Followers

Sunday, May 9, 2010

Arina : Prolog

SEBUAH rumah diawasi dari jauh oleh dua kelibat tubuh berpakaian kulit berwarna serba hitam. Wajah kedua-duanya tidak jelas kerana diselindungkan oleh kain yang menyembunyikan sebahagian wajah. Ternyata mereka mahu mengelak diri dari dikenali. Salah seorangnya berambut panjang sehingga ke pinggang. Manakala yang seorang lagi berambut pendek yang sengaja diwarnakan dengan pewarna biru.

Lembaga yang berambut panjang memberi isyarat. Temannya mengangguk lalu mereka berpecah haluan. Salah seorang bergerak menghampiri rumah itu dari arah hadapan. Manakala yang seorang lagi bergerak ke belakang. Lembaga berambut biru bersenjatakan sebilah pedang manakala yang berambut panjang hanya memegang dua bilah kerambit yang mempunyai corak ukiran naga emas di hulunya.

Pergerakan mereka pantas, tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Malah mereka berjaya menyelinap masuk ke dalam kawasan rumah itu tanpa disedari sesiapa. Lembaga berambut panjang segera menghampiri sebuah tingkap kecil yang mengeluarkan cahaya dari arah dalam. Dia mahu mengesan jumlah orang yang berada di dalam rumah itu terlebih dahulu sebelum mencari sasarannya.

“Ayah….ayah main tipu. Mana boleh main macam ni.” Muncul suara seorang kanak-kanak lelaki. Dia mengerutkan dahinya.

“Inilah cara main catur yang betul sayang. Buah catur ayah lebih hebat dari buah-buah catur kamu yang masih tinggal, Ketsu.”

“Ah tak aci…ayah mesti main tipu ni.” Kanak-kanak itu enggan percaya. Si ayah melempiaskan tawanya.

Dia merapati jendela rumah itu lalu menjenguk ke dalam. Seorang lelaki bercermin mata dan memakai sweater sedang duduk di hadapan seorang kanak-kanak lelaki berusia dalam lingkungan usia 10 tahun. Mereka sedang bermain catur bersama. Tak lama kemudian, seorang wanita berjalan masuk ke ruang tamu sambil menatang sedulang minuman.

Dia hanya memerhatikan adegan di hadapan matanya dengan wajah berkerut. Fikirannya melayang jauh. Dia teringatkan arahan yang diberi padanya beberapa hari yang lalu. Menurut arahan, dia harus membunuh Profesor Darma Kaien. Tapi arahan itu langsung tidak menyebut tentang anak isteri lelaki itu. Apa yang patut dilakukannya? Perlukah dia menghapuskan ketiga-tiganya sekaligus?

Suara siulan dari suatu arah menganggu perhatiannya. Dia lantas berpaling. Temannya sedang membuat isyarat mahu menyerbu masuk.

Serta-merta dia tergaman. Tangannya cepat-cepat mengembalikan isyarat agar mereka menunggu seketika. Lagipun dia tidak suka membunuh lelaki itu di hadapan anak isterinya. Dia akan menanti sebentar dan menunggu peluang baik untuk melaksanakan tugasnya.

* * * *

DAUN pintu ditolak kasar. Beberapa bilah kerambit miliknya dicampakkan ke atas katil. Langkahnya dihela deras ke arah bilik air. Tombol shower di hadapannya dipulas. Pancuran air panas yang mencurah-curah dibiarkan begitu sahaja, membasahi sebahagian anggota tubuhnya yang dibasahi darah.

Kelopak matanya dipejam rapat-rapat. Sebelah tangannya yang berbalut terlekap pada dinding. Manakala sebelah lagi membuang kain pembalut pada lengan itu lalu segera dicampakkan. Air yang mengenai lukanya membuatkan dahinya berkerut. Matanya segera terbayang wajah lelaki yang membantu membalut luka di lengannya sebentar tadi. Lelaki aneh! Tiba-tiba sahaja mahu membantu biarpun tanpa disuruh, bisik hati kecilnya.

Kepalanya menunduk ke bawah. Air yang mengalir laju dibiarkan membasahi seluruh wajah dan tubuhnya yang masih bersarung dengan pakaian berwarna hitam. Alunan irama muzik yang beralun di luar bilik air entah mengapa bukan menenangkan perasaannya, malah semakin mengigit emosinya.

Tangannya terketar-ketar meramas bajunya, manakala sebelah tangannya yang lain mencakar dinding bilik air itu sekuat hati.Entah kenapa perasaan hatinya membara dengan apa yang telah berlaku malam ini.

Masih tergiang-giang suara jeritan anak isteri lelaki itu apabila mata pedang milik Gien, temannya menghala ke batang tengkuk Profesor Dharma. Dia yang menyaksikan kejadian itu tergaman. Tidak menyangka Gien akan bertindak sendirian tanpa menanti isyarat darinya. Gadis itu seperti tidak sabar-sabar mahu menghabiskan tugas mereka. Mahu tak mahu dia terpaksa campur tangan.

Gien menoleh dengan wajah berkerut.

“Kenapa kau halang aku?” Tanya Gien tidak mengerti.

“Bukan sekarang Gien. Bukan di hadapan anak dan isterinya.” Dia berbisik.

Gien tergaman. Serentak mata gadis itu menoleh ke arah anak isteri Profesor Darma yang ketakutan di suatu sudut.

“Gien..please..” Dia memujuk dan mengharapkan agar gadis itu lembut hati.

Gien menarik nafas panjang. Keluhan yang meniti dari bibir itu dihela kasar. Lama kemudian, gadis itu menjatuhkan pedangnya.

Dia tersenyum senang. Dia tahu Gien seorang yang boleh diajak berunding, lagipun dia mempercayai gadis itu dengan nyawanya sendiri. Sejak kecil, mereka saling menjaga dan saling bergantung antara satu sama lain.

“Mereka akan tahu nanti.” Gien mengingatkannya. Dia terdiam.

“Aku akan fikirkan sesuatu.”

“Biasanya kau bukan begini.”

Dia diam. Kata-kata Gien membuatkan dia bungkam. Aku memang bukan seperti ini, Gien. Sejak dulu lagi bukan! Dia berbisik dalam hati. Terseksa dengan kata-kata Gien yang mendera perasaan.

Apabila dia meluruskan pandangan, matanya bertaut dengan sesuatu. Hatinya berombak kencang tatkala melihat Profesor Darma bingkas bangun perlahan-lahan dari belakang Gien dengan pisau yang entah dari mana diperolehinya.

“Gien!” Dia menjerit nyaring. Gien terkejut besar lalu berpaling, namun serentak satu tusukan pisau mendarat di dada Gien. Gadis itu tersungkur rebah!

Serentak dia mula bertindak. Beberapa bilah kerambit di tangannya segera dilontar ke arah Profesor Darma. Tepat! Bidikannya mengena sasaran. Profesor Darma menggelepur kesakitan sebelum terjepuk ke lantai.

“Abang!” jerit isteri Profesor Darma lalu meluru ke arah suaminya.

Dia sudah tidak peduli pada pasangan suami isteri itu, sebaliknya dia lebih bimbangkan keadaan Gien.

“Gien, kau okey?” tanyanya resah.

Perlahan-lahan Gien membuka mata seraya merenungnya. “Pisau macam tu takkan mampu bunuh aku. Jangan bimbang, aku cedera ringan saja.” Jawab Gien seraya tersenyum.

“Aku papah kau, kita kena tinggalkan tempat ni secepat yang mungkin.” Ujarnya. Gien dibantu agar gadis itu dapat berdiri. Mereka memandang sebentar ke arah tubuh Profesor Darma yang sudah kaku sambil dipeluk isterinya dengan airmata bercucucuran. Anak lelakinya hanya diam terpaku sambil memandang mayat ayahnya yang terbeliak.

“Mereka macamana? Kita kena habiskan tugas kita.” Ujar Gien.

Dia memandang gadis itu dengan wajah berkerut. Apakah Gien mahu dia membunuh anak isteri lelaki itu?

“Mereka tak bersalah.” Dia cuba mempertahankan pendapatnya.

“Tapi mereka tetap musuh kita. Kita kena hapuskan mereka.”Ujar Gien berkeras.

“Aku..aku tak sanggup.” Dia mengakuinya.

Mata Gien membulat mendengar kata-katanya.“Kalau kita tak hapuskan sebarang bukti, dia akan tahu dan kita akan dihukum. Kalau kau tak sanggup, aku akan lakukannya.” Putus Gien tegas.

Gadis itu mahu berpatah balik tapi dia segera menghalang. Pedang milik Gien berganti tangan. Wajahnya bertukar serius.

“Aku akan habiskan tugas ni. Kau keluar dulu.” Ujarnya lalu memandang ke arah anak isteri Profesor Darma yang sudah pucat lesi. Gien mengangguk, lalu segera meluru keluar dari rumah itu.

Sepeninggalan Gien, dia memandang ke arah isteri lelaki yang telah dibunuhnya. Dengan perasaan nekad, dia menghampiri wanita itu dengan pedang panjang yang terhunus tajam.

“Tolong..tolong jangan bunuh kami. Kasihankan anak saya.” Rayu wanita itu tidak putus-putus. Wajah wanita itu mengambarkan ketakutan akan nasib diri yang entah bagaimana.

Namun belum sempat dia bertindak, tiba-tiba dia mengaduh kesakitan. Wajahnya dipalingkan. Kanak-kanak kecil itu terketar-ketar memandangnya sambil memegang sebilah pisau kecil yang berlumuran darah. Dia mengalihkan pandangan ke arah lengan kirinya yang meninggalkan liang luka.

“Ketsu!” Isteri Profesor Darma meluru lalu menarik anaknya. Bimbang anaknya diapa-apakan lantaran apa yang telah dilakukan oleh anak lelaki itu.

“Tolong jangan apa-apakan anak saya. Kasihanilah kami.” Rayu wanita itu lagi dengan airmata bercucuran,

Dia hanya mampu merenung wanita itu dan anaknya silih berganti. Pedang di tangannya digenggam sekuat hati. Perasaannya berbelah bagi. Antara tugas dan simpati, dia merasakan perasaannya sering keliru. Kenapa semua ini harus dirasainya?

“Sudah kau habiskan tugas tu?” Suara Gien tiba-tiba menjengah ke gegendang telinganya. Dia merapatkan alat pendengar di corong telinganya, sambil matanya masih tertancap ke arah kedua beranak itu.

“Sudah! Aku dah bunuh kedua-duanya.” Tanpa disedari dia mengeluarkan kata-kata itu. Keluhan lega terdengar dari bibir Gien.

“Bagus, tinggalkan tempat tu sekarang sebelum ada sebarang gerero menangkap kita di sini.” Selar Gien memberi arahan.

Dia tidak menjawab. Sambungan alat komunikasinya diputuskan. Dia memandang wanita itu dengan pandangan serius. Perlahan-lahan kakinya dihela merapati wanita itu.

“Tolong..jangan..” Suara rayuan itu semakin sayu kedengaran. Tapi dia sengaja mengeraskan hati. Pedang di tangannya diangkat tinggi-tinggi. Wanita itu mahu menjerit, tapi dia terlebih dahulu bergerak ke arah belakang wanita itu lalu menekup mulut itu dengan salah satu tangannya. Bilah mata pedangnya mendarat di bahu wanita itu lalu ditarik sekuat hati. Mata wanita itu terbeliak.

Dia melepaskan tangannya dan serentak tubuh wanita itu terjelepuk jatuh. Matanya kembali memaku pada anak kecil yang sudah pucat lesi di hadapannya.

“Jangan takut, aku takkan apa-apakan kamu. Jaga ibu kamu baik-baik, dia takkan apa-apa.” Pesannya pada anak kecil itu sebelum melangkah deras ke muka pintu. Sebelum beredar keluar, matanya sempat membuang pandang ke arah budak lelaki yang sedang memandang tepat ke arahnya.

Tuhan! Malam ini tangannya berlumuran darah lagi! Kelopak matanya dibuka perlahan-lahan. Curahan air dari shower itu masih menerpa di atas kepalanya. Setitis airmatanya gugur di antara titis-titis air yang mengalir dari atas kepala. Membunuh atau dibunuh? Apa pilihan yang dia ada?

* * * *

Mei 1998, Filiphina….

SEORANG lelaki berjubah hitam membuka pintu sebuah gudang lama yang sudah dikosongkan. Dia melangkah masuk perlahan-lahan seraya menolak kembali pintu gudang itu lalu menguncinya dengan mangga.

Sesudah itu langkahnya diatur ke arah sebuah ruangan. Dia menuju ke arah sebuah tiang, lalu menarik tali besi yang tergantung di situ. Matanya melurus ke hadapan. Permukaan lantai di hadapannya tiba-tiba bergerak lalu muncul sebuah lubang besar. Dia penjuru lubang yang terbentuk, terdapat sebuah pangkin berupa tangga kecil yang melurut ke bawah.

Lelaki itu terus menuruni satu persatu anak tangga yang terbentuk menuju ke ruangan di bawah tanah. Sebaik kakinya menjejak anak tangga terakhir, ruangan di atas kepalanya tertutup secara tiba-tiba, manakala tangga yang menjadi penghubung antara tingkat atas dan bawah terus berlipat dan melekap di ruang sebelah kiri.

Bilik bawah tanah itu nyata berbeza sekali dengan ruangan di tingkat atas. Bilik yang ada di hadapan lelaki itu lebih mirip kepada sebuah makmal yang dilengkapi dengan pelbagai peralatan canggih. Di situ juga terdapat beberapa buah bilik tidur, tandas dan juga dilengkapi dengan ruangan dapur dan ruang tamu. Sekali imbas, ia juga menyerupai sebuah rumah. Yang mungkin berbeza, ‘rumah’ ini merupakan rumah yang lebih banyak memiliki peralatan-peralatan sains berbanding perabot-perabot lazimnya yang dimiliki oleh sesebuah keluarga.

Langkah lelaki itu diteruskan ke arah sebuah bilik yang dilapisi oleh kaca yang telus pandang. Dia memerhati ke dalam bilik kaca di hadapannya. Di dalamnya terdapat sekujur tubuh seorang lelaki sedang terbaring di dalam sebuah tiub berisi air. Tubuh lelaki itu berselirat dengan pelbagai jenis wayar yang dihubungkan dengan beberapa buah mesin. Kelopak mata lelaki itu terpejam rapat. Tidurnya kelihatan tenang bagaikan tidak ingin bangun lagi.

Memerhati ke arah lelaki itu, entah kenapa keluhan kecil meluncur keluar dari bibir lelaki yang berjubah. Dia sudah buntu bagaimana mahu membuatkan lelaki itu terjaga. Sudah pelbagai ikhtiar dilakukannya, namun semuanya menemui jalan buntu. Dia sudah tidak ada masa! Masa tidak pernah menantinya. Dia harus berjaya kali ini. Tekad itu tidak pernah mati dalam dirinya. Yang akan mati hanyalah dirinya!

“Satu bencana gempa bumi berlaku di utara Afghanistan dan Tajikistan semalam. Gempa bumi pada ukuran 7 pada skala Richter ini berlaku pada kira-kira pukul 5.46 pagi masa tempatan. Seramai hampir 5000 orang dijangkakan terbunuh manakala 300,000 lagi telah kehilangan tempat tinggal….

Berita yang muncul di kaca televisyen hitam putih mengalih perhatiannya pada lelaki di dalam bilik kaca itu. Tidak sukar untuk dia memahami berita yang disampaikan dalam bahasa tagalog itu kerana dia sudah mahir menggunakannya.

“Gempa bumi, Afghanistan…..” Dia berbicara sendirian dengan wajah berkerut. Tiba-tiba dia berlari ke suatu arah. Sebuah almari kayu di suatu sudut di ruangan itu dituju. Dia membuka pintu almari lalu mengeluarkan sebuah buku tebal yang hampir berabuk.

Dia lantas mencatat sesuatu di dalam buku tebal itu. 5.46 pagi tarikh 30 Mei 1998 – Gempa Bumi di Utara Afganistan dan Tajikistan.

Beberapa catatan di atas yang telah penuh dibaca sepintas lalu.

1) 21 Jun 1990 - Gempa Bumi di Barat Laut Iran (50,000 mati)

2) 12 Disember 1992 – Gempa Bumi 7.3 Richter di Flores, Indonesia, mengakibatkan

tsunami dan ombak besar (2500 mati)

3) 12 Julai 1993 – Tsunami di Pulau Okhusiri, Jepun

4) 30 September 1993 – Gempa Bumi Latur, India (1000 mati)

5) 17 Januari 1995 – Gempa Bumi di pelabuhan Kobe, Jepun.

6) 7 Februari 1996 – Tsunami di Irian Jaya

7) 26 Disember 1996 - Angin Ribut Greg di Keningau, Sabah

Melihat pada tarikh-tarikh yang tercatat pada buku itu, lelaki itu terduduk lemah sambil mendakap buku tebal di tangannya. Entah kenapa semakin banyak yang terkumpul, semakin banyak yang diyakininya.

“Tuhan, apa yang dah aku lakukan?” Perasaan kesalnya terlontar keluar. Dia teringat yang dia baru sahaja kembali dari tempat asalnya dua hari yang lalu. Mustahil hanya dalam tempoh 24 sahaja, semua ini akan berlaku.

Satu cecair likat mengalir keluar dari rongga hidungnya. Dia meraba-raba di bawah hidung. Jarinya dibawa ke hadapan. Melihat darah segar memenuhi tangannya, dia terkesima.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!