Followers

Monday, January 18, 2010

Tiada Sepertimu 7

“SAYA tak tahu yang Cik Zara pun suka bersenam di sini,” ujar Jaherry ketika bertemu gadis itu. Zara hanya mampu tersenyum. Mulanya dia serba salah juga mahu memakai pakaian itu, namun melihat ramai orang di situ berpakaian yang sama, dia cepat-cepat menangkis rasa malunya. Lagipun memakai pakaian senaman itu, apalah sangat jika dibandingkan dengan pakaiannya yang berbau buah oren.
“Cik Zara nampak makin cantik dengan pakaian tu,” puji Jaherry lagi sambil merenung wajah gadis di hadapannya. Entah kenapa, raut wajah gadis itu membuatkan dia terpesona seketika ketika kali pertama mereka bertemu dulu. Kini tanpa kehadiran Datin Kamisah, dia berani memandang Zara lebih lama.

“Sebenarnya saya ajak Encik Jaherry keluar sebab nak bincang tentang polisi insurans tempohari. Ada beberapa dokumen yang saya lupa nak suruh Encik Jaherry sain.” Ujar Zara berterus terang. Lagipun dia tidak gemar dengan kata-kata manis yang meniti dari bibir lelaki itu yang kerap memujinya.

“Please, panggil saya Jerry saja.”

Zara terdiam. Jerry? Perlukah aku memanggilnya santai begitu atau panggilan formal lebih baik?

“Baiklah Jerry, so can we discuss about the policy terms now?”

“Tak payahlah serius sangat. Saya percaya Cik Zara seratus peratus,” ucap Jaherry dengan suara lembut mendayu.

Zara terkedu. Entah mengapa, sikap lelaki itu mula melemaskannya. Dia sedar, Jaherry sedang cuba mendominasikannya. Tanpa bertangguh dia segera mengeluarkan dokumen-dokumen penting dari dalam beg sandang yang dibawanya. Dokumen itu segera diletakkan di hadapan Jaherry.

“Hari tu saya dah jelaskan pada Jerry tentang kandungan polisi insurans di mana di dalamnya ada dijelaskan secara lebih detail tentang tempoh jaminan, jumlah pampasan yang diberikan dalam tempoh jaminan, caj yang dikenakan ke atas tempoh jaminan yang diberi serta bagaimana mahu menuntut pampasan. Jaherry masih ingat?” Tanya Zara.

Lelaki itu memandangnya sambil tersenyum. “Ya saya ingat. Cuma satu saja saya nak tahu. Bagaimana kalau saya mahu menuntut pampasan ni?”

“Kalau Jerry memenuhi kriteria syarat-syarat perjanjian amanah di dalam polisi insurans, maka Jerry berhak menuntut pampasan seperti yang terkandung dalam Akta Insurans 1996 dan standard piawaian Bank Negara Malaysia. Jerry boleh datang ke pejabat kami dan kami akan bantu proses tuntutan pampasan.” Jelas Zara panjang lebar.

“Penting sangat ke insurans nyawa ni Cik Zara? Saya tak terfikir sebenarnya nak menginsurankan nyawa saya sendiri. Lagipun kalau nak mati, sekarang pun boleh mati. Tak begitu?” Jaherry tergelak-gelak kecil.

Zara terpegun mendengar kata-kata lelaki itu. Sebetulnya ramai orang yang salah faham dengan konsep life insurans. Dan Jaherry bukannya satu-satunya orang yang berpendapat begitu.

“Jerry, insurans tidak pernah meletak harga atau nilai pada nyawa seseorang. Tak pernah. Malah kita tidak perlu kehilangan nyawa untuk mendapat pampasan insurans. Dalam realiti, pampasan insurans tetap berbayar samaada kerana cacat keseluruhan, penyakit kritikal, kemalangan atau rawatan hospital, tanpa perlu kehilangan nyawa. Jadi tak mungkin ianya insuran nyawa.”

“Life memberi makna lain selain dari nyawa. Dan makna yang lebih tepat adalah kehidupan itu sendiri. Saya ambil contoh jika kita nak buat pinjaman rumah di bank. Untuk memastikan pinjaman kita tetap berbayar apabila kita sudah mati kelak, pihak bank takkan suruh kita membeli pampasan dari pihak tertentu. Sebaliknya mereka hanya mahukan jaminan perlindungan atau jaminan kewangan supaya kalau kita meninggal dunia, pinjaman kita itu akan dijelaskan oleh pewaris atau penjamin kita. Tapi siapa nak jamin jumlah pinjaman sebanyak beratus ribu, sedangkan pinjaman sepuluh ribu pun orang takut nak jamin. Sebab itu pihak insurans akan sediakan jaminan perlindungan dari risiko-risiko tertentu. Syarikat insurans tidak menjual pampasan Jerry, sebaliknya kami hanya memberi jaminan perlindungan.” Jelas Zara panjang lebar.

Jaherry ketawa kecil. “Pandai Cik Zara bercakap, buat hati saya terpujuk untuk terus setuju. Kat mana saya perlu sain dokumen ni?”

“Kalau macam tu, Jerry tolong sain dekat sini,” suruh Zara sedikit lega. Lelaki itu tanpa banyak kerenah terus melakukan seperti apa yang disuruh.

“Dah siap. Lupa nak tanya Cik Zara nak minum apa?”

“Err tak payahlah Jerry, lepas ni saya kena balik ke pejabat segera,” Pintas Zara cepat-cepat memberi alasan.

“Duduklah dulu Cik Zara. Lagipun bukan selalu kita boleh jumpa.” Pinta lelaki itu. Mahu tak mahu Zara terpaksa duduk semula. Dengan cepat, lelaki itu memesan segelas jus oren untuknya. Dia tergaman. Hendak tersenyum pun ada, tapi sedaya upaya cuba ditahannya. Siapa pun pasti akan tergelak sendiri. Sudahlah bajunya tadi basah lencun kerana jus oren, kini lelaki itu memesan pula jus oren untuknya. Kelakar!

“Saya perasan Cik Zara macam tak berapa sukakan saya. Kenapa ya?” Soal Jaherry tiba-tiba. Zara tersentak. Alamak, dia tahukah apa yang aku fikirkan tentangnya?

“Kenapa Jerry cakap macam tu?”

“Entahlah, saya boleh rasa.”

Zara terdiam. Serba salah dia mahu memandang lelaki itu kini. “Maaf kalau Jerry rasa macam tu. Tapi percayalah saya tak ada niat buruk. Hanya tertanya-tanya, itu saja.” Ujar Zara berterus terang.

“Cik Zara tentu nak tahu tentang hubungan saya dengan Datin Kamisah kan?”

Zara tidak menjawab. Dia sendiri tidak pasti, apakah dia mahu tahu sesuatu yang tidak ada kena mengena dengan hidupnya.

“Ramai yang sangka saya dan Datin Kamisah ada hubungan yang istimewa. Tapi hakikatnya kami hanyalah rakan perniagaan. Dan memang kami agak akrab sejak akhir-akhir ini, tapi itu tak bermakna kami bercinta.” Jelas Jaherry tenang.

Zara memandang lelaki yang mempunyai iras-iras ‘chinese look’ itu. Entah apakah dia patut percaya pada kenyataan lelaki itu? Sebelumnya Jaherry mengaku dia tidak bekerja, tiba-tiba dia mengaku rakan perniagaan mak datin kaya itu pula. Hissh mana satu ni? Zara mula keliru.

“Saya dah kenal Datin Kamisah tu dah lama. Dia wanita yang aktif dalam persatuan dan kerap mengadakan function-function amal. So saya banyak membantu dia menguruskan majlis-majlisnya.” Jelas Jaherry bagaikan tahu apa yang bersarang di kepala gadis itu.

Zara ingin mengatakan sesuatu, tapi tidak jadi membuka mulut sebaik terpandang kelibat seseorang di kaunter kafeteria. Tajam mata Zara menatap ke arah lelaki yang menyakitkan hatinya tadi. Melihat lelaki itu berpaling ke arahnya, sepantas kilat Zara mengalihkan pandangan. Dia tidak mahu bertentang muka dengan lelaki itu. Buat menyakitkan hatinya saja.

“Jerry!” Seru suatu suara agak kuat dari arah belakangnya. Zara memandang Jaherry. Mata lelaki itu merayap di belakangnya. Darah Zara mula menyirap. Lelaki tadikah? Dia masih ingat lelaki itu memang agak baik dengan Jaherry.

Jaherry dilihat mengangkat tangannya sedikit. Zara mengerling dengan ekor mata. Sekejap sahaja lelaki yang berada di kaunter tadi sudah singgah di meja mereka. Namun melihat kehadiran Zara di situ, lelaki itu kelihatan tergaman seketika. Apatah lagi melihat Zara lengkap berpakaian senaman.

“Kau buat apa kat sini Kif?” Tanya Jaherry.

“Aku kan part time instructor kat sini. Herman minta aku tolong dia sementara dia dapatkan instructor yang baru.”

“Oh macam tu. Oh ya kenalkan ini Zara Melissa. Rasanya beberapa hari yang lepas, kau pernah jumpa dia di restoran kau kan.” Ujar Jaherry.

Mata Keifli beralih ke arah Zara yang membisu seribu bahasa. Dia sedar, anak gadis itu kelihatan tidak senang dengan kehadirannya. Tangannya segera dihulur ke arah gadis itu.

“Keifli. Keifli Benjamin.” Dia memperkenalkan dirinya.

Zara mengangkat muka memandang lelaki itu. Mata Keifli kelihatan bercahaya memandangnya. Melihat senyuman itu, dia tambah sakit hati mengenangkan peristiwa tadi. Tapi kerana Jaherry ada sama, mahu tak mahu dia memaksa diri menyambut salam perkenalan yang dihulurkan Keifli.

“Zara. Zara Melissa.” Sahutnya. Tangan mereka bersentuhan. Zara menyedari sentuhan lelaki itu terasa hangat di tapak tangannya. Renungan Keifli nampak lembut. Hanya dia yang terasa serba tidak kena. Malunya masih menebal angkara kejadian ‘bantal peluk’ sebentar tadi. Menyedari sesuatu, Zara cepat-cepat merungkai tangannya dari pegangan Keifli. Matanya juga dilarikan. Namun dia sempat melihat senyuman kecil yang bermukim di bibir lelaki itu.

“Kalau Cik Zara nak tahu, restoran De’ Raya yang kita pergi tempohari sebenarnya milik Keifli. Dia ni bukan sahaja pandai menguruskan restoran, tapi pandai juga memasak apa saja jenis makanan. Terutama makanan Barat.” Canang Jaherry.

“Tak payah memuji aku Jerry. Aku tak rasa Cik Zara ni termakan umpan kau tu.” balas Keifli seraya tersenyum.

Zara terdiam. Jadi betullah De’ Raya itu miliknya seperti yang dijelaskan oleh salah seorang pekerja restoran itu tempohari? Padanlah aku asyik nampak muka dia kat situ, gumam hati kecil Zara.

* * * *

ZARA mengeluarkan segugus kunci dari dalam tas tangan lalu mula membuka pintu kereta. Dia masuk ke dalam perut kereta sambil mengeluarkan telefon bimbitnya. Seketika, nombor Zackry didail pantas.

“Hello Zack, aku ni. Tolong beritahu Encik Hasyim, aku nak terus balik hari ni. Aku dah dapatkan tandatangan Jaherry. Esok borang ni dah boleh ‘proceed’. Ujar Zara. Dia mendengar seketika sebelum membalas. “Okey, aku jumpa kau di pejabat esok.” Sambungnya seraya menamatkan perbualan.

Tanpa bertangguh, dia segera menghidupkan enjin kereta. Tapi bunyi enjin keretanya yang tersekat-sekat menyebabkan Zara mula bimbang. Apahal pulak enjin ni? Dia mencuba lagi dan tiba-tiba enjin itu mati begitu sahaja. Zara terus terkedu. Alamak! Takkan baru hantar bengkel dua minggu lepas, buat hal lagi? Dia mengguman geram.

Zara keluar dari keretanya seraya membuka bonet hadapan. Dia termenung panjang memerhatikan ke arah enjin yang dia sebenarnya tidak arif. Apa yang rosak sebenarnya? Sparkplug rosakkah atau coil yang bermasalah? Otaknya benar-benar blurr berhadapan dengan objek mekanikal yang dipanggil ‘kereta’.

Sebuah kereta Toyota Camry melintas di belakangnya agak laju. Zara merasa terganggu dengan bunyi enjin yang menderum bising. Dia berpaling acuh tak acuh. Kereta yang telah maju ke hadapan itu tiba-tiba diundur semula membuatkan Zara tercengang. Siapa pulak ni?

Cermin kereta diturunkan perlahan-lahan. Suatu wajah menjenguk keluar dari cermin tingkap yang terbuka luas. Zara terpaku. Dia lagi!

“Apahal ni?” Keifli bertanya dengan wajah serius.

“Rosak.” Jawab Zara sepatah. Dia pura-pura tidak peduli dengan kehadiran lelaki itu. Keifli sudah keluar dari keretanya.

“Minyak habis?” Soal Keifli ingin tahu.

“Bukan, tiba-tiba saja enjin ni meragam. Mulanya enjin tersekat-sekat, lepas tu terus mati.” Ujar Zara. Keifli terdiam. Matanya menilik ke arah enjin sambil tangannya menyentuh beberapa palam dan karburetor. Dia cuba mencari punca kenapa kereta gadis itu berkeadaan begitu. Sejurus kemudian, Keifli tersenyum sumbing.

“Oh patutlah, distributor ada problem ni.” Ujarnya perlahan. Zara tercengang.

“Distributor? Apa tu?” Selama ini dia belum pernah mendengar tentang distributor. Kalau bateri, karburetor, coil atau sparkplug tu pernahlah juga. Itupun sebab Romei dan Zackry yang kerap menunjuk ajar.

“Perempuan…, kalau fasal bawak kereta semuanya terror. Tapi kalau rosak sikit, mulalah panik.” Keifli tersengih. Dia mengerling gadis di sampingnya. Zara yang dapat menangkap patah-patah perkataan lelaki itu mengerutkan dahinya. Telinganya rasa berbahang, namun dia pura-pura tidak ambil kisah.

“Cik Zara, distributor ni penyambung yang akan menyambungkan arus elektrik melalui rotor dalam sesebuah kereta. Dalam kes kau ni, brek penyambung distributor contact kau ni dah patah. So sebab tu enjin kereta tiba-tiba mati.” Jelas Keifli.

“Macamana nak baiki?” Zara jadi bingung. Dia sebenarnya langsung tidak faham apa maksud Keifli. Amenda la mamat ni cakap?

“Tak boleh dibaiki lagi. Kau kena tukar dengan distributor contact yang baru. Jangan bimbang, tak mahal pun harganya. Murah saja.” Ujar Keifli.

Zara tidak menjawab. Buka soal mahal atau murah yang sedang difikirkannya. Dia hanya bimbang soal bagaimana dia mahu pulang ke rumah dalam keadaan begini. Sudahlah malam ini dia ada hal penting. Aduh, kereta ni pun satu. Mahal-mahal aku beli, baru setahun dah naik lemak, rungut Zara separuh geram. Dia memandang ke arah pergelangan tangan. Masih ada lima enam jam sebelum dia ke KLIA. Sempatkah keretanya dibaiki sebelum itu? Zara naik resah. Keifli hanya menjeling gadis di sisinya. Wajah resah Zara, diam-diam menjadi santapan matanya.

“Macam nilah, aku nak balik ke restoran sekarang. Kalau kau tak kisah, aku boleh tumpangkan kau. Kereta ni kita panggil mekanik ambil. Lagipun aku ada kawan yang buka bengkel tak jauh dari sini.” Usul Keifli.

Zara serba salah dengan cadangan itu. Pertama sebab dia tidak kenal dengan lelaki itu. Entah baik atau jahat, dia mula memasang prasangka sendiri. Kedua dia benar-benar sayangkan keretanya. Kalau hilang kereta itu, tentu masak dia nak mencari ganti.
“Macamana?” Keifli masih menanti jawapan.

Mengenangkan ibunya, mahu tak mahu Zara terpaksa bersetuju dengan cadangan Keifli. Lagipun dia tidak mahu dihambur oleh ibunya kerana tidak muncul di KLIA malam ini!

Dia duduk diam-diam di samping lelaki itu dalam kereta. Gaya duduknya agak bersopan ibarat puteri zaman dulu-dulu. Tapi dalam sopan, matanya sempat mengintai gerak geri Keifli yang sedang bercakap dalam telefon sambil memandu. Sebenarnya mamat ni boleh tahan juga, bisik Zara perlahan. Airmukanya manis biarpun dia nampak selamba. Mata itu jika direnung dalam-dalam, mampu mencairkan hati ramai gadis. Entah sudah kahwinkah belum dia ini agaknya? Ah damn you Zara, kenapa sampai ke situ pula? Aduh, malunya kalau lelaki itu tahu apa yang sedang difikirkannya ketika ini. Zara mengeluh panjang. Dia cepat-cepat membuang setiap sangkaan yang mula tumbuh.

Keifli yang baru selesai menamatkan perbualan berpaling. Suara yang keluar dari bibir Zara, dapat ditangkapnya dengan jelas. Matanya berkelip-kelip memandang si gadis. Entah apa yang dikeluhkan gadis ini sebenarnya? Bimbangkan keretanya, barangkali!

“Kawan aku tu dah sampai kat kereta kau. Dia akan baiki kereta kau kat situ. Lepas tu kunci kereta tu nanti dia akan bagi kawan aku yang kerja kat Fitness Club. Kau boleh pergi cari dia nanti. Namanya Herman, pengurus kat Fitness Club tu.” Beritahu Keifli.Zara mengangguk. “Terima kasih sebab tolong,” sebutnya lambat-lambat.

Keifli sekadar tersenyum. Sudi juga dia ni mengucapkan terima kasih. Tapi macam tak ikhlas je, bisik Keifli. Namun dia tidak berkata apa-apa. Masing-masing sibuk melayan perasaan sendiri.

Sesekali mata Keifli mengerling ke arah gadis di sisinya. Gadis itu tidak banyak bercakap. Sepatah yang ditanya sepatah juga yang dijawabnya. Kenapa? Takutkan aku barangkali, bisik hati nakal Keifli.

Dia mengambil sekeping CD yang tersimpan dalam CD folder, sebelum memasukkannya ke dalam player. Seketika kemudian berkumandang suara Usher menyanyikan lagu Same Girl. Zara buat-buat tidak peduli dengan tingkahlaku lelaki itu meskipun dia perasan suara Keifli sama sibuk menyenandungkan lagu itu.

“Do you like music?” Soal Keifli tiba-tiba. Zara berpaling. Dia memandang lelaki itu tidak berkelip. Meskipun dia tidak pasti dengan tujuan Keifli bertanya, namun kepalanya digelengkan. Penipu! Di bilik kau tu apa? Hampir sebeban rak CDnya dipenuhi dengan kaset-kaset dan cakera padat penyanyi-penyanyi tempatan dan luar negara. Zara tersenyum sendiri.

“Sweet!” Keifli ketawa kecil. Zara tergaman. Pantas matanya dilarikan ke arah lelaki itu. Ekor mata Keifli mencuri pandang ke arahnya. Bibir lelaki itu masih melemparkan senyuman.

“Kau cakap apa tadi?” Zara bertanya ingin tahu.

“Tak, aku kata dah lama aku tak makan gula-gula.” Balas Keifli sambil meluruskan matanya ke arah jalan raya.

Zara tercengang. Gila ke apa dia ni, tiba-tiba aje sebut fasal gula-gula!

Keifli mengerling lagi. Dia seperti hendak ketawa melihat wajah Zara yang kebingungan. Tapi sememangnya gadis di sisinya itu ‘manis’ jika tersenyum.

2 comments:

Hanya Aku Dihatimu.. said...

hehehe...nita..nita...certa ni buat liza ketwa sendiri lerr...apa jalan certa ni nita?siapa hero dia jerry or kifli???

miss nina said...

kak nita, cerita ni buat nina cair je keifli.
hero2 mesti kacak dan ego baru tertarik..hehehe

keep it up kak nita

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!