Followers

Saturday, October 20, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 10


            DANIRA bingkas bangun dari tidurnya. Nafasnya dihela kuat. Peluh dingin memercik di dahinya. Astagfirulhalazim! Dia meraup wajah. Dalam beberapa hari ini, dia asyik bermimpi buruk. Dahulu dia bermimpi tentang ayahnya, kini dia bermimpi tentang ibunya pula. Apa maknanya semua ini? Kenapa semua kenangan pahit itu kembali di pelusuk fikirannya?

Ketenangan hatinya selama ini tercalar sekali lagi. Bagaikan baru semalam dia mengalami semua kejadian-kejadian itu. Imbasan tubuh ibunya yang melayang jatuh dari bangunan pusat rawatan itu masih terbayang-bayang di ruang matanya.

            Sampai kini dia tidak tahu apakah penyebab kepada tragedi yang menimpa ibunya. Apakah wanita itu sememangnya berniat membunuh diri? Tidak! Aku tidak boleh percaya itu semua. Uminya wanita yang beriman. Tak mungkin umi akan bertindak sedemikian rupa. Bertahun-tahun lamanya dia cuba menafikan kenyataan itu.

            “Mungkin Puan Zahlia bertindak begitu di luar akal warasnya. Lagipun dia pengidap pre-senile dementia. Ini semua tidak mustahil.” Penjelasan Doktor Khairi yang merawat ibunya kepada pihak polis juga menimbulkan keraguan di hatinya.

Dia enggan mempercayai kenyataan doktor itu. Lagipun apa daya yang ada pada seorang pesakit yang dikatakan nyanyuk dan hilang ingatan untuk membunuh diri?

            “Sabarlah Nira, Pak Maidin tahu kamu sedih. Tapi kamu kena kuat dan tabah demi Naufal.” Suara Pak Maidin pula mengambil giliran berkumandang di telinganya.

            Tabah? Tabahkah dirinya? Tahukah mereka apa yang  dirasakannya? Dalam usia muda, dia menyaksikan dua kematian orang yang paling disayanginya di hadapan matanya sendiri. Mampukah lagi airmata ini mengalir meratap sedih sebuah kehilangan?

            “Nangislah kalau Nira mahu. Jangan simpan kesedihan tu Nira,” pujuk Mak Minah sewaktu jenazah ibunya siap dikapankan. Dia memandang Mak Minah. Mata wanita itu basah apabila menatapnya. Anehnya perasaannya sendiri ketika itu membeku. Dia bagaikan hilang emosi.

            “Dia langsung tak menangis bila tengok mayat ibunya bang. Saya bimbang dengan Nira.” Suara Mak Minah meskipun bernada bisikan, namun mampu  ditangkap sepasang telinganya dari luar bilik.

            “Baguslah begitu. Itu maknanya dia boleh terima kematian ibunya.” Jawab Pak Maidin, acuh tak acuh.

            “Eh abang ni, macam tu pulak. Abang tak risaukan budak Nira tu ke? Dia macam tak rasa apa-apa bila ibu dia meninggal. Itu kan aneh.” Bisik Mak Minah perlahan.

            “Minah, jangan kamu sangka bila Nira berkeadaan macam tu, hatinya tak sedih. Dia memang sedih, aku faham perasaan dia. Tapi aku lebih suka tengok dia begitu, dari dia berendam airmata setiap hari.” Balas Pak Maidin.

            “Saya bukan apa bang. Saya takut Nira masih belum dapat lupakan kejadian tu. Lagipun ibunya jatuh di depan matanya sendiri. Saya tak boleh bayangkan gadis semuda Nira, terpaksa berhadapan dengan kejadian macam tu. Saya takut emosi dia terganggu.” Luah Mak Minah. Pak Maidin tidak bersuara. Hanya dengusan nafas lelaki tua itu sahaja yang kedengaran.

            Dia tidak berkata apa-apa. Matanya merenung sayu ke arah Naufal yang sedang tidur. Sepertinya, Naufal juga menerima kematian ibunya dengan tenang. Tapi sewaktu jenazah ibunya diturunkan di liang lahad, dia nampak jelas kelopak mata adiknya ditakungi air jernih.

Dia tahu adiknya itu sengaja memendam rasa. Ubun-ubun di kepala Naufal diusap perlahan. Mata yang terpejam rapat itu dipandang tidak berkelip. Hatinya berbisik rawan. Kita dah jadi anak yatim piatu Naufal! Mulai saat ini, kita harus menjaga antara satu sama lain. Kakak janji, kakak takkan benarkan apa-apa yang buruk menimpa diri Naufal. Kakak akan jaga Naufal selagi kakak terdaya! Selagi kakak hidup! Itu janji kakak, sayang!

            Dia meraup wajahnya. Ikrar janjinya ketika itu tidak mampu ditunaikan. Ya, dia pernah berjanji akan melakukan segala-galanya untuk Naufal. Naufal adalah dunianya. Naufal adalah kebahagiaannya. Namun siapa yang mampu melawan takdir? Tuhan tidak mengkehendaki dia bersama-sama Naufal meneruskan kehidupan. Kerana itu Naufal hilang entah ke mana!

Airmatanya diseka dengan jari-jemarinya. Pandangannya dilontar ke arah jam loceng di biliknya. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 5.00 pagi. Sudah hampir masuk waktu subuh.

Dia segera bingkas bangun lalu menuju ke bilik air. Selepas membersihkan diri, dia terus mengambil wuduk. Sejenak kemudian, dia sudah berteleku di tikar sembahyang. Sambil menanti waktu subuh, dia menghabiskan masa membaca ayat-ayat suci al-Quran. Terasa lapang dadanya setiap kali dia menyebut kalimah-kalimah ALLAH. Setiap kali menghabiskan satu juzuk al-Quran setiap hari, dia bagaikan mendapat kekuatan baru. Dan kekuatan inilah yang menjadi pendinding kepada semangatnya yang tidak pernah pudar.

            Selesai solat, Danira langsung tidak membuang masa. Dia turun ke tingkat bawah. Ruang tamu yang sudah diubahsuai dengan pelbagai warna ceria nampak sesuai sekali dengan imej taska yang diuruskan Kamila. Dia segera mengambil penyapu lalu mula membersihkan tempat itu. Buku-buku cerita yang berselerak di atas meja bulat dikemaskan di rak tersedia. Kertas-kertas yang bercontengan dengan warna air dikumpul setempat lalu diletakkan di atas sebuah meja. Dia tidak berniat membuangnya kerana dia tidak tahu apakah kertas-kertas lukisan itu masih diperlukan atau pun tidak.

            “Eh awal Nira bangun hari ni.” Tegur Kamila ketika berkunjung pagi itu.  Dia perasan, ruangan di situ lebih kemas dari sebelum ditinggalkannya kelmarin. Kamila tahu, tentu gadis itu yang mengemaskan ruangan di situ.

            “Nira dah biasa bangun awal semasa dalam penjara dulu kak.” Jawab Danira, lurus bendul. Kamila terdiam sejenak. Kata-kata gadis itu membuatkan dia merasa serba-salah.

            “Nira dah sarapan?” Tanya Kamila ingin tahu. Danira menggeleng.

            “Kakak ada bawakan nasi goreng. Mari kita makan sama-sama. Lepas ni, Nira ikut kakak shopping. Kita beli barang-barang dapur. Nanti senanglah sikit kalau Nira nak makan apa-apa. Dapur kat sini dah ada, Nira guna ajelah. Lagipun kami memang masak semua makanan untuk anak-anak kat sini.” Jelas Kamila.

            “Err tak payahlah kak. Nira rasa tak perlu.” Kepalanya digelengkan.

            “Alah apa pula tak perlu. Lagipun tak ada apa-apa pun kat peti ais tu lagi. Sekurang-kurangnya kita pergi beli makanan untuk dipenuhkan kat dalam peti ais tu.” Sahut Kamila.

            Danira terdiam sejenak. Wajah Kamila ditatap sayu. Entah kenapa kebaikan hati wanita itu membuatkan dia sebak.

            Kamila tersenyum simpul. Wajah gadis manis itu ditatap lembut. “Nira jangan macam ni. Jangan tolak keikhlasan hati kakak. Kakak memang tak kenal sangat dengan Nira, tapi kakak percaya naluri kakak. Gadis di hadapan kakak ni tak seperti apa yang dituduh, itu kakak yakin.” Ujar Kamila seraya memegang bahu Danira.

            Danira mengangkat wajah memandang Kamila. Airmata yang bergenang nyaris gugur diusik kata-kata Kamila. Ya ALLAH! Syukur kepadaMU, masih ada insan yang baik hati seperti Kamila. Yang mempercayai diriku yang hina ini! Bisik hati kecilnya.

            “Meskipun kakak tak tahu apa sebenarnya yang terjadi pada Nira, tapi kakak percaya, Nira punya masa depan yang cerah. Kakak takkan paksa Nira bercerita, tapi kalau suatu hari nanti, Nira nak berkongsi cerita dengan kakak, kakak sudi mendengarnya. Bila-bila masa sahaja Nira.” Tutur Kamila.

            Hatinya sedih mendengar kata-kata Kamila. Bahu Kamila sudah diraih lalu dipeluk. Dia menangis teresak-esak di bahu wanita itu. Aneh! Mereka baru kenal tak sampai sehari. Tapi dia benar-benar mempercayai kata-kata Kamila. Kamila dan Salmi sama sahaja sifatnya. Kedua-duanya tidak pernah jemu mententeramkan perasaannya.

            “Sudahlah tu, jangan nangis lagi. Nira lebih cantik kalau tersenyum. Mulai hari ni, Nira dah ada seorang kakak. Apa-apa sahaja masalah Nira, ceritakan pada kakak. Kakak akan bantu selagi terdaya.” Bisik Kamila di telinganya.

“Kita tunggu Umaira, Lynn dengan Kak Siti datang dulu, baru kita keluar shopping.” Sambung wanita itu lagi.

            “Siapa mereka tu kak?” Soal Danira ingin tahu. Nama-nama yang baru disebut wanita itu, benar-benar janggal di pendengarannya.

            “Mereka tu pekerja kat sini. Umaira dengan Lynn tenaga pengajar. Kak Siti pulak buat tugas-tugas mengemas dengan memasak. Sekejap lagi, kakak kenalkan Nira dengan diaorang.” beritahu Kamila.

            Apabila pekerja-pekerja Kamila datang, wanita itu segera memperkenalkannya dengan pekerja-pekerjanya. Danira cepat suka pada Umaira dan Siti yang peramah. Hanya Lynn yang nampak pendiam dan sombong terhadapnya. Dia sendiri tidak tahu kenapa Lynn menjelingnya lain macam sahaja, seolah-olah tidak suka dengan kehadirannya di situ. Namun dia malas mahu membuat andaian atau berprasangka yang bukan-bukan. Mungkin gadis hitam manis dari Pulau Pinang itu ada masalah sendiri agaknya!

*  *  *  *

            Kamila becok bercerita itu ini sambil memandu keretanya ke suatu arah. Sesekali Danira tergelak kecil apabila Kamila bercerita sesuatu yang melucukan. Entah kenapa dia senang sekali berada bersama wanita itu. Kamila ternyata peramah serta menghiburkan.

            “Biasanya anak-anak kat taska ni dari lingkungan usia 4 hingga 6 tahun. Kat sini kami ajar anak-anak ni membaca, menulis dan melukis. Apa yang diajar dalam darjah satu di sekolah, sama dengan apa yang kami ajar di sini. Jadi bila mereka semua mula bersekolah, senanglah sikit sebab mereka dah boleh membaca dan menulis.” Jelas Kamila.

            “Pukul berapa biasanya mereka kat sini kak?”

            “Dalam pukul 8.00 hingga 8.30 pagi, datanglah budak-budak tu. Setakat ni anak-anak yang ada di sini semuanya berjumlah dua puluh dua orang.”

            Danira terdiam. Dua puluh dua? Ramai juga tu. Sempat ke nak handle mereka semua? Lagipun rata-rata budak kecil ni banyak kerenah dan ragamnya. Tapi dia tidak pula menyatakan persoalan yang berlegar di fikirannya ketika itu.

            “Jangan bimbang, Umaira dan Lynn tu memang mahir melayan kerenah budak-budak tu. Buat masa ini, Nira cuma bantu-bantu dulu mereka berdua dengan budak-budak tu. Nanti kakak susun semula jadual kat situ.” Ujar Kamila.

Dia sekadar mengangguk. Sesekali dia mengerling ke arah belakang tempat duduk yang dipenuhi dengan barang-barang dapur yang mereka beli di pasaraya tadi. Mulanya dia membantah Kamila membeli barang-barang sebanyak itu, tapi wanita itu bagaikan tidak kisah langsung. Malah apabila mereka singgah di sebuah butik pakaian, Kamila sekali lagi menarik tangannya masuk ke dalam.

            “Nira pilihlah beberapa pasang baju, kakak belikan untuk Nira.” Suruh Kamila.

Danira tergaman. Pantas kepalanya digelengkan.

            “Tak mahulah kak, dah banyak sangat barang kakak beli untuk Nira. Cukuplah tu, lagipun Nira tak perlu baju baru.” Dia menolak. Entah kenapa segan benar hatinya kerana dilayan sebegitu rupa oleh Kamila.

            “Tak apa Nira, lagipun kakak tengok baju-baju Nira dah lusuh benar. Apa salahnya sesekali bertukar baru. Kalau Nira tak mahu, kakak pilih sendiri nanti baru Nira tau. Tapi kakak ni orang tua, citarasa pun tua.” Kamila melawak.

Danira tersenyum. Lucu mendengar kata-kata wanita itu. Kerana dipaksa, dia setuju mencuba beberapa helai pakaian yang dirasakannya sesuai dan murah.

            Tapi ketika dia keluar dari fitting room, matanya menangkap kelibat Kamila sedang berbual-bual dengan seorang lelaki. Dia hendak mencelah, tapi kemudian dibatalkan hasratnya. Tak elok pula rasanya mencuri tumpuan orang. Dia diam sahaja sambil menunggu Kamila selesai berbual.

Kamila yang terpandang kelibat Danira sedang menantinya di tepi fitting room segera melambaikan tangannya. Danira membalas seraya tersenyum.

            Tiba-tiba lelaki yang berlawan cakap dengan Kamila turut menoleh. Danira tercengang apabila matanya berlaga pandang dengan lelaki segak berkemeja putih itu. Melihat lelaki itu, matanya semakin mengecil. Kenapa dia seperti pernah melihat wajah lelaki itu sebelum ini? Lelaki itu juga merenung lama ke arahnya seolah-olah turut berfikiran serupa dengannya.

            Melihat Kamila melambai-lambaikan tangan ke arahnya, mahu tak mahu dia terpaksa menghampiri Kamila dengan perasaan berbolak-balik.

            “Nira, kenalkan..ini Filman.” Ujar Kamila memperkenalkan kedua-duanya.

            Lelaki itu tersenyum lalu menghulurkan tangannya terlebih dahulu.

            “Filman.” Ujarnya.

            Danira merenung huluran tangan lelaki itu. Hendak disambut dia serba-salah. Hukum hakam yang dipelajarinya di penjara wanita itu masih melekat kukuh di kepalanya. Haram hukumnya bersalaman dengan lelaki yang bukan muhrim.

            “Saya Danira. Maaf, saya tak boleh sambut tangan Encik Filman.” Ujar Danira berterus-terang.

            Filman terkedu sebentar. Gerak-geri gadis itu yang kaku ditatap tidak berkelip. Mulanya tadi dia agak terkejut melihat Danira. Wajah gadis itu seperti pernah ditemuinya tapi dia tidak ingat di mana. Puas sudah dia cuba menyelongkar khazanah yang terpateri di kepalanya. Beberapa ketika kemudian, dia mula teringatkan sesuatu. Peristiwa dia nyaris-nyaris terlanggar gadis itu di jalanan beberapa hari yang lalu kini muncul silih berganti di fikirannya.

            Melihat lelaki itu diam sahaja seraya merenungnya tidak berkelip, Danira tiba-tiba diterpa perasaan bersalah. Apakah lelaki itu tersinggung hati dengan kelakuannya yang tidak mahu menyambut huluran tangan lelaki itu sebentar tadi? Aduh! Mati dia kalau memang benar lelaki itu tersinggung.

            “Err..maaf Encik Filman, sa..saya tak sambut sebab haram bersentuhan dengan orang yang bukan muhrim.” Tergagap-gagap Danira cuba menjelaskan.

            Filman tiba-tiba melempiaskan tawanya. Kata-kata Danira sebentar tadi benar-benar membuatkan dia tergelak besar. Lucu!

            Kelakuan Filman membuatkan Danira tercengang. Dia menoleh ke arah Kamila yang turut tergaman. Ternyata sikap lelaki itu membuatkan fikiran mereka saling tertanya-tanya.

            “Cik Danira tak kenal saya lagi?” Dalam gelak tawanya, Filman masih sempat menghamburkan pertanyaan.

            Wajah Danira berkerut.

            “Kita ada jumpa beberapa hari yang lalu. Saya ada berikan kad saya tempohari.” Ujar Filman menyambung kata-katanya.

            Danira terdiam. Otaknya menerawang jauh. Alamak! Sebab itukah dia seperti pernah melihat lelaki itu sebelum ini? Rupa-rupanya lelaki itulah yang nyaris-nyaris melanggarnya tempohari. Ya ALLAH! Kecilnya dunia ini!

            “Lelaki yang bercakap dengan kakak tadi tu, ayah salah seorang kanak-kanak kat taska kakak. Baik orangnya.” Ujar Kamila seraya mematikan lamunan Danira.

            Danira menoleh. Wajahnya membayangkan kekagetan. Ayah? Jadi lelaki itu sudah berkahwin? Semuda itu sudah jadi ayah?

            “Dia tu peguam. Kalau ada masalah berkaitan undang-undang, selalunya kakak rujuk pada Encik Filman. Anaknya Melia sudah dua tahun dihantar ke taska kakak.” Cerita Kamila lagi. Danira hanya mendengar celoteh wanita itu tanpa sebarang reaksi.

            “Kakak harap Nira dapat biasakan diri di rumah tu.”

            “Nira terhutang budi pada kakak. Dah banyak kakak tolong Nira.”

            Kamila tersenyum kecil. “Apalah sangat pertolongan kakak ni Nira. Lagipun kita sesama manusia ni memang kena saling tolong-menolong. Tak begitu?”

Danira terdiam. Kata-kata wanita itu sekali lagi membuatkan dia terharu. Alangkah baiknya jika semua orang seperti Kamila, mempercayai dirinya.

            “Nira, sebenarnya kakak ada sesuatu nak beritahu Nira. Kakak harap Nira jangan salah faham ya.” Wajah Kamila seperti serba salah. Entah patut atau tidak dia mengutarakan persoalan itu pada Danira. Mungkinkah Danira akan tersinggung nanti?

            “Apa dia kak?”

            “Fasal Nira baru keluar dari penjara, kakak harap Nira boleh  rahsiakan perkara ni dari Umaira, Siti dan Lynn. Kakak bukan apa, bukan semua orang berfikiran macam kakak. Harap Nira faham.” Pinta Kamila.

            Danira terdiam. Sememangnya dia juga berfikiran begitu. Permintaan Kamila juga adalah harapannya selama ini. Dia benar-benar  mahu melupakan sejarah silam. Dia mahu membina hidupnya semula. Lagipun jika orang tahu siapa dia, pasti yang susah Kamila juga. Jika mereka semua tahu dia bekas banduan yang baru bebas dari penjara, pasti ramai ibubapa takkan sudi menghantar anak-anak mereka ke taska Kamila. Apatah lagi kesalahan yang dilakukannya adalah kerana membunuh!

1 comment:

Unknown said...

itu lah rencah kehidupan pasti ade prasangka buruk andai di kisah kan cerita silam yang hitam pade sesape pun!!!tak sume insan leh terima ngan ati yang terbuka n iklas!so lebih baik disimpan kemas tampa diketaui olih sesiape pun...n g mane lh plak penerimaan hilman andai tahu kisah sebenar???sedeh sesangat ngan nira n bile lah agak nye nira dapat bersua ngan adek tercinta......

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!