Followers

Thursday, October 28, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 37

SEBAIK menerima panggilan telefon dari ayahnya, Irina segera bergegas ke hospital. Perkhabaran buruk yang disampaikan oleh lelaki itu sebentar tadi benar-benar mengejutkannya.

“Nurse, di mana bilik pesakit yang bernama Syed Adam Hazril?” Dia bertanya seorang jururawat yang bertugas di kaunter. Namun sebelum sempat jururawat itu membuka mulut, Irina segera terpandang kelibat ayahnya. Dia segera menuju ke arah lelaki itu.

“Papa, Ril macamana?”

“Kenapa Rina datang? Kan papa dah cakap Hazril cuma cedera ringan.” Menggeleng orang tua itu melihat wajah si anak yang keluh kesah.

“Rina risau ayah.”

“Rina nak tengok dia?” Lembut suara Doktor Badrul bertanya. Dia tahu sudah tidak ada gunanya dia meleteri Irina. Salahnya juga kerana dia yang menyampaikan berita tersebut.

Gadis itu hanya mengangguk. Memang dia ingin memastikan sendiri kebenaran kata-kata ayahnya.

“Pergilah tengok dia. Bilik 3B.” Ujar Doktor Badrul. Dia mengerti perasaan Irina. Dia tahu, anak gadisnya risaukan keadaan Hazril. Irina segera bergegas ke suatu arah. Kebimbangannya tidak mampu dihalau pergi. Dia harus memastikan sendiri keadaan Hazril sebelum dia mampu bertenang.

Daun pintu yang dikuak secara tiba-tiba, mengejutkan Hazril yang sedang membaca. Dia tergaman apabila melihat Irina muncul di muka pintu. Wajah gadis itu berladung kerisauan.

“Mesti pakcik yang beritahu Rina kan? Sepatutnya tak payah masuk hospital, cedera Ril ni tak serius mana. Luka sikit aje. Tapi pakcik yang beria-ria suruh bermalam di hospital ni semalaman, takut ada infection pada luka. But I’m quite okay, don’t worry.” Hazril bercerita seraya ketawa.

Irina diam sahaja. Melihat pada cara balutan di bahu kanan lelaki itu, dia pasti kecederaan Hazril bukan seringan seperti yang dikatakan lelaki itu.

“Apa dah berlaku sebenarnya Ril? Papa kata Ril terserempak dengan pencuri, betul ke?” Soal Irina ingin tahu. Begitulah yang dikhabarkan oleh Doktor Badrul dalam telefon sebentar tadi. Tapi dia mahu mendengar sendiri cerita dari mulut Hazril.

“Pencuri biasa aje. Entah apa yang dia nak curi pun Ril tak tahu. Kebetulan Ril tengah tidur di pejabat masa tu.” Jelas Hazril serba ringkas.

“Seorang diri?”

Hazril mengangguk. Sedikit pun dia tidak menyentuh tentang Aliya yang ada bersamanya ketika itu.

“Dah lapor polis?”

Hazril terdiam. Dia tidak berniat mahu melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Dia sebenarnya tidak mahu melibatkan Aliya dalam hal ini. Jika polis menyiasat, pasti nama Aliya akan terbabit sama. Dan jika itu berlaku, pasti akan timbul kekecohan di Perkasa Budi. Tak kurang tentu akan ada yang tertanya-tanya apa yang dibuat oleh Aliya bersamanya malam itu. Itulah yang sedang cuba dielakkannya ketika ini!

* * * *

Sukar untuknya melelapkan mata walau sepicing. Separuh hatinya bingung memikirkan semua yang telah berlaku. Debaran di dadanya semakin hilang, tapi kegusaran hatinya tidak berkurang. Mengenangkan Hazril yang terlantar di hospital, Aliya benar-benar dihimpit rasa bersalah. Kalau bukan kerana hendak menyelamatkannya, lelaki itu mungkin takkan ditimpa malapetaka sebegitu.

Ketika lelaki itu berkeras mahu menghantarnya pulang, dia pula berkeras mahu Hazril segera ke hospital mendapatkan rawatan. Dia tidak sanggup melihat lelaki itu menahan kesakitan. Dengan kecederaan begitu, bagaimana lelaki itu boleh memandu keretanya? Tapi Hazril tetap berdegil.

“Masuk! Saya hantar Aliya pulang.”

“Encik Adam boleh memandu ke?”

“Saya masih boleh tahan lagi. Jangan risau.” Hazril tetap bertegas meskipun kesakitan di bahunya mulai menyengat. Ditambah lagi dengan kepalanya yang terasa pusing.

Melihatkan keadaan Hazril, Aliya membulatkan tekad. Kunci di tangan lelaki itu segera diambilnya. “Biar saya yang pandu.” Putusnya akhirnya.

Hazril tergaman. Namun lelaki itu tidak membantah.

“Encik Adam sakit lagi?’ Dia menanya, tapi matanya tetap dipandang ke arah jalan raya. Bimbang takut terbabas. Hazril hanya tersenyum.

“Kenapa Aliya menangis tadi?” Entah mengapa, tiba-tiba sahaja lelaki itu bertanya begitu padanya. Dia jadi gugup.

“Kenapa?” Lembut suara Hazril mengulang pertanyaan.

“Saya takut.” Dia berbisik perlahan.

“Takut apa?”

Dia tidak terus menjawab. Wajah Hazril dipandang sekilas. ”Saya tak boleh bayangkan kalau apa-apa yang buruk berlaku pada Encik Adam. Kalau bukan sebab saya, Encik Adam takkan cedera begini. Saya rasa bersalah.” Ujarnya berterus-terang.

“Apa Aliya takut kehilangan saya? Takut saya mati, begitu?” Duga lelaki itu, tenang.

Dia terkejut. Wajahnya mula merona merah. Kata-kata lelaki itu tidak dapat disangkal kerana itulah kenyataannya. Dia melirik ke arah lelaki itu, namun mata Hazril tidak lepas dari merenungnya. Dia mengalihkan pandangannya. Fikirannya semakin tidak keruan. Kereta yang dipandunya terasa berganjak sedikit ke tengah.

* * * *

“Jauh termenung?” Sapa satu suara. Hazril tersedar lalu berpaling. Doktor Badrul menarik kerusi lalu duduk di sampingnya.

“Macamana keadaan kamu?” Tanya lelaki itu.

Dia tersenyum. “Sakit di bahu dah hilang, tapi sakit kena suntik masih terasa lagi.” Bisiknya nakal. Sengaja mahu mengusik lelaki itu.

“Emm, kamu memang sejak kecil sampai besar pun masih takut disuntik. Mengalahkan budak-budak kecil. Tapi lawan dengan pencuri tak takut pula. Dilibas dengan pisau pun tak mahu mengalah.” Leter Doktor Badrul. Hazril hanya mampu tersengih.

“Betul ni kamu tak mahu laporkan pada polis?”

“Perkara kecil aje pakcik.”

“Hai dah kena kelar macam ni masih kata perkara kecil? Habis yang mana perkara besarnya?” Doktor Badrul cuba menduga. Entah kenapa, hatinya dapat merasai lelaki itu cuba berdalih dengannya.

“Sejak akhir-akhir ni, syarikat banyak masalah. Kalau perkara ni jadi kes polis, mungkin akan timbul banyak spekulasi.” Ujar Hazril akhirnya.

“Apa sebenarnya yang berlaku dalam syarikat, Ril?” Doktor Badrul benar-benar ingin tahu. Beberapa hari yang lalu, dia sempat berbual-berbual dengan peguam syarikat. Banyak desas-desus yang kurang enak sampai ke telinganya.

“Saya belum dapat siasat, tapi saya syak ada penyelewengan berlaku dalam syarikat. Mungkin orang dalam.” Ujar Hazril.

Doktor Badrul mengeluh. Perkara sebegitu sering berlaku dalam sesebuah syarikat. Hati manusia, siapa mampu menduga. Buruk jahat seseorang takkan tergambar dari riak wajah. Walaupun sudah agak lama dia tinggalkan syarikat itu, namun dia masih mengambil tahu hal ehwal Perkasa Budi. Malah segala masalah yang berlaku, tak pernah terlepas dari pengetahuannya.

“Apa tindakan kamu?”

“Buat masa ni, kami sedang menyiasat. Walaupun perkara ini tidak sampai menjatuhkan syarikat tapi sedikit sebanyak boleh menjejaskan kredibiliti syarikat. Tak tahulah pakcik, bingung saya memikirkannya.” Keluh Hazril.

“Sabarlah, dunia perniagaan ni seolah macam berperang. Di kiri kanan pun kita ada musuh. Yang penting, kita ada keberanian untuk menentang musuh kita.” Nasihat Doktor Badrul.

* * * *

Sebaik turun dari kapal terbang, Ikram terus bergegas menaiki teksi ke rumah Hazril. Dia ingin benar bertemu lelaki itu. Kalau bukan disebabkan dia menelefon Irina petang kelmarin, pasti dia akan jadi orang terakhir yang mengetahui kejadian yang berlaku pada Hazril. Terkulat-kulat dia memandang tangan temannya yang masih berbalut, namun riak wajah Hazril tetap ceria menyambutnya seperti selalu.

“Kenapa kau tak nak report polis?” Tanya Ikram. Geram dia apabila mendengar cerita Hazril. Namun yang dia tidak faham, kenapa Hazril enggan membuat laporan polis walaupun sudah berkali-kali dipujuk?

“Kalau kau tak report polis, lain kali mereka berani lagi menceroboh pejabat kita. Syukurlah kau selamat sekarang ni. Macamana kalau lain kali berlaku hal yang sama pada staf-staf kita?”

“Aku ada alasan aku sendiri, Ram.”

“Ril, hal ni bukan main-main tapi melibatkan nyawa. Aku tetap fikir kita harus laporkan perkara ni pada pihak polis. Biar mereka siasat siapa dalangnya. Perkara ni tak harus dibiarkan begitu saja.” Ikram tetap berdegil. Hazril hanya mampu mengeluh.

“Ram, hal ni bukan melibatkan aku seorang. Aliya pun turut terlibat.” Dia terpaksa berterus-terang pada Ikram. Biar Ikram mengerti. Tidaklah dia terus dipaksa-paksa lagi oleh lelaki itu ke balai polis.

“Aliya? Apa kaitannya dengan Aliya pulak?” Ikram tercengang.

“Malam itu Aliya ada sama kat sana. Waktu tu, aku tertidur di pejabat sementara menanti panggilan wakil kita dari Jepun tu. Bila aku dengar bunyi bising, aku pun keluar dari bilik. Aku lihat lelaki tu sedang mengugut Aliya. Aku pun tak tahu macamana dia boleh tiba-tiba ada kat situ.” Ujar Hazril berterus-terang tentang kedudukan sebenarnya.

Ikram terdiam seketika. Otaknya ligat memikirkan sesuatu.

“Ril, aku yang suruh Aliya patah balik ke pejabat waktu tu.” Ikram memberitahu sambil memandang tepat ke arah Hazril. Dilihatnya temannya itu terkejut dengan kata-katanya.

“Kau? Tapi kenapa?” Dahi Hazril berkerut seribu.

“Kau ingat tak tender pembelian syarikat MC tu?” Tanya Ikram.

“Apa kaitannya?”

“Sewaktu hendak berangkat ke Jakarta tempohari, aku dah siapkan sebut harga untuk MC. Tapi aku lupa nak bawa balik fail tu. Itu sebabnya aku suruh Aliya simpankan fail tu dalam peti besi di bilik aku.” Jelas Ikram.

Sejurus Hazril dan Ikram saling berpandangan. Mungkinkah kejadian itu ada kaitan dengan Megah Corps yang akan mereka bida tak lama lagi?

“Kau rasa mereka dah dapat fail tu?” Soal Hazril, separuh bingung.

“Baik aku jumpa Aliya sendiri kat pejabat. Kau rehatlah. Apa-apa hal nanti aku telefon kau semula.”Ujar Ikram sebelum bergegas pergi. Hazril hanya mampu mengiringi pemergian Ikram dengan keluhan panjang. Kusut benar hatinya menghadapi perlbagai perkara yang tak diduga. Harap-harap Ikram dapat menyiasat punca sebenar! Desis hati kecil Hazril.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!