Followers

Thursday, October 11, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 6


            PASANGAN suami isteri itu tidak putus-putus menjeling tatkala dia masuk sambil menatang sedulang minuman. Minuman sejuk itu lalu dihidang di hadapan tetamu yang baru sampai. Dia memandang pakciknya Kamal yang kebetulan memandangnya. Musliha di sisi pakciknya hanya dipandang sepintas lalu.

            “Jemput minum Pak Long, Mak Long.” Pelawanya dengan suara hambar. Lelaki itu mengangguk dengan wajah serius. Musliha pula memandangnya acuh tak acuh.

            “Saya benar-benar berharap Encik Kamal dengan Puan Musliha setuju dengan permintaan saya. Kalau tak ada pengawasan orang dewasa, hidup Nira dan Naufal akan terabai. Mana mereka nak uruskan rumah, nak ke sekolah, nak makan lagi. Lagipun mereka ni masih anak-anak lagi.” Ujar Zaharah.

            “Habis Puan Zaharah nak kami buat apa?” Pantas Musliha bertanya. Wajah ibu saudaranya itu sudah masam mencuka. Wanita itu bagaikan dapat menangkap maksud kata-kata Zaharah.

            “Puan Musliha, saya cuma nak minta puan suami isteri tolong tengokkan budak-budak ni. Sekurang-kurangnya sehingga Zahlia sembuh dari sakitnya,” pinta Zaharah.

 “Eh mana boleh Puan Zaharah, anak-anak kami ni ramai. Susah kami nak jaga semuanya serentak.” Balas Musliha pantas. Dia benar-benar tidak menyetujui permintaan wanita itu.

            “Tolonglah Puan Musliha, kasihankanlah mereka berdua ni.” Rayu Zaharah. Matanya memandang Kamal seolah-olah memohon simpati. Lelaki itu termenung panjang. Beberapa ketika kemudian, Kamal mendongakkan wajahnya. Ada segaris senyuman bermain di bibirnya.

            “Rasanya tak ada masalah. Lagipun mereka berdua ni bukan orang lain, anak saudara saya sendiri. Takkan saya nak biarkan mereka begitu saja.” Ujar Kamal sambil tersengih.

Dia tersentak. Hampir tidak percaya dengan kata-kata pakciknya. Bulat matanya memandang lelaki itu. Betulkah apa yang didengarnya? Mustahil lelaki itu sudi menjaga mereka.

            Diam-diam dia melirik ke arah Musliha yang terkejut besar. Ternyata wanita itu tidak bersetuju langsung dengan rancangan suaminya itu.

            “Baguslah kalau macam tu. Saya bukan apa Encik Kamal, kalau bukan sebab saya nak berhijrah ke New Zealand mengikut suami saya, mungkin saya dah bawa Danira dan Naufal tinggal bersama-sama saya kat sana.” Ujar Zaharah seakan lega.

Sekali lagi dia terkejut besar mendengar kata-kata Zaharah. Aunty Zaharah mahu berhijrahkah? Apakah wanita itu akan pergi meninggalkan dia dan Naufal sendirian?

            “Maaf kerana aunty tak beritahu Nira awal-awal fasal hal ni. Sepatutnya aunty ikut suami aunty ke sana dua minggu lepas, tapi sengaja aunty tangguhkan sebab aunty risau dengan Nira dan Naufal. Beberapa hari lepas, dia call minta aunty datang segera ke New Zealand untuk uruskan rumah baru kami kat sana. Aunty tak ada pilihan lain Nira, aunty harus segera ke sana malam esok.” Jelas Zaharah serba-salah.

            Dia hanya mengangguk. Memahami situasi wanita itu. Selama ini, Zaharah sudah banyak bersusah payah membantu dia dan Naufal. Tentu tidak adil jika dia terus menyusahkan wanita itu lagi.

            “Nira faham aunty. Nira tak salahkan aunty kalau aunty nak pergi. Tapi tak boleh ke kalau Nira tinggal berdua aje dengan Naufal kat rumah ni sampai umi sembuh?”

            Zaharah terdiam. Wanita itu kelihatan bingung mendengar permintaannya kali ini. Tapi permintaannya berasas. Entah kenapa dia benar-benar tidak sedap hati mahu tinggal bersama-sama pakciknya Kamal dan isterinya Musliha. Sudah terang lagi bersuluh pasangan suami itu tidak menyenangi kehadiran mereka berdua.

            “Nira, aunty tahu Nira tak berapa sukakan mereka tapi kita tak ada pilihan lain sayang. Lagipun Kamal tu pakcik Nira sendiri. Aunty rasa sejahat-jahat dia takkan sampai mengabaikan Nira dan Naufal.” Pujuk Zaharah lembut.

            “Nira cuma perlu bersabar sampai umi Nira sembuh. Mereka takkan lama kat sini. Percayalah cakap aunty ni Nira.” Sambung Zaharah lagi.

            Dia hanya mampu mengangguk. Cakap-cakap wanita itu terkesan jua di fikirannya. Hendak tak hendak dia terpaksa merelakan dirinya mengikut sahaja aturan yang dibuat Zaharah. Lagipun wanita itu akan meninggalkan tanahair tak lama lagi. Sedangkan dia dan Naufal? Mereka berdua akan terus berada di sini sampai bila-bila. Katalah ibunya tidak sembuh-sembuh juga, apakah mereka akan terus berada di bawah bayangan Kamal dan Musliha buat selama-lamanya? Inilah yang merungsingkan fikirannya kali ini.

*  *  *  *

            Selepas pulang dari sekolah, dia berkira-kira mahu ke hospital untuk melawat ibunya. Dilihatnya wanita itu sedang diperiksa oleh seorang doktor. Hendak tak hendak dia sabar menanti sehingga sang doktor beredar. Namun selepas kelibat doktor lelaki itu menghilang, langkah kakinya tidak jadi diteruskan. Entah kenapa dia sekadar memerhatikan wanita itu dari jarak jauh.

Wajah uminya pucat lesi dengan rambut mengerbang yang hampir menutup mata. Pandangan wanita itu kelihatan kosong. Pelupuk matanya mula digenangi air. Sebak hatinya melihat keadaan ibunya yang tidak terurus.

            Umi, kenapa umi jadi begini? Kenapa umi jadi lemah begini sedangkan sepatutnya umi yang menenangkan hati Nira dan Naufal ? Kenapa umi? Hati kecilnya merintih pilu. Menangisi nasib mereka yang kelihatan kelam.

            Airmata yang meluruh tanpa henti segera dikesat dengan hujung jari. Ketika dia mengalihkan pandangan, matanya tiba-tiba terpandang sesuatu. Muncul seorang lelaki dari suatu arah lalu melangkah ke arah katil ibunya yang terletak di tepi jendela. Dahinya segera berkerut.

            Lelaki yang sedang bercakap-cakap dengan ibunya diperhatikan dengan penuh minat. Hatinya tertanya-tanya siapakah gerangan lelaki yang memakai cap itu. Dia mahu melangkah ke arah ibunya. Namun lelaki itu tiba-tiba berpaling lalu menyerlahkan seraut wajah yang membuatkan langkahnya serta-merta terhenti. Sendi lututnya terasa longgar. Malah dia boleh merasakan tubuhnya tiba-tiba mengigil. Ya ALLAH! Lelaki itu rupanya!

            Nafasnya berderu kencang. Ingatannya serta merta menerjah pada wajah lelaki berambut tocang putih yang merenung tajam ke arahnya sewaktu mereka bertembung di hadapan bilik arwah ayahnya tempohari. Entah kenapa dia yakin, kedua-duanya orang yang sama meskipun dia tidak dapat melihat tatoo berbentuk naga di bahu sebelah kiri lelaki itu yang kini terlindung oleh kemeja berlengan panjang yang dipakai lelaki itu.

            Perlahan-lahan dia mengintai di sebalik tirai, menekuni gerak-geri lelaki itu. Apa lelaki itu mahu sebenarnya? Apakah lelaki itu ada niat jahat terhadap ibunya? Pelbagai pertanyaan menyerang fikirannya saat ini. Entah mengapa dia benar-benar bimbang jika lelaki itu mengapa-apakan ibunya yang tidak berdaya. Apatah lagi dia yakin bahawa lelaki itulah yang telah membunuh ayahnya. Mencarik kebahagiaan keluarganya dalam sekelip mata.

            Sedetik menanti dengan perasaan cemas, akhirnya dia melihat lelaki itu beredar dari situ. Dia cepat-cepat menuju ke arah ibunya. Namun melihat ibunya berada dalam keadaan baik-baik sahaja, perasaan gusarnya mulai berkurang. Syukur kepadaMU YA ALLAH!

            “Umi, apa lelaki tu nak dengan umi? Dia..dia ada cederakan umi?” Soalnya dengan nafas terputus-putus. Namun ibunya tidak menjawab. Wanita itu hanya mematung diri pada pertanyaan-pertanyaan yang dihamburkannya.

            Dia duduk di birai katil. Merenung wajah ibunya yang terus kosong tanpa sebarang emosi. “Umi dengar tak apa Nira cakap ni? Kenapa umi macam ni? Umi tak kasihankah pada Nira dan Naufal? Dah berbulan-bulan Nira tunggu umi sembuh, tapi umi tak mahu pandang Nira langsung. Naufal di rumah selalu rindukan umi. Nira juga!” Rintihnya dengan perasaan sebak yang membekam diri. Namun wanita di hadapannya itu seolah-olah tidak mendengar apa-apa.

2 comments:

Unknown said...

bile lah akan terungkai akan segala misteri disebalik kejadian yang menimpa keluarga danira!!!terangsang sungguh akak nah tahu dek???lerai kan lah penderitaan keluarga ne...

Unknown said...

Suspen aa .

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!