Followers

Wednesday, November 24, 2010

Blue Sunset : Bab 11

IMAN tercengang apabila terserempak dengan Zahar dan Aqi di hadapan petak parkir di hadapan pejabat Sri Anjung Design. Dia menanti sehingga kedua-duanya keluar dari perut kereta. Zahar yang pertama muncul di hadapannya sekadar menjungkitkan kening. Iman memandang pula ke arah Aqi yang tersenyum ke arahnya, sebelum kembali memandang ke arah Zahar yang kelihatan bersahaja.

“Macamana Aqi boleh naik kereta dengan kau?” tanya Iman ingin tahu.

“Tanyalah dia sendiri.” Balas Zahar dengan wajah mencuka. Dia mahu beredar ke dalam, tapi tiba-tiba sahaja Iman memaut pergelangan tangannya. Zahar tidak jadi melangkah.

“Nanti kejap, apa kena dengan mata kau tu?” Iman menjengah wajah Zahar lebih dekat. Matanya tertumpu ke arah lebam biru yang menghiasi penjuru mata lelaki itu.

Zahar tergaman. Hampir dia terlupa tentang lebam di sekeliling matanya. Cepat-cepat dia mencapai kacamata hitam yang tersangkut di poket baju lalu mengenakannya.

“It’s not easy to explain, and don’t ever push me to recite it all over again.” Balas Zahar lalu meluru masuk ke arah Sri Anjung Design tanpa mempedulikan Aqi di belakangnya.

Iman tersengih mendengar kata-kata lelaki itu. Kenapalah complicated betul nak faham cakap-cakap budak ni, keluh Iman seraya mengelengkan kepala. Pandangannya melurus ke arah Aqi.

“Aqi dah mula kerja hari ni? Kenapa tak cuti lagi?” Tanya Iman lembut.

“Tak elok rasanya Encik Iman. Saya dahlah baru nak start kerja, tiba-tiba ambil cuti lama. Nanti apa kata pekerja-pekerja lain.” Jawab Aqi sejujurnya.

Iman tersenyum panjang. “Aqi kan ada masalah, tak payah susah-susahkan diri. Lepas segalanya selesai, baru datang kerja semula. Kasihan makcik sorang-sorang kat hospital tu.” Ujar Iman.

Aqi terdiam. Kata-kata Iman mengingatkannya pada ibunya. Tapi apakan daya, menunggu ibunya di hospital takkan berguna apa-apa kalau wanita itu belum sedarkan diri. Lagipun dari dia berada di hospital bergelumang dengan kesedihan dan kebimbangan, lebih baik dia bekerja untuk melupakan perasaannya yang berkecamuk.

“Tak apalah, mari kita masuk. Saya nak kenalkan Aqi dengan staf-staf lain. Hari ni kan hari pertama Aqi bekerja.” Pelawa Iman. Aqi mengangguk lalu segera mengikut lelaki itu memasuki bangunan pejabat Sri Anjung Design.

* * * *

Selepas dia diperkenalkan dengan beberapa orang pekerja-pekerja di situ, Iman membawanya ke meja kerjanya yang terletak berhampiran dengan meja Swan, gadis tomboy yang pernah ditemuinya suatu ketika dahulu. Tapi ketika itu Swan tidak ada di mejanya. Menurut Iman gadis itu belum datang lagi. Dia asyik menilik bingkai-bingkai gambar pelbagai bentuk di atas meja Swan yang disusun berderet sehingga memenuhi mejanya.

Sendirian begitu, dia mengambil keputusan meneliti brosur syarikat yang diserahkan oleh Iman sebentar tadi. Membaca isi kandungannya, baru dia tahu Iman merupakan pemilik Sri Anjung Design sekaligus bertindak sebagai Art Director. Manakala Zahar pula memegang jawatan Creative Director merangkap Senior Designer. Di bawah nama Zahar ada dua nama lain yang bertindak sebagai Senior Media Creative, ada beberapa ketua dalam Artistic Graphic Team, Marketing Team dan Advertising Team. Yang lain-lainnya adalah jurugambar, pengurus serta designer-designer lain.

Syarikat Sri Anjung Design merupakan sebuah syarikat pengeluar jeans yang baru lima tahun ditubuhkan, dan mereka merupakan gabungan anak-anak muda dari pelbagai cabang senireka seperti, tekstil, fabrik serta media grafik yang mengeluarkan jeans menggunakan rekaan sendiri yang dipanggil Hellboy dan yang terbaru adalah Riser.

Aqi membaca serba ringkas tentang Projek Riser. Menurut Iman, dia akan diletakkan dalam team Riser untuk mengeluarkan idea-idea baru jeans-jeans kegilaan remaja masa kini. Tapi sasaran Riser bukan seperti Hellboy yang lebih tertumpu pada golongan remaja dalam lingkungan 20an. Sebaliknya Riser mahu disasarkan pada semua golongan yang meminati pemakaian jeans. Tapi maklumat lengkap tentang projek itu akan dimaklumkan semula padanya nanti. Begitulah penerangan Iman sebentar tadi.

“Hai, staf baru ya?” Satu suara riang menegur Aqi dari arah belakang. Aqi berpaling. Seorang lelaki berkulit hitam manis dan berambut sedikit punk tersenyum ramah memandang ke arahnya.

“Saya Edri. Edri Hisyam. Saya Ketua Media Creative kat sini.” Lelaki itu memperkenalkan diri sambil menghulurkan salam.

Aqi tersenyum lalu menyambut salam tersebut. “Aqila Murni. Panggil saya Aqi aje.” Ujarnya.

“Eh bukan awak ke yang datang interview beberapa hari lepas? Ingat lagi beg fail awak yang saya terkutip dari bilik Zahar tu?” Mata Edri mengecil. Barangkali sedang cuba mengingati wajah Aqi.

Aqi termenung sejenak sambil memandang lelaki itu lebih teliti. Kalau tak salah, lelaki itulah yang menyerbu sesi interviewnya tempohari sambil membawa beg fail yang berisi portfolio miliknya. “Awak yang kutip beg fail saya tempohari kan?” Tanya Aqi sekadar mahukan kepastian.

Edri mengangguk tanda mengiyakan. Dengan wajah girang, dia menarik kerusi di meja Swan lalu duduk di samping Aqi.

“Sayalah tu. Jadi awaklah designer baru kat sini ya? Saya dah tengok design-design yang awak buat, cantik!” Puji Edri.

Bunyi ketawa ramai singgah di telinga Aqi. Dia lantas berpaling. Beberapa staf-staf Sri Anjung Design yang duduk di meja berhampiran tak putus-putus ketawa. Aqi mengerutkan dahinya. Kenapa mereka ketawa?

“Awak tak usah layanlah si Edri ni, Aqi. Dia memang ulat bulu, ulat gonggok, ulat beluncas dan macam-macam jenis ulat lagi. Kalau nampak je perempuan lawa sikit, mulalah miangnya datang.” Laung salah seorang staf di situ yang Aqi sudah lupa siapa namanya. Mendengar kata-kata lelaki itu, yang lain-lain ketawa besar. Edri sekadar tersenyum simpul.

“Oh mengata aku. Yang kau tu dari tadi, kepala asyik jenguk-jenguk ke mari apasal? Buat ajelah kerja kau tu.” Balas Edri tidak mahu kalah.

“Mentang-mentang Aqi sorang aje perempuan kat sini, korang semua asyik jeling dia aje ya.” Sambung Edri lagi separuh mengusik. Ketawa ramai meletus lagi, menggamatkan suasana di situ.

“Tu si Swan nak letak mana?”

“Swan tu mana ada kategori perempuan dah. Lainlah macam Aqi. Comel aje kitaorang tengok, barulah ada semangat sikit nak buat kerja.”

“Dengar dek Swan nanti, mampus korang semua.”

“Dia tak adalah woi, hari ni dia cuti.”

“Eh ye ke?”

“Apasal? Takkan baru sehari Swan tak ada, kau rindu kot.”

“Eh mana ada? Swan tu tengok dari depan, tengok dari belakang, tengok kiri tengok kanan, takde beza. Sama aje.”

“Apa yang sama?”

“Tang jantannya tu lah. Tak berubah-ubah dari dulu sampai sekarang. Kalau dia mekap sikit macam Aqi, bukan ke bagus.”

“Takut jadi macam opera cina kang.”

Ketawa mereka semakin menjadi-jadi. Aqi yang menjadi pendengar sedari tadi hanya mampu tersenyum mendengar perbualan pekerja-pekerja lelaki di Sri Anjung Design. Nama Swan beberapa kali dicanang dalam perbualan lelaki-lelaki itu. Aqi masih ingat perwatakan gadis bernama Swan itu. Lincah dan penuh dengan sifat kelakian, tapi masih ada manisnya.

“Mereka memang macam ni, Aqi. Kalau Swan tak ada bukan main lagi mengutuk dia. Cuba kalau dia ada, semua menikus tak berani.” Bisik Edri dengan senyuman nakal.

Aqi hanya mampu tersenyum. Hendak bersuara, dia sendiri tidak faham apa-apa. Ketika mendengar Edri asyik bercerita tentang perkembangan syarikat itu, mata Aqi terpandang kelibat Zahar yang baru keluar dari biliknya. Lelaki itu berhenti sejenak di hadapan pintu, menoleh ke arahnya tapi tetap dengan wajah serius. Langkah Zahar diatur deras ke dalam bilik Iman sebelum menghilang.

Melihat sikap Zahar, Aqi tanpa sedar melepaskan keluhan panjang. Susah betul dia nak berkomunikasi dengan lelaki itu. Berkomunikasi dengan tiang lampu atau dengan lembu lagi senang agaknya.

“Aqi kena hati-hati sikit dengan Zahar kalau nak kerja sini.” Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi suara Edri. Dia menoleh dengan wajah hairan.

“Maksud awak?”

“Dia tu mood datang bulan. Silap sikit, jangan kata awak, saya dengan Iman pun dia bambu sekali. Memang tak makan saman si Zahar tu.” Cerita Edri beria-ria.

Aqi tersenyum sendiri. Cerita basi! Tak payah cerita pun dia tahu macamana perangai lelaki itu. Tapi entahlah, dia sendiri tidak tahu kenapa perasaannya begitu dekat pada Zahar, walhal Zahar melayannya tak ubah seperti musuh. Mungkinkah sebab aku melihat dirinya yang cukup berbeza dari orang lain? Apakah itu sebabnya atau ada sebab lain?

“Apasal ye mata Zahar tu lebam sebelah? Tak pernah-pernah pulak jadi macam tu.” Tiba-tiba Edri membangkitkan pertanyaan yang membuatkan Aqi terkedu. Dia melontarkan pandangan ke arah Edri yang kelihatan hairan. Mata lelaki itu mengecil seolah-olah sedang memikirkan dari mana datangnya kesan lebam di wajah Zahar.

Melihat muncung Edri, entah mengapa Aqi tidak dapat menahan senyuman. Kelakar! Kalaulah satu pejabat ini tahu bahawa kesan lebam itu adalah angkaranya, entah-entah lelaki itu pasti malu mahu menunjuk mukanya di sini lagi. Maklumlah lelaki macho ditumbuk perempuan, pasti malu tak habis kalau semua orang tahu hakikat sebenar.

“Aqi, masuk sekejap.” Suara Iman tiba-tiba menganggu lamunan Aqi. Dia dan Edri serentak menoleh. Iman berdiri di hadapan biliknya sambil melambai-lambaikan tangannya.

“Bos dah panggil tu. Pergilah.” Suruh Edri seraya tersengih.

Aqi segera angkat kaki ke arah Iman. Lelaki itu mengundur ke tepi lalu memberi isyarat agar dia masuk terlebih dahulu. Sebaik dia memasuki bilik Iman, matanya segera terpandang kelibat Zahar yang duduk di salah sebuah kerusi di situ. Hatinya serta-merta menjadi tidak keruan, bagaikan ada yang tidak kena sedang berlaku padanya.

“Duduk Aqi.” Suruh Iman lembut seraya menapak ke arah kerusi miliknya sendiri. Hendak tak hendak, Aqi segera mengambil tempat duduk di sebelah Zahar. Dia sedikit gelisah, apatah lagi menyedari mata Zahar asyik merenungnya dari tepi. Tenang Aqi, jangan pedulikan dia. Kau kena rebut peluang di sini atau sampai bila-bila pun kau takkan dapat melamar sebarang pekerjaan lain. Hati kecilnya seiring berbisik.

“Sebenarnya saya suruh Aqi datang ke mari sebab nak berbincang sesuatu dengan Aqi.” Iman memulakan intro.

“Bincang apa Encik Iman?” Tanya Aqi ingin tahu. Debaran di dadanya tak kunjung padam. Takut mendengar apa-apa sahaja kemungkinan yang bakal keluar dari bibir lelaki itu. Ada ke kemungkinan dia disuruh berhenti kerja? Mungkin juga Zahar yang tidak menyukainya memberi syarat agar dia diberhentikan atau lelaki itu tidak mahu lagi memegang jawatan Creative Director di tempat ini. Entah kenapa kepala Aqi diusik fikiran yang bukan-bukan. Minta-mintalah bukan!

“Sebenarnya ini berkenaan dengan Riser. Seperti yang saya terangkan sebentar tadi mengenai Riser, saya amat berminat dengan rekaan-rekaan yang Aqi buat berkonsepkan nature, flora dan alam sekitar. Kalau boleh saya nak minta Aqi siapkan beberapa rekaan baru yang menggunakan gabungan konsep yang sama untuk kita bentangkan masa briefing minggu depan. Kalau sempat tolong siapkan dalam lima belas contoh rekaan sebelum kita distribute pada Media Creative dan Artistic Graphic Team.” Suruh Iman.

Aqi terkedu. Kata-kata Iman sayup-sayup di pendengarannya. Dia kurang percaya dengan apa yang didengarinya. Alamak!

“Aqi, do you hear me?”

Aqi memandang lelaki itu dengan wajah pucat. Iman kelihatan bingung melihat reaksinya. Zahar juga turut memerhatikannya dengan wajah serius.

“Saya…saya takut tak mampu Encik Iman.” Akui Aqi serba salah. Telinganya menangkap deraian tawa dari arah tempat duduk Zahar. Namun dia menahan diri dari berpaling. Salahkah dia berterus terang? Kenapa dirinya mesti diketawakan lelaki itu? Aqi mengetap bawah bibir.

“Maaf, saya lupa yang ibu Aqi ada di hospital. Sepatutnya saya tak berikan tugasan ni pada Aqi.” Iman bagaikan menyedari sesuatu.

Menyedari Iman seperti salah faham terhadapnya, Aqi cepat-cepat menggelengkan kepala. “Tak Encik Iman, bukan itu maksud saya. Saya cuma takut saya tak mampu nak hasilkan design-design yang Encik Iman mahukan. Lagipun saya masih baru untuk hasilkan design-design untuk Projek Riser.” Ujar Aqi berterus terang.

Iman tersenyum memandang gadis di hadapannya. Aqi terlalu merendah diri. So humble! Apa yang digambarkan oleh kakaknya Ilani memang bertepatan dengan perwatakan gadis itu.

“Aqi, orang baru memang kena sentiasa digilap agar bakatnya lebih menyerlah. Saya percayakan bakat Aqi, kenapa Aqi tak boleh percayakan diri sendiri?” Soal Iman lembut.

Aqi terdiam. Kelu lidahnya mendengar bicara Iman yang penuh dengan pengertian. Sesuai betul lelaki itu menjadi ketua di sini. Pasti Iman disayangi oleh pekerja-pekerjanya, duga Aqi membaca perwatakan lelaki itu.

“Saya nak Aqi cuba. Deadline dia minggu depan. Tapi kalau tak sempat, bagitahu saya. Nanti saya tundakan briefing tu beberapa hari lagi.” Ujar Iman.

Mendengar kata-kata lelaki itu, mahu tak mahu Aqi terpaksa bersetuju.

“That’s my girl.” Gelak Iman tak putus-putus. Melihat lelaki itu, Aqi hanya mampu tersenyum.

“So how’s the deal Zahar?” Iman berpaling ke arah Zahar.

Aqi yang mendengar terpinga-pinga. Deal? Perjanjian apakah yang dimaksudkan oleh Iman? Dia merenung ke arah Zahar yang tersenyum sinis sambil kelihatan tenang di di sampingnya.

“Okey, kalau dah itu yang kau hendak.” Zahar ketawa kecil.

Aqi semakin tidak mengerti. Permainan apakah yang sedang dirancang oleh kedua-dua lelaki itu agaknya? Harap-harap bukan aku yang jadi taruhan!

“Jadi Aqi kena buat design tu elok-elok atau saya yang akan kalah nanti.” Ujar Iman seraya berpaling ke arahnya.

Aqi tercengang.

“Sebenarnya saya nak cadangkan design-design Aqi sebagai tema utama projek Riser, tapi Zahar tak setuju. Dia sendiri akan kemukakan tema lain masa briefing tu. So kita kena tengok yang mana satu lebih baik. Yang terbaik dan jadi pilihan ramai akan jadi tema utama untuk Riser.” Putus Iman seraya tersenyum.

Mendengar kata-kata lelaki itu, Aqi tersentak. Jadi dia harus bersaing dengan Zahar untuk hasilkan rekaan yang menarik? Biar betul! Dia yang baru bekerja dipaksa bersaing dengan designer berpengalaman macam Zahar? Ya Allah! Kenapa aku rasa lutut aku semuanya seperti nak gugur?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!