipegang oleh beberapa orang lelaki. Sebaik kakinya menjejak permukaan, matanya terpandang lapisan besi yang menutupi isi perigi. Melihat ada serbuk-serbuk putih di sekeliling lapisan besi itu, Profeor Umar memberanikan diri mengambil dan menyentuhnya. Serbuk putih itu dibawa ke hidung. Dahi Profesor Umar berkerut.

“Apa dia Prof?” Tanya Hamdan ingin tahu.

“Sulfur.” Ujar lelaki itu. Hamdan dan Said saling berpandangan. Entah kenapa kata-kata lelaki itu membuatkan mereka bingung. Kenapa boleh ada sulfur dalam lubang tersebut?

Profesor Umar meminta kedua-dua lelaki itu menarik pemegang penutup keluli itu ke atas. Tapi tenaga kedua-duanya bagaikan tidak larat mengangkat keluli setebal 3.5 mm itu. Mereka saling berpandangan.

“Tak bolehlah Prof, susah nak buka,” Rungut Hamdan. Profesor Umar terdiam seketika. Dia cuba memikirkan cara bagaimana mahu membuka penutup telaga tersebut. Akhirnya bibirnya mula mengorak senyum.

“Farid, Zack…tolong ambilkan grenade. Kita akan letupkan lubang perigi ni.” Putus lelaki itu akhirnya. Farid dan Zakaria tergaman mendengarnya. Begitu juga dengan lelaki-lelaki tempatan yang mengiringi perjalanan mereka.

“Profesor, saya rasa lebih kita biarkan saja lubang ni begini. Mungkin ada sebabnya kenapa perigi ni ditutup dengan keluli begini.” Tegah Said, ketua pekerja-pekerja tempatan yang mereka upah. Serentak semua mata memandang ke arah Said.

“Maksud Pak Said?” Zakaria bertanya.

Said memandang anak muda itu dengan wajah resah, sebelum mengalihkan matanya ke arah Profesor Umar. “Saya bukan nak takut-takutkan semua yang ada kat sini. Cuma ambil ikhtibar dari apa yang pernah berlaku dulu. Saya pernah dengar cerita dari datuk saya dulu yang ada sesuatu di kawasan ini yang hanya menunggu masa untuk dijagakan.”

“Menunggu masa untuk dijagakan? Apa maksud kamu Said?” Profesor Umar mengerutkan dahinya. Hairan mendengar kata-kata lelaki itu.

Said terasa serba salah mahu meneruskan kata-katanya. Kemungkinan besar kata-katanya akan dianggap tidak masuk akal, tapi itulah yang didengarinya sejak dia masih kecil lagi. Disampaikan oleh orang-orang tua di kampungnya dari satu generasi ke satu generasi yang lain.

“Profesor, tentu ada sebab kenapa perigi ni berada di sini dan ditutup dengan keluli. Mungkin ia digunakan untuk menghalang sesuatu dari keluar. Sebaiknya kita jangan usik perigi ni Profesor.” Bisik Said.

“Pak Said dah mengarut ni. Apa yang boleh keluar dari perigi tu? Hantu?” Zakaria ketawa besar. Hamdan dan Farid tersengih-sengih. Kata-kata orang tua itu tidak masuk akal sama sekali.

“Pak Said tak main-main.” Said tetap mempertahankan pendapatnya. Nada suaranya bagaikan tersinggung dengan telatah Zakaria.

Ketawa Zakaria semakin kuat. Dia memang tidak percaya dengan benda-benda yang disebut oleh lelaki itu. Farid di sisi anak muda itu terus menyiku pinggang Zakaria yang masih galak ketawa.

“Insya Allah Said, tak ada apa-apa yang buruk akan berlaku. Saya rasa perigi ni ditutup sekadar untuk mengelakkan bahaya. Jika diukur dari segi kedalaman timbusan perigi ini, mungkin ia berusia sekitar antara seratus hingga dua ratus tahun yang lalu.” Ujar Profesor Umar mematikan sangkaan buruk Said.

“Zack…” Mata Profesor Umar mengerling ke arah anak muda itu. Bagaikan memahami apa yang diingini oleh lelaki itu, Zakaria terus mengambil grenade yang sentiasa dibawa oleh Profesor Umar dalam setiap ekspolarasinya. Kadang-kadang ada keadaan tertentu yang memaksa mereka menggunakan grenade dalam penjelajahan mereka, contohnya dalam keadaan sekarang. Grenade itu lalu dicampakkan ke arah Hamdan. Manakala Profesor Umar dan Said naik terlebih dahulu. Kerja-kerja memasang grenade dan menyambungkan ke panel kawalan dibeban ke atas bahu Hamdan kerana anak muda itu sudah biasa.

Lima belas minit kemudian, satu letupan sederhana kuat berkumandang di kawasan itu. Asap dari letupan menyelubungi kawasan tersebut. Profesor Umar dan yang lain-lain segera meluru ke arah lubang yang mula terdedah. Masing-masing sudah tidak sabar mahu menjenguk isinya.

Dari jauh, sepasang mata mengintip gerak geri kumpulan itu. Bibirnya yang pucat dan berkedut melemparkan senyuman gembira. Tangan kanannya memegang satu cota berlambangkan kepala ular berwarna putih. Sebentar sahaja lagi, dan penantiannya selama berpuluh tahun ini akan termakbul. Akhirnya mereka semua dah termasuk dalam perangkap aku! Ketawanya kedengaran.

“Nek, kita balik?” Bisik suara garau di tepi telinganya. Dia berpaling. Seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30an tersengih memandang ke arahnya. Dia membalas senyuman lelaki itu.

“Dah tak lama lagi Faruk. Siapkan persiapan. Cik Puan akan kembali pada kita.” Ujarnya seolah memberi arahan.

Faruk hanya mengangguk. Setiap kata-kata wanita tua itu tidak pernah dibantah. Tidak dulu, tidak sekarang dan tidak juga nanti.

2 comments:

Mama Delima said...

kak nita, cite ni best giler..wat sy tertanya2 cite strusnye..klu trus wat buku kan bagus..x sbr nak tau cite ni..

Mazni Aznita said...

insya allah klu ada yang sudi membacanya, kisah ini akan terus dikemaskinikan..

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!