Followers

Tuesday, July 19, 2011

Mitos Cinta Suria : Bab 44

            WAJAH manis yang terpapar dalam potret itu dipandang agak lama. Dua kali dipandang, wajah itu mirip sekali dengan seseorang yang dikenalinya. Seseorang yang dirinduinya dalam diam.
“Ibu…” seorang lelaki berkulit hitam legam muncul di sebalik pintu.
            “Bagaimana? Sudah kau jalankan tugas kau, Ijok?” Dia melontarkan pertanyaan tanpa berpaling ke arah lelaki itu. Matanya masih menatap gambar gadis di dalam potret tersebut.
            “Sudah ibu. Saya sudah pastikan tidak ada apa-apa bukti yang boleh mengaitkan kita ditemui. Pihak polis takkan menemui apa-apa, ibu.” Ijok tunduk, tidak berani mengangkat mukanya.
            Yong Habibah berpaling lalu merenung tajam ke arah lelaki itu. “Betul kau dah buat kerja kau? Habis, kenapa gambar lakaran wajah kau sedang diedarkan di balai polis sekarang ini?” Soal Yong Habibah keras.
            Ijok tergaman. Bagaimana wanita itu tahu? Dia memberanikan diri memandang wajah berang di hadapannya. “Maaf ibu, perempuan tu nampak saya sewaktu di hospital tempohari.” Ujarnya.
            “Kau tahu tak gambar kau yang ada dalam simpanan pihak polis boleh membahayakan kita? Membahayakan seluruh organisasi kita?”
            “Maaf ibu…”
            “Maaf? Itu saja yang kau pandai sebut? Kau kena ingat Ijok, aku yang selamatkan kau dulu. Aku juga yang pulihkan kau dengan harapan suatu hari nanti kau akan membantu aku menghapuskan perempuan tu. Tapi dengan sikap cuai kau ni, belum sempat kita bertindak, mereka akan tahu siapa kita. Kau mahu kita semua mendapat susah?” Jerkah Yong Habibah.
            Ijok terdiam. Dia tidak berani mengingkari atau menjawab kata-kata wanita itu. Wanita itu bagaikan ibu padanya. Tak mungkin dia akan melawan cakap-cakap wanita itu meskipun ianya tidak sedap didengar.
            “Saya akan berhati-hati lain kali ibu.” Ujarnya perlahan.
            “Sudahlah! Fasal gambar kau tu, aku akan uruskan. Kau boleh keluar sekarang,” arah Yong Habibah. Ijok tunduk sedikit sebelum mula melangkah keluar. Sebaik dia melepasi pintu bilik wanita itu, dia berselisih dengan Nazrul. Langkahnya serta-merta perlahan. Nazrul yang kebetulan mahu ke bilik ibunya turut berhenti. Sejurus mata kedua-duanya bertaut. Kepala Ijok menunduk sebentar ke arah Nazrul sebelum mula neneruskan langkahnya yang tergendala sebentar tadi. Namun belum sempat dia beredar lebih jauh, Nazrul menghalang. Ijok menoleh.
            “Kau perlukan apa-apa?” Soal Ijok, tenang berhadapan dengan Nazrul.
            “Aku nak beri amaran pada kau. Berhenti ganggu Suria dan jangan ekori dia lagi.” Getus Nazrul keras.
            Ijok tersengih. Dia menatap wajah Nazrul acuh tak acuh. “Ini arahan dari ibu kau.  Aku terpaksa patuh.” Jawab Ijok selamba.
            “Biar apa sahaja arahan ibu aku, kau jangan campur sebarang hal yang melibatkan Suria. Aku tak mahu dia diapa-apakan.”
            Ijok ketawa besar. Entah kenapa kata-kata Nazrul menggelikan hatinya. Sejak dari dulu, hubungannya dengan lelaki itu tidak pernah baik.
            “Kalau kau benar-benar sayangkan perempuan tu, kau sepatutnya bunuh saja dia  Nazrul sebelum dia menyebabkan kita semua terbunuh.” Bisik Ijok seraya tersengih. Nazrul terpempan. Kata-kata Ijok membuatkan berangnya memuncak.
            “Apa arahan ibu aku pada kau?” Soalnya dengan suara meninggi.
            “Macam biasa.”
            “Kalau apa-apa berlaku pada Suria, aku akan bunuh kau Ijok.” Bentak Nazrul dengan wajah garang. Ijok sekadar tersenyum mendengar ugutan lelaki itu.
            “Kata-kata kau tak menggentarkan aku Nazrul. Kau nampak parut ni?” Dia menunjukkan parut sepanjang 6 inci di antara kening dan pelipis di sebelah mata kirinya.
            “Dah sepuluh tahun aku menentang benda yang kita buru ini. Aku nyaris mati di tangan iblis tu. Ugutan kau hanya perkara biasa bagi aku. Aku hanya jalankan tanggungjawab aku. Aku bukan macam kau yang hanya tahu bermain-main. Kalau abang kau masih hidup, tentu dia takkan bersikap macam kau bila berhadapan dengan tugas kita.” Ungkap Ijok sebelum pergi meninggalkan Nazrul yang terpaku sejenak.
*  *  *  *
            “Kenapa tiba-tiba ajak ibu makan ni?” Yong Habibah bertanya anak muda di hadapannya. Nazrul tersenyum hambar. Pinggan nasi di hadapannya dikuis-kuis dengan hujung sudu.
            “Naz takkan ajak ibu makan bersama kalau tak ada apa-apa hal yang penting. Bukan begitu? Terus terang saja. Ibu tahu Naz nak cakap sesuatu kan?” Duga Yong Habibah.
            Nazrul mengalihkan pandangan. Menatap wanita itu dalam-dalam. Sejak kecil, dia sememangnya mempunyai jarak dengan wanita itu. Panggilan ibu yang meluncur dari bibirnya seperti tidak bermakna apa-apa. Ya, wanita itu memang seorang ibu. Ibu kandungnya sendiri! Tapi pada masa yang sama, wanita itu dirasakan lebih sebagai seorang majikan dari seorang ibu.
            “Naz nak cakap dengan ibu fasal Suria Baharom.” Dia berterus terang kali ini. Jika itu boleh menyelesaikan kemelut yang berlaku, dia akan mengalah berbincang dengan wanita itu. Ibunya nampak terkejut mendengar nama Suria disebut.
            “Kenapa dengan dia?” Balas Yong Habibah acuh tak acuh.
            “Apa rancangan ibu terhadap dia?”
            “Kenapa Naz nak tahu? Tugas Naz hanya awasi dan dekati dia, itu saja.”
            “Bagaimana kalau Naz katakan yang Naz sukakan dia ibu?” Mata Nazrul mencerun ke arah ibunya.
            “Jangan nak merepek. Naz tak boleh jatuh cinta dengan dia. Ibu boleh terima jika orang lain. Tapi jika gadis itu Suria Baharom, baik Naz lupakan sahaja niat Naz tu. Ibu takkan terima dia. Tidak selagi ibu masih hidup.” Keras suara Yong Habibah meningkah kata-kata anaknya.
            “Saya kenal dia ibu. Saya memerhatikan dia selama ini. Lagipun dah berapa ramai orang yang kita bunuh ibu? Cukuplah semua ini.” Keluh Nazrul.
            Yong Habibah terdiam. Kata-kata Nazrul ditelan dengan perasaan berang. Pendirian Nazrul yang sering goyah, benar-benar merungsingkannya.
“Boleh Naz jamin pada ibu yang dia takkan berubah? Macam ayah Naz? Naz dah lupa tentang sumpah iblis itu yang akan cuba menghapuskan seluruh keturunan kita sehingga ke akhirnya?” Soal Yong Habibah dengan wajah merah padam.
“Perempuan yang Naz gilakan itu datang dari keturunan yang tersumpah. Setiap darah kotor yang mengalir di tubuhnya harus dihapuskan.” Bentak Yong Habibah dengan tekad besar.
            “Bagaimana dengan saya dan abang Najmi, ibu? Darah kami juga darah kotor. Apakah ibu juga akan hapuskan kami?” Soal Nazrul dengan wajah bersahaja.
            Yong Habibah terpempan. Wajahnya berubah. Nafasnya direngus kasar.“Hentikan semua cakap-cakap mengarut ni!”
            “Darah yang kami warisi dari ayah, darah itu yang ibu mahu hapuskan bukan?” Getus Nazrul seraya memandang wajah di hadapannya yang kian berubah.
            “Cukup Naz. Ibu tak mahu dengar apa-apa lagi.” Herdik Yong Habibah dengan suara meninggi. Dia semakin hilang kesabaran diri.
            “Sampai hari ini, Naz sering tertanya-tanya. Apakah kematian Najmi hanya satu kebetulan ataupun telah dirancang? Sejak hari itu, ibu tidak pernah menyebut tentang Najmi lagi. Kenapa? Sebab ibu rasa bersalah?”
            Mata Yong Habibah terbeliak memandang anaknya. Entah kenapa dia tidak senang dengan kata-kata yang keluar dari mulut Nazrul. “Maksud Naz apa? Ibu sengaja bunuh Najmi, begitu?” Wajah Yong Habibah semakin keruh.
Nazrul memandang ibunya tidak berkelip. “Can I trust you as my mother? The answer is no, ibu.” Bisik Nazrul, menolak kerusi ke belakang lalu bingkas bangun.
Hati Yong Habibah terusik. Langkah Nazrul dipandang sepi sehingga kelibat anak muda itu menghilang di sebalik pintu utama. Sebaik Nazrul beredar, dia termenung panjang. Kata-kata lelaki itu umpama sekolam racun yang mengalir di setiap saluran pernafasannya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!