Followers

Friday, January 29, 2010

Tiada Sepertimu 11

APABILA dia pulang hari itu, ibunya sudah pun berada di rumah. Wajah wanita itu kusyuk membaca majalah tatkala Zara memulas tombol pintu. Rubiah mengangkat kepalanya tatkala menyedari kepulangan Zara.

“Baru balik?”

Zara mengangguk. Dia hendak beredar ke biliknya untuk menunaikan solat, namun melihat ibunya yang masih meneruskan bacaan, langkahnya tidak jadi dihela. Perlahan-lahan dia memaksa diri menuju ke arah ibunya yang sedang santai di sofa. Televisyen di hadapannya dibiar terpasang begitu saja.

“Mama, Zara nak tanya mama satu soalan boleh tak?” Pintanya berhati-hati. Dia tidak mahu wanita itu salah sangka dengan pertanyaan yang bakal dilontarkannya sekejap lagi.

“Zara nak tanya apa?” Rubiah menutup halaman majalah. Matanya memandang tepat ke wajah Zara yang kelihatan serba-salah. “Kenapa ni Zara?” Tanya wanita itu dengan nada lebih lembut.

“Emm..Zara nak tanya mama tentang Keifli.” Ujarnya perlahan.

Rubiah tercengang. Kenapa dengan Keifli?

“Zara cuma nak tahu, mama dengan Keifli tu ada apa-apa ke?” Soalnya serba salah. Wajah Rubiah berubah mendengar pertanyaan itu. Namun tidak lama kemudian wanita itu tergelak besar.

“Kenapa Zara tanya mama macam tu?”

“Zara…Zara takut mama kena tipu. Macam dulu.” Terluah juga apa yang menjadi kebimbangannya selama ini.

Rubiah terdiam. Ketawanya mati. Dia tahu sampai kini, Zara sentiasa mengingati kisah lamanya dengan Syed Akram.

“Zara, Keifli dengan Akram tu tak sama.”

“Jadi betullah mama ada hubungan dengan Keifli?” Pantas soalan itu menerpa dari bibir Zara. Anak gadis itu kelihatan gelisah.

“Zara janganlah risau. Mama dengan Keifli tu kawan aje. Kami jumpa dalam kapal terbang masa dia dalam perjalanan pulang dari Europe beberapa bulan lepas.”

“Zara takut dia ada tujuan lain berkawan dengan mama.” Luah Zara. Dia benar-benar risau dengan hubungan keduanya.

“Jangan bimbang sayang. Dah mama katakan Keifli dan Akram tu tak sama. Dah dua bulan mama berkawan dengan dia, mama tahulah siapa dia.” Ujar Rubiah tetap bertegas.

Zara terdiam. Sukar dia hendak menasihati ibunya jika wanita itu enggan mendengar kata-katanya. Namun jawapan tentang hubungan antara ibunya dengan Keifli bagaikan tergantung begitu saja. Sedangkan dia ingin benar tahu, apakah hubungan yang terjalin antara keduanya, bersandarkan pada hati atau sekadar hubungan biasa?

Mama, kenapa mama tak pernah serik-serik! Keluh Zara. Bukan sekali dua mamanya menjalinkan hubungan dengan lelaki yang lebih muda darinya. Sudah terlalu acapkali. Yang terakhir dulu bernama Syed Akram. Lelaki kacukan melayu arab yang nampak baik, tapi dalam diam-diam rupanya lelaki hidung belang.

Tapi dia tak salahkan ibunya kerana wanita itu memang memiliki daya tarikan. Dalam usia menjangkau 40an, mamanya itu memang masih cantik menawan. Malah kalau dia duduk di sisi ibunya, silap-silap ramai yang menduga wanita itu kakaknya.

“Mama kau cantiklah Zara,” Puji teman-temannya seperti selalu. Malah jika dia menjemput teman-teman universitinya ke rumah, pasti ramai yang tertarik hati mahu mendekati ibunya. Siapa pun yang memandang Rubiah Hani akan senang dengan penampilan wanita itu yang mudah mesra dan senang didekati. Tidak seperti dia yang sukar mahu bergaul dengan orang yang baru dikenali.

Tapi sikap ibunya yang mudah mesra itulah yang membuatkan ramai orang suka mengambil kesempatan. Sebelum Syed Akram, ibunya pernah ditipu hampir sepuluh ribu ringgit oleh seorang kenalannya. Kononnnya mahu meminjam untuk membayar hutang bank, namun akhirnya batang hidungnya pun tak nampak.

Syed Akram pula tidaklah sesak dengan wang ringgit tapi kaki perempuan. Beberapa kali dia pernah terserempak dengan bekas teman lelaki ibunya itu berpelukan dengan wanita lain. Setelah dikhabarkan berita itu, ibunya selamba sahaja bagaikan tidak mempercayai kata-katanya. Hanya beberapa minggu selepas itu, baru dia dapat tahu tentang hubungan ibunya dengan Syed Akram sudah berakhir.

Tapi anehnya wanita itu tidak kelihatan sedih dengan perpisahan itu. Malah ibunya tetap ceria bagaikan tidak ada apa-apa yang berlaku. Selepas Syed Akram, ibunya pernah keluar dengan beberapa orang lelaki, namun hubungan itu biasa-biasa sahaja. Tidak pula serius sehingga dibawa pulang ke rumah dan diperkenalkan padanya.

Dengan Keifli, entah mengapa Zara juga mengharapkan yang sama. Dia benar-benar tidak suka ibunya bertemankan lelaki itu. Harap-harap tidak! Janganlah sampai pisang berbuah dua kali.

pic source : link

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!