Followers

Wednesday, December 19, 2018

Spy Hati Dari Chantilly (Bab 7)

SURI Imani terperuk resah dan muram di sofa empuk di ruang tamu apartmennya. Televisyen di hadapannya sedang menayangkan telenovela Filipina yang langsung tidak mampu menarik perhatiannya.
Hatinya sedang berkecamuk saat ini. Fikirannya sedang terganggu. Tidak ada satu saat pun dalam hidupnya selain menyesali apa yang telah berlaku. Kerana dia mementingkan diri, seluruh keluarganya porak-peranda. What have you done Suri? Kau yang melakukan kesalahan itu, lalu kenapa orang lain yang menerima tempiasnya? Kenapa?
“Mama nak Suri balik. Kami rindukan Suri. Baliklah sayang.” Suara mamanya di talian beberapa malam yang lalu singgah ke benak fikiran.
“Suri tak boleh, mama. Suri tak sanggup.”
“Bukan salah Suri.”
“Tapi Suri tahu ayah dan Kak Lin takkan maafkan Suri. Suri dah buat perkara jahat, mama. Suri ni jahat.”
“Jangan cakap macam tu, sayang. Suri tak jahat. Suri cuma buat apa yang Suri rasa patut. Betul cakap Suri tu, Farid tak patut muncul dalam keluarga kita. Sebab dia, kedua-dua anak kesayangan mama menderita.”
Suri Imani menekup wajah. Farid Ilham! Lelaki itu muncul dalam hidupnya sebagai penyelamat, tetapi berakhir sebagai orang yang menyeksa hidupnya. Dia mencintai lelaki itu kali pertama bila lelaki itu menyelamatkan nyawanya lima tahun yang lalu. Dia memuja lelaki itu diam-diam saat Farid ditemuinya tiga tahun kemudian bila dia menyertai fakultinya menjalani projek amal di rumah anak-anak yatim. Lelaki itu doktor yang merawat anak-anak yatim di  Rumah Sri Kenangan itu tanpa sebarang bayaran. Tampan, berpendidikan tinggi dan baik hati, itulah kriteria utama yang mengikat hatinya pada Farid.
Memang dia berusaha keras untuk memikat Farid ketika itu. Berbagai usaha dilakukannya dan hasilnya lelaki itu sudi keluar bertemujanji dengannya. Dia tidak kisah biarpun dikatakan kawan-kawannya perigi mencari timba. Baginya Farid adalah segala-galanya.
Tapi apabila Farid bertemu kakaknya Darlina Husna, lain pula jadinya. Entah sejak bila pertemuan kali pertama itu disusuli lagi dengan pertemuan berikutnya. Dia langsung tidak tahu apa-apa. Di hadapannya Farid tetap mesra seperti biasa, malah rapat dengan kedua-dua ibu bapanya. Tetapi di belakangnya, rupa-rupanya lelaki itu bercinta dengan kakaknya sendiri.
Hancur luluh hatinya bila mengetahui kedua-duanya sudah mengambil keputusan mahu berkahwin. Gelap-gelita dunianya mendengar perkhabaran itu. Malam itu dia menangis sehingga air matanya kering. Pelbagai perasaan melahar di lubuk hati. Dia benci Farid. Malah dia membenci Darlina yang dianggap merampas satu-satunya lelaki yang dia cintai. Sampai hati kakaknya.
Kerana sudah tidak mampu menahan diri, maka dia nekad melakukan sesuatu yang paling bodoh yang kini dikesalinya. Tiga bulan yang lalu dia menjadi orang yang merampas kebahagiaan kakaknya sendiri.

Tiga bulan lalu…

MAJLIS berlangsung cukup meriah. Tetamu ramai yang datang silih berganti. Rumah Tuan Megat Hasanuddin hari itu riuh-rendah seperti pasar. Yang datang bukan sahaja jiran-jiran dan kenalan mereka, tetapi juga sanak saudara dari kampung mereka. Semuanya datang untuk meraikan majlis perkahwinan anak sulung Tuan Megat Hasanuddin dan Puan Zarina, Darlina Husna.
Darlina cantik disolek oleh mak andam. Di belakang Darlina, Puan Zarina tersenyum mulus. Prihatin memastikan persiapan hari bahagia anak gadisnya berjalan lancar. Sesekali dia memberi arahan itu ini. Blusher kena tebal sikit, gincu kena merah menyala, biar nampak seri Darlina di atas pelamin. Maklumlah sebelum berkahwin dengan ayah Darlina, dia seorang bekas peragawati yang mahir bergaya di pentas peragaan.
“Mama ni, nanti marah mak andam tengok mama pulak yang sibuk-sibuk.” Darlina sempat berbisik pada si ibu selepas mak andam yang menyoleknya ke bilik air sebentar. Puan Zarina ketawa kecil. Apa boleh buat? Can’t help!
“Suri mana, mama? Dari tadi Lin cari dia, tak ada pun.” Darlina mencari-cari kelibat si adik yang tidak nampak batang hidung sejak tadi.
Puan Zarina turut menoleh. Dahinya berkerut sedikit. Tadi dia ada nampak Suri Imani, tetapi lepas itu gadis itu lesap.
“Ada kat luar agaknya. Lin bukan tak tahu adik Lin tu, memang pendiam sejak dua menjak ni. Entah apa sebabnya. Mama nak tegur pun takut tengok muka mencuka tu,” keluh Puan Zarina.
Darlina terdiam. Memang dia perasan sikap Suri Imani agak berubah dua tiga menjak ini. Pendek kata adiknya itu tidak banyak bercakap dengannya mahupun dengan ahli keluarga mereka yang lain. Sepatah yang ditanya, sepatah jua yang Suri Imani jawab.
“Pengantin lelaki dah sampai!” Suara teriakan teman-temannya muncul dari luar.
Darlina segera memandang mamanya. Wanita itu tersenyum-senyum sahaja memandangnya.
“Farid dah sampai tu. Tak lama lagi mama dapat menantu sulung, happynya.” Puan Zarina membayangkan kegembiraan.
Darlina hanya tersenyum-senyum. Memahami bahawa mamanya memang menyukai Farid selama ini. Terima kasih pada Suri Imani yang memperkenalkannya dengan Farid  tiga tahun yang lalu. Kalau bukan kerana Suri Imani, tak mungkin dia akan jatuh cinta dengan lelaki sebaik dan seromantis Farid.
Ketika dia diiring turun ke bawah, matanya segera terpandang rombongan Farid Ilham. Farid duduk tidak jauh dari ayahnya, Doktor Maliki. Mata Darlina dan Farid saling bertentangan.
Hari itu Farid kelihatan kacak berbaju Melayu warna krim dan samping yang sodondon. Kena pula dengan baju Darlina yang senada.
“Tepi sikit, bagi laluan pada pengantin.” Entah suara siapa yang melaung. Riuh-rendah kedengaran membuatkan ada tetamu yang ketawa dibuatnya. Darlina tersipu-sipu melewati deretan tetamu yang duduk bersepah.
Farid tak putus-putus memandang wajah bakal isteri yang bermekap agak tebal dari biasa. Darlina kelihatan cantik dengan baju nikah yang mereka pilih berdua beberapa minggu yang lalu.
“Kalau dah siap sedia semuanya, bolehlah kita mulakan acara akad nikah.” Kadi memulakan bicara.
Hari itu sepatutnya tugas Tuan Megat Hasanuddin yang menikahkan pasangan itu. Tapi kerana keadaan kesihatan lelaki itu tak mengizinkan, maka tugas itu dipikul berwalikan wali hakim.
Acara dimulakan dengan beberapa pertanyaan yang ditujukan pada pasangan yang mahu bernikah hari itu. Farid kelihatan tenang menjawab pertanyaan-pertanyaan itu. Tuan Megat Hasanuddin kelihatan lega hati seraya menyimpul senyuman pada bakal besannya, Doktor Maliki dan isteri.
Darlina di sisi mamanya asyik mencari-cari kelibat Suri Imani. Aneh! Suri Imani tidak kelihatan sejak tadi.
“Mama, Suri tak ada kat sini pun,” bisik Darlina di telinga mamanya.
Puan Zarina tercengang-cengang. Tak ada? Aneh! Ke mana anak gadisnya yang seorang itu pergi?
“Farid Ilham Bin Ahmad Maliki, aku nikahkan akan dikau dengan Darlina Husna bt Megat Hasanuddin berwalikan hakim dengan mas kahwin...” Suara tok kadi berkumandang, membuatkan perhatian Darlina pada soal Suri Imani terhenti seketika.
Darlina menoleh ke arah Farid, mengharapkan Farid mampu menjawab akad perkahwinan mereka dengan baik. Tapi belum sempat Farid mahu menjawab, suatu suara muncul di tengah ruang tamu itu. Seisi mata mula menyedari kehadiran seorang gadis berbaju kurung warna hijau pucuk pisang, tercegat di hadapan mereka.
Air mata si gadis berlinang di pipi, membuatkan sudah banyak mulut yang tertanya-tanya apa yang tidak kena dengan gadis itu. Tuan Megat Hasanuddin bingkas bangun.
“Suri, kenapa ni?” Suara lelaki itu agak bimbang.
Puan Zarina turut meluru ke arah anak gadisnya yang kelihatan sedih. Wajah Suri Imani tidak terurus, lemah seperti sudah hilang daya mahu meneruskan hidup. Darlina turut tergaman melihat keadaan si adik.
“Suri jangan buat mama risau. Kenapa ni, sayang?” Suara Puan Zarina pula singgah.
Suri Imani tidak menjawab. Matanya memandang sayu ke arah Farid yang kelihatan tertanya-tanya.
Suri, is there anything happen? Kalau ada, cakap dengan abang,” pujuk Farid pula. Prihatin dengan Suri Imani yang akan menjadi adik iparnya tidak lama lagi.
“Sebelum abang kahwin, Suri cuma nak tanya sesuatu. Suri tak tahu patut atau tak Suri tanyakan hal ni. Tapi kalau Suri tak tanya, Suri akan menyesal seumur hidup.” Suri Imani mula bersuara seraya memandang ke arah Farid.
Farid mengerutkan dahi. Apakah maksud gadis itu
“Abang tahukan yang Suri sukakan abang?”
“Suri! Apa yang kamu merepek ni?” Wajah Tuan Megat Hasanuddin merah padam. Hampir tidak percaya mendengar kata-kata yang Suri Imani tuturkan.
Farid tergaman. Suri Imani menyukainya? Dia tahu setiap pasang mata kini memandang dirinya. Termasuklah ayah dan ibunya yang turut tercengang-cengang melihat drama sebabak itu.
“Suri, mengucap sayang. Farid kan bakal abang ipar Suri. Dia kan bakal suami Kak Lin kamu. Kenapa jadi macam ni?” keluh Puan Zarina.  Sesekali Puan Zarina menoleh ke arah Darlina yang kelihatan pucat-lesi.
“Suri ingat abang sukakan Suri selama ni. Suri dah lama taruh hati pada abang. Suri ingat Suri boleh terima bila abang pilih Kak Lin berbanding Suri. Tapi Suri tak boleh. Suri tak boleh biar abang dirampas kakak Suri sendiri,” rintih Suri Imani, nekad.
Suri, listen here. Abang baik dengan Suri selama ni bukan sebab abang cintakan Suri. Abang cuma sayangkan Suri sebagai adik, tak lebih dari tu. Cinta abang hanya untuk Darlina,” ujar Farid, berhati-hati.
Risau hati yang sedang retak di hadapannya itu bakal hancur. Paling dirisaukannya Darlina salah faham terhadapnya. Ya Tuhan, apakah semua ini? Majlis bahagianya hari ini sudah menjadi bencana sebelum sempat dia diijab kabulkan dengan Darlina.
“Tapi kita kenal dulu. Kalau bukan sebab Suri, abang takkan kenal Kak Lin. Apa Suri ni tak cantik? Tak baik macam Kak Lin?” desak Suri Imani.
“Bukan macam tu, Suri.” Farid sudah tidak tahu apa yang harus dikatakannya lagi. Pening dia dibuatnya kali ini.
“Suri, pergi naik atas sekarang. Ayah tak mahu Suri cakap benda yang bukan-bukan lagi. Suri sedar tak hari ni hari pernikahan kakak Suri sendiri? Kenapa Suri sanggup buat macam ni dan malukan kami sampai macam ni?” getus Tuan Megat Hasanuddin agak berang.
Suri Imani menggigit bibir. Kelopak matanya semakin dibasahi air jernih. Dia tahu risiko dari perbuatannya kali ini. Dia tahu dia telah menghancurkan hati ramai orang, terutama Darlina. Tapi dia cintakan Farid Ilham sejak dia mengenali lelaki itu lima tahun yang lalu. Dan kakak yang paling disayanginya telah merampas cinta pertamanya. Adilkah semua ini untuknya? Adilkah?

PUAS Puan Zarina mengetuk pintu bilik Darlina, tetapi anak gadisnya itu hanya membatukan diri. Dia tahu Darlina masih di dalam, terjeruk hati dengan apa yang telah berlaku hari ini. Mereka terpaksa meminta tetamu beredar lebih awal. Lagi pula untuk apa tetamu masih berada di situ walhal tidak ada pernikahan dijalankan hari itu. Semuanya telah dibatalkan. Darlina sendiri enggan meneruskan majlis hari itu walhal dipujuk berkali-kali.
Melihat Darlina terus menyepi, dengan wajah sedih Puan Zarina beredar. Di ruang tamu dia menemukan wajah suaminya yang gelisah dan wajah Farid yang muram. Hatinya sedikit belas melihat Farid. Dia tahu dalam hal ini Farid tak bersalah. Ini semua kerana cinta tak berbalas Suri Imani terhadap Farid. Memang selama ini dia tahu Suri Imani yang mempertemukan Darlina dan Farid. Cuma yang dia tidak tahu anak bongsunya itu turut jatuh cinta pada Farid.
“Lin macam mana?” tanya Tuan Megat Hasanuddin sebaik terpandang kelibat isterinya.
Puan Zarina sekadar menggeleng.
“Huh, ni semua sebab anak bertuah tu punya fasal.” Tuan Megat Hasanuddin melempiaskan marahnya.
“Betul, antara kamu dan Suri tak ada apa-apa, Farid?” soal Puan Zarina, lembut.
Farid tersentak. Haruskah dia bersumpah baru Puan Zarina mahu mempercayainya?
“Saya memang ambil berat fasal Suri selama ni, auntie. Tapi tu semua hanya perasaan biasa. Sikit pun saya tak ada perasaan apa-apa pada Suri. Malah selama ni Suri tak pernah cakap apa-apa pun tentang semua ni. Percayalah auntie, dalam hati saya hanya ada Darlina,” tukas Farid, tegas.
Puan Zarina dan Tuan Megat Hasanuddin saling berpandangan. Pengakuan Farid membuatkan masalah yang datang tidak juga selesai. Darlina sudah tidak ada mood mahu meneruskan pernikahan ini. Suri Imani juga tidak mahu membuka pintu bilik sama seperti kakaknya. Jika kedua-duanya tidak mahu berbincang, bagaimana masalah ini mahu diselesaikan?
 “Kamu baliklah dulu Farid, biar uncle dan auntie bincang dengan Lin dan Suri,” ujar Tuan Megat Hasanuddin.
“Tapi saya kena bercakap dengan Lin, uncle. Saya nak jelaskan semua ni pada dia,” ujar Farid gelisah.
“Sekarang bukan masanya. Kamu baliklah dulu, pujuk ibu bapa kamu. Uncle percaya mereka pun tengah susah hati sekarang. Sampaikan salam dan maaf kami sebab perkara yang terjadi hari ni,” pinta Tuan Megat Hasanuddin.
Farid terdiam. Hendak tak hendak dia terpaksa akur. Dengan hati berat dia meninggalkan rumah Tuan Megat Hasanuddin bersama masalah yang sarat di kepala. Darlina tentu merajuk panjang dengannya. Suri Imani juga. Kenapa semua ini boleh berlaku? Apa silapnya? Keluh Farid di dalam perut kereta.

DARLINA memejamkan mata rapat-rapat. Air matanya sudah tidak mampu mengalir lagi kerana sepanjang malam itu dia menangis sehingga matanya bengkak.
Pengakuan Suri Imani sebentar tadi mengejutkan dirinya. Dia tahu dua tiga menjak ini Suri Imani tidak banyak berbual dengannya. Gadis itu kadangkala dingin terhadapnya. Berbagai andaian meniti di fikiran dengan sikap aneh adiknya itu. Tapi dalam banyak-banyak perkara yang difikirkannya, apa yang Suri Imani cakapkan di majlis tadi adalah sesuatu yang paling tidak disangka-sangkakan.
Dalam dia sibuk melayan perasaan, muncul bunyi riuh-rendah di luar biliknya. Dia memasang telinga. Seperti ada bunga-bunga pertengkaran berlaku di luar membuatkan Darlina tertarik ingin ikut sama mendengar. Mendengar suara bising-bising ayahnya dan tangis mamanya, Darlina sudah tidak mampu menahan sabar. Dia keluar dari biliknya lalu berpapas pandang dengan Suri Imani. Gadis itu membawa beberapa buah bagasi bersamanya.
“Ayah? Mama? Kenapa ni? Suri?” Darlina tercengang-cengang sejenak.
Suri Imani tunduk. Tidak berani mengangkat muka.
“Suri nak ke mana dengan beg-beg ni semua?” soal Darlina ingin tahu.
“Dia nak keluar dari rumah ni. Dia ingat mudah duduk kat luar seorang diri? Makan pakai tak terjaga. Kalau apa-apa jadi macam mana?” bebel Tuan Megat Hasanuddin, kesal. Sempat menjeling si isteri yang sudah merah menyala matanya.
Darlina tersentak mendengar kata-kata ayahnya. Suri Imani nak pindah keluar?
“Betul ke apa yang ayah cakap tu? Kenapa Suri nak pindah? Sebab kakak?” duga Darlina, lembut.
Suri Imani mengangkat wajah memandang Darlina. Sejak dulu, dia tak mungkin dapat menandingi kelembutan dan sifat luhur kakaknya Darlina. Kerana itu agaknya ibu bapa mereka lebih menyayangi Darlina berbanding dirinya. Malah Farid juga memilih Darlina sebagai bakal isteri.
“Suri tahu kakak benci Suri. Semua orang pun benci dengan Suri sebab apa yang dah Suri buat hari ni. Suri dah rosakkan majlis kakak. Suri conteng arang di muka keluarga kita. Jadi kakak jangan pura-pura yang kakak ambil berat fasal Suri. Just let me leave,” pinta Suri Imani.
“Kakak tak benci Suri. Kakak cuma rasa bersalah sebab selama ni kakak tak faham hati adik kakak sendiri. Kakak tak tahu yang selama ni Suri sayangkan Farid. Kakak patut tahu semua tu bila Suri bawa Farid datang rumah kita tiga  tahun dulu. I’m so sorry,” bisik Darlina, sebak.
“Tapi sekarang kakak dah tahu apa yang Suri rasa, kan? Suri rasa terseksa bila tiap-tiap hari Suri terpaksa berpura-pura baik di hadapan kakak, berpura-pura tabah di hadapan semua orang sedangkan hakikatnya Suri benci kakak kerana merampas Abang Farid. I hate you so much sis,” balas Suri Imani, sebak.
“Kalau tu yang Suri rasa, maafkan kakak. Kakak tak nak hilang adik kakak kerana seorang lelaki. Suri jangan risau, kakak takkan kahwin dengan Farid,” ujar Darlina seperti nekad.
“Lin, apa kamu cakap ni?” Tuan Megat Hasanuddin terkejut. Puan Zarina juga ikut terpempan.
“Kakak sanggup tak kahwin dengan Abang Farid sebab Suri?” Wajah Suri Imani membayangkan kejutan.
Darlina mengangguk lalu merangkul tubuh itu erat ke dalam pelukan. Suri Imani satu-satunya adik yang dia ada. Mana mungkin dia akan mengabaikan hati gadis itu. Meski dia mencintai Farid sekalipun, cintanya tak boleh dibandingkan dengan kasih sayangnya terhadap Suri Imani. Takkan! Dan malam itu mereka tenggelam dengan tangisan.

SURI Imani mengesat air mata yang mengalir lebat di pipi. Teringat kisah tiga bulan lalu yang merenggangkan jaraknya dengan ibu bapanya sendiri. Kerana Darlina, dia melarikan diri. Hatinya terasa amat malu kerana melakukan sesuatu tindakan yang cukup drastik dan bodoh. Bagaimana dia mampu berdepan dengan Darlina lagi setelah dia merosakkan kebahagiaan kakaknya?
Beberapa minggu yang lalu Suri Imani sengaja datang ke pejabat ayahnya. Agak lama dia menanti di luar semata-mata mahu melihat keadaan Darlina. Tetapi wajah yang selalu tersenyum itu kelihatan muram benar. Gelak ketawa kakaknya seperti sudah mati. Darlina yang periang sudah tidak wujud lagi. Semua kerana angkaranya.

Ya ALLAH! Apa yang dah aku buat? Bagaimana boleh aku tebus semua ni? Bisik hati kecil Suri Imani dalam kepiluan. Kesal bagaimanapun dia, semua kerosakan yang dilakukannya sudah tidak boleh dipulihkan lagi.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!