BUNYI ketukan pada pintu biliknya mengejutkan dirinya. Dia berpaling lalu
ternampak kelibat ayahnya di muka pintu. Lelaki itu melangkah masuk dengan
wajah serius. Dia bangkit lalu bersandar di kepala kerusi. Sekadar memerhatikan
lelaki itu dengan wajah lesu. Tengkuknya dipicit-picit lantaran ada rasa
berdenyut-denyut di belakang kepala.
“You drunk again last night.” Keluh Tuan
Fahrin kesal. Dia duduk di birai katil anaknya, memerhatikan wajah Mirza yang
kelihatan kusut masai. Pakaian Mirza juga tidak bertukar, kuat dengan bau arak
yang melekat pada tubuhnya. Entah pukul berapa Mirza balik malam semalam, dia
langsung tidak sedar.
“Sorry pa, I keluar jumpa Toi semalam.”
Ujarnya.
“Toi again? Mirza, apa you tak ada kawan lain ke?”Keluh Tuan Fahrin. Dia bukan tidak
berkenan Mirza rapat dengan Toi, tapi budak itu langsung tidak bercita-cita
tinggi. Dia tahu Toi bekerja di sebuah bar sebagai bartender. Itu yang menyebabkan Mirza pulang dalam keadaan mabuk
hampir setiap malam.
“Toi is my good friend pa.” Ujar Mirza
cuba mempertahankan Toi dari kata-kata ayahnya yang berbaur sinis.
“A good friend? Are you sure Mirza?” Tuan
Fahrin melemparkan tawanya.
Mirza bangun
lalu mencapai tualanya. Dia tidak suka mendengar kata-kata ayahnya kali ini.
Baginya Toi satu-satunya kawannya meskipun lelaki itu tidak berfikir
sedemikian.
Tuan Fahrin
mengeluh. Dia mengerti Mirza tidak suka dia memburuk-burukkan Toi. Rapat
sungguh Mirza dengan Toi, budak dari Batu Pahat itu.
“Okay, fine. I’m not going to say anyhing
about him again unless you promise me something.” Tuan Fahrin memandang si
anak. Mirza sudah berpaling ke arahnya dengan raut wajah tertanya-tanya.
“Promise me that you will concentrate with
your study from now on.”
“Again? Ah pa, I dah cakap yang I dah tak
minat nak belajar. Tanpa SPM pun Mirza boleh ke luar negara.”
“Jangan cakap
benda-benda merepek tu lagi Mirza. Papa dah beritahu you sejak awal lagi apa
pendirian papa. Dan papa takkan tukar fikiran.” Tegas Tuan Fahrin. Dia sudah
nekad mahu lebih tegas pada Mirza.
“Petang nanti
cikgu tuisyen you datang, dia ada call
papa tadi. Jadi jangan nak lari ke mana-mana. Tunggu sampai dia datang. Hari ni
dia nak bincang fasal jadual you.” Pesan Tuan Fahrin.
“Tapi..”
“Jangan nak
bertapi-tapi lagi. Papa rasa dia bagus, dia akan jadi cikgu yang baik untuk you
nanti.” Ujar Tuan Fahrin.
Mirza ketawa
sinis. Bagus? Baik? Semua yang cantik ayahnya akan menganggap begitu. Lagi-lagi
Adriana sudah mencuri perhatian ayahnya sejak awal. Bukan dia tidak sedar
tatapan mata ayahnya pada gadis itu semacam sahaja.
“Kenapa you
ketawa?” Kerutan di dahi Tuan Fahrin mula melebar. Hairan melihat anak muda itu
mengetawakannya. Apakah kata-katanya sebentar tadi melucukan?
“Bukankah papa cakap
begitu pada semua perempuan yang papa jumpa? Semua perempuan papa kata baik,
lagi-lagi yang cantik macam Adriana Imaniyah.” Sindir Mirza.
Terkelip-kelip
mata Tuan Fahrin memerhatikan anak lelakinya.
“Hmm…at least you belum buta fikir dia cantik
dan masih ingat nama dia. Nama penuh pulak tu.” SenyumTuan Fahrin cuba
mengenakan anaknya.
Mirza merenung
lelaki itu dengan wajah mencuka.
“This time pa? Really?”
“Okay….I’m sorry. Papa gurau aje, janganlah
serius sangat. Kita tengok dulu macamana prestasi Adriana. Kalau dia bagus,
mungkin papa boleh pertimbangkan agar you belajar di rumah sahaja, tak perlu ke
sekolah tu. Lagipun papa tahu you tak suka pergi ke sekolah tu kan?” Pujuk Tuan
Fahrin.
Mirza terdiam.
Kenapa dia tidak terfikir begini dulu? Mungkin ada baiknya juga dia
berpura-pura setuju belajar dengan gadis itu agar dia tidak dipaksa ke sekolah
itu semula.
“Bagaimana?
Setuju?” Tuan Fahrin melirik ke arah anaknya. Dia sedar kata-katanya membuatkan
Mirza tertarik. Ini kerana dia tahu kelemahan Mirza ialah sekolah lama anaknya
itu. Dari dahulu Mirza berkeras tidak mahu mengulang ke sekolah yang sama untuk
peperiksaan ulangannya.
“Deal.” Mirza mengalah akhirnya. Tak
guna dia berkeras lagi kerana dia benar-benar berharap tidak perlu ke sekolah
itu lagi. Usianya sudah mencecah 18 tahun lebih, dia sudah tidak betah mahu
bergaul dengan rakan-rakan sekelasnya yang jauh lebih muda darinya.
“Kalau macam
tu, tunggu Adriana datang petang nanti, jangan nak ke mana-mana. Kejap lagi
papa kena keluar, ada hal sikit. Kalau papa dengar you tak ada masa cikgu you
datang, deal kita tamat. Faham?”
Mirza mengeluh
seraya mengangguk. Suka atau tidak, terpaksalah dia terima sahaja tanpa
membantah.
*
* * *
ADRIANA tercegat di hadapan rumah besar itu hampir lima belas minit lamanya.
Dia mendongak memandang rumah yang pernah dikunjunginya beberapa hari yang
lalu. Ikutkan dirinya, berat hatinya mahu datang lagi. Tapi kerana dia
benar-benar kesempitan duit dan perlukan wang, maka dia memaksa dirinya untuk
datang lagi ke tempat itu. Sejak awal dia memaklumkan pada Tuan Fahrin tentang
kedatangannya. Risau juga dia jika Mirza tidak ada di rumah ketika dia datang.
Seorang
pembantu rumah Indonesia membukakan pintu untuknya. Dia hanya tersenyum
memandang wajah si pembantu rumah yang kelihatan agak ramah itu.
“Saya nak jumpa
dengan Mirza.”
“Mbak Adriana?”
Tanya pembantu rumah itu.
Adriana sekadar
mengangguk. Si pembantu tanpa banyak soal segera mempersilakannya masuk.
“Sila duduk.
Mbak mahu minum?”
Adriana
menggeleng. “Err.tak payahlah, saya sekejap sahaja. Tuan Fahrin ada?”
“Bapak udah keluar. Deng Mirza ada di
kamarnya.”
“Kalau macam tu
boleh panggilkan dia ke mari?” Pinta Adriana.
“Bentar ya mbak.” Si pembantu rumah itu
segera berlalu pergi. Tak lama kemudian wanita itu kembali semula.
“Deng Mirza bilang suruh mbak nungguin dia
sebentar. Nanti saya bawakan minuman es buat mbak.” Ujar wanita itu.
Belum sempat
Adriana hendak bertanya sesuatu, wanita itu sudah menghilangkan dirinya. Dia segera
mengeluh. Hendak tak hendak terpaksalah dia menunggu di situ.
Setengah jam
menanti, dia semakin gelisah. Satu jam berlalu, dia semakin tidak keruan. Dan
apabila jarum jam beredar lima belas minit lagi, Ariana sudah tidak mampu
menahan sabar. Mana budak ni? Aku pun banyak kerja juga selain dari hendak
menanti dia sahaja. Itupun dia sengaja balik awal dari kampusnya semata-mata
mahu ke mari bertemu Mirza.
“Mirza mana?
Dah lama saya tunggu ni.”Tanya Adriana pada pembantu rumah yang baru muncul di
ruang tamu.
Wanita itu kelihatan
gelisah dan serba-salah mahu memandangnya.
“Maaf mbak, bibik sendiri enggak tahu ke mana
deng menghilang. Kok baru sebentar tadi ada. Iya malah deng yang memesan mbak
tungguin dia aja di kamar tamu. Sekarang udah hilang.” Ujar Bibik mengeluh.
Wajah Adriana
berubah. Bibirnya diketap rapat. Entah mengapa hatinya kuat mengatakan Mirza
sengaja mahu membuatkan dia menunggu seperti orang bodoh di situ. Walhal anak
muda itu pula senyap-senyap keluar entah ke mana.
“Tak apalah
bik, saya tak marah. Err..kalau macam tu saya balik dululah. Esok, cakap dengan
Mirza saya akan datang lagi jam 3 petang.” Ujar Adriana.
Bibik hanya
mengangguk dengan wajah simpati. Sebaik anak gadis itu beredar, pandangan
wanita itu melorot ke atas. Ada bayang-bayang kelihatan dari atas. Hatinya
kesal kerana terpaksa berbohong dengan gadis yang datang ke situ untuk mengajar
tuan mudanya.
Mirza turun
dari atas dengan selamba.
“Dia dah
balik?” Tanyanya pada bibik yang terkelip-kelip memerhatikannya.
Wanita itu
hanya mengangguk.
“Ngapain deng Mirza ngak mau melayan mbak
tadi? Sampei pake bohong segala.” Keluh wanita itu.
Mirza hanya
mengangkat bahunya. Malas mahu melayan pertanyaan demi pertanyaan dari wanita
itu. Sekalipun dia menjelaskannya, tak mungkin wanita itu faham akan dirinya.
Dia segera
membaringkan dirinya di atas sofa empuk di ruang tamu sambil melayan saluran
HBO. Filem yang ditayangkan menarik perhatiannya. Seronok juga menonton tanpa
gangguan! Canda hati kecil Mirza.
Dia
mencari-cari lagi beberapa saluran lain menggunakan alat kawalan jauh. Namun
sedang dia leka menyorot beberapa buah iklan di televisyen, bunyi loceng pintu
rumahnya menganggu tumpuannya pada rancangan yang sedang ditontonnya. Alamak!
Siapa pulak yang datang ni? Memang tak boleh tengok orang senang langsung!
Rungut Mirza sedikit berang.
“Bik, tolong
tengokkan siapa yang datang tu.” Laung Mirza. Namun wanita itu tidak
muncul-muncul. Mirza mengeluh. Dengan langkah malas, dia bingkas bangun lalu
menuju ke muka pintu.
Sebaik daun
pintu di hadapannya terkuak, muncul seraut wajah di hadapannya. Dia terpanar.
Terpegun melihat anak gadis yang cuba dielakkannya sebentar tadi, kini muncul
semula. Bezanya tadi dia terlepas, tapi kali ini melihat wajah terkejut anak
gadis itu yang mula berubah kerlingan tajam, dia sudah tidak mampu mengelakkan
diri lagi. Tertangkap jua dia akhirnya!
Tanpa sebarang
suara, Adriana melangkah masuk. Kakinya dihela ke arah ruang tamu sebelum
mencapai buku-buku kolejnya yang tertinggal di atas sofa sebentar tadi. Dia
langsung tidak memandang Mirza, sebaliknya terus bergegas ke muka pintu
Mirza
terkelip-kelip memerhatikan anak gadis itu. Dari gerak-geri Adriana, dia tahu
gadis itu sedang marah. Hendak tak hendak dia segera mengekori Adriana ke luar.
“Kau tak nak
cakap sesuatu dengan aku?” Soalnya.
Adriana berbuat
endah tak endah terus menyarung kasutnya. Usai melakukannya, dia segera menuju
ke arah pintu pagar. Hajat hatinya ingin berjalan kaki di hentian teksi
berhampiran sebelum pulang ke rumah.
Mirza menarik
nafas. Marah ke? Sungguh dia tidak puas hati kerana gadis itu enggan
mempedulikannya. Sekurang-kurangnya dia lebih suka mendengar anak gadis itu
memarahinya tapi Adriana hanya berdiam diri bagaikan tidak kisah langsung.
“Kau dengar tak
apa aku cakap ni?” Soal Mirza seraya mengejar anak gadis itu. Lengan Adriana
dipaut agak kasar.
Langkah Adriana
terhenti mendadak. Dia berpaling ke arah Mirza. Wajah anak muda itu ditatap
agak lama. Kacak! Desis hati kecilnya. Tapi rupa yang kacak tanpa sikap yang
baik, tidak ada gunanya Adham Mirza! Bisik hati kecilnya.
“Esok saya
datang lagi jam 3 petang. Baik awak pastikan awak ada di rumah esok.” Ujar
Adriana dengan wajah serius.
“Kalau tidak?”
Mirza tersengih nakal. Sengaja mahu menjolok sarang tebuan.
“Atau saya akan
laporkan terus pada ayah awak tentang perangai awak ni. Dia beritahu saya awak
tak suka ke sekolah kan? Baik, kalau saya tak dapat mengajar awak dengan
sempurna, saya percaya sekolah sahaja tempat yang paling sesuai untuk awak,
Adham Mirza.” Balas Adriana selamba sebelum berlalu pergi.
Wajah Mirza
merah padam. Berani betul perempuan ni ugut aku! Kerana tidak puas hati dengan
sikap acuh tak acuh Adriana, Mirza kembali ke dalam rumah lalu segera mengambil
kunci motorsikalnya. Dia menunggang ke suatu arah, mencari-cari kelibat
Adriana. Tak lama kemudian dia menemukan gadis itu sedang duduk seorang diri di
hentian teksi sambil ralit membaca.
Mirza menarik
nafas panjang. Matanya tekun mengulit wajah Adriana yang seolah-olah tidak
menyedari kehadirannya di situ. Entah apa yang menarik sangat tentang buku yang
dibacanya? Tergerak hatinya mahu mendekati gadis itu. Namun belum sempat dia
mahu turun dari motorsikalnya, sebuah teksi tiba-tiba berhenti tepat di hadapan
Adriana. Gadis itu segera memasuki perut teksi itu tanpa menoleh ke kanan dan
ke kiri.
Mirza
terpinga-pinga. Melihat teksi itu beredar, dia tidak ada pilihan lain selain
terus mengekori teksi tersebut tanpa berfikir panjang.
*
* * *
KETIKA gadis itu berhenti di tepi jalan dan berjalan kaki di sepanjang
laluan itu, Mirza turut memberhentikan motorsikalnya dan melangkah turun. Dia
mengekori Adriana senyap-senyap. Entah
kenapa dia melakukannya dia sendiri tidak tahu. Yang pasti, hari ini hatinya tergerak
mahu mengekori gadis itu.
Semakin lama
dia mengekori Adriana, semakin dia hairan. Ada sesuatu pada tempat itu yang
mencuri perhatiannya. Ketika gadis itu membelok ke suatu arah dan duduk di
sebuah bangku di laluan pejalan kaki berhampiran sebuah taman awam, wajahnya
berkerut semula. Laluan itu, tempat itu dan bangku itu. Semuanya mengingatkan
dirinya tentang malam di mana dia bertemu gadis itu buat pertama kali.
Adriana duduk
di bangku yang sama. Bersendirian dan larut dalam lamunan yang panjang. Sama
seperti malam itu juga. Meskipun ketika itu dia dalam keadaan mabuk, tapi
otaknya tidak lembab mencerna wajah muram gadis itu tempohari. Kini raut wajah
yang sama terpapar di retina matanya, Meskipun tidak ada bulan dan bintang pada
siang hari yang asyik dipandang anak gadis itu ketika ini, tapi melihat wajah
itu seperti menanggung beban yang berat, hatinya mula tertanya-tanya. Masalah
apa sebenarnya yang sedang membelenggu fikiran anak gadis itu?
Dia ralit
mengulit wajah Adriana. Bebola matanya langsung tidak mampu berkalih dari
seraut wajah yang entah kenapa menjentik suatu perasaan halus yang diam-diam
mula bersemi. Tapi menurut tafsirannya
itu hanya perkara normal. Lelaki mana yang tidak sukakan perempuan cantik. Tapi
hanya sekadar itukah definisi hatinya saat ini? Hanya kerana Adriana cantik?
Mirza
cepat-cepat mengalihkan wajahnya. Come on
Mirza, dia tutor kau. Seseorang yang mahu kau singkirkan dalam hidup kau. Suka
dia boleh, tapi jangan sesekali jatuh cinta pada dia. Itu dilarang sama sekali!
Tutur hati kecilnya memberi amaran pada diri sendiri.
No comments:
Post a Comment