Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 21


            Pusara lelaki itu dipandang sebak. Tak lupa dia membaca surah-surah ayat suci untuk disedekahkan kepada insan yang paling penting dalam hidupnya dulu. Setiap saat dia terkenangkan lelaki itu. Gelak ketawa dan tutur nasihat lelaki itu sehingga kini masih menjadi pegangan hidupnya. Mana mungkin dia boleh lupa pada wajah itu, meskipun jarak masa terus melewati hidupnya tahun demi tahun.

            “Naz rindukan ayah!” Bisiknya dengan wajah pilu. Batu nesan yang tegak berdiri itu disentuh perlahan-lahan. Matanya berkaca tanpa disedari.

            “Hidup dan mati adalah kerja tuhan. Tapi selagi hari ini kita masih hidup, kita harus teruskan kehidupan ini dengan penuh bermakna, seperti kita akan mati keesokkan harinya.” Kata-kata Erman suatu ketika dahulu mengusik lamunannya.

            “Apa sebenarnya yang berlaku dua belas tahun dulu ayah? Apakah benar pakcik Munif yang membunuh ayah? Naz benar-benar ingin percaya kenyataan itu, tapi hati kecil Naz seakan meragui semua kebenaran yang ada di hadapan mata. Apa patut Naz buat ayah?” Rintih Nashriq sambil memejamkan matanya.

            Dari jauh, gerak geri Nashriq menjadi santapan sepasang mata. Melihat Nashriq, entah kenapa dia termenung panjang. Dia memahami kesedihan yang dirasakan anak muda itu sebenarnya. Sepertimana Nashriq, dia juga merasakan kepedihan itu.

            “Tuan nak ke sana?” Azlan bertanya sambil turut memandang ke arah Nashriq yang masih berteleku di pusara ayahnya.

            “Tak apalah Lan, kita balik dulu. Esok kita datang lagi. Biarkan sahaja dia bersendirian melawat pusara ayahnya.” Ujarnya.

            “Habis kita nak ke mana sekarang?”

            “Terus pandu ke Al-Raudah. Saya nak bertemu Doktor Habibah.” Arah Asri. Azlan tanpa banyak soal terus memandu keluar dari kawasan perkuburan itu.

*  *  *  *

            “Ini semua barang-barang tinggalan dari Teratak Budi yang masih tinggal. Selepas kebakaran tu, semua barang-barang yang masih tinggal dihantar ke mari. Sebab Puan Engku dah tak mahu tengok barang-barang ni semua, dia minta Mak Ngah simpan dalam bilik stor ni. Encik Nashriq nak buat apa dengan barang-barang ni semua?” Tanya wanita itu agak hairan.

            “Saja saya nak tengok Mak Ngah, kalau-kalau ada barang peninggalan ayah yang masih selamat.” Balas Nashriq.

            “Kalau macam tu, Encik Nashriq tengoklah sendiri. Mak Ngah nak masuk ke dalam siapkan makan malam. Encik Nashriq singgah makan di sini tak malam ni?”

            “Mungkin tak Mak Ngah, saya nak balik ke pejabat selepas ni.” Nashriq menggelengkan kepala. “Err Mak Ngah, boleh tak Mak Ngah jangan beritahu umi yang saya singgah ke mari hari ni?” Pinta Nashriq. Dia tidak mahu ibunya tahu dia balik ke Vila Kasih hari itu. Wanita itu tergaman mendengar permintaannya, namun sejurus kemudian dia mengangguk.

            Selepas wanita itu beredar, mata Nashriq menuju ke segenap ceruk bilik stor yang dipenuhi barang-barang lama yang sudah tidak digunakan. Tiba-tiba dia terpandang sebuah kotak sederhana besar yang terletak di tepi sudut. Melihat pada tulisan besar tertulis Teratak Budi di atas kotak itu, dia tertarik untuk mencapai kotak tersebut. Ini pasti barang-barang tinggalan dari kebakaran itu, bisik hati kecil Nashriq.

            Tanpa membuang masa dia terus membelek satu-persatu barang yang terisi di dalam kotak sederhana besar. Namun tidak banyak barang-barang ayahnya yang masih tinggal kecuali beberapa pakaian lama dan beberapa buah buku-buku lama milik ayahnya yang hampir hangus dimakan api. Nashriq tahu sepanjang hayat ayahnya, lelaki itu memang suka membaca.

            Dia mengeluh panjang. Kedatangannya hari itu sia-sia sahaja. Tidak ada sebarang bukti yang boleh membawanya menjejak kisah dua belas tahun lalu. Mungkin kata Erman betul, tidak ada gunanya dia terus berperang dengan kisah lama yang mungkin hanya akan meninggalkan kudis dalam hidupnya. Lupakan sahaja semua perasaan ingin tahu itu, bisik hati kecilnya.

Dia memandang ke arah buku-buku lama ayahnya yang baru dikeluarkan dari dalam kotak. Sebuah buku lama tentang perniagaan karangan seorang penulis berbangsa Inggeris diambil lalu dibelek. Apabila dia menyelak halaman buku itu, dadanya berdegup kencang. Terdapat sebuah lubang di dalam buku itu, seolah sengaja dibuat begitu. Tambah dia terkejut apabila melihat terdapat beberapa keping gambar tersimpan di dalam buku itu.

Perlahan-lahan, jari-jemarinya menyentuh kepingan-kepingan gambar tersebut lalu dikeluarkan. Hampir dia tergaman menatap suatu wajah yang tersenyum manis memandang ke arahnya. Nashriq diserbu perasaan ingin tahu. Milik siapakah wajah itu? Selama hidupnya, inilah kali pertama dia menatap gambar wanita itu. Kenapa gambar wanita ini boleh berada dalam simpanan ayahnya? Hati Nashriq gusar tanpa disedari.

*  *  *  *

            Duha Maisara memandang jam di tangannya. Hampir sejam, dia mula naik bosan. Dia memandang lelaki yang berada di hadapannya. Mata lelaki itu terpejam. Tidurkah dia? Sejak dia masuk ke bilik itu, lelaki itu senyap sahaja. Sepatah suara pun tidak keluar dari mulutnya.

            Duha Maisara mengeluh. Sepatutnya dia sudah boleh pulang selepas menyanyi, tapi tak disangka-sangka lelaki itu hadir malam itu. Lelaki itu seolah-olah sudah tahu rutin hariannya di situ. Hendak tak hendak, dia terpaksa menemani lelaki itu. Tapi berteman dengan patung yang kaku begitu, membuatkan dia cepat naik bosan.

            Lama mata Duha Maisara melirik ke arah lelaki itu. Lelaki itu nyenyak tertidur sambil bersandar pada sofa empuk di bilik itu. Perlahan-lahan Duha Maisara memberanikan diri mendekati lelaki itu. Dia duduk senyap-senyap di samping lelaki itu. Matanya tak putus-putus menatap wajah itu. Inilah kali pertama dia dapat menatap wajah itu dari jarak dekat.

            Alis matanya kemas terbentuk di atas kelopak mata yang indah. Bibirnya pula merah, tanda tidak merokok. Kumis nipis yang telah dicukur jelas kelihatan di matanya. Namun tahi lalat kecil di tepi mata kanan lelaki itu membuatkan dia terpaku. Hatinya serta merta tersentap. Serentak bayangan lama terhimbau dalam ingatannya. Dia memejamkan matanya, cuba menghalau wajah itu dari muncul. Namun wajah itu muncul jua tanpa diundang.

            Duha Maisara membuka matanya. Namun dia terpegun apabila satu renungan tajam singgah menjamah wajahnya. Dia cuba melarikan diri, tapi lengannya dipaut pantas oleh lelaki itu. Dia tergaman. Lelaki itu menolaknya ke arah sofa, sedikit kasar.

            “Kenapa kau renung aku? Apa kau tertarik pada aku?” Soal lelaki itu seraya tersenyum. Matanya menjunam ke wajah Duha Maisara yang terkejut.

            “Kalau kau sukakan aku, baik kau lupakan saja. Dah aku katakan yang aku tak berminat dengan kau. Aku cuma nak kau temankan aku, itu saja.”

            Entah mengapa, kata-kata lelaki itu membuatkan Duha Maisara diterpa rasa malu. Dia menyumpah diri sendiri yang terlalu asyik merenung lelaki itu. Tapi dalam masa yang sama, hatinya juga terguris mendengar kata-kata lelaki itu.

            “Kalau kau  buat begini, aku takkan dapat sangkal pendapat pertama aku tentang kau. Apakah kau sekadar seorang penyanyi, atau ada profesion lain yang aku tak tahu.” Sindir lelaki itu.

            Duha Maisara tersentak. Kata-kata lelaki itu bagaikan membawa suatu maksud tersembunyi.

            “Awak cakap apa ni?”

            “Duha Maisara, aku benar-benar nak tahu kau ni jenis perempuan yang macamana? Mungkinkah kau ni jenis perempuan yang suka menjerat lelaki-lelaki berstatus?” Sinis nada suara Nashriq.

            Merah padam wajah Duha Maisara mendengar kata-kata Nashriq. Dia merenung tajam ke arah lelaki itu. Hatinya benar-benar terguris mendengar butir bicara yang singgah dari bibir itu. Siapa lelaki itu sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata begitu terhadapnya?

            “Biarpun saya bekerja di kelab malam ini, tapi saya masih ada harga diri. Jangan awak ingat sebab semata-mata kerana kerja saya ni, awak boleh hina saya sesuka hati.” Duha Maisara bingkas dari sofa dengan perasaan marah. Dia memandang Nashriq yang merenung ke arahnya.

            “Mulai hari ini, saya tak nak tengok muka awak lagi di sini. Duit yang saya terima dari awak beberapa hari yang lalu, saya akan pulangkan nanti. Awak datang saja ke sini untuk ambil duit tu.” Ucap Duha Maisara.

            Nashriq terpinga-pinga melihat Duha Maisara meradang. Wajah gadis itu tetap ayu meskipun dalam keadaan marah. Dia hanya memandang Duha Maisara yang mula melangkah keluar. Tanpa sedar, bibirnya menguntum senyum. Dia tidak tahu kenapa dengan hatinya. Namun melihat gadis itu marah-marah begitu, hatinya seolah terhibur.

*  *  *  *

            Duha Maisara mengesat airmata yang mahu gugur dari kelopak matanya. Tidak tahu kenapa, dia rasa sedih tiba-tiba. Terasa bagaikan harga dirinya benar-benar jatuh dipijak orang kali ini. Kalau dulu dia masih boleh mempertahankan air mukanya. Tapi kali ini dia benar-benar rasa malu. Malu pada lelaki itu.

            “Duha dah nak balik?” Tegur Zarina ketika melihatnya.

            Duha cepat-cepat mengesat airmata yang berlinangan. Dia tidak mahu wanita itu  tahu perasaan yang bergolak dalam hatinya. Dia berpaling. Bibirnya tersenyum ke arah Zarina sambil mengangguk.

            “Lelaki tu dah balik?” Soal Zarina lagi.

            Duha Maisara mengangguk. Namun bibirnya langsung tidak mengungkit tentang lelaki yang sampai sekarang dia belum tahu namanya.

            “Kak Ina betul-betul hairanlah dengan lelaki tu. Beberapa kali dia datang ke mari, tapi dia hanya duduk diam dalam bilik VIP tu. Malah dia tak pernah melanggan pelayan-pelayan kat sini. Minuman keras pun dia tak pernah pesan. Dia cuma mahukan Duha yang temani dia, itupun cuma duduk-duduk sahaja. Betul dia tak pernah buat apa-apa pada Duha?” Soal Zarina ingin tahu.

            Duha Maisara menggeleng. “Betul kak, lelaki itu cuma berbual-bual saja dengan Duha.” Jawab Duha Maisara. Dia langsung tidak menyebut tentang upah yang diterimanya dari lelaki itu. Bukannya apa, dia tidak mahu Zarina tahu tentang hal itu. Lagipun entah mengapa dia rasa malu sendiri dengan kebodohannya.

            Sepatutnya dari awal lagi dia tidak patut menerima wang lelaki itu. Malah dari awal lagi juga dia tidak sepatutnya setuju dengan permintaan lelaki itu agar duduk menemaninya. Semuanya silap dia dari awal. Dia yang membiarkan dirinya dihina, dipandang rendah sebegitu rupa.

            Dia melangkah mengikut kakinya tanpa hala tujuan. Beg hitamnya diselongkar sambil cuba-cuba mengagau mencari telefon bimbitnya. Dia ingin menelefon Zafran. Namun entah kenapa dia gagal menemui telefon bimbitnya. Duha Maisara tergaman. Puas dia memikirkan ke mana telefon bimbitnya tercicir. Dia teringat kali terakhir dia memegang telefon itu adalah ketika di bilik VIP bersama lelaki itu tadi. Mungkinkah aku tercicir telefon itu di sana? Bagaimana kalau lelaki itu masih berada di situ? Ah malulah dia kalau begini. Tapi takkan nak dibiarkan sahaja telefon itu di situ. Bagaimana kalau Zafran menghubunginya? Tentu lagi parah jadinya kalau Zafran tahu di mana dia bekerja selama ini.

Mahu tak mahu Duha Maisara berpatah balik ke Blue Ocean. Namun melihat tiga orang lelaki berdiri di suatu sudut mengadap ke arahnya, dia tersentak. Salah seorang lelaki itu berkepala botak, membuatkan dada Duha Maisara semakin kuat berdebar-debar. Dia teringat, itulah lelaki yang mencarinya di Blue Ocean tempohari. Dia berundur perlahan-lahan. Namun apabila dia berpusing, dua lelaki lain sedang tersengih memandang ke arahnya.

Lelaki berkepala botak itu memandangnya sambil tersengih. Galak. Perlahan-lahan lelaki botak berkulit hitam itu melangkah ke arahnya. Duha Maisara semakin gugup. Hendak melarikan diri, dia sudah dikepung.

“Jadi kaulah Duha, anak Bustaman?” Lelaki botak itu bertanya.

“Apa awak nak?” Tanya Duha Maisara ketakutan. Black tidak terus menjawab, sebaiknya perlahan-lahan menghampirinya. Wajah Duha Maisara yang ketakutan direnung lama.

“Hmm..tak sangka Bustaman ada anak gadis cantik. Sayang, kau tahu ke mana ayah kau pergi?”

            Duha Maisara tergaman. Bagaimana dia boleh tahu kalau lelaki itu menghilangkan diri secara tiba-tiba. Dia menggelengkan kepala.

            “Tak tahu? Mustahil kau tak tahu ke mana ayah kau pergi. Jangan sesekali berbohong dengan aku, sebab aku tak mahu cederakan perempuan. Tapi kalau kau berdegil, jangan salahkan aku kalau apa-apa terjadi pada kau,” ugut Black tenang.

            “Saya benar-benar tak tahu, percayalah. Dah lama dia hilangkan diri.” Ujar Duha Maisara cuba menyakinkan lelaki itu.

            Wajah Black merah padam. Penafian Duha Maisara membuatkan darahnya mendidih tiba-tiba. “Kau jangan cuba nak naikkan darah aku. Aku tahu kau sengaja nak melindungi ayah kau kan? Jangan jadi bodoh, apa gunanya kau lindungi dia kalau dia tak boleh lindungi kau?”

            Duha Maisara terdiam. Memang lelaki itu tidak pernah melindunginya selama ini. Dia selalu menjadi mangsa dari kelalaian ayahnya. Tapi meskipun begitu, dia juga sesekali tidak sampai hati mengkhianati lelaki itu. Duha Maisara memandang lelaki di hadapannya. “Kenapa awak cari dia? Dia berhutang duit dengan awakkah?” Dia bertanya.

            Black tertawa besar diikuti derai ketawa orang-orangnya. Pertanyaan Duha Maisara menimbulkan kelucuan. “Dia bukan setakat mencuri duit aku,  aku ada hutang lain dengan ayah kau yang mesti dibayar dengan darah. Kalau aku tak jumpa dia, aku akan ambil kau sebagai ganti.” Ujar Black seraya menyentap pergelangan tangan Duha Maisara.

            Duha Maisara tersentak. Wajah Black kelihatan serius.

            “Kau tentu dah biasa dengan kerja-kerja di Blue Ocean kan. Tentu tak ada masalah untuk aku jual kau pada mana-mana lelaki kaya untuk dijadikan perempuan simpanan. Dengan cara itu aku akan dapat duit aku semula.”

            Kata-kata Black membuatkan dada Duha Maisara bagaikan mahu pecah. Dia cuba melepaskan diri, namun pegangan Black lebih kemas. Abang, tolonglah Duha. Selamatkanlah Duha! Bisiknya dalam hati. Tubuhnya gementar menahan takut. Entah kenapa, saat itu dia benar-benar mengharapkan Zafran datang membantu.

Matanya dipejamkan rapat-rapat sambil cuba menahan keresahan yang membekam dalam dirinya. Tiba-tiba tubuhnya seolah ditolak. Serentak pegangan Black terlepas dari tangannya. Duha Maisara tergaman. Kelopak matanya dibuka. Dia terperanjat melihat sesusuk tubuh berdiri di hadapannya menghadap ke arah Black yang terjelupuk di tanah dengan bibir pecah. Bukan Zafran seperti yang diharapkannya. Bulat mata Duha Maisara memandang kelibat lelaki yang berada di hadapannya.

Black bangun perlahan-lahan. Darah di bibirnya dilap dengan tangan. Matanya mencerlung tajam ke arah lelaki yang tiba-tiba muncul. “Kau memang nak cari nahas dengan aku. Siapa kau?” Bentak Black benar-benar meradang.

“Siapa aku tak penting, tapi kau cari fasal dengan perempuan ni. Perempuan ni ada hutang dengan aku. Aku tak suka kau ganggu hutang dia dengan aku. Orang yang kau cari ayahnya, jadi jangan ganggu dia.” Balas Nashriq berani. Dia menjeling Duha Maisara yang seolah tergaman. Serentak tangannya menarik tubuh Duha Maisara di belakangnya.

“Siapa kata dia tak ada kena mengena dengan ayahnya. Kalau ayahnya tak mampu langsaikan hutang, aku akan ambil dia.”

“Kalau kau berani, cubalah.” Cabar Nashriq tanpa berfikir panjang. Black mengetapkan bibirnya. Terasa geram dengan perihal lelaki itu. Mata Black mengisyaratkan orang-orangnya menyerang. Nashriq sudah bersedia dengan penumbuknya.

Apabila salah seorang lelaki itu melancarkan tumbukan ke arah Nashriq, tubuh Duha Maisara segera ditolak. Terkejut gadis itu melihat Nashriq menghadapi lima orang lelaki itu serentak. Nashriq berjaya melancarkan tumbukan padu beberapa kali mengena tepat ke wajah dua lelaki itu, namun dia cuai mengawasi kelibat lelaki di belakangnya. Sekejap sahaja tubuhnya terdorong ke hadapan, apabila satu tendangan berjaya membuatkan dia tersembam. Namun dia pantas bangun. Tak sia-sia dia sempat mengikuti beberapa kelas boxing semasa belajar di United State dulu.

Duha Maisara yang memerhatikan dari tepi semakin cemas apabila melihat beberapa kali Nashriq berjaya dibelasah. Darah pekat mula membasahi hujung mata dan bibir lelaki itu. Oh tuhan, selamatkanlah kami ya Allah, tak putus-putus dia berdoa begitu.

Tiba-tiba Duha Maisara teringat untuk meminta tolong dari orang-orang di Blue Ocean yang hanya beberapa blok dari situ. Dia segera berlari ke arah bangunan Blue Ocean. Dari jauh beberapa ‘bouncer’ kelab itu sedang berbual-bual di hadapan pintu masuk.

“Duha? Kenapa ni?’ Tegur Salim yang berbadan besar. Terkejut dia melihat Duha Maisara yang termengah-mengah. Kawan di sebelahnya turut terperanjat.

“Abang Salim, tolong Duha. Ada lelaki-lelaki jahat pukul kawan Duha di hujung jalan sana,” beritahu Duha Maisara cemas.

Salim tercengang mendengar kata-kata Duha Maisara. Dia memandang temannya Rafi. “Rafi, kau panggil dua tiga orang lagi budak-budak kita ke sana. Aku ikut Duha dulu,” suruh Salim. Rafi hanya mengangguk seraya bergegas ke dalam.

Duha Maisara segera membawa Salim ke arah tempat dia meninggalkan Nashriq bersama lelaki-lelaki itu. Dari jauh, Duha Maisara bagaikan terpaku melihat Nashriq sudah lemah longlai dipukul Black dan teman-temannya. Melihatkan keadaan itu, Salim segera campur tangan.

Black seakan terkejut melihat kemunculan Salim. Dia segera melepaskan Nashriq yang terdampar tidak sedarkan diri. Salim segera menerpa ke arah Black. Mereka bergomol di atas tanah sebelum saling membelasah. Teman-teman Black seakan gugup melihat ketua mereka berjaya dibelasah Salim. Mereka tambah terkejut apabila mendengar bunyi bising dari jauh.

Black berpaling. Dia tergaman melihat kelibat tiga lelaki bertubuh besar sedang menghampiri mereka. Salim tersengih.

Hei slowdown man, kenapa nak panggil-panggil orang ni. Aku cuma main-main saja.” Black menolak tubuh Salim menjauh. Dia segera bingkas bangun.

“Main-main kepala otak kau, berani kau buat kacau dengan perempuan ni, dalam kawasan kami pulak tu. Kau tahu kawasan ni kawasan siapa? Ini kawasan Black Parade. Sekarang aku nak kau dah kawan-kawan kau berambus segera. Jika aku nampak kau berlegar-legar di sini, you will finish man!” Gertak Salim.

Mendengar nama Black Parade disebut lelaki itu, Black terdiam. Nama yang disebut lelaki itu membuatkan dia gerun. Dia tahu dalam saat-saat sekarang dia tidak boleh melawan.  Buruk padahnya dia mencari fasal dengan Black Padare. Lagipun tubuh tukang pukul kelab itu besar-besar belaka. Jika dilawan, yang teruk pastinya dia dan kawan-kawannya juga.

            Namun sebelum beredar, matanya mencerlung tajam ke arah Duha Maisara. Hmm…takpe hari ni kau menang. Lain kali kau tahulah nasib kau! Bisik Black dalam hati. Dia segera mengisyaratkan orang-orangnya meninggalkan tempat itu.

            Setelah lelaki-lelaki itu beredar, Duha Maisara segera mendapatkan Nashriq. Tubuh lelaki itu dipusing mengadap ke arahnya. Terkejut dia melihat darah merah yang menitis di kolar baju Nashriq. Mata lelaki itu terpejam rapat. Hanya dadanya sahaja yang turun naik.

            “Teruk juga budak ni kena belasah. Tapi dia berani selamatkan Duha,” ujar Salim ketika menjengah Nashriq.

            Duha Maisara terdiam. Dia sendiri tidak tahu kenapa Nashriq boleh tiba-tiba ada di situ ketika itu. Apakah dia memang sengaja menunggu aku, dan secara tak sengaja terbabit sama? Duha Maisara memandang ke arah Salim.

            “Abang Salim, Duha nak minta tolong abang.”

            Salim tercengang. Dia memandang gadis itu, sambil menunggu buah bicara yang mahu disampaikan oleh gadis itu. Namun wajah Duha Maisara keresahan, bagaikan sukar meluahkan kata-kata.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!