Followers

Tuesday, November 23, 2010

Blue Sunset : Bab 10

KERETA Iman berhenti tepat di perkarangan rumahnya. Zahar segera keluar dari perut kereta Nissan Sentra milik Iman. Sebelum beredar dia berpaling ke arah lelaki itu.

“Tak nak singgah?” Pelawa Zahar.

Iman menjegilkan matanya. “Kau gila ke apa ni? Dah pukul berapa sekarang ni? Nak suruh nenek kau tu balun aku dengan batang penyapu?” Jerkah Iman.

Zahar ketawa kecil. “Aku gurau ajelah. Okeylah, aku masuk dalam dulu. Dah mengantuk sangat rasanya mata aku ni. Lain kali malas aku nak ikut kau ke uptown lagi kalau bukan hujung minggu.” Zahar separuh merungut lalu menghindarkan dirinya dari kereta milik Iman.

Lelaki itu ketawa besar mendengarnya. “Okeylah aku pun nak jalan dulu ni. Esok kita jumpa di pejabat.” Usai berkata, Iman terus memecut keretanya sebelum menghilang dari pandangan. Zahar terus memerhatikan kereta Iman buat beberapa ketika sebelum dia melangkah masuk ke dalam rumah.

“Ah ngantuknya.” Keluh Zahar seraya menguap beberapa kali. Dia sempat mengerling ke arah jarum jam antik di ruang tamu. Alamak, dah dekat pukul 4 pagi, padanlah mengantuk sangat rasanya. Dengan terburu-buru, dia mendaki tangga ke arah biliknya. Di fikirannya ketika ini hanya terbayangkan bantal sahaja.

Malangnya ketika dia memulas tombol pintu biliknya, daun pintu itu langsung tidak berkutik. Zahar tercengang. Apasal pulak ni? Siapa yang kunci? Dia mula mengoncang tombol pintu itu dengan perasaan berang. Sudahlah dia mengantuk, ini pintu biliknya pula buat hal. Tak kasihankan tuannya langsung, gumam Zahar geram.

Letih memulas tombol pintu itu, Zahar tiba-tiba teringatkan sesuatu. Bibirnya serta-merta mengukir senyuman. Dia melangkah ke arah pasu bunga yang menjadi hiasan di anjung tepi biliknya. Bunga plastik di dalam pasu tersebut dikeluarkan. Tangannya meraba-raba ke dalam. Beberapa ketika kemudian, dia tersengih lebar sambil memegang sebatang anak kunci pendua biliknya yang sengaja disembunyikan di situ beberapa tahun yang lalu untuk masa-masa kecemasan. Sekarang ni pun dikira emergency juga, bisik hati kecil Zahar sambil ketawa kecil.

Dengan menggunakan kunci pendua itu, Zahar akhirnya berjaya memasuki biliknya. Tanpa membuka lampu, dia segera bergerak ke arah katil. Matanya hampir layu dek kepenatan. Tanpa membuang masa dia segera merebahkan diri di atas katil. Matanya dipejamkan! Ah leganya dapat tidur! Kepalanya yang berat sebentar tadi dengan sekelip mata menjadi ringan.

Tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi. Zahar terkejut lalu segera membuka mata. Dia memasang telinga. Bunyi itu kedengaran seperti hembusan nafas. Aneh! Akukah yang bernafas seperti itu? Dia cuba menahan nafas. Tapi bunyi itu semakin kedengaran. Perlahan tapi jelas menerpa ke gegendang telinga.

Zahar tiba-tiba diusik rasa cemas. Nafasnya tidak teratur menahan gementar yang mula menguasai diri. Pelbagai fikiran buruk menjengah ke dalam dirinya. Ada hantukah dalam bilik aku ni?

Satu pergerakan perlahan di sampingnya membuatnya dia diusik cemas. Hendak berpaling dia tidak berani. Namun secara perlahan-lahan dia bingkas bangun dari katilnya. Mulutnya terkumat-kamit menyebut kalimah Allah tidak henti-henti. Please…janganlah ada hantu dalam bilik aku ni.

Dengan nekad, dia memalingkan wajah ke sisinya. Ingin melihat ‘hantu’ yang menghuni biliknya itu. Namun sebaik dia melihat sesusuk tubuh terbaring di atas katilnya, mata Zahar terbuntang bulat. Sepantas kilat tangannya meraba-raba suis lampu di tepi katil. Bilik yang tadi gelap kini cerah sedikit.

Dia terpegun sebaik melihat sesusuk lembaga berambut panjang di atas katilnya, sedang tidur sambil membelakanginya. Zahar perlahan-lahan turun dari katil dengan perasaan berdebar-debar. Fikirannya masih menyangsikan lembaga yang dilihatnya itu bukan manusia. Tapi malang menerpa ketika dia mahu turun dari katil. Kakinya terlanggar bucu meja sisi menyebabkan lampu di atasnya terjatuh.

Zahar terburu-buru mahu menyambut lampu tersebut tapi tidak berjaya. Dia terkedu melihat lampu meja yang baru dibeli oleh neneknya beberapa bulan yang lalu menghentam lantai lalu pecah berderai.

Bunyi bising yang muncul menganggu tidur lembaga itu. Lembaga itu membalikkan tubuh lalu berpaling. Tapi melihat kelibat Zahar berdiri kaku di tepi katil, lembaga itu terus menjerit nyaring sekaligus membuatkan lutut Zahar mula lemah tidak berdaya.

* * * *

Rukiyah ketawa besar sebaik melihat wajah Zahar yang membiru di tepi mata. Sudah dituam lebam itu dengan ais, tapi entah macamana pagi ini lebam itu tidak mahu surut.

“Sakit lagi?” Tegur Rukiyah tersengih-sengih.

Mendengar pertanyaan neneknya, Zahar hanya berdiam diri sambil mengetap bibir. Sakit di matanya tidak separah sakit di hatinya sekarang ini. Dari tempat duduknya, matanya tak berkalih dari wajah Aqi yang terus tunduk membisu. Sejak tadi anak gadis itu langsung tidak berani mengangkat wajah di hadapannya.

Dia menyeringai kesakitan sambil memegang sebelah mata yang lebam ditumbuk Aqi. Mulanya dia tidak tahu siapa lembaga berambut panjang di dalam biliknya. Tapi apabila lembaga itu menjerit, dia cuba mendekati dengan niat mahu memujuk. Tapi entah macamana Aqi menyangkakan dia pencuri. Tak fasal-fasal tumbukan padu gadis itu singgah di penjuru matanya meninggalkan bekas.

“Nenek belum jawab pertanyaan Zahar. Apa dia buat kat bilik Zahar?” Mata Zahar beralih dari wajah Aqi ke wajah neneknya. Dia memerlukan jawapan dan sekaligus kepastian.

“Kan nenek dah cakap dengan kamu yang kita ada tetamu istimewa nak duduk kat rumah kita ni. Kamu lupa?” Balas Rukiyah lembut.

“Nenek cuma cakap ada tetamu nak datang, tapi tak beritahu Zahar bila atau siapa?” Zahar mengerling ke arah Aqi yang tampak serba-salah. Dia benar-benar geram dengan peristiwa yang berlaku pagi tadi. Mujurlah dia cepat sedar tentang tetamu tak diundang di biliknya. Jika tidak, entah-entah sekarang ni dia dengan gadis itu dah ada kat depan tok kadi agaknya! Kahwin free!

“Ada nenek cakap, kamu yang lupa agaknya.” Gumam Rukiyah selamba.

Zahar mengeluh panjang, Patutlah neneknya beria-ria sangat, rupa-rupanya ada udang di sebalik mee. Tetamu yang dimaksudkan neneknya malam semalam rupa-rupanya gadis yang bernama Aqila Murni itu.

“Sejak bila dia ada kat rumah kita?” Tanya Zahar ingin tahu.

“Kelmarin waktu kamu balik kerja, Aqi dah ada kat rumah kita ni sebenarnya. Nenek dengan dia yang susun barang-barang kamu kat bilik bawah tu. Kamu tu yang tak sempat jumpa dengan dia sebab tergesa-gesa nak keluar dengan Iman.” Balas Rukiyah tersenyum-senyum.

“Sikit pun nenek tak tanya Zahar.” Rungut Zahar berkecil hati.

“Alah benda kecik macam ni pun takkan kamu nak merajuk. Yang kamu pun satu, kan nenek dah pesan dengan kamu suruh pindah ke bilik bawah. Yang kamu masuk bilik tu lagi apasal?” Rukiyah sengaja meletakkan kesalahan itu pada cucunya.

Belum sempat Zahar mahu menjawab, wanita itu sudah berpaling ke arah Aqi. “Ke kamu yang lupa kunci pintu bilik semalam Aqi?” Tanya neneknya.

Aqi menggelengkan kepala. Dia sendiri tidak pasti bagaimana Zahar boleh berada di bilik itu, sedangkan dia sudah mengunci pintu bilik itu seperti yang dipesan Rukiyah.

“Nenek, itu kan bilik Zahar. Lagipun Zahar mana pernah cakap yang Zahar setuju nak pindah ke bilik bawah.” Gumam Zahar semakin geram. Sekaligus mahu menyembunyikan fakta tentang kunci pendua yang masih dalam simpanannya.

“Nenek tak kira, kamu kena pindah bilik bawah tu hari ni jugak. Mulai hari ni, Aqi akan tinggal dengan kita sampailah ibunya keluar hospital.” Putus Rukiyah.

“Zahar tak setuju. Zahar tak suka ada orang lain menumpang di rumah kita ni.” Getus Zahar sengaja menguatkan perkataan ‘menumpang’ itu. Biar gadis itu sedar yang dirinya tak dialu-alukan di sini. Matanya sempat melirik ke arah Aqi yang diam tidak berkutik sedari tadi.

“Rumah ni pun rumah nenek. Nenek yang lebih dulu makan garam dari kamu dan ayah kamu. Jadi sebagai orang yang paling tua, kamu kena dengar cakap nenek.” Rukiyah tetap tidak mahu mengalah.

“Nek, nenek tak fikir ke yang tak elok dia tinggal kat sini. Dia tu perempuan, Zahar ni lelaki.” Keluh Zahar.

“Habis, kamu ingat dia seorang aje ke perempuan dalam rumah ni? Nenek kan ada. Lagipun kalau nenek nak keluar ke mana-mana, nenek akan bawa Aqi sekali. Yang itu kamu tak payah risau. Lagipun kamu ingat sikit Zahar, kamu dengan ayah kamu jarang-jarang ada kat rumah ni. Nenek selalu seorang diri aje kat rumah. Kalau ada Aqi temankan nenek, tentu terhibur juga hati nenek.” Ujar Rukiyah mempertahankan tindakannya.

Zahar terdiam. Dia sudah mati kutu mahu terus melayan perang mulut dengan orang tua itu. Neneknya itu memang pandai bercakap, mengalahkan perdana menteri. Agaknya kalau nenek masuk debat perdana, mesti dapat johan agaknya, desis hati kecil Zahar.

Dia mengalih matanya ke arah Aqi yang hanya berpeluk tubuh di hadapannya. Sejak tadi gadis itu tunduk sahaja. Tidak tersinggungkah dia dengan kata-kataku sebentar tadi? Zahar mengerutkan dahinya. Hairan melihat sikap Aqi yang hanya tahu membisu mendengar perbualannya dengan neneknya.

* * * *

Masam manis muka Zahar bila disuruh menumpangkan Aqi ke pejabat. Neneknya memberi arahan selaku jeneral memberi arahan pada anak buahnya. Jika arahan enggan dipatuhi, hukuman pancung di batang tengkuk akan menyusul.

“Jangan nak buat alasan. Nenek tahu Aqi kerja satu pejabat dengan kamu. Kereta dia rosak, tengah dibaiki. Daripada dia menghabiskan duit naik teksi atau bas, baik kamu tumpangkan dia ke pejabat.” Suruh Rukiyah dengan wajah serius.

“Tapi Zahar selalu berhenti minum dulu kat kedai mamak sebelum ke pejabat.” Dia membuat alasan.

“Hai, tadi kan kamu dah makan nasi goreng tu sampai dua pinggan? Nak sarapan apa benda lagi?” Mata Rukiyah menjegil ke arah cucunya. Dia tahu Zahar sengaja bermain helah.

“Nenek tak kira, mulai hari ni nenek nak kamu ke pejabat dengan Aqi dan balik pun mesti dengan Aqi. Kalau kamu nak breakfast ke lunch ke, kamu kena bawa Aqi sekali.” Sambung orang tua itu.

Zahar mengeluh panjang. Melampau betul nenek ni buat syarat macam ni. Aku ke budak perempuan tu cucu dia?

“Ingat Zahar, kalau kamu tak buat apa yang nenek suruh, nenek bagitahu ayah kamu fasal hari tu.” Mata Rukiyah sengaja dibesarkan tanda amaran tujuh petala langit sedang berkuatkuasa.

Zahar menggaru kepala. Pulak dah! Nampaknya sampai ke tua lah dia kena blackmail dengan nenek sendiri.

“Yalah..yalah..Zahar bawa dia sekali. Mana dia? Takkan tak siap-siap lagi?” Zahar memasamkan wajah. Terpaksa mengalah dan pasrah. Dirinya terasa seperti baru dijatuhi hukuman sula.

“Ada kat atas tengah bersiap. Tunggulah sekejap, asyik tahu merungut aje! Lagipun tadi kan kamu dah makan nasi goreng yang Aqi buat sampai dua pinggan, anggap ajelah itu harga bayaran untuk kamu tunggu dia.” Sindir Rukiyah sambil tersenyum.

Mendengar kata-kata neneknya, Zahar terkedu. Patutlah rasa naik goreng pagi ini lain dari nasi goreng yang biasa nenek buat. Dan kerana rasanya yang lazat, tanpa segan silu dia menambah nasi goreng itu ke pinggannya sehingga dua kali. Aduh! Yang aku buruk lantak sangat hari ni apasal? Tak fasal-fasal nenek ada modal nak menyindir aku lagi! Gumam Zahar bengang. Tapi nasi goreng tu memang sedap.

* * * *

Sepanjang perjalanan ke pejabat, kedua-duanya hanya membisu seribu bahasa. Zahar dengan mata terbuka luas asyik menatap ke arah jalan raya. Manakala Aqi pula asyik membuang pandang ke luar jendela.

Wajah Zahar yang seperti singa jantan itu malas mahu dipandang. Bimbang pelbagai kata-kata yang tak sedap didengar akan terhambur keluar dari bibir lelaki mangkuk hayun tu. Mangkuk hayunkah dia? Tapi apasal muka mangkuk hayun itu juga yang aku pandang secara diam-diam? Nasib bukan mangkuk jamban! Aqi tersengih tanpa sedar.

Dalam perjalanan, Zahar berhenti untuk mengisi gas di stesyen minyak. Dia mencari-cari sesuatu di dalam poket seluarnya. Seketika kemudian dahinya berkerut. Mana pulak perginya dompet aku ni? Lama termenung akhirnya dia menepuk dahi. Alamak! Lupa pulak! Wajahnya ditoleh ke arah Aqi yang masih memandang ke luar.

Ni apasal asyik tengok luar aje ni? Tak sakit ke tengkuk tu? Rungut Zahar sambil mencebik. Dia berdehem beberapa kali. Cubaan yang tak payah mengambil masa lama itu berhasil. Aqi tiba-tiba berpaling.

“Buka dashbox tu, ambilkan dompet aku kat dalam.” Perintah Zahar tanpa ungkapan ‘tolong’ di hadapan. Sememangnya sejak dia kecil, dia jarang menyebut perkataan ‘tolong’. Petanda bahawa dia bukan seorang yang rendah diri. Dan baginya dia tidak perlu merendahkan dirinya untuk sesiapa sahaja.

Melihat renungan lelaki itu menerpa ke wajahnya, Aqi tidak terdaya untuk mengatakan tidak meskipun dia agak kurang suka dengan nada yang digunakan oleh Zahar. Dengan perasaan tidak ikhlas, dia membuka kotak dashbox. Melihat terdapat dua dompet tersimpan di dalamnya, Aqi terkeliru. Yang mana satu yang harus diambil?

“Ambilkan yang coklat tua tu.” Suruh Zahar, masih menanti.

Aqi tergaman. Coklat tua? Yang mana? Dia melihat dompet-dompet itu sama sahaja. Yang mana satu dompet yang berwarna coklat?

“Hei kau pekak ke apa ni? Aku nak dompet coklat tu, cepatlah.” Gesa Zahar meninggikan suara apabila melihat gadis itu teragak-agak memandang isi kandungan dashbox.

Aqi menelan liur. Ya Allah! Kenapa aku diuji hari ini? Dengan nafas gementar, dia mengambil salah satu dompet tersebut.

“Yang inikah?” Dia menanya.

Zahar merenungnya dengan wajah menyinga. “Kau nak main-mainkan aku ke? Bukan yang itu, yang satu lagi.” Herdik Zahar. Mendengar kata-kata lelaki itu, Aqi cepat-cepat mengambil dompet yang dimaksudkan seraya menyerahkannya pada Zahar. Melihat lelaki itu menyambut dompet yang dihulurkannya dengan dengusan kasar, Aqi segera memegang permukaan dadanya. Perasaannya bergelora. Sebak pun ada! Kalau Zahar tahu perihal dirinya, pasti Zahar akan ada alasan untuk memujuk Iman memberhentikannya. Apatah lagi di mata lelaki itu tidak pernah ada keramahan dan kelembutan terhadapnya.

Jika diikutkan hatinya, memang dia tidak mahu tinggal di rumah lelaki itu. Meskipun hatinya menyenangi keramahan dan keluhuran hati Nenek Rukiyah, namun sejak mula-mula lagi dia meragui penerimaan Zahar terhadapnya. Dan sekarang adalah bukti terbaik. Lelaki itu benar-benar tidak suka melihat dia menumpang di rumah itu.

Tapi sekeras-keras dia menolak hasrat hati Rukiyah, rupa-rupanya tidak setanding dengan kekerasan hati wanita itu. Sejak dia meninggalkan hospital untuk keluar minum bersama-sama wanita itu, tak disangka-sangka wanita itu mahu mengikutinya pulang ke rumah. Terpaksalah dia membawa Rukiyah balik ke rumahnya. Sangkanya wanita tua itu sekadar mahu melihat rumahnya. Tapi apa yang berlaku sebaliknya pula.

Tak semena-mena, wanita itu menyuruh dia berkemas dan mengikutnya balik ke Taman Tun. Puas dia menolak dengan alasan mahu menjaga rumahnya, namun semua alasannya langsung tak boleh dipakai. Begini alasannya, begitu pula reaksi wanita itu. Sehingga sampai sudah, dia sudah kelelahan mahu mencipta alasan untuk menolak permintaan wanita itu. Patutlah Zahar sentiasa kalah jika berdebat dengan neneknya selama ini. Rupa-rupanya aura Nenek Rukiyah mampu mengatasi kesombongan lelaki itu.

Aqi mengeluh panjang. Minta-minta ibunya cepat sedar dari koma, atau dia terpaksa berlama-lama di rumah lelaki itu. Orang tak suka, aku pun tak sudi! Bisik hati kecil Aqi sambil melirik ke arah kelibat Zahar yang sedang membayar harga petrol di kaunter stesyen minyak Petronas.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!