Followers

Wednesday, November 24, 2010

Blue Sunset : Bab 12

AQI memandang perkakas-perkakas melukisnya yang sejak sekian lama menjadi nyawa dan nadinya. Entah sejak bila, hobi membuat sketching memaksa dia menukar sketching book berkali-kali. Entah-entah sudah beratus jumlah sketches yang dilukisnya sejak usianya menginjak enam tahun.

Semuanya bermula apabila ibunya membeli sebuah sketching book beserta sebatang pensel untuknya. Dan dirinya yang masih kecil akan dibiarkan menconteng-conteng apa sahaja di dalam kertas tebal itu sewaktu ibunya menyiapkan kerja-kerja rumah. Dan semua itu semakin membantu ibunya yang sibuk mencari rezeki, apabila dia menjadikan lakaran suka-sukanya itu menjadi lebih dari sekadar hobi biasa.

Ada sesuatu yang sungguh bermakna menerpa masuk ke dalam hatinya tatkala dia dapat melukis apa sahaja yang ada di dalam kepalanya. Sejak kecil, dia tidak mempunyai ramai kawan. Malah sewaktu di alam sekolah juga, kekurangan dirinya memaksa dia meminggirkan diri. Sikapnya membuatkan dirinya semakin dijauhi. Namun dia tidak pernah sepi biarpun tanpa teman-teman sepermainan. Baginya sketching book yang dibeli ibunya adalah teman baiknya. Sahabat sejati yang berkongsi suka-duka dan rindunya pada apa yang tidak pernah dikecapinya selama ini. Kasih sayang seorang ayah!

Aqi tersenyum menatap potret seorang lelaki yang membelakanginya. Dia meraba-raba permukaan dan garisan pensel yang menjadi artline pada lakarannya. Lukisan itu dilukisnya sewaktu di sekolah menengah. Ketika itu akal remajanya yang hauskan belaian kasih seorang ayah, mencipta satu kepuasan diri dengan menggabungkan imej seorang lelaki yang dicantum-cantumkan dari wajah-wajah yang pernah dilihat di sekelilingnya. Dan dari cantuman-cantuman itu, maka lahirlah seorang lelaki yang dipanggilnya ayah.

Selama ini dia tidak kenal wajah ayahnya. Tapi dengan lakaran tersebut, dia berpura-pura bahawa lakaran itu adalah belakang tubuh ayahnya. Dan hampir setiap malam dia akan berbual dengan ‘ayahnya’ secara senyap-senyap untuk melempiaskan kerinduan yang tak berpenghujung. Bercerita apa sahaja tentang kesukaran ibunya memerah tenaga dan keringat untuk mencari sesuap nasi, atau bercerita tentang hobinya yang suka melukis. Pendek kata dia akan bercerita apa sahaja. Semuanya dilakukannya tanpa pengetahuan ibunya.

Dahulu dia pernah terfikir untuk mencari ayahnya. Tapi selepas ibunya menangis hiba bila dia meminta sekeping potret ayahnya, Aqi jadi berhati-hati untuk menyuarakan keinginan sendiri. Dia sudah tidak sanggup mahu melukakan hati ibunya. Tidak cium bau syurga jika dia menghiris hati orang yang telah melahir dan membesarkannya.

Usai melihat contengan-contengan lamanya, Aqi lalu menyimpannya baik-baik di atas meja tulis. Sesudah itu dia memandang persekitaran bilik sederhana besar yang ditumpanginya. Sejak dia datang ke rumah itu beberapa hari yang lalu, dia masih belum sempat mahu menjelajah ruang bilik tersebut. Menurut Rukiyah, bilik itu milik Zahar.

Mulanya dia terkejut bila mendapat tahu siapa tuan empunya bilik yang akan ditumpanginya. Dia segera menolak budi baik Rukiyah. Lebih baik dia tinggal di rumah bersendirian dari terpaksa menumpang kamar peribadi lelaki itu. Tapi Rukiyah tetap bertegas. Hendak tak hendak dia terpaksa mengalah akhirnya.

Ralit matanya meneliti persekitaran bilik itu. Meskipun bilik itu dimiliki oleh seorang lelaki, namun Zahar merupakan seorang lelaki yang pembersih. Jika tidak masakan tugas mengeluarkan barang-barang lelaki itu dari biliknya sendiri atas suruhan Rukiyah tidak sesukar mana. Semuanya menjadi sangat mudah dan tidak memakan masa yang lama. Bilik itu juga sangat kemas dan rapi bagaikan bilik yang dimiliki seorang perempuan.

Aqi meneruskan misinya. Beberapa potret yang menghiasi dinding kamar itu diteliti dengan penuh minat. Kebanyakannya gambar-gambar Zahar bersama teman-temannya sedang memakai jersi bola. Dia tersenyum sendiri. Langsung tidak menyangka rupa-rupanya lelaki itu aktif dengan permainan futsal. Dia merenung pula ke arah sebuah komputer peribadi yang terletak di atas meja study kecil berhadapan dengan jendela. Hajat hati mahu menyentuh komputer itu terkubur begitu sahaja kerana bimbangkan lelaki itu marah-marah jika tahu komputernya diusik orang.

Bunyi azan maghrib berkumandang dari masjid berhampiran segera menyedarkan Aqi buat seketika. Dia cepat-cepat beredar ke bilik air untuk menunaikan fardhu solat.

Usai sembahyang dan berdoa untuk kesihatan ibunya, Aqi bersiap-siap untuk turun ke bawah. Dia tahu rutin rumah itu ketika makan malam sama sahaja dengan di rumahnya. Mungkin ketika ini Rukiyah sedang bersibuk-sibuk di dapur menyiapkan makan malam. Tak sedap pula rasanya kalau dia tidak turut sama untuk membantu. Nanti dikatakan anak dara pemalas pula.

Dugaannya ternyata tepat. Sebaik dia turun ke bawah, telinganya menangkap bunyi seseorang sedang menggoreng sesuatu di dalam kuali. Dia segera melangkah ke arah dapur. Melihat Rukiyah tangkas menyiapkan hidangan makan malam, hati Aqi diulit rasa kagum terhadap orang tua itu. Dalam usia senja, wanita itu tetap sihat, malah kelihatan lebih muda dari usia sebenar. Cekap pula melakukan urusan rumahtangga.

“Eh Aqi, dah lama kat situ?” Rukiyah berpaling seraya menegur. Aqi terasa segan. Sepatutnya dia yang menegur dahulu apa yang patut, ini terbalik pulak. Melihat senyuman wanita tua itu, perasaan Aqi kembali reda. Perlahan-lahan dia merapati Rukiyah.

“Nenek masak apa ni?”

“Tengah goreng ikan kerisi. Zahar dan ayah dia suka benar makan ikan kerisi goreng bercecahkan ulam dan sambal belacan.” Balas Rukiyah.

“Ada apa-apa yang boleh Aqi tolong nek?’

“Tak payahlah Aqi, semuanya dah siap. Nenek masak yang ringkas-ringkas aje. Kalau Aqi nak tolong, nenek nak minta Aqi tolong hidangkan cukuplah. Air minuman pun nenek dah siapkan. Ada dalam peti ais tu.’ Suruh Rukiyah.

Dengan senang hati Aqi membantu menghidangkan makanan. Lauk-pauk yang telah dimasak dialih ke dalam pinggan lalu dibawa ke meja makan. Sesudah menghidang lauk dan mangkuk nasi, Aqi teringatkan air yang dikatakan oleh wanita itu. Dia berjalan ke arah peti ais lalu menjenguk isinya.

“Air yang mana satu nek?” tanya Aqi apabila dilihatnya ada dua jag air di dalam peti sejuk.

“Bawa keluar air oren sunkist tu Aqi.” Suruh Rukiyah. Aqi menatap dua jug air di hadapannya yang kelihatan serupa. Dahinya segera berkerut. Oren sunkist? Hidungnya dapat menghidu aroma oren pada salah satu jug yang dipegangnya. Yang ini agaknya. Tapi ketika dia mahu menyimpan salah satu jug yang lain, hidungnya juga dapat mencium aroma yang serupa. Dia tercengang. Jug itu tidak jadi disimpan ke dalam peti ais.

Aqi berpaling ke arah Rukiyah lalu mengangkat kedua-dua jug itu di hadapan wanita itu. “Nek, ada dua jug berisi air oren ni. Yang mana satu?” Tanya Aqi mahukan kepastian.

Rukiyah menoleh. Melihat kedua-dua jug minuman itu berada di tangan Aqi, dia segera tersenyum. “La siapa pulak yang bancuh oren Kazakstan tu? Ini mesti anak nenek. Dia seorang aje suka minum air oren tu. Zahar lebih suka sunkist. Tak apa, Aqi keluarkan aje oren sunkist tu. Yang merah tu mandarin Kazakstan.” Ujar Rukiyah.

Aqi terkedu. Kata-kata Rukiyah membuatkan dia merenung dua jug di hadapannya.

“Kenapa Aqi?” Rukiyah menoleh seketika apabila dilihatnya anak gadis itu kelihatan teragak-agak di hadapan peti ais yang masih terbuka.

Aqi tersedar. Cepat-cepat dia tersenyum lalu menggelengkan kepala. “Tak ada apa-apa nek, nanti Aqi bawa air ni ke depan.” Balas Aqi.

Rukiyah meneruskan kerjanya, membiarkan Aqi sendirian dengan wajah sugul. Otaknya terus ligat berfikir. Setelah beberapa ketika dia mengambil keputusan menghidangkan kedua-duanya di atas meja makan. Kalau nenek tanya, pandai-pandailah kau jawab nanti. Hati kecil Aqi berbisik.

Ketika Aqi membawa keluar pinggan berisi ikan goreng ke ruang makan, seorang lelaki separuh umur tiba-tiba menerpa masuk. Lelaki itu terpanar melihatnya. Namun sejurus kemudian, bibir lelaki itu mula menguntum senyuman.

“Aqi kan?” Tanya lelaki itu.

Aqi tergaman. Hairan mendengar lelaki yang tak dikenali itu mencanang namanya. “Pakcik ni siapa?” Soalnya pula. Dia memang tidak mengenali wajah di hadapannya. Rukiyah tiba-tiba menjenguk dari dalam dry kitchen.

“Hai balik pun kamu hari ni Kim. Baguslah, makanan pun dah siap ni, kejap lagi kita makan sama-sama.” Ujar Rukiyah.

“Patutlah rasa nak balik. Rupa-rupanya ada gadis manis dalam rumah saya ni mak.” Lelaki itu menjawab separuh bergurau.

Aqi tercengang. Mak? Anak nenekkah? Kalau tak silap, inilah ayah Zahar yang dikatakan nenek bekerja sebagai pakar neuro surgeri di hospital yang sama ibunya ditempatkan.

“Alah lupa pulak mak. Hakim, inilah Aqi yang mak ceritakan pada kamu kelmarin. Aqi, inilah anak nenek, Doktor Hakim.” Wanita tua itu memperkenalkan mereka. Aqi memaksa diri tersenyum.

“Doktor.” sapa Aqi penuh hormat.

“Jangan panggil doktor, panggil aje pakcik.” Lelaki itu membetulkan panggilannya. Senyumannya ramah dan mempunyai iras wajah Zahar. Bezanya lelaki itu suka tersenyum, manakala wajah Zahar pula seperti botol cuka yang terlebih masam.

Malam itu mereka makan bersama-sama sambil berbual-bual. Zahar balik lima belas minit kemudian dan turut menyertai keluarganya di meja makan. Tapi lelaki itu tidak banyak berbual. Hanya mendengar sahaja perbualan demi perbualan yang lebih banyak berkisar tentang Aqi.

Melihat keramahan Doktor Hakim, Aqi dengan cepat menyukai lelaki itu. Baginya Doktor Hakim seorang yang mesra dan mudah didekati. Jauh benar sikap lelaki itu dengan anaknya sendiri.

“Pakcik dah dengar tentang mak Aqi. Macamana keadaan dia sekarang?” Tiba-tiba Doktor Hakim bertanya, memaksa perhatian Aqi beralih arah. Zahar yang sedang makan turut menoleh ke arahnya.

“Alhamdulillah dia dah sedar. Tapi doktor yang merawat tak bagi Aqi tinggal kat sana temankan mak. Mereka nak pantau keadaan dia dalam sehari dua ni.” Jawab Aqi. Tiba-tiba nada suaranya bertukar lesu.

“Siapa doktor yang merawat?”

“Doktor Herman pakcik.” Jawab Aqi perlahan.

“Oh Herman, pakcik kenal dia tu. Tak apalah nanti pakcik jenguk-jenguk mak Aqi kat hospital tu. Insya Allah. Dah berapa tahun mak Aqi mengidap kanser?” Soal Doktor Hakim ingin tahu.

“Sebelum Aqi lahir lagi mak dah mula sakit. Tapi dia bertahan sampai sekarang. Mak memang macam tu, selalu lupa nak makan ubat kalau tak diingatkan.” Keluh Aqi.

“Aqi jangan bimbang. Pakcik percaya mak Aqi tu kuat semangat orangnya. Kalau dari dulu dia mengidap barah sehingga sekarang, ini bermakna semangatnya untuk hidup benar-benar kuat.” Pujuk Doktor Hakim.

“Mak Aqi tu kuatkan semangatnya untuk Aqi. Nenek percaya kasih sayang dia pada Aqi yang buat dia mampu melawan penyakitnya.” Sampuk Rukiyah pula seraya menepuk-nepuk bahu gadis itu penuh mesra.

Aqi hanya diam membisu. Nasi yang ditelannya terasa pahit di anak tekak. Tiba-tiba dia dihambat kesayuan kerana tidak dapat menemani ibunya malam ini. Entah bagaimana keadaan ibunya di sana!

Tanpa disedari sesiapa, mata Zahar asyik merenung wajah Aqi yang kelihatan muram. Air jernih yang bertakung di birai mata gadis itu membuatkan dahinya berkerut. Namun menyedari mata ayahnya berpaling ke arahnya, Zahar cepat-cepat menoleh ke arah lain.

* * * *

Zahar tekun menyiapkan rekaan-rekaan untuk sesi pembentangan minggu depan. Dari tadi dia asyik berkurung di dalam biliknya. Beberapa lakaran telah selesai dihasilkan, tapi dia buntu mahu meneruskan kerjanya. Idea yang pada asalnya membuak-buak, entah kenapa dalam sekelip mata hilang begitu sahaja.

Lakaran ini penting untuk Projek Riser yang akan menjadi salah satu titik tolak Sri Anjung Design untuk mengeluarkan rekaan-rekaan jeans jenama George Essentials dari UK yang akan dijenamakan semula atas nama Riser Sad. Jenama sepenuhnya milik Sri Anjung Design selepas mereka berjaya mengeluarkan Hellboy di pasaran.

Entah kenapa dia beria-ria mahu menghasilkan sendiri lakaran untuk projek kali ini, sedangkan pada asalnya dia bukan kisahkan sangat siapa yang menjadi pereka utama projek tersebut. Tapi sejak kemunculan Aqi, entah kenapa dia merasa kurang senang apabila Iman menugaskan Aqi membuat contoh-contoh rekaan yang dikehendaki. Baginya gadis itu masih mentah, masih hijau dalam bidang ini. Sepatutnya Iman menugaskan designer-designer lain seperti Ekad dan Stevie yang sudah berpengalaman luas.

“Aku percaya dia boleh buat.” Kata-kata Iman beberapa hari yang lalu bermain di fikirannya.

“Ini bukan soal boleh buat atau tidak. Ini soal kau suruh budak mentah hasilkan rekaan untuk projek penting kita. Lagipun dia bukan dari aliran rekaan fesyen dan fabrik. Nanti apa kata designer lain?” Dia menempelak lelaki itu.

Iman hanya tersenyum mendengar kata-katanya.

“Walaupun dia bukan pereka fesyen, tapi rekaan dia bagus Zahar. Kau sendiri tengok kan portfolio yang dia bawa tempohari? Lagipun idea-idea dia segar dan kontemporari. Sesuai dengan idea kita yang nak pasarkan jeans ni bukan setakat untuk golongan remaja, tapi juga untuk golongan lelaki dan wanita yang lebih berusia.” Tambah Iman mempertahankan pendapatnya.

“Aku tetap tak setuju.”

“Kau lupa ke yang aku berhak buat keputusan aku sendiri?” Iman tersengih lagi. Dia mengeluh panjang. Mengugut la tu!

“Yang kau ni asyik nak hentam Aqi ni kenapa? Budak tu punyalah baik, lemah lembut dan bersopan santun, tapi asyik jadi sasaran kau aje. Kenapa ni?”

“Kau ingat semua perempuan lemah lembut, sopan santun tu baik lah ya?” Dia mencebik. Entah kenapa geram benar dia mendengar kata-kata Iman kali ini.

Lelaki itu hanya ketawa. Seperti selalu Iman tidak pernah mengambil serius kata-katanya. Kalau lelaki itu bukan teman rapatnya, sudah lama dia teraburkan gigi-gigi Iman yang putih melepak itu.

“Macam nilah. To be fair, I’m going to make a deal with you.” Iman tersenyum simpul.

“Apa?” Dia menanya dengan wajah bosan.

“Apa kata kau tugaskan sesiapa sahaja dalam team kau untuk hasilkan rekaan-rekaan baru untuk Riser. Manakala Aqi akan lakukan tugasnya seperti biasa. Next week waktu perbentangan, kita bandingkan kedua-dua rekaan. Yang mana yang paling disukai oleh team Media Creative, yang itu kita pilih untuk tema Riser. Macamana?” Tanya Iman.

Dia terdiam seketika. Serius memikirkan kata-kata lelaki itu dengan teliti. Selang beberapa detik, dia memandang ke arah Iman sambil tersenyum.

“Fine with me. Tapi aku ada satu permintaan.” Ujarnya.

Iman tercengang.

“This time, I’m going to declare a war with her.” Bibirnya mengukir senyuman.

Iman terkejut besar mendengar kata-katanya. “Maksud kau? Takkan kau nak..” Kata-kata Iman tergantung, namun rentak pandangan Iman seperti mempunyai maksud tertentu.

Dia mengangguk pantas. Cuba menyakinkan Iman yang keputusannya takkan berubah. Dia sendiri akan menghasilkan rekaan-rekaan yang dimahukan lelaki itu.

“Tapi kau kan dah lama tak buat kerja-kerja design ni?” Iman seakan kurang setuju.

“Jadi kau tuduh aku dah tak mampu nak buat?”

Iman terdiam. Keluhan kecil meniti dari bibirnya. “Kau ni degil betullah Zahar. Susah nak bercakap dengan orang kepala batu ni. Dah kalau macam tu cakap kau, aku ikut ajelah. Tapi kalau kau kalah nanti, jangan nangis kat bahu aku pulak.” Ujar Iman seraya tersengih akhirnya.

Tapi itu cerita beberapa hari yang yang lalu, Hakikatnya mencari idea dalam sekelip mata bukanlah satu tugas yang mudah. Lebih-lebih lagi dia diserang dari segi psikologi apabila terserempak dengan Aqi yang rancak menyiapkan lakaran-lakarannya sendiri.

Petang tadi ketika dia mahu keluar bermain squash dengan temannya, gadis itu dilihatnya sedang ralit melukis di kerusi rehat di halaman rumah. Tergerak hatinya mahu meninjau apa yang dilakukan oleh gadis itu, tapi beberapa ketika kemudian dia membatalkan hasratnya. Nanti apa pulak kata budak tu. Sah-sah aku dikatakan sengaja mahu meniru ideanya! Gumamnya sendirian. Mujur ketika itu kawannya sudah tiba di hadapan pintu pagar.

Ah bosannya! Keluh Zahar seraya berhenti melukis. Dia bangun dari kerusi kerjanya lalu bergerak ke arah katil. Tangannya sempat mencapai remote control yang terletak di atas meja. Tengok televisyen lagi baik! Hilang sikit rasa boring yang bertapa dalam dirinya.

Ketika asyik menekan-nekan punat remote control, mahu mencari siaran televisyen yang terbaik, tiba-tiba mata Zahar terpaku pada satu siaran berita hiburan. Wajahnya berubah. Dadanya serta-merta berombak kencang. Seraut wajah yang terpapar di skrin televisyen membuatkan separuh dari semangatnya menghilang.

Zahar terduduk lemah di penjuru katilnya. Merenung wajah ceria dan manis yang sedang ditemuramah oleh wartawan hiburan. Fikirannya entah kenapa tiba-tiba sahaja merusuh. Dia benar-benar tidak menyangka wanita itu sudah pulang ke mari. Bertahun-tahun lamanya wanita itu berada di Sydney. Sangkanya wanita itu akan terus bermastautin di luar negara dan tidak ingin pulang lagi ke mari. Dan dia pula hampir mendapat ketenangan yang dicari-carinya selama ini. Ternyata ketenangan itu terus direnggut darinya dengan cara yang cukup kejam. Mengembalikan kembali nostalgia pahitnya yang mahu dilupakannya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!