Followers

Friday, April 16, 2010

Dedalu Di Hati : Prolog

Nota : Untuk memenuhi permintaan beberapa orang teman agar dapat membaca rentetan kisah dalam Dedalu Di Hati, maka saya penuhi hasrat mereka dengan manuskrip versi baru Dedalu Di Hati yang telah dikemaskinikan. Manuskrip ini kini adalah hak saya seratus peratus dan bukan lagi tertakluk kepada Ibook Publication.

PROLOG

SUASANA hingar-bingar di sekelilingnya langsung tak diendahkannya. Langkahnya dihela makin laju, ingin cepat sampai. Dadanya bergolak kencang. Gementar dan resah saling berbaur. Lelaki tua di sisinya jua begitu. Kedua-duanya melangkah tanpa mempedulikan sesiapa. Nyaris-nyaris dia terlanggar troli yang dibawa oleh atendan di situ. Mujur lelaki tua itu cepat-cepat memegangnya.

Dia menoleh. Wajah lelaki separuh abad itu dipandang sayu. Sejak lelaki itu menjemputnya dari asrama tadi, dia seolah dapat menghidu sesuatu yang buruk sedang berlaku. Dan ternyata telahannya benar-benar berasas.

Dua tubuh yang berlumuran darah ditatap dengan mata berkaca. Troli besi itu dihampiri perlahan-lahan. Hampir dia tidak percaya ketika menatap dua wajah yang terbujur kaku di hadapannya. Wajah ibunya kelihatan tenang, seolah-olah wajah itu tidak pernah tercedera. Sekujur jasad ayahnya juga begitu. Dia tidak mampu bertahan lagi. Tanpa malu dia melontarkan tangisan di dalam bilik itu.

“Ril....” terdengar suara garau menegur dari arah belakang. Dengan wajah yang bersememeh dengan air mata, dia menoleh. Seorang lelaki segak berjubah putih sedang tercegat memandang ke arahnya. Di samping lelaki itu, terdapat dua orang lelaki yang memakai seragam uniform polis.

“Pakcik Bad...” Bersusah payah dia cuba bersuara sambil mengesat airmata yang bergenang di kelopak matanya.

Doktor Badrul memandang simpati, tumpang bersedih dengan apa yang telah terjadi. Dia sendiri terperanjat apabila mendapati mangsa kemalangan malam iu adalah rakan baiknya sendiri. Malah dua malam sebelum itu arwah keduanya ada mengunjunginya di rumah. Mereka berbual-bual sehingga lewat malam. Dia langsung tidak menyangka, malam itu adalah malam terakhir mereka berbual. Hatinya juga sedih, namun etika profesionnya menghalangnya dari beremosi.

“Sabarlah Ril, ini semua takdir.” Pujuk Doktor Badrul.

Kelopak matanya bertaut rapat. Hatinya enggan percaya, kedua ayah dan ibunya sudah tiada. Pergi meninggalkannya dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Seolah-olah masih terdengar-dengar di cuping telinganya suara ibunya yang penuh perhatian serta gelak ketawa ayahnya yang suka menyakatnya.

Suara hilaian tawa itu tiba-tiba bertukar nada. Berganti sebuah tangisan sayu yang memancing perhatiannya. Dia kebingungan. Matanya terpaku ke arah sebuah bilik berhampiran. Tanpa disedari, dia sudah menapak ke arah bilik tersebut. Mengintai ke dalam dari sebuah jendela kaca yang ada di hadapannya.

Seolah-olah seperti satu adegan ulang tayang, dia melihat adegan yang sama yang baru sebentar tadi dilaluinya. Seorang gadis kecil yang comel sedang menangis di sisi dua kujur tubuh yang kaku. Tangisannya sayu dan menyentuh perasaan. Beberapa orang jururawat yang sedang memujuknya langsung tidak diendahkan.

“Kedua ibubapanya terlibat dalam kemalangan.” Entah sejak bila Doktor Badrul berada di sampingnya. Dia menoleh.

“Kemalangan yang sama waktu dengan ibubapa kamu,” lelaki itu menyambung seraya berpaling ke arahnya. Dia tersentak. Wajah lelaki itu dipandang lama. Dia inginkan kepastian.

“Bukan hanya kereta ibu bapa kamu sahaja yang terjunam dalam gaung itu, Ril.” Keluh Doktor Badrul seraya melarikan anak matanya ke arah kanak-kanak perempuan yang kelihatan histeria.

“Budak perempuan tu anak tunggal mereka. Umurnya baru 8 tahun.” Kata-kata Doktor Badrul tenggelam timbul dari pendengarannya. Pandangannya tertumpu pada seraut wajah kecil yang tersedu-sedan di penjuru katil. Entah mengapa, ada perasaan simpati menjalar dalam dirinya untuk gadis itu.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!