Followers

Monday, November 22, 2010

Blue Sunset : Bab 1

“PUAN Kamelia Umar.” Panggil satu suara. Lantang dan keras bunyinya.

Aqi berpaling. Melihat jururawat berbadan gempal di hadapan kaunter mendongak wajah memandang ke arahnya, dia cepat-cepat bangun dari kerusi yang didudukinya.

“Saya kak.” balas Aqi sambil tersenyum-senyum menghampiri jururawat tersebut. Mata wanita itu terkelip-kelip memandangnya.

“Adik anak Puan Kamelia?” Tanya wanita itu.

Aqi mengangguk.

“Kalau ikut kad ni, dah sampai masa Puan Kamelia ke hospital, buat routine medical check-up ni dik. Mana mak adik? Dia tak datang?” Soal jururawat itu ingin tahu.

“Mak tak berapa sihat kak. Dia suruh saya datang ambilkan ubat untuk dia.” Aqi tersengih seraya membuat wajah kasihan.

“Adik sekolah tingkatan berapa?” Tanya jururawat itu lagi.

Aqi terkedu mendengar pertanyaan itu. Dia meneliti penampilan dirinya yang sempoi dengan t-shirt dan jeans. Rambutnya yang separas bahu dilepaskan begitu sahaja. Apa yang tak kena dengan penampilannya? Macam budak sekolah sangatkah? Mungkin sebab tubuhnya kecil sahaja, maka dia sering disalahertikan sebagai pelajar sekolah menengah.

“Saya dah dua puluh empat tahun la kak. Baru habis belajar.” Jawab Aqi seraya menahan ketawa. Lucu! Dah boleh kahwin, tapi masih disangka pelajar sekolah menengah. Nasib baik bukan pelajar darjah enam.

“Oh ye ke? Kecil sangat tubuh tu. Itu yang akak ingat awak ni budak sekolah lagi. Tak apalah, kali ni saja Doktor Herman luluskan preskripsi ubat untuk Puan Kamelia. Tapi lain kali minta mak adik datang buat pemeriksaan dengan Doktor Herman. Dia yang pesan begitu.” Beritahu jururawat itu akhirnya.

Aqi hanya mengangguk tanda faham.

“Nak akak terangkan macamana cara pengambilannya?” Tanya jururawat itu lagi seraya memandangnya. Dia hanya menggelengkan kepala.

“Tak payahlah kak, mak saya dah biasa dengan ubat ni.” Balas Aqi lalu menyimpan bungkusan ubat yang diterimanya ke dalam beg sandangn. Sebelum beredar, dia melemparkan senyuman pada jururawat di kaunter farmasi itu.

Aqi melangkah perlahan ke arah kereta Volkswagennya yang diparkir di tepi sebuah kereta Toyota Camry. Dia masuk ke dalam perut kereta. Dengan agak terburu-buru, dia segera mengundurkan keretanya keluar dari kawasan parkir.

Tiba-tiba dia terdengar suara jeritan berkumandang di tepi telinganya. Serentak Aqi menekan brek kereta. Wajahnya bertukar pucat. Alamak! Aku langgar orangkah? Dia cepat-cepat keluar dari keretanya. Melihat seorang wanita tua memegang sebatang tongkat berdiri di bucu kenderaannya, wajah Aqi terbeliak. Nafasnya sudah turun naik. Berdebar-debar.

“Nenek tak apa-apa? Maaf nek, saya tak perasan nenek ada kat belakang tadi.” Dia segera mendapatkan wanita itu dengan wajah bersalah.

Wanita itu terkelip-kelip memerhatikannya. Sedikit sebanyak dia rasa gementar. Bimbang wanita tua itu naik marah dan menyalahkan kecuaiannya.

“Nenek tak marah. Nenek tahu kamu tak sengaja.” Jawab wanita tua itu. Aqi menarik nafas lega. Nasib baik!

“Nenek nak ke mana ni? Boleh saya tolong?”

“Tak payahlah, nenek tunggu cucu nenek. Dia ambil ubat di farmasi, kejap lagi sampailah dia tu.”

“Maaf nek, saya memang cuai. Nasib baik tak langgar nenek. Kalau tak, tak tahulah apa jadi.” Keluh Aqi, menyesali tindakannya yang agak terburu-buru sehingga menyusahkan orang lain.

Wanita tua itu hanya tersenyum. Bibir wanita itu bergerak-gerak bagaikan ingin mengatakan sesuatu, tapi tiba-tiba mata wanita tua itu beralih arah. Bukan lagi ke wajahnya. Airmuka wanita itu turut berubah. Masam mencuka sahaja wajahnya.

Aqi terpinga-pinga. Kenapa pulak dengan nenek ni? Apa yang dipandangnya? Dia segera menoleh ke belakang. Turut sama ingin tahu aura apakah yang membuatkan sikap wanita tua itu berubah secara drastik.

Melihat seorang lelaki muda bertubuh tinggi lampai sedang melangkah ke arah mereka, Aqi terpegun. Dia memandang lelaki itu tidak berkelip, seolah-olah wajah itu suatu tropi berharga. Bukan! Bukan tropi tapi seorang bidadara barangkali. Wajah lelaki itu indah bagaikan kuntuman bunga yang mekar di taman. Tiba-tiba hatinya berdebar tidak keruan.

Lelaki itu turut memandangnya dari atas ke bawah. Dahi lelaki itu berkerut. Airmuka itu nampak sombong dan tidak mesra. Tanpa menegurnya, lelaki itu mengalihkan pandangannya ke arah wanita tua di sampingnya.

“Kenapa nenek tinggalkan Zahar macam tu aje? Terkejut Zahar tadi, ingatkan nenek hilang.” Rungut lelaki itu sambil melepaskan keluhan berat.

“Siapa yang nak culik aku yang dah tua ni? Dah kamu tu lambat sangat, asyik berborak dengan doktor tu. Malaslah aku nak tunggu.” Balas wanita tua itu dengan wajah mencuka.

“Nenek ni, Zahar kan tengah borak dengan doktor tu fasal kesihatan nenek. Takkan itu pun nenek nak marah Zahar. Tak munasabah langsung.” Rungut lelaki itu seperti bosan.

Mata wanita tua itu tiba-tiba terbeliak sambil memandang ke arah anak muda di hadapannya. Telinganya berdesing mendengar kata-kata itu. Bibirnya diketap rapat.

“Kamu dengan ayah kamu tu sama aje. Aku cakap sikit, kamu menjawab. Lain kali kalau aku ni menyusahkan sangat, campak aje aku ni kat rumah orang-orang tua. Biar aku merempat kat sana sampai aku mati.” Bidas wanita tua itu dengan suara meninggi.

Lelaki itu tergaman. Aqi yang tercegat di situ tanpa tahu hujung pangkal turut sama tersentak. Berdesing juga dia mendengar kata-kata wanita tua itu. Seolah-olah seperti wanita itu turut memaksudkan kata-kata itu padanya.

“Dahlah tu nek, tak usahlah nenek merajuk lagi dengan Zahar. Mari kita balik ya.” Lelaki itu mengalah akhirnya. Suaranya mendatar dan lebih lembut. Dia memegang lengan wanita tua itu. Namun tiba-tiba sahaja pegangannya direntap kasar.

“Aku malas nak balik dengan kamu. Kamu pergilah balik dulu.” Suruh wanita tua itu. Dia benar-benar cuak dengan sikap cucunya.

“Habis, kalau nenek tak ikut Zahar balik, nanti nenek nak balik dengan apa?”

Wanita tua itu tiba-tiba mengalihkan pandangannya ke arah Aqi. Jari telunjuknya melurus ke arah gadis di hadapannya. “Aku nak balik dengan dia.” Tukas wanita itu.

Aqi yang mendengar tersentak. Apa?

Lelaki itu menoleh lalu memandangnya dengan wajah curiga. Aqi menelan liur. Terasa gugup dirinya dipanah jelingan tajam yang bagaikan mahu membunuhnya.

“Nenek jangan nak buat lawaklah nek. Mana boleh nenek sesuka hati naik kereta orang yang nenek tak kenal. Kalau dia jahat macamana?”

“Mana kamu tahu dia jahat?”

“Mana nenek tahu dia baik?”

Aqi yang mendengar terasa panas telinga. Tiba-tiba sahaja dia terlibat dalam perbalahan antara nenek dan cucu yang tak masuk akal ini. Dan lagi gila kerana kedua-duanya berbicara seolah-olah dia tidak wujud di situ.

“Kamu! Hantar aku balik!” Arah nenek tua itu seraya memandangnya.

“Kau jangan berani sentuh nenek aku. Kau nak aku report polis kata kau culik dia?” Gertak lelaki itu pula. Aqi terpempan. Amboi! Sampai nak report polis? Aku ni siapa? Penculik bersiri ke?

Zahar memandang ke arah Aqi yang masih terkulat-kulat di tepi keretanya. Gadis kecil molek itu hanya tahu menikus sahaja. Takutlah tu. Dia yakin gadis itu takkan berani mengikut suruhan neneknya yang keras kepala itu.

“Boleh kamu hantar nenek balik?” Pinta wanita itu seraya menyentuh tangan Aqi. Aqi tersentak. Sentuhan wanita tua itu membuatkan dia gelisah. Wajah wanita itu benar-benar berharap, sedangkan dia gerun dengan jelingan tajam cucu wanita itu. Bukan takut tapi serba salah!

“Rumah nenek tak jauh, dekat-dekat sini aje. Kalau kamu nak suruh nenek supply duit minyak pun boleh. No hal.” Sambung wanita tua itu.

“Tapi cucu nenek..”

“Nenek tak suka naik kereta dengan dia. Dahlah bawa kereta laju macam pelesit, lepas tu dipasangnya muzik yang entah apa-apa. Sakit kepala nenek ni mendengarnya.” Rungut wanita itu sekaligus mengadu domba.

Aqi tersengih. Ada-ada je nenek ni! Dia mengerling ke arah lelaki itu. Mata lelaki itu terbeliak memandangnya bagaikan memberi amaran. Senyuman yang melekat di bibirnya sebentar tadi terus menghilang. Dia menelan liur lalu melontarkan pandangan ke arah wanita tua itu semula. Perasaannya kembali berbelah bahagi.

“Okeylah kalau macam tu.” Akhirnya dia bersetuju. Nenek tua itu kelihatan begitu gembira. Wajah cucunya yang mencuka dipandang sinis.

“Hah, kamu tunggu apa lagi? Pergilah balik. Aku tak nak ganggu kerja kamu dan masa kamu yang berharga tu.” Ujar wanita tua itu lalu masuk ke dalam perut Volkswagen itu tanpa disuruh.

Aqi menarik nafas. Macam-macam hal dalam dunia ni. Diam-diam dia melirik ke arah lelaki itu semula. Kali ini lebih lama dari tadi. Ada perasaan hairan mengugah fikirannya. Sesuatu yang ganjil, berlaku padanya hari ini. Atau apakah ini yang dipanggil keajaiban? Kenapa tiba-tiba sahaja lelaki itu berbeza dari lelaki-lelaki lain yang dipandangnya?

“Hah yang kau pandang aku ni kenapa? Ingat sikit, jangan nak melencong ke tempat lain. Bawa aje nenek aku tu balik ke rumah dengan selamat. Kalau dalam masa satu jam ni nenek aku tak sampai ke rumah, aku cari kau sampai ke lubang cacing. Kereta Volkswagen ni aku akan ingat sampai mati.” Ugut lelaki itu seraya menjeling tajam ke arahnya.

Aqi tidak menjawab. Dia berjalan ke arah tempat duduknya. Namun suara lelaki itu menghentikan langkahnya. Aqi berpaling. Lelaki itu menuju pantas ke arahnya membuatkan dia terkesima. Alamak! Nak buat apa ni? Takkan nak pukul kut! Pelbagai andaian buruk menerpa ke dalam kotak fikirannya.

Sekeping kad dihulurkan ke arahnya. Aqi tercengang. Tidak menyangka lelaki itu akan sudi melayangkan bussiness card padanya.

“Ambil kad aku ni. Kalau ada apa-apa hal, contact aku. Dan ingat, jaga nenek aku tu baik-baik. Kalau ada calar-balar kat tubuh dia, siap kau nanti!”

Aqi tergaman. Amboi! Sedapnya bahasa mamat ni. Siap pesan itu, pesan ini macamlah dia yang kecil ni dah sign agreement sehidup semati dengan Yakuza Kaito. Kalau diikutkan hatinya, mahu saja rasanya dia cancel kesudiannya untuk membawa nenek lelaki itu pulang. Tapi untuk menghalau orang tua yang sejak awal-awal sudah duduk terperuk di dalam kereta Volkswagen buruknya, dia tidak sampai hati pula.

Tanpa membalas kata-kata yang menyakitkan hati itu, Aqi terus memasuki perut keretanya tanpa menoleh ke arah lelaki itu lagi. Sengaja dia menahan diri. Padahal dia ingin terus memandang lelaki itu lebih lama. Mungkin ini kali terakhir dia dapat memandang wajah itu. Wajah yang penuh warna-warni. Wajah yang memukau perasaannya.

* * * *

Aqi melirik ke arah wanita tua di sampingnya yang sedang asyik melontarkan pandangan ke luar jendela kereta. Sepanjang mereka bergerak meninggalkan perkarangan hospital tadi, wanita itu hanya diam membisu. Mulanya Aqi mahu menegur. Tapi setelah difikirkan berulangkali, dia berasa lebih baik dia biarkan sahaja wanita itu begitu. Mungkin ada sesuatu yang sedang difikirkan wanita itu.

Suasana terus hening. Dia berkira-kira mahu memasang radio namun tidak jadi sebaik teringatkan kata-kata wanita itu sebelum ini. Nanti tak fasal-fasal pula dia dijerkah wanita tua yang kelihatan ‘berangin’ itu.

“Kereta kamu ni takde aircond ke?” Tak disangka-sangka wanita itu bersuara. Aqi terpempan. Aircond? Alamak!

“Maaf nek, kereta ni kereta lama. Aircond dia dah lama rosak. Kalau nenek panas, nenek buka ajelah tingkap tu.” Ujar Aqi berhati-hati. Bimbang juga dia jika wanita itu tiba-tiba melenting. Masak dia nak melayan nanti. Silap-silap haribulan dia yang terkena tempias leteran wanita itu pada cucunya.

Wanita tua itu tiba-tiba ketawa besar. Aqi terpinga-pinga. Dia langsung tidak memahami kenapa wanita itu ketawa. Ketawakan kereta aku ke? Dia menjeling wanita tua itu dengan perasaan bingung.

“Kenapa nek?”

“Kamu gadis jujur.” Ujar wanita itu. Ringkas tapi cukup membuatkan dia mengerutkan dahinya.

“Nama kamu siapa?” Tanya wanita itu lagi.

“Aqi nek.” Jawabnya.

“Aqi saja?” Dahi wanita itu berkerut.

“Aqila Murni. Tapi mak selalu panggil Aqi aje.”

“Hmm..cantik nama tu. Nama nenek Rukiyah.” Wanita itu memperkenalkan dirinya. Dia hanya tersenyum. Lucu pula bila difikirkan, setelah separuh perjalanan, baru mereka berkenal-kenalan.

“Boleh Aqi tahu kenapa nenek tak nak ikut cucu nenek tu balik tadi?” Aqi memberanikan diri bertanya. Ingin tahu apakah sebab musabab yang menyebabkan wanita itu berdegil tidak mahu mengikut cucunya. Wanita itu terdiam. Kata-katanya tidak disambut. Aqi mula menyesali tindakannya. Aku salah tanya ke?

“Malas nak cakap fasal budak bertuah tu. Kamu hantarlah nenek balik. Rumah nenek dekat Taman Tun di Jalan Kenangan 2, Petaling Jaya.” Ujar Rukiyah. Dia kembali termenung. Sakit benar hatinya bila mengenangkan Zahar. Lagi sakit hatinya bila mengenangkan Hakim, anaknya. Bapak dengan anak sama aje, rungut hati kecil Rukiyah. Dua-dua perangai sama.

Dia menjeling ke arah Aqi yang sedang memandu. Gerak geri Aqi memikat matanya untuk terus senyap-senyap memandang gadis yang tak dikenali itu. Walaupun baru pertama kali berjumpa, entah kenapa dia menyenangi gadis itu. Malah mempercayai gadis itu untuk menghantarnya pulang.

“Aqi buat apa kat hospital tadi?” Tiba-tiba Rukiyah membuka pertanyaan.

Aqi menoleh. Bibir itu tersenyum meleret. Manis sekali, detik hati kecil Rukiyah.

“Aqi ambil ubat untuk mak.” Jawab gadis itu.

Rukiyah terdiam. Sejuk telinganya mendengar perkataan ‘mak’ terbit dari bibir mungil itu. Sebab ada ibulah maka budak ni nampak tertib dan bersopan-santun. Bukan macam si Zahar tu! Rungut Rukiyah. Entah kenapa cepat sahaja hatinya membandingkan antara Aqi dan cucunya Zahar.

“Mak Aqi sakit apa?” Tanya Rukiyah lagi ingin tahu.

Aqi tidak terus menjawab. Sebaliknya dia melirik wanita itu dengan segaris senyuman hambar. “Kanser nek.” Jawab Aqi.

Rukiyah tergaman. Kanser?

“Kanser pangkal rahim. Tapi dia dah lama mengidap penyakit ni. Sejak Aqi belum lahir lagi. Sampai sekarang dia melawan penyakitnya.” Cerita Aqi.

Rukiyah terdiam. Terasa kesal pula hatinya kerana banyak bertanya.

“Aqi ada berapa orang adik beradik?”

“Aqi anak tunggal.”

“Ayah Aqi ada lagi?”

“Ada agaknya.” Jawab Aqi perlahan.

“Agaknya?” Rukiyah tercengang. Lain benar bunyinya kata-kata itu.

“Ayah Aqi dah lama tinggalkan kami nek. Sejak Aqi belum lahir lagi. Aqi pun tak pernah tengok rupanya.” Ujar Aqi jujur.

Rukiyah terkedu lagi. Makin banyak dia tanya, makin serba salah dia dibuatnya. Kasihan gadis ini. Sejak kecil kehilangan ayah dan mak pula sakit. Pasti ibunya seorang yang baik sehingga dikurniakan anak begini. Sudahlah cantik, baik hati pula. Kalau Jalena tak buat hal, tentu Zahar pun akan jadi macam Aqi. Penyayang dan baik hati. Rukiyah termenung panjang sejenak.

Tiba-tiba tubuh Rukiyah terdorong ke hadapan. Dia terkejut besar. Bunyi tayar berdecit cukup memeritkan telinganya. Dia menoleh ke arah Aqi. Gadis itu turut berpaling dengan wajah gelisah.

“Maaf nek, Aqi tak perasan lampu tu.” Jawab Aqi. Rancak sangat berbual dengan wanita itu sehingga dia tidak berhati-hati bila sampai di traffic light. Mujurlah ada sebuah kenderaan di hadapannya memperlahankan kereta. Jika tidak, pasti sudah lama keretanya tersasar.

Rukiyah ketawa kecil. Lucu melihat wajah pucat gadis itu yang jelas gugup.

“Kamu memang kalut sedikit.” Komen Rukiyah bersama sisa-sisa tawa. Mahu tak mahu Aqi turut ketawa. Terasa malu juga kerana diketawakan begitu oleh wanita itu. Tapi dia mula selesa berbual-bual dengan wanita itu.

* * * *

Ketika dia sampai di hadapan sebuah rumah besar dua tingkat Taman Tun, Aqi segera menghentikan keretanya. Dia menjenguk ke arah rumah tersebut. Kereta Toyota Camry yang dilihatnya semasa di hospital tadi, kini diparkir di petak garaj. Ini bermakna lelaki itu sudah pulang. Matanya asyik mencari-cari kelibat lelaki tersebut. Ada sesuatu yang mahu dipastikannya tentang lelaki itu. Hatinya benar-benar teringin mahu melihat lelaki itu lagi.

“Aqi singgah rumah nenek ya.” Pujukan Rukiyah mematikan lamunannya.

Dia menoleh.“Err..tak payahlah nek, lagipun Aqi kena balik rumah. Dah lewat sangat ni.” Dia beralasan.

“Alah belum masuk petang pun. Marilah singgah sekejap.” Pujuk Rukiyah lagi seakan berat hati mahu melepaskan gadis itu pergi begitu saja. Aqi termenung seketika. Dia mengerling ke arah jam di pergelangan tangannya. Betul juga. Bukannya lewat mana pun.

“Singgah rumah nenek dulu ya. Kita minum-minum dulu, lagipun ada banyak benda yang nenek nak sembang dengan Aqi.” Ujar wanita itu lagi. Melihat wajah Rukiyah bagaikan berharap, mahu tak mahu Aqi terpaksa setuju. Dia mengunci kereta Volkswagennya lalu mengekori Rukiyah ke dalam rumah.

“Hmm..dah balik pun kamu. Ingatkan nak keluar meronda dengan kawan-kawan dulu baru nak balik ke rumah ni.” Suara Rukiyah terdengar di telinganya. Aqi menoleh. Sebaik dia melihat kelibat seorang lelaki sedang menonton televisyen di ruang tamu, dia jadi kaku. Fikirannya mula berkecamuk. Kehadiran lelaki itu sama sahaja seperti tadi. Kehadiran yang membuatkan fikirannya keliru dan resah.

Zahar tidak menjawab kata-kata neneknya. Sebaliknya matanya tertancap pada seorang gadis bertubuh kecil yang berdiri di belakang neneknya. Bibirnya segera melepaskan keluhan kasar.

“Baguslah tu, nenek bawa balik orang asing kat dalam rumah ni. Lain kali semua yang nenek jumpa kat jalan tu, nenek angkutlah bawa balik. Senang biar dia orang aje yang temankan nenek dan layan kerenah nenek tu.” Keluh lelaki itu.

Aqi terkedu. Kata-kata lelaki itu membuatkan dia bungkam. Kenapa dengan lelaki itu? Tutur katanya langsung tak beralas. Menyakitkan telinga sahaja mendengarnya.

“Kamu jangan melampau Zahar. Kamu tak nampak ke kita ada tetamu sekarang ni?” Jerkah Rukiyah sambil mencubit belakang tubuh cucunya. Zahar mengaduh. Terasa perit bahunya terkena cubitan berbisa wanita itu. Dia segera bingkas bangun. Wajahnya masam mencuka sambil mengosok bahunya. Rukiyah terpinga-pinga memerhatikan lelaki itu.

“Hah nak ke mana tu?” Soal Rukiyah.

“Nak masuk bilik. Nenek layanlah tetamu nenek tu baik-baik. Zahar malas dah nak campur urusan nenek.” Rungut lelaki itu lalu melangkah ke suatu arah. Sebelum kakinya memijak anak tangga, Zahar berpaling. Matanya menjeling tajam ke wajah Aqi. Aqi terkedu. Gugup menerima jelingan lelaki itu. Matanya sengaja dikalihkan ke arah lain.

“Maaflah Aqi, cucu nenek tu memang macam tu. Tak reti nak layan orang baik-baik. Dia ikut kepala angin dia aje. Maafkanlah dia ya Aqi.” Ujar Rukiyah, agak segan menghadapi gadis itu dengan kerenah Zahar yang tak makan saman. Kepala batu!

“Tak apalah nek, Aqi tak kisah.” Dia tersenyum. Benarkah dia tidak kisah? Bohong! Telinga siapa yang tak berdesing apabila mendengar ayat-ayat pedas yang terpacul dari bibir lelaki itu? Namun dia tahu lelaki itu lebih berhak ke atas neneknya berbanding dirinya.

“Dia tu memang macam tu, langsung tak pandai bertimbang rasa dengan orang lain. Ayahnya pun macam dia jugak. Hai apalah nasib nenek ni kena jaga dua lelaki dalam rumah ni yang tak matang-matang.” Keluh Rukiyah sambil menggelengkan kepalanya.

Aqi tersenyum. Rasa kasihan ada, lucu pun ada mendengar kata-kata wanita itu. Tapi dia akui, sikap lelaki yang dipanggil Zahar itu memang teruk. Kalau ada markah sepuluh, nak bagi lima pun kena fikir panjang dulu. Lelaki bermasalah macam tu patut buang dalam longkang aje. Aqi tersengih sendiri. Ni yang aku sibuk-sibuk sangat nak buang mamat tu dalam longkang apasal? Entah-entah ini kali terakhir dia bertemu lelaki itu dengan neneknya.

“Kenapa Aqi senyum sorang-sorang ni?” Rukiyah menegur. Dia tergaman. Serentak senyuman yang terlukis di wajahnya hilang begitu sahaja.

“Eh tak ada apa-apalah nek. Aqi rasa lucu aje dengar nenek cakap macam tu tadi.” Dia berterus-terang.

Rukiyah tergelak besar. “Aqi jangan terkejut pulak tengok kami bergaduh macam ni. Kami ni memang biasa macam ni. Walaupun Zahar tu susah sikit nak ajak berbincang, tapi nenek sayangkan dia.” Keluh Rukiyah.

“Tapi kenapa dia macam tu nek?” Terpacul soalan itu dari bibir Aqi tanpa disedari. Serentak dia menutup mulut. Menyesali keterlanjuran kata-katanya. Mujurlah wanita tua itu kelihatan tidak kisah dengan pertanyaannya yang agak berterus-terang.

“Entahlah Aqi, susah nenek nak cakap. Zahar tu dulu bukan macam tu. Dulu dia periang budaknya, pandai mengambil hati orang tua. Tapi sekarang ni dia jadi perengus, baran tak bertempat. Salah nenek juga sebab tak pandai mendidik dia.” Keluh Rukiyah dengan wajah muram. Aqi memandang wanita itu dengan penuh tanda-tanya. Dia keliru sekaligus bingung dengan maksud Rukiyah.

“Zahar tak bernasib baik macam Aqi. Dia tak ada ibu sejak kecil. Mungkin sebab tu dia tak pandai nak bergaul dengan orang lain.” Ujar Rukiyah lagi.

Aqi tergaman. Kata-kata wanita itu ditelan dengan perasaan berbelah bahagi. Zahar tak ada ibu? Tumpah rasa simpatinya pada lelaki dipanggil Zahar itu. Patutlah perangai lelaki itu semacam. Tiba-tiba sahaja dia rasa menyesal kerana buruk sangka melulu. Menyangka yang bukan-bukan terhadap lelaki itu. Hatinya memang lembut dan mudah kasihan pada orang.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!