Followers

Thursday, December 6, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 21


            DIA melayang-layang sebentar sebelum terhempas ke dalam air. Tubuhnya tenggelam ke dasar. Dia cuba menahan nafas, tapi air semakin banyak masuk memenuhi paru-parunya. Nafasnya tersekat-sekat kelemasan. Matanya juga pedih dan berpinar-pinar. Dia hanya mampu memandang ke atas permukaan air dengan pandangan kosong.

            Tiba-tiba dia terpandang satu kelibat tubuh terjun dari permukaan air lalu berenang ke arahnya. Rambut lembaga menyerupai perempuan itu panjang sehingga ke pinggang dan hampir menutup wajah.

Dia memandang lembaga yang baru muncul itu dengan pandangan kabur. Badannya semakin lemah. Otaknya pula diselubungi kelabu. Kosong dan kelam. Namun lembaga perempuan itu terus berenang ke arahnya.

            “Aliff….” Panggil lembaga itu sayup-sayup kedengaran. Dia ingin menyahut, namun suaranya seolah-olah tersekat di kerongkong. Kelopak matanya hampir tertutup. Imej perempuan itu semakin kabur dalam pandangan.

            “Aliff!!” Suara lembut menggoda itu bertukar keras. Tiba-tiba sahaja tubuhnya digoncang agak kuat. Satu kekuatan dan kesedaran mula menyergah setiap rongga tubuhnya.

Aliff tersentak. Udara panas menyerbu ke dadanya membangkitkan bahang. Dia membuka mata seluas-luasnya. Sejurus melihat beberapa wajah mengadap ke arahnya, dia terpinga-pinga. Wajah ayah dan ibunya ditatap silih berganti.

            “Kamu tak apa-apa Aliff?” Suara itu bertanya dengan nada risau. Namun dia  tidak menyahut. Dia masih bingung sebenarnya.

            Tengku Amar duduk di birai katil. Bahu anak muda itu ditepuk perlahan.

“Kamu mimpi lagi?” Soal Tengku Amar bagaikan tahu apa yang sedang dialami anak muda itu.

            Aliff sekadar mengangguk. Dia langsung tidak berupaya untuk menafikannya. Mimpi ini bukan yang pertama kali, dan pasti juga bukan yang terakhir.

            “Aliff masih ambil ubat yang Doktor Hisyam beri tempohari?” Tanya Tengku Saida pula sambil mengusap kepalanya. Gerak geri wanita itu penuh dengan perhatian dan kasih sayang.

            “Ada ma. Aliff selalu makan ubat tu.”

            Tengku Amar mengangguk. “Baguslah, ubat tu kena dimakan hari-hari. Kalau habis, call saja Doktor Hisyam. Dia akan berikan preskripsi baru.”

            Dia tidak menjawab. Wajah ayahnya ditenung agak lama. Ada sesuatu yang mahu disuarakannya, namun entah kenapa sehingga sekarang dia tetap menyimpan perkara itu di sudut hati. Tapi sampai bila dia harus begini? Sampai bila dia harus cuba bertahan pada sesuatu yang membangkitkan rasa ingin tahu dalam dirinya?

            “Ayah, Doktor Hisyam…” Filman yang tiba-tiba muncul di muka pintu, tergaman melihat Aliff yang mulai sedar.

            Kenapa dengan Doktor Hisyam, Fil?” Tanya Tengku Saida.

            “Err..Doktor Hisyam ada kat Penang sekarang ni. Dia ada seminar, tapi dia akan minta kawan dia datang.” Beritahu Filman.

            “Abang, cakap kat Doktor Hisyam, tak payahlah suruh kawan dia datang. Lagipun Aliff dah tak ada apa-apa. Lepas rehat sekejap, Aliff okey la.” Pinta Aliff.

            “Tak apalah, sekurang-kurangnya dia boleh tengok-tengokkan keadaan Aliff ni. Ma risaulah Aliff, dah lama Aliff tak kena macam ni. Alih-alih malam ni, jadi semula.” Keluh Tengku Saida dengan hati gusar.

            “Sejak bila Aliff dapat semula serangan macam ni?” Soal Tengku Amar pula ingin tahu. Wajah anak muda itu ditatap tajam.

Aliff memandang lelaki itu. Bibirnya bergerak-gerak, namun setiap saat berlalu dengan kebisuan. Dia memandang pula ke arah Tengku Saida dan Filman yang turut memandangnya. Dan ternyata Aliff mengalah kali ini. Mungkin lebih baik jika dia berterus terang sahaja dengan semua orang.

“Maafkan Aliff ayah. Aliff hampakan ayah. Aliff hampakan semua orang.” Dia memandang Tengku Amar dengan wajah sedih. Perasaan bersalah terlalu kuat menghantuinya.

“Maksud kamu?” Tengku Amar terpinga-pinga tidak mengerti.

Aliff kelihatan sukar mahu menjelaskan dengan kata-kata Lagi-lagi dia mengerti harapan lelaki itu menggunung tinggi terhadapnya.

“Aliff tipu ayah bila Aliff kata Aliff dapat cuti semester lebih awal dari pihak universiti. Sebenarnya bukan begitu, ayah. Aliff bukan dapat cuti tapi Aliff minta tangguh pengajian.” Beritahu Aliff.

Tengku Amar tersentak. Kata-kata anak muda itu membangkitkan gelodak resah di fikirannya. Dahinya serta-merta berkerut. Airmukanya berubah serius.

“Tapi kenapa? Bukankah pengajian Aliff cuma tinggal setahun saja lagi?” Soalnya ingin tahu.

“Aliff tahu ayah. Tapi Aliff tak boleh tumpukan perhatian Aliff pada pelajaran kat sana. Serangan yang Aliff alami ni, sebenarnya berlaku lebih kerap sejak setahun yang lalu. Dulu ia mampu bertahan dengan adanya ubat dari Doktor Hisyam. Tapi sekarang ubat-ubat itu sudah tidak ada gunanya lagi ayah. Kepala Aliff ni sakit bagaikan nak pecah.” Keluh Aliff.

 “Kenapa Aliff tak beritahu kami selama ni?” Tengku Saida kelihatan kesal.

“Aliff pernah cuba ma. Tapi bila Aliff ingatkan ayah, harapan ayah… Aliff memaksa diri bertahan. Aliff tak sanggup hampakan hati ayah.” Bisik Aliff resah.

Tengku Saida terdiam. Sedih hatinya mendengar kata-kata Aliff. Dia menjeling suaminya yang tunduk diam di suatu sudut. Lelaki itu memandang kosong ke arahnya dengan pandangan yang sukar dimengertikan.

Filman yang tercegat di suatu sudut hanya mampu menarik nafas panjang. Dia tidak sangka sampai begitu sekali tindakan Aliff. Semata-mata kerana patuh pada ayahnya, Aliff membahayakan dirinya sendiri. Filman beredar dari bilik itu dengan langkah longlai. Hatinya sebak mengenangkan adiknya yang seorang itu. Dan dia tidak sanggup berlama-lama di bilik itu lagi.

Di luar bilik, mata Filman berpapasan dengan wajah muram Najla. Gadis itu mengangkat kepala memandangnya. Filman mengeluh. Dia tahu Najla turut mendengar segala-galanya. Pelupuk mata anak gadis itu kini dibasahi air jernih.

*  *  *  *

            Sebaik dia melangkah masuk ke ruang bilik tidurnya, matanya mencari-cari kelibat suaminya. Apabila dia mengalihkan pandangan, dia segera terpandang kelibat suaminya sedang termenung di balkoni di luar bilik.

            Tengku Saida mengatur nafas berulangkali sebelum melangkah ke arah lelaki itu. Menyedari kehadiran isterinya, Tengku Amar segera berpaling.

            “Aliff dah tidur?” Tanya Tengku Amar.

            “Dah. Lepas Doktor Rabinder balik tadi, dia terus tidur.” Balas Tengku Saida.

            “Yang lain-lain?”

            “Naj pun dah tidur. Filman masih di bilik Aliff. Sengaja saya suruh dia temankan Aliff kalau-kalau perkara yang sama berulang lagi.” Ujar Tengku Saida sebelum singgah di samping suaminya.

            Tengku Amar mengangguk. Dia kembali meluruskan badannya mengadap ke arah pemandangan malam di kawasan perumahan itu.

            Diam-diam Tengku Saida melirik ke arah suaminya. Wajah lelaki itu keruh. Dia tahu lelaki itu sedang memikirkan tentang Aliff?

“Aliff tak apa-apa bang. Awak jangan risau sangat. Doktor Rabinder akan bincang dengan Doktor Hisyam bila dia balik nanti.” Pujuk Tengku Saida, cuba meredakan perasaan suaminya.

“Awak rasa, saya ni terlalu bertegas sangat ke dengan anak-anak kita?” Tengku Amar tiba-tiba menyoal begitu.

 “Kalau saya jawab ya sekalipun, esok dan lusa, awak akan ambil tindakan yang serupa bang. Inilah diri awak. Cara awak mendidik anak-anak kita sama macam ayah awak didik awak dulu.” Tukas Tengku Saida tenang.

Tengku Amar mengerling isterinya. Bibirnya melemparkan senyuman. Sejak dia mengahwini Tengku Saida tiga puluh lima tahun yang lalu, beginilah perangai isterinya itu. Sering bercakap terus terang walau adakalanya tidak sedap didengar. Tapi kejujuran hati wanita itu benar-benar dihargainya.

‘Saya benar-benar sayangkan Aliff macam saya sayangkan anak-anak kita yang lain.” Keluh Tengku Amar.

“Saya tahu. Kalau awak tak sayangkan Aliff, mustahil awak bawa dia tinggal dengan kita dulu. Hati awak sebenarnya baik bang, hanya luaran awak sahaja yang nampak kasar dan tegas.” Simpul Tengku Saida.

“Saya tak bermaksud nak buat Aliff jadi macam ni.”

Tengku Saida menarik nafas panjang. Dia merenung wajah suaminya dalam-dalam.

“Apa yang berlaku pada Aliff bukan salah awak bang. Ini semua berpunca dari Aliff sendiri. Doktor Hisyam dah kata dulu, Aliff berada dalam keadaan trauma. Dan selagi kita tak bantu Aliff mengingati kisah silamnya, selagi itulah Aliff akan terus jadi begitu.”

Tengku Amar memandang isterinya. “Maksud awak?”

“Bang, sudah sampai masanya kita cari siapa Aliff sebenarnya. Kita selidik latar belakang dia.” Ungkap Tengku Saida.

“Dan selepas itu apa? Kita serahkan dia semula jika kita jumpa keluarganya, begitu? Saya tak setuju Saida. Aliff dah jadi anak saya. Saya sayangkan Aliff sepenuh hati saya.” Bentak Tengku Amar. Dia benar-benar tidak menyetujui rancangan isterinya.

“Saya pun sayangkan Aliff bang. Tapi kerana sayang inilah, maka saya nak cuba pulihkan Aliff. Awak tak faham lagikah bang? Aliff sedang menderita. Fizikal dan emosi Aliff terganggu. Lagipun awak tak mahu tahukah apa sebenarnya berlaku pada Aliff dulu?” Soal Tengku Saida separuh geram. Suaminya seolah-olah sengaja menidakkan kenyataan tentang Aliff. Inilah yang membuatkan dia tidak senang hati.

Tengku Amar terdiam mendengar kata-kata isterinya. Meskipun sebahagian hatinya mengakui apa yang dikatakan wanita itu ada benarnya, namun nalurinya benar-benar bimbang kehilangan Aliff suatu hari nanti.

*  *  *  *

Puas sudah dia cuba melelapkan mata. Tapi setelah satu jam berlalu, matanya masih degil tidak mahu tidur. Kelibat Filman yang sedang tidur di kerusi panjang di dalam biliknya diperhatikan agak lama. Kasihan abang Filman, tak fasal-fasal dia kena temankan aku, detik hati kecil Aliff.

Fikirannya terawang-awang teringatkan mimpinya sebentar tadi. Kenapa dia terlalu kerap dihidangkan dengan mimpi yang sama? Apakah maknanya semua ini?

            “Dalam mimpi kamu, di mana kamu berada ketika itu?” Suara Doktor Hisyam kembali bermain di kepalanya. Dia masih ingat doktor lelaki kenalan ayahnya yang berusia hampir 50 tahun itu. Lelaki itu adalah antara orang yang paling rapat dengannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

            “Tubuh saya di dalam air.” Reaksinya terhadap pertanyaan doktor itu.

            “Di dalam air?”

            Aliff mengangguk. “Saya tak boleh bernafas. Badan saya ditarik-tarik oleh sesuatu. Dalam mimpi itu, saya seolah-olah lemas.” Dia berterus terang.

Doktor itu tidak memberi sebarang ulasan. Setiap kata-katanya hanya dicatat di dalam sebuah buku kecil berkulit hitam yang kerap dipegang lelaki itu.

            Ada apa-apa lagi yang Aliff nak tambah?”

            Dia termenung panjang. Kepalanya ligat memikirkan setiap peristiwa yang berlaku di dalam mimpi-mimpi yang dialaminya. Sejurus dia memandang lelaki itu kembali.

Ada seorang perempuan.” Ujarnya.

Kata-katanya menimbulkan minat Doktor Hisyam. Mata lelaki tua itu menujah ke wajahnya terus menerus.

            “Perempuan?”

            Dia mengangguk.

            “Aliff nampak wajah dia?”

            Dia menggeleng. Wajah perempuan di dalam mimpinya selalu hadir dengan imej kabur. Dia hanya mengingati rambut panjang ikal perempuan itu yang hampir menutup wajah.

            “Apa yang perempuan tu buat dalam mimpi Aliff?” Soal Doktor Hisyam lagi.

            “Dia muncul secara tiba-tiba. Dan setiap kali dia muncul, dada saya sakit seperti mahu pecah doktor.” Bisik Aliff. Matanya merenung jauh cuba menggali wajah kabur di dalam mimpinya. Berkali-kali dia mencuba, namun dia tidak pernah berjaya melakar wajah itu di dalam memorinya. Tidak walaupun sekali!

            Kelopak matanya tertutup rapat. Fragmen sesi terapinya bersama Doktor Hisyam cuba dihalau jauh-jauh. Mimpi ngeri yang kerap mengganggu fikirannya cuba dilupakan dari pelupuk minda. Dia tahu ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Namun setiap kali dia cuba bertanya pada ayahnya, lelaki itu tidak pernah memberikan jawapan yang pasti.

            “Aliff tak boleh tidur?” Satu suara menyapa dari suatu arah. Dia berpaling. Filman terpisat-pisat memandangnya dengan mata merah. Entah sejak bila lelaki itu terjaga, dia sendiri kurang pasti.

            “Abang tidurlah di bilik abang. Aliff tak apa-apa.” Ujarnya lalu tersenyum hambar. Kasihan pula dia melihat lelaki itu tidur dalam keadaaan tidak selesa di biliknya.

            “Tak apa, abang nak temankan Aliff malam ni.” Ujar Filman. Dia bingkas bangun lalu mendekati adiknya. Bahu Aliff ditepuk lembut.

            “Aliff fikir apa sebenarnya ni? Kalau ada sesuatu mengganggu fikiran Aliff, Aliff patut kongsi dengan abang. Abang nak Aliff percayakan abang.” Pujuk Filman, sekaligus mahu memprovok anak muda itu bercerita.

            “Siapa sebenarnya Aliff ni bang?” Mata Aliff kini beralih ke wajah Filman.

            Filman terkedu.

            “Macamana Aliff nak bercerita dengan abang kalau Aliff sendiri tak tahu siapa diri Aliff ni. Dari mana asal usul Aliff? Siapa mak ayah Aliff yang sebenarnya?” Keluh Aliff rungsing.

            “Aliff, kalau kami tahu, tentu sudah pasti kami akan beritahu Aliff segala-galanya. Tapi percayalah, kami memang tak tahu apa-apa fasal Aliff. Begitu juga dengan ayah. Dia yang jumpa Aliff ketika itu. Dia yang selamatkan Aliff.” Pujuk Filman tenang.

            “Doktor Hisyam kata, semua serangan-serangan yang Aliff alami disebabkan oleh trauma pada sesuatu. Tapi kenapa Aliff tak boleh ingat apa-apa pun tentang masa lalu Aliff bang? Apa sebenarnya yang berlaku pada Aliff?” Soal Aliff rungsing. Dia benar-benar tidak keruan kali ini.

            Menyedari mendung yang berpupuk di wajah anak muda itu, Filman menghela nafas panjang. Alangkah bagusnya jikalau dia boleh meleraikan sengketa yang bertapak di fikiran Aliff. Namun dia benar-benar tidak mampu menyelesaikan segala kekusutan anak muda itu. Kasihan Aliff!

1 comment:

Unknown said...

cer..andai wat aliff di pertemu kn ngan danira...akn berakhir kah derita aliff andai segala kisah silam terlerai!!!namun bisa kah aliff mengenali n mengingati lg kisah yg mendera jiwa nurani...tk sabar nyer nk aliff pulih macam insan lain...n ketemu kn ngan danira...

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!