Followers

Friday, May 14, 2010

Arina : Bab 3

BANYAK pasang mata memerhatikan ke arahnya dengan curiga tatkala dia diiring dua pegawai dari Kedutaan Malaysia serta dua orang pegawai polis Filiphina ke ruang legar Ninoy Aquino Airport. Yang membuatkan kehadirannya menarik perhatian adalah kerana tangannya yang bergari bagaikan dia seorang penjenayah yang sedang diekstradisi. Memang begitulah keadaanya sekarang ini, fikir Arina sambil menjeling dua pegawai dari kedutaan yang menjemputnya awal pagi tadi.

Sambil melangkah, otak Arina bekerja keras. Cuba mencari jalan bagaimana dia mahu melepaskan dirinya dari tiga lelaki dan seorang wanita itu. Tenaganya seorang tentu tidak cukup untuk menangkis keempat-empatnya sekaligus. Apatah lagi dalam keadaannya yang bergari.

Ketika mereka melalui sebuah tandas awam di airport tersebut, dia tiba-tiba didatangi satu idea. Langkahnya berhenti mendadak, membuatkan pegawai-pegawai yang mengiringinya tergaman. Dengan wajah selamba dia menatap dua pegawai kedutaan yang ada bersamanya.

“Saya nak ke tandas.” Pinta Arina.

Kedua pegawai kedutaan itu saling berpandangan sesama sendiri.

“Penerbangan Cik Arina sejam dari sekarang.” Pegawai wanita dari kedutaan yang memperkenalkan dirinya sebagai Kartika memperingatkannya.

“Saya tahu, tapi sejak dari semalam..saya tak diberi kesempatan untuk ke bilik air. Atau awak nak saya buang air di sini saja?” Soal Arina dengan wajah selamba. Kata-katanya berbaur ugutan.

Kedua-dua pegawai kedutaan itu tergaman. Setelah berbisik-bisik buat seketika, salah seorang pegawai kedutaan lelaki yang berbangsa Cina memandang ke arah dua pegawai polis yang ada bersama mereka.

“Dia perlu ke tandas.” Ujar Johnny, berbahasa tagalog dengan kedua-dua pegawai polis yang berada di situ. Kedua anggota polis itu hanya mengangguk. Pegawai bernama Kartika itu mengeluh panjang seraya memandang ke arah Arina.

“Mari kita pergi.” Dia memegang bahu gadis itu lalu membawanya ke sebuah tandas terdekat di perkarangan lapangan terbang. Sebelum menghilang ke dalam, Arina mengunjukkan tangannya di hadapan Kartina dan Johnny.

“Tolong bukakan gari ni.” Pinta Arina.

Kartika dan Johnny kelihatan ragu-ragu.

Arina ketawa kecil. “Come on, kalau tak buka gari ni, macamana saya nak buang air?” Soalnya. Kartika menoleh ke arah Johnny yang hanya tersengih mendengar alasan gadis itu.

“Lepaskan dia!” Johnny mengarahkan agar gari gadis itu dibuka. Pegawai polis itu menurut tanpa banyak soal.

“Terima kasih.” Ucap Arina pada pegawai polis yang membukakan garinya. Dia segera memasuki tandas wanita sambil ditemani oleh Kartika, manakala yang lain-lainnya hanya menanti di luar sahaja.

Beberapa orang wanita warga asing yang berada di dalam tertoleh-toleh ke arah Arina yang berwajah selamba. Bagaikan mencium ada yang tidak kena, wanita-wanita itu segera beredar. Arina menoleh sebentar ke arah Kartika lalu masuk ke dalam sebuah tandas yang terletak di hujung sekali. Kartika menoleh sekilas.

* * * *

SEPULUH minit masa berlalu, namun tidak ada tanda-tanda Arina akan keluar dari bilik air itu. Kartika asyik menoleh jam di pergelangan tangannya. Mereka masih ada kurang dari sejam untuk memastikan Arina selesai check-in dan selamat berada di dalam perut Cebu Pacific Air, menuju ke Malaysia. Begitulah arahan yang diberikan oleh Chief Inspector Abdul Kamal padanya dan Johnny kelmarin dalam satu taklimat ringkas.

Tapi memandangkan gadis itu tidak keluar-keluar, Kartika mula dihambat perasaan curiga. Dia tidak senang duduk dibuatnya. Jangan-jangan gadis itu ambil kesempatan cabut lari tak, fikir Kartika.

Dengan perasaan ragu-ragu, dia melangkah perlahan-lahan ke arah bilik air di hadapannya yang terkatup rapat. Mulutnya bergerak-gerak mahu berteriak memanggil nama gadis itu. Namun belum sempat dia berbuat apa-apa, pintu tandas itu tiba-tiba dikuak dari dalam. Kartika tergaman. Arina merenungnya dengan wajah hairan.

“Kenapa?”

“Kenapa lama sangat?” Sanggah Kartina bagaikan kurang senang.

“Perempuan kalau ke bilik air memang lama. Ini pun dah kira cepat.” Balas Arina lalu beredar ke arah sinki berhampiran. Kartika tidak terkata melihat reaksi gadis itu. Sekurang-kurangnya Arina tidak melarikan diri seperti yang diduganya.

“Dah siap? Kalau sudah, kita pergi sekarang.” Ujar Kartika. Arina mengangguk. Namun belum sempat kedua-duanya melangkah keluar, telinga Kartika menangkap bunyi air mengalir di salah sebuah tandas tersebut. Dia mengerutkan dahinya seraya memandang ke arah Arina.

“Paip bocor agaknya.” Ulas Arina seraya menjongketkan bahunya.

Kartika terdiam. Bukan urusannya kalau paip di tandas tersebut rosak. Dia terkedu melihat air yang mula melimpah ke arah lantai di luar bilik air.

“Tak apa, kita pergi saja.” Balas Kartika.

“Alamak!” Arina tiba-tiba menepuk dahinya. Kartika tergaman.

“Kenapa?” Soal wanita itu. Hairan melihat wajah Arina yang panik.

“Beg saya masih di dalam. Passport pun ada kat dalam tu.”

“Habis tu, pergilah ambil.”

“Dan biarkan baju saya ni basah? Puan, saya takkan dibenarkan terbang dengan berpakaian basah kuyup.” Dia menyatakan rasionalnya.

Kartika terdiam. Betul juga! Tentu dia akan dimarahi kalau penerbangan gadis itu tertunda kali ini.

“Tunggu di situ.” Suruh Kartika. Arina hanya mengangguk.

Kartika segera menyinsing kaki seluarnya sehingga ke paras lutut lalu mengharung air yang sudah menenggelamkan buku lalinya. Hairan! Kenapa air ni boleh bertakung? Timbul perasaan begitu di hati Kartika. Namun dia tidak membiarkan persoalan itu menganggu tugasnya.

Dia segera menolak pintu tandas yang baru dimasuki Arina sebentar tadi. Melihat beg tangan gadis itu tersangkut pada tempat penyangkut di tepi pintu, Kartika tersenyum. Tapi sebelum sempat dia mahu keluar, matanya membelingas ke arah satu lubang aliran air yang tertutup dengan tisu-tisu tandas. Dahinya segera berkerut. Patutlah air melimpah ruah. Lubang aliran air tersumbat!

Kartika tergaman. Sesuatu menyelinap ke dalam kepalanya. Siapa lagi yang melakukannya kalau bukan gadis itu? Dia menoleh pantas. Tapi tanpa apa-apa amaran, batang leher Kartika dipukul agak kuat dari arah belakang. Wanita itu rebah namun sempat dipaut oleh Arina. Dia segera membetulkan posisi Kartika yang pengsan di atas pelantar mangkuk tandas. Beg tangannya yang hampir basah segera dicapai.

“Maaf, aku terpaksa buat macam ni. Tapi aku benar-benar tak boleh pulang selagi Chayi tak ditemui.” Bisik Arina pada wanita yang tidak sedarkan diri itu.

Sesudah mengemaskan dirinya, Arina merenggangkan pintu keluar. Dia mengintai kelibat Johnny dan dua pegawai polis yang kelihatan gelisah menanti di luar. Matanya dikatup rapat sambil menanti di belakang pintu dengan dada berdebar-debar. Nafasnya ditarik perlahan. Bertenang Arina, you can do this! Just breathe! Pujuk hati kecilnya.

Satu…dua..tiga…dia membuka mulutnya besar-besar lalu mula menjerit. Suaranya nyaring dan kuat sehingga sampai ke luar. Seperti yang diduga, Johnny dan dua pegawai polis Filiphina itu segera menerpa masuk ke dalam tandas wanita. Dan kesempatan ini diambil peluang sebaik-baiknya oleh Arina yang bersembunyi di belakang pintu. Dia menyelinap keluar. Berjaya!

Langkahnya dihayun agak pantas, meredahi ratusan atau mungkin ribuan orang ramai yang memenuhi perkarangan lapangan terbang antarabangsa itu. Dia perlu cepat-cepat keluar dari situ, atau pegawai-pegawai polis Filiphina dan pihak kedutaan akan dapat menangkapnya.

Sesekali dia menoleh ke belakang, bimbang jika pegawai-pegawai yang ditugaskan mengiringnya dapat mengesannya di situ. Apabila dia meluruskan pandangan, tubuhnya tiba-tiba melanggar seseorang. Dia tercampak bersama bagasi-bagasi milik orang yang dilanggarnya.

Arina menyumpah separuh geram. Kenapa malang sangat nasibnya hari ni ?

“Awak tak apa-apa ke?” Sapa suatu suara di gegendang telinganya dalam bahasa tagalog. Arina berpaling. Melihat sepasang mata sedang menatap tepat ke wajahnya, dada Arina berdegup kencang. Lelaki Filiphino di pusat beli belah kelmarin. Apa dia buat kat sini?

“Awak cedera?” Pertanyaan lelaki itu singgah lagi.

Arina menggeleng. “I’m okay.” Dia menjawab. Lelaki itu tidak dipedulikan, sebaliknya dia sibuk mencapai isi-isi dari dalam beg tangannya yang hampir terkeluar.

“Awak macam ada masalah.” Lelaki itu terus bersuara sedangkan dia pula seakan tidak berminat mahu meneruskan perbualan. Lebih-lebih lagi dalam situasinya sekarang ini.

Tiba-tiba Arina terpandang kelibat Johnny dan beberapa pegawai polis Filiphina sedang menuju ke arahnya sambil menudingkan jari. Serta-merta dia berasa cemas.

“Sorry, I have to go.” Ujarnya seraya mengangkat beg tangannya. Namun belum sempat dia mahu bergegas pergi..lelaki itu tiba-tiba memaut pergelangan tangannya dengan pantas. Arina terpegun. Terkejut melihat tindakan lelaki itu yang tak disangka-sangka.

“Lepaskan saya.” Arina meronta-ronta mahu melepaskan diri dari pegangan lelaki itu. Namun tenaga lelaki itu ternyata lebih kuat dari tubuh kerdilnya.

“Tak boleh.” Balas lelaki itu seraya tersenyum.

Arina berpaling. Dia semakin cemas apabila dilihatnya Johnny semakin hampir. Sedaya upaya dia cuba menolak pautan lelaki itu. Tapi setiap kali dia mencuba, lelaki itu akan mengemaskan pegangan di lengannya.

“Lepaslah bodoh!” Marah Arina mulai berang.

Si lelaki seolah-olah tidak kisah langsung dengan reaksinya. Apabila Johnny dan pegawai-pegawai polis itu sampai, barulah lelaki itu melepaskan tangannya. Namun Arina sudah tidak mampu ke mana-mana lagi apabila dirinya sudah dikepung.

Johnny memandangnya dengan wajah berang. Dia hanya mampu mengguman geram ke arah lelaki yang menjadi perosak rancangannya kini. Lelaki itu hanya tersenyum, menampakkan dua lekuk kecil di pipinya.

Damn it! Sumpah Arina di dalam hati. Kalau bukan kerana lelaki itu, pasti dia berjaya meloloskan dirinya!

* * * *

KETIKA dia didudukkan di salah sebuah seat di dalam kapal terbang, barulah Johnny membukakan gari di tangannya. Arina mengosok-gosok pergelangan tangannya yang terasa perit.

Lelaki itu merenung wajahnya sebentar. “Saya harap Cik Arina jangan buat hal lagi. Balik saja ke Malaysia seperti yang dah diarahkan. Soal adik Cik Arina tu, kami akan mencarinya sedaya upaya kami. Dan jangan cuba-cuba lari dari sini. Pegawai polis akan menanti di kawasan berlepas sehingga flight ni terbang. Jadi Cik Arina tak usah buat kerja sia-sia lagi.” Nasihat Johnny dengan nada suara tegas.

Arina tidak berkata apa-apa. Dia diam sahaja. Wajah lelaki itu langsung tidak dipandang. Kekecewaan hatinya terbayang dari raut wajahnya yang muram.

Apabila kedengaran suara pramugari membuat pengumuman, perlahan-lahan Johnny bingkas bangun dari samping Arina. Lelaki itu merenung wajahnya seketika sebelum beredar.

Arina mengangkat wajahnya. Dia melihat kelibat tubuh lelaki itu menghala ke arah pintu keluar, sebelum menghilang. Dia menarik nafas panjang. Perasaan hampa dan kecewa menjalar dan menjeruk tangkai hati.

Sebentar sahaja lagi flight itu akan berlepas. Dan dia juga tahu, pasti ada beberapa orang pegawai polis akan mengawasi ruang perlepasan sehingga Cebu Pacific Air itu berlepas. Dia sudah habis ikhtiar mahu mencuba! Chayi, maafkan kakak…kakak terpaksa pulang! Tapi kakak janji kakak akan datang semula! Rintih Arina sebak.

“Excuse me.” Satu suara memintas ingatannya terhadap Chayi. Dia berpaling. Melihat raut wajah lelaki di hadapannya, darah Arina serta-merta menyirap. Perasaan marahnya tidak mampu dibendung lagi.

Lelaki itu mengerutkan dahinya ketika mula mengecam wajahnya. Ketika itu juga seorang pramugari meminta si lelaki mengambil tempat duduk.

Lelaki itu menunjukkan ke arah tempat duduk di sebelah Arina. “That is my seat.” Ujarnya memberitahu si pramugari yang tidak putus-putus tersenyum. Arina tergaman. Dia duduk di sini? Hell not!

“I don’t want him here..” Arina memandang ke arah pramugari itu.

Lelaki itu memandangnya dengan wajah yang sukar dimengertikan.

“This is not something that you’re able to decide, lady.” Lelaki itu berkata, sinis.

“Gila! Jahanam” Sumpah Arina dalam bahasa tagalog tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang ke arahnya. Saat itu dia hanya mahu melempiaskan rasa marahnya pada lelaki yang menyebabkan usahanya untuk melarikan diri gagal.

“I hate you!” Tukas Arina lagi.

“Sir, mam..please…we have other passenggers here. Could you please slow down your tone and consider the toleration. Both of you.” Pujuk pramugari itu.

Arina terdiam. Lelaki itu turut menarik nafas panjang. Menyedari di mana mereka berada, Arina terpaksa mengalah. Dia mengalihkan tubuhnya ke arah seat di tepi jendela kapal terbang. Wajahnya dipalingkan ke luar tingkap.

Lelaki itu mengambil tempat duduknya sebentar tadi. Namun Arina sudah tidak peduli. Lantaklah lelaki tu nak buat apa pun. Benci dia hendak memandang lelaki itu lama-lama.

“Sorry.” Suara itu singgah mendatar di gegendang telinganya.

Arina berpaling. Wajah lelaki itu melurus ke hadapan. Langsung tidak memandangnya. Arina mengetap bibir. Terasa dangkal dengan sikap lelaki itu.

“Sorry for what?” Soalnya dengan wajah cuak. Kata-kata maaf lelaki itu sudah tidak bererti apa-apa lagi baginya. Anehnya lelaki itu tidak pula menyambung kata-katanya.

Arina menghembus nafas berulangkali. Apa-apa ajelah!

Agak lama kedua-duanya membisu. Sehinggalah kapal terbang itu mula berlepas meninggalkan kawasan perlepasan dan berada di awan biru, Arina tetap membatukan diri. Lelaki itu juga begitu. Masing-masing, seolah-olah tidak berminat mahu menganggu privasi pihak yang satu lagi.

Arina pada saat itu lebih tertarik memerhatikan ruang udara Filiphina yang semakin jauh ditinggalkan. Dia kini berada beribu-ribu kaki di atas. Dan Chayi berada beribu-ribu kaki di bawah, hilang entah ke mana.

Dia memejamkan matanya. Pelupuk matanya bergenang. Hatinya benar-benar sedih dengan apa yang telah terjadi. Sebagai seorang kakak, dia gagal melindungi Chayi seperti yang sepatutnya.

“What is your name?” Lelaki itu tiba-tiba bertanya. Arina cepat-cepat mengesat birai matanya yang berair. Dia tidak mahu lelaki itu melihat airmatanya yang hampir tumpah. Tak berbaloi untuk dipertontonkan secara percuma pada lelaki itu! Terutama pada lelaki yang dibencinya.

“My name is Alwiz.” Ujar lelaki itu lagi sambil menghulurkan tangannya.

Kali ini Arina berpaling. Alwiz? Nama yang aneh untuk seorang lelaki Filiphina. Dia melirik lelaki itu dengan wajah berkerut. Lelaki itu turut memerhatikannya. Seketika kemudian tawa lelaki itu berderai. Lekuk di pipi lelaki itu muncul lagi. Arina melarikan matanya. Terpana atau mungkin juga terpesona dalam sekelip mata.

“Do I look like a monster?” Soal lelaki itu bersama sisa-sisa tawanya.

“Why?” Balas Arina terpinga-pinga.

“Then, why do you look at me like that? Am I that scary?” Mata lelaki itu menujah ke wajahnya.

Arina tergaman. Dia dapat mendengar gelak ketawa lelaki itu bergema semula. Dia menarik nafas panjang. Entah kenapa dia semakin kurang senang dengan sikap lelaki itu. Selebihnya rasa tidak selesa kerana lelaki itu seolah-olah seperti sengaja mahu memanipulasinya. Gila! Bisik hati kecilnya.

“At least tell me your name. You do have a name right!” Alwiz terus memujuk.

Arina melarikan matanya. Pertanyaan lelaki itu dibuat acuh tak acuh. Perjalanan ini tentu akan mengambil masa yang lama. Mungkin lebih lama dari yang dijangkakannya dengan adanya lelaki yang tak disenanginya di sampingnya, keluh Arina gelisah.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!