Followers

Wednesday, March 20, 2013

Alamak! Lagi-Lagi Dia : Prolog


IRAMA piano yang dimainkan begitu menusuk ke hati sehingga dia terhenti di tepi pintu, memerhatikan ke arah kelibat seorang wanita yang sedang memainkan irama lagu yang ternyata sayu dan hiba. Selalunya dia mendengar ibunya memainkan irama yang menggembirakan, tapi kali ini berbeza sekali. Didorong rasa ingin tahu, dia sekadar mengintai di sebalik sudut, merenung penuh syahdu pada wajah yang kelihatan muram dan sedih.

            Hendak diterpa ke arah wanita itu, pasti ibunya akan tersenyum seperti biasa. Entah kenapa sejak akhir-akhir ini, dia sering merasa senyuman ibunya seperti dipaksa-paksa. Gembira wanita itu seperti sengaja dibuat-buat. Hakikatnya dia tahu ibunya tidak gembira. Wajah itu berladung duka!

            Sedang dia asyik termenung, tiba-tiba ibunya menoleh. Sepasang mata ibunya yang indah kini tertumpu ke arahnya. Mahu tak mahu dia turut melemparkan senyuman lalu keluar dari tempat persembunyian.

            Gotcha.” Ibunya ketawa.

            Dia masih tersenyum. Wanita itu memang pintar mencari kelibatnya.

            “Mama nampak sayang dari tadi.” Senyum ibunya.

            “Mama asyik mainkan lagu sedih tu aje. Lepas tu nangis sorang-sorang!” komennya.

            Ibunya tiba-tiba terdiam. Agak lama renungan ibunya singgah di wajahnya sehingga dia jadi serba salah. MASYA ALLAH! Mama tersinggungkah?

            Sorry, Nadim tak sengaja.” ujarnya dengan rasa bersalah.

            Ibunya menggeleng. “It was just a song. Sesekali main lagu sedih, tak salah kan?” tanya ibunya.

            Dia mengangguk. Bukan setuju, hanya mahu mengambil hati. Sejujurnya dia tahu lagu sedih yang dimainkan ibunya bukan hanya sekadar lagu seperti yang dicanang wanita itu. Lagu itu melambangkan apa yang sedang dirasai ibunya saat ini.

            “Mama masih marahkan ayah?” tanyanya lagi.

            Wanita itu terkedu. “Nadim dengar ke?”

            Dia ketawa kecil. Masakan dia tidak mendengar suara ayahnya yang menengking ibunya dua malam yang lalu. Dia sendiri tidak tahu kenapa pasangan bahagia seperti ayah dan ibunya boleh bergaduh sampai begitu sekali.

            “Mustahil tak dengar. Nadim bukan pekak.” Jawabnya dengan jujur.

            Wanita itu terdiam mendengar bicaranya. Sejurus kelopak mata ibunya mencari wajahnya lagi.

            “Mama mahu tanya sesuatu pada Nadim.”

            “Tanya apa mama?” Dia bingung. Wajah mamanya cukup serius kali ini.

            “Apa Nadim suka kalau suatu hari nanti Nadim akan ada seorang abang?” Pertanyaan wanita itu membuatkan dia terpegun. Bulat biji matanya memandang si ibu yang menatapnya tidak berkelip. Abang? Apa maksud ibunya?

*  *  *  *

KAIN kapan yang menutup wajah ibunya disingkap sedikit demi sedikit. Terserlah wajah tenang ibunya yang kini tertidur lena. Dia terduduk lemah seraya menatap sekujur tubuh di hadapannya yang sedang diuruskan beberapa orang saudara terdekatnya.

Marseila memegang bahunya. Merenung wajahnya yang tenggelam dalam kesedihan. Wajah Marseila lebih tenang berbanding dirinya.

Ketika mereka saling memujuk hati yang rawan, muncul seorang anak muda di situ, berusia dalam lingkungan awal 20an. Wajah anak muda itu kelihatan sedih seraya merenung mayat ibunya yang ditempatkan di tengah-tengah ruang tamu. Agak lama pandangan anak muda itu tertumpu ke arah mayat ibunya. Sesekali kelihatan air jernih bergenang di kelopak mata itu.

Mata Marseila terpaku pada wajah lelaki muda itu. Dia juga tidak berkecuali, Perasaan hairan menjengah diri saat melihat tangisan lelaki muda itu benar-benar untuk arwah ibu mereka.

Tak semena-mena lelaki muda itu tiba-tiba menoleh ke arah mereka berdua. Rentak kaki lelaki itu mula diatur ke arah mereka. Marseila sedikit kaget. Dia juga!

“Takziah dari saya. Sabar ya dik.” pujuk lelaki itu seraya tersenyum hambar. Di kelopak matanya masih terkesan sisa-sisa air mata yang sudah diseka sejak awal. Selepas menepuk bahunya dua tiga kali, lelaki muda itu beransur pergi. Dia mahu menghalang tetapi tidak berupaya. Apatah lagi apabila dia mula menyedari kelibat ayahnya muncul tidak jauh dari situ, sedang merenung tajam ke arah lelaki muda yang sudah beredar dari situ.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!