Followers

Sunday, August 8, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 27

HAMPIR seminggu Aliya berada di rumah itu. Dia seronok melayan keletah adik-adiknya, dan kadang-kala dia mengambil alih tugas Ibu Fatimah jika wanita itu terpaksa keluar ke bandar membeli barangan keperluan. Pada sebelah malam dia mengajar tuisyen pada adik-adiknya, membantu setakat yang termampu.

Itulah saja yang mampu dilakukannya untuk membalas jasa Ibu Fatimah. Lebih dari itu mungkin dia tidak terdaya.

“Kakak, Lin tak fahamlah soalan ni. Lin dah cuba banyak kali, tapi tetap tak faham jugak.” Keluh gadis berusia lima belas tahun itu.

“Mana soalannya? Oh ini, Lin kena baca soalan ni betul-betul dulu. Tentukan apa yang dia hendak. Lepas tu cari rumus yang sesuai. Gambarajah ni kena guna Teorem Phytaghoras ni. Macam ni jawabnya.” Petah mulut Aliya menerangkan satu-persatu pada gadis itu.

“Kakak pandailah. Kan bagus kalau Lin pun pandai macam kakak.” Rungut Roslin.

“Lin, usaha itu tangga kejayaan. Kalau kita kuat berusaha, Insya Allah Lin pun akan jadi pandai. Entah-entah lagi pandai dari kakak. Boleh belajar sampai ke oversea.” Nasihat Aliya.

“Oversea tu apa kak?” Wawa yang baru berusia 6 tahun bertanya. Aliya tersenyum simpul. Pantas dia mencuit manja hidung Wawa.

“Oversea tu tempat yang jauh dari negara kita ni. Kat sana ada banyak sangat universiti-universiti yang bagus-bagus. Kalau Wawa belajar kat oversea, balik nanti tentu dapat kerja yang bagus-bagus, dapat banyak duit, boleh beli apa saja yang Wawa mahu.” Jelas Aliya.

“Apa saja ke kak?” Anak kecil itu mengulang kata-katanya.

“Ya sayang, apa saja. Wawa nak beli apa kalau ada duit nanti?” Tanya Aliya lembut. Terkebil-kebil sepasang mata redup si kecil itu berfikir.

“Kalau Wawa banyak duit, Wawa nak beli mak dan ayah Wawa. Boleh tak kak?” Wawa tersenyum.

Terkedu Aliya mendengar jawapan yang keluar dari mulut kecil itu. Dia terdiam. Sebak hatinya mendengar keinginan Wawa.

“Bodohlah Wawa ni, mana kita boleh beli mak dan ayah. Beli barang boleh la.” Sampuk Roslin lalu tergelak besar.

“Tapi Wawa nak beli jugak. Kakak kata boleh beli semua.” Anak kecil itu mula merengek-rengek setelah disergah oleh Roslin. Wajahnya dimemekkan seolah-olah mahu menangis. Puas Aliya memujuk, tapi Wawa sudah mula teresak-esak.

Akhirnya Aliya terpaksa membawa masuk Wawa ke tempat tidurnya. Setelah dibacakan cerita ‘Snow White dan 7 Orang Kerdil’ kegemarannya, barulah anak itu diam. Separuh muka surat dibacakan oleh Aliya, anak kecil itu terus tertidur.

Sejuk hati Aliya melihat wajah mulus itu. Wajah yang tidak berdosa apa-apa tapi terpaksa menanggung sebuah kehilangan yang cukup perit. Sekecil itu sudah merasai penderitaan hidup. Merasai sebuah kerinduan yang tak pernah berakhir.

“Kak Lia…” Terdengar satu suara berbisik dari arah belakangnya. Aliya segera berpaling. Dilihatnya Irfan sedang menggamitnya dari muka pintu.

“Kenapa Irfan?”

“Kak Lia, ada orang telefon nak cakap dengan Kak Lia kat bilik ibu.” Beritahu Irfan.

“Yalah, sekejap lagi Kak Lia datang.” Sahut Aliya.

Sebaik menyelimutkan Wawa, Aliya segera ke bilik Ibu Fatimah. Kebetulan Ibu Fatimah masih belum pulang dari bandar. Ada beberapa urusan yang hendak diuruskannya.

“Hello, Aliya cakap. Siapa tu?” Dia menyapa si pemanggil.

“Aliya sihat di sana?” Sebaik dia mendengar suara itu, bibirnya segera menguntum senyuman. Encik Adam!

“Encik Adam ya?” Dia cuba memastikan.

“Hai baru seminggu pergi dah lupakan orang kat sini?”

Aliya ketawa kecil mendengar nada suara lelaki itu bertanya. Bunyi macam merajuk.

“Encik Adam apa khabar? Macamana Encik Adam tahu nombor rumah ni?”” Tanyanya separuh hairan. Terdengar hilai tawa lelaki itu di hujung talian.

“Dulu Aliya kan pernah cerita dengan saya fasal rumah Aliya. Apa susah, saya cuba-cuba semak dalam buku panduan telefon. Nasib baik ada.”

Aliya terdiam mendengar jawapan lelaki itu. Tak disangkanya lelaki itu bersungguh-sungguh berusaha menghubunginya.

“Bila nak balik sini?”

“Insya Allah hari Ahad depan. Lagipun Isnin dah mula praktikal.”

“Tinggal di mana nanti?”

“Saya menyewa kat rumah seorang kakak yang kerja kat Perkasa Budi. Kebetulan bilik kat rumah dia ada yang kosong. Lagipun tak lama, cuma dua bulan setengah aje.” Dia menjawab sejujurnya. Apalagi pada fikirannya tidak ada apa yang perlu disembunyikannya dari pengetahuan lelaki itu.

“Baguslah tu, tapi kalau tak selesa jangan lupa call saya. Manalah tahu saya boleh tolong.” Ujar lelaki itu.

Aliya terdiam. Kadang-kadang dia rasa hairan juga kenapa lelaki itu terlalu baik padanya. Padahal mereka bukannya ada hubungan apa-apa. Hanya setakat hubungan antara pelajar dan pensyarah sahaja!

“Aliya, kenapa diam ni?”

“Kenapa Encik Adam layan saya baik sangat?” Terluah jua apa yang ada di fikirannya saat itu.

“Kenapa? Aliya tak suka?” Lelaki itu menyoal balas.

Dia diam. Tidak tahu bagaimana harus menjawabnya. Bukan dia tidak suka dengan perhatian yang diberikan lelaki itu. Namun dia resah, juga serba salah. Layanan lelaki itu terhadapnya seolah dia terlalu istimewa, sedangkan dia rasa takut menerima semua itu. Selebihnya dia merasa tidak layak dilayan sebegitu rupa!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!