Followers

Tuesday, December 18, 2018

Spy Hati Dari Chantilly (Bab 2)

FARID berkejar ke situ sebaik sahaja menerima panggilan telefon. Di balai polis tempatan dia menemui kelibat Hana, Atea dan Rachel sedang berbual-bual sesama sendiri. Dia kenal rakan-rakan Suri Imani kerana telah diperkenalkan beberapa hari yang lalu.
“Abang Farid.” Hana segera menerpa sebaik melihat kelibatnya.
“Suri mana?” soal Farid.
“Dia masih kat dalam. Uncle Patrick, ayah Rachel tengah berurusan dengan polis kat dalam. Mujurlah Uncle Patrick ada bawa lawyer untuk lepaskan Suri,” ujar Hana.
“Kenapa? Apa sebenarnya yang dah berlaku ni?” soal Farid, masih lagi keliru.
 “Ada kejadian rompakan berlian kat Musee de Conde yang kami pergi hari ni. Kebetulan Suri ada kat situ waktu kejadian. Mereka hanya nak soal siasat Suri. Itu aje,” ujar Hana. Dia nampak kerut resah di wajah lelaki itu.
“Suri tak apa-apa? Dia tak cedera kan?”
 “Dia tak apa-apa, Abang Farid. Memang ada kejadian tembak-menembak di muzium tu tadi, tapi dia okey. Cuma terkejut aje mungkin.” Ujar Hana.
Farid menarik nafas lega. Hampir sejam kemudian, barulah Suri Imani keluar diiringi Tuan Patrick dan peguam lelaki itu. Farid sempat bersalaman dengan Patrick Kwan. Lelaki itu seorang ahli perniagaan di Paris. Anaknya Rachel ialah teman sekolah Suri Imani dan Hana dahulu sebelum melanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di Paris.
“Dah tak ada apa-apa. Polis kat sini takkan charge Suri dengan tuduhan menceroboh,” ujar Tuan Patrick.
“Menceroboh? Abang ingat Suri hanya melawat-lawat pameran kat muzium tu.” Farid tercengang-cengang.
Bulat biji matanya memandang wajah Suri Imani yang agak pucat. Bukankah itu yang gadis itu katakan padanya semalam ketika mereka berbual di talian?
Suri Imani menggigit bawah bibirnya berulang kali. Permulaannya memang ya. Tetapi kerana dia yang cari penyakit, maka padahnya terkena atas batang hidungnya hari ini.
Uncle Patrick, thanks  a lot,” ujar Suri Imani pada lelaki itu.
Anything dear. I’ll do anything for you,” ujar Tuan Patrick, tersenyum.
Lelaki itu pulang bersama-sama Rachel, Atea dan Hana. Tinggal Suri Imani dan Farid berdua. Itupun Farid menawar diri untuk menghantarnya pulang.
 “Suri okey?” Soal Farid, prihatin. Kasihan pula dia melihat wajah tidak bermaya gadis itu malam ini.
“Suri tak apa-apa, abang,” ujar Suri Imani, tersenyum hambar.
 “Jadikan hal ni sebagai pengajaran. Lain kali jangan bertindak melulu macam tu lagi,” nasihat Farid, lembut.
Suri Imani hanya mengangguk. Dia cuba berlagak selamba, namun dia asyik teringatkan lelaki berpakaian serba hitam itu. Kerana lelaki itu, dia masih lagi bernyawa. Kalau bukan lelaki itu menerkam ke arahnya lalu menariknya, tak mungkin dia selamat dari muncung senapang pengawal itu. Tuan Glock! Itu nama yang disebut oleh Tuan Patrick dan peguamnya di balai polis tadi.
 “Dia pencuri yang agak terkenal di kalangan pihak berkuasa di sini. Sasarannya selalu tak pernah gagal. Dah lama pihak Interpol cuba memburunya tetapi sentiasa gagal. Tak sangka kamu berpeluang bertemu dengan dia. Bagaimana rupanya?”
Itu soalan yang diajukan oleh peguam Tuan Patrick tadi. Soalan dari pihak berkuasa Paris yang diterjemahkan semula oleh peguam Tuan Patrick untuknya.
“Dia bertopeng,” ujar Suri Imani.
“Kamu langsung tak dapat mengecam apa-apa yang istimewa tentangnya?”
Suri Imani menggeleng. Kecuali sepasang mata berwarna coklat jernih yang menawan itu! Tetapi ayat-ayat itu hanya muncul dalam kepala, bukan di bibirnya.
“Kenapa Tuan Glock?” soal Suri Imani, ingin tahu.
Si peguam bertanya kepada seorang pegawai polis berpakaian biasa. Lelaki itu menjawab dalam senyuman. Ada sekeping kad berwarna hitam dikeluarkan dan diletakkan di hadapan Suri Imani. Gadis itu memandangnya dengan wajah bingung.
“Sebab dia selalu membawa pistol dari Glock 17 tetapi tak pernah menggunakannya. Tetapi itu hanya khabar angin yang popular di sini. Yang penting dia akan tinggalkan ini di tempat sasarannya,” ujar lelaki itu.
Suri Imani mengamati kad di hadapannya. Ada simbol G di atas paparan kad kosong, diparap dengan warna emas di atas halaman hitam metalik. Ada gaya, mutu dan keunggulan. Sama seperti gaya lelaki itu mempertahankan dirinya. Dari gaya lelaki itu dia tahu lelaki itu tidak pernah ada niat membunuh mana-mana pengawal di Musee de Conde itu hari ini.
Setiap pergerakan lelaki itu hanya bertujuan untuk menjatuhkan lawan dan sekurang-kurangnya membuatkan pengawal itu pengsan. Itu sahaja! Dan paling penting lelaki itu telah menyelamatkan dirinya.

JENNY tersenyum mendapat perkhabaran baik itu. The Grand Conde kini dalam tangan mereka. Dia memang tidak pernah meragui kebolehan lelaki itu.
“Barang yang you mahu tu, dah ada dalam tangan. You boleh masukkan baki wang selebihnya dalam dua akaun Swiss. Tuan Glock lebih suka kalau urusan kita dibereskan secepat mungkin,” ujar Jenny.
“Baik, urusan penghantaran barang sedang dilakukan. Keep in touch okay.”
Gagang diletakkan. Jenny tersenyum puas. Hanya beberapa minit lagi dan urusan mereka dengan klien ini bakal selesai.
“Dia dah masukkan duit. You boleh lakukan penghantaran sekarang.” Jenny bercakap dengan seseorang di talian peribadinya.
Dia mendail satu lagi nombor. Tiga panggilan untuk orang-orang yang berbeza. Setiap satu panggilan hanya bermula dengan permulaan ringkas. Tetapi panggilan ketiga agak berbeza. Suara Jenny berubah nada. Lembut dan tanda menghormati.
“Penghantaran sedang dilakukan sekarang. Dia dah lakukan tugas tu seperti yang kita inginkan.”
Diam.
Wajah Jenny berubah.
I still need him. And he’s not ready yet and you know it very well.” Suara lembut itu tiba-tiba sahaja berubah nada.
Diam.
Jenny meletakkan gagang telefon dengan hati membara. Damn it! Bagaimana dengan perjanjian mereka selama ini? Apa yang boleh dilakukannya tanpa Tuan Glock? Semua kliennya bukan orang biasa. Mereka semua orang ternama, berpengaruh dan punya pangkat penting di setiap negara yang mereka wakili. Dan dia memiliki aset paling dikehendaki dunia, seorang yang mahir menyelesaikan masalah.
Jenny ialah seorang perantara berbangsa Chinese-Thai yang mahir bertutur pelbagai bahasa. Digelar Madam X dalam dunia jenayah antarabangsa. Pihak Interpol hanya mengenali Tuan Glock sebagai orang yang paling dikehendaki dan melupakan Madam X yang kononnya telah lama mati. Walhal dia menghapuskan jejaknya dari pihak berkuasa Thai dengan berpura-pura mati. Kereta yang dinaikinya meletup ketika sesi kejar-mengejar dengan pihak berkuasa Thai di Songkhla, Thailand beberapa tahun yang lalu. Semuanya atas bantuan seorang lelaki yang paling digeruninya.
Dengan hanya meletakkan DNAnya di tempat kejadian, polis Thai menyangka mayat wanita yang hancur rentung itu adalah dirinya. Bermula dari saat itu, hilang sudah Madam X
dari dunia jenayah. Tiada lagi wanita yang mempelopori perniagaan senjata terbesar di Thailand ketika itu. Tiada lagi bekalan senjata untuk mereka yang memerlukan.
Kerana mahu membalas budi, dia berkhidmat dengan lelaki yang menyelamatkan dirinya. Menjadi orang di belakang tabir yang menguruskan serangkaian penjenayah dan pencuri handalan kepunyaan lelaki itu. Dan Tuan Glock adalah kegemarannya yang paling utama!

DI Sungai Seine, bot yang membawa beberapa penumpang pelancong dikejutkan dengan beberapa letupan yang agak kuat berdekatan dengan kedai-kedai di sepanjang sungai Seine. Masing-masing menerpa mahu melihat. Asap berkepul-kepul kelihatan dari jauh.
Lelaki yang duduk di belakang bot langsung tidak berganjak. Dia diam-diam mengeluarkan kotak segiempat diperbuat dari kain flanel berwarna hitam bersaiz 10x10mm dalam saku bajunya lalu mencampakkannya ke dalam Sungai Seine tanpa disedari sesiapa. Si lelaki mengeluarkan telefon bimbitnya. Menekan-nekan beberapa keypad pada telefon yang sebenarnya bertindak sebagai alat kawalan.
Dari bawah, beberapa orang penyelam berlegar-legar di bahagian bawah bot. Salah seorangnya mula ternampak cahaya kebiru-biruan bersinar-sinar dari kotak itu. Ini memudahkan pencariannya. Dia memberi isyarat pada temannya dan kedua-duanya kini bergegas, meluru ke arah kotak yang kian tenggelam.
Si lelaki tersenyum mulus. Kain flanel seakan-akan baldu, tetapi jika disapu dengan cat akrilik dan dikeringkan menggunakan sinaran gama, ia akan bertindak balas dengan air dan mengeluarkan cahaya seakan-akan kebiruan. Itu akan memudahkan pencarian. Lagipun dia tahu kehilangan The Grand Conde pasti akan mencetuskan huru-hara di Paris. Dan percayalah dia tidak mahu tertangkap dengan berlian itu di salah satu tangannya.
Ketika botnya berhenti di tepi, dia melangkah naik ke daratan. Langkahnya dihala ke arah sebuah gerai yang menjual bunga-bunga segar. Dia membeli sejambak ros merah. Menghidunya dengan wajah penuh senyuman.
Beberapa orang polis berseragam meluru ke arahnya. Dia tetap tenang, tidak ada niat untuk melarikan diri. Dan semua pegawai polis itu melewatinya tanpa mengesyaki apa-apa. Dia menjauhi tempat itu, lalu menyeberang jalan menuju ke suatu arah. Tetapi sebuah kereta hitam bercermin gelap tiba-tiba berhenti di hadapannya.
Beberapa orang lelaki keluar dari dalam perut kereta. Salah seorangnya tersenyum ke arahnya. Orangnya kelihatan agak muda.
“Tuan Glock?” soal lelaki muda itu.
Wajahnya berkerut memandang lelaki-lelaki itu. Siapa yang menghantar mereka semua?
“Kau siapa?” tanyanya ingin tahu.
“Sila masuk tuan, kita tak boleh lama di sini. Pihak polis tempatan sedang memburu pencuri The Grand Conde sekarang. Lagi lama tuan kat sini lagi bahaya,” ujar lelaki itu.
Dia tergaman. Mahu tak mahu dia masuk ke dalam perut kenderan tersebut.
Di dalam kenderaan, menuju ke destinasi yang entah ke mana, fikirannya terawang-awang. Kejadian di Musee de Conde di luar jangkaannya. Dia mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya. Seutas rantai yang ditemuinya di lantai Musee de Conde dibelek-belek agak lama. Lelaki di sampingnya ikut menoleh. Tertarik dengan rantai itu yang bertatahkan permata berbentuk air mata.
“Kepunyaan dia bukan? Gadis di muzium tu?” Lelaki muda itu turut melirik ke arah rantai itu.
Dia tersentak. Kerlingannya menerpa ke arah lelaki di sampingnya. Curiga!
 “Siapa kau?”
“Nama saya Aria. Kita pernah jumpa beberapa tahun yang lalu di Pulau Emerald.”
Tuan Glock mengerutkan dahinya. Pulau Emerald?
“Tuan Rourke yang hantar kau?”
Aria hanya mengangguk.
Tuan Glock mendengus keras. Dia menarik nafas panjang.
“Sekuriti di Musee de Conde diuruskan oleh sebuah syarikat sekuriti elit di Paris. Setiap satu darinya merupakan era baru teknologi terkini yang agak canggih dan sukar dipecahkan. Mereka hantar saya sebagai back-up untuk tuan. Tanpa bantuan dari dalam, tak mungkin tuan boleh pecahkan kod di bilik kebal Musee de Conde. You need a little help,” ujar anak muda itu tenang. Usianya dalam lingkungan awal 20-an.
Dia ketawa kecil. Lucu bunyinya!
Lelaki muda yang dikenali sebagai Aria itu tercengang-cengang memandangnya. Apa yang melucukan Tuan Glock? Apakah lelaki itu tidak mempercayai setiap kata-katanya?
“Kau tahu tak, kalau bukan sebab kau, kehadiran aku di Musee de Conde takkan disedari sesiapa. Aku dah tetapkan frekuensi yang betul untuk alat sensor haba di bilik kebal tu. Tapi sebab kau, isyarat tu dah dilencongkan. Kau ni bodoh atau apa? Dua isyarat berbeza yang masuk ke panel kawalan sensor akan mencetuskan siren yang telah mengganggu tugas aku di sana. Benda semudah itu pun kau tak tahu?”
Aria terdiam. Habis hilang bicara ramah-tamahnya sebentar tadi apabila terkena penangan lelaki di sebelahnya.
“Maaf, saya hanya nak membantu,” ujar Aria dengan rasa bersalah.
 “Kau pernah nampak aku buat kerja ni berdua?” bidas Tuan Glock.
Aria teragak-agak mahu menjawab. Entah kenapa senyuman sinis lelaki itu sedikit sebanyak  membuatkan dia tidak selesa. Sudah lama dia memuja lelaki itu. Sekarang apabila kesempatan untuk bekerja dengan lelaki itu muncul, dia merosakkannya pula tanpa sengaja. Aduh, Aria! What have you done?


No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!