Followers

Monday, May 3, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 4

KEADAAN di dalam bilik itu sunyi sepi. Baru sekejap tadi seorang pegawai begitu yakin melontarkan ideanya, tapi melihatkan wajah ketuanya yang begitu serius, dia jadi resah. Lelaki berkot kemas itu sibuk meneliti pelan yang berada di hadapannya. Sesekali dia merenung ke arah pegawai lelaki yang kelihatan gugup.

“You yakin dengan projek Taman Alam ni Halim?”

“Absolutely. Hundred percent” Ujar lelaki itu meskipun airmukanya nampak ragu-ragu mahu mengiyakan.

“You boleh teruskan dengan usul ni, tapi sebelum itu saya mahukan laporan penuh analisis kawasan tanah tinggi dari pakar kita dan dari pihak JAS. Saya tak mahu pembangunan yang akan kita laksanakan nanti boleh memudaratkan dan mendatangkan masalah akan datang.” Kata lelaki itu dengan tegas sambil memerhatikan setiap raut wajah para pekerjanya.

“Ikram, bagaimana perkembangan dengan Megah Corps?”

“Don’t worry, aku dah siapkan proposal sebut harga. Kita takkan kalah dengan Bumi Antro. Percayalah.” Temannya tersengih.

“Jangan yakin sangat. Kita bercakap fasal Bumi Antro, syarikat besar. Bukan kedai runcit macam kita ni.” Syed Rahim menyampuk. Bibirnya dicebikkan seolah-olah merendahkan keupayaan Ikram. Menyirap darah anak muda itu mendengar kata-kata Syed Rahim yang agak celupar mulutnya. Sakit hatinya mendengar kata-kata yang seolah-olah mengutuk bangsa sendiri.

“Kalau kita orang Melayu tak yakin pada keupayaan sendiri, siapa lagi? Kalau berniaga tak berani nak mengambil risiko, lebih baik tak usah berniaga. Lebih baik balik kampung ternak ayam.” Sindir Ikram disambut deraian ketawa ‘meeting board’ yang lain.

Merah padam muka Syed Rahim mendengar kata-kata Ikram. Kurang ajar, desis hati Syed Rahim. Baru setahun jagung dalam bidang hartanah sudah nak tunjuk lagak.

Hazril hanya tersenyum mendengar kata-kata Ikram. Sebagai ketua dia tidak mahu memanjangkan masalah antara orang-orang bawahannya.

“Kedai runcit konon.” Cebik Ikram lalu tergelak besar ketika makan tengahari bersama Hazril di warung berdekatan pejabatnya. Hazril turut sama tertawa.

“Sorry to say Ril, but sometimes, I think your Pak Ngah is out of his mind. Adakah disamakannya Perkasa Budi dengan kedai runcit? Apa dia ingat kita ni bisnes garam gula ke?” Ikram menggelengkan kepalanya.

“Kau bukannya baru kenal dia sehari dua Ikram. Pekakkan telinga sudahlah. Kau tak tahu betapa bersyukurnya aku Pak Su aku tak ada sekali dalam syarikat tu. Bukannya senang nak layan mereka berdua serentak dalam syarikat.” Keluh Hazril.

“Hmm hebat Pak Su kau baru-baru ni. Banyak cerita menarik pasal dia keluar paper. Gosip sana sini, maklumlah orang bisnes filem. Mak Su kau tak mengamuk ke?” Ikram tersengih.

“Mahunya tak, tapi entahlah. Malas aku nak jaga tepi kain dia orang. Asalkan dia orang tak ganggu aku sudahlah. Tapi Production House dia boleh tahan jugak. Tak lama lagi nak produce filem baru.”

“Mana tak bagus, kau supply everything dari modal hinggalah peralatan. Pulak tu kenal ramai oang-orang dalam bidang showbiz. Pak Su kau tu cuma cuci kaki.” Sanggah Ikram.

“Semua ni jasa Irina. Dia yang perkenalkan mereka semua tu pada Pak Su aku. Kalau harapkan aku, mana aku kenal mereka semua.” Ujar Hazril merendah diri. Tapi itulah realitinya.

“Hai untunglah kau ada makwe yang berkebolehan macam Irina tu. Dahlah cantik, bijak pulak tu. Lainlah aku ni, siapalah yang hendak. Jangan katakan model, amoi cina kat office kita tu pun belum tentu mahu.” Keluh Ikram separuh bergurau. Hazril tergelak besar mendengarnya.

* * * *

“GERAM aku. Kurang ajar punya budak. Berani betul dia.” Syed Rahim marah-marah sebaik sahaja pulang ke rumah. Syarifah Asmah terpinga-pinga melihat suaminya yang angin satu badan. Apahal pula orang tua ni? Buang tabiat agaknya.

“Awak ni kenapa Tuan Syed? Hujan tak ada, angin tak ada tiba-tiba pulak ribut taufan melanda apasal?” Sindir Syarifah Asmah yang asyik membelek-belek majalah di tangannya.

“Awak jangan nak naikkan darah saya As. Sudahlah saya dimalukan di pejabat tadi, ini awak pulak nak cari pasal?” Jeling Syed Rahim.

“Kenapa dengan awak?”

“Budak Ikram tu sengaja cari fasal dengan saya hari ini.”

“Yalah tapi kenapa?”

“Ada ke dia malukan saya tengah mesyuarat tadi. Dia sangka dia tu siapa? Baru jadi orang kanan Hazril dah tunjuk lagak. Kalau bukan sebab Hazril ada tadi, dah lama saya tampar dia tau tak?” Marah betul Syed Rahim. Merah padam mukanya menghadap isterinya.

“Awak berani ke? Setahu saya, awak depan Hazril, jentik semut pun tak mati.” Syarifah Asmah tak sudah-sudah menyindir suaminya. Cakap saja besar! Gumamnya seraya tersengih.

“Awak cakap apa ni As?”

“Ala bukan saya tak tahu awak dengan si Razlan tu sama saja. Bodoh! Kan dari dulu saya cakap, awak sepatutnya jadi pemegang amanah budak Hazril tu waktu budak tu berhingus lagi, tapi awak nak urus benda macam ni pun tak reti.”

“Bukan saya tak mahu As, tapi awak kan tahu Radzi awal-awal lagi dah menamakan Badrul jadi pemegang amanah budak tu. Saya langsung tak ada hak. Si Radzi tu pulak satu, percayakan sangat orang luar padahal saya ni adiknya. Sepatutnya saya yang pegang syarikat tu,” ujar Syed Rahim.

“Tapi dia tu tak percayakan awak dengan Razlan, pasal awak tu bodoh. Sepatutnya dari dulu lagi awak rebut tempat Badrul tu. Naik turun mahkamah pun tak apa. Tapi awak degil, nasihat saya awak tak nak dengar.” Leter Syarifah Asmah.

“Sudahlah, malas saya nak layan awak As. Ha si Julia mana?” Melilau matanya mencari anak gadis tunggalnya.

Syarifah Asmah buat endah tak endah sahaja dengan pertanyaan suaminya. Bengkak hatinya masih belum reda mengenangkan kebodohan suaminya yang langsung tak pandai merebut peluang.

“As, saya tanya awak ni, Julia mana?” Sergah Syed Rahim. Berang apabila pertanyaannya tidak dijawab. Matanya dijegil ke arah isterinya yang kelihatan selamba.

“Manalah saya tahu dia kat mana. Itu kan anak awak jugak. Selagi tak habis duit di poketnya tu, mana dia ingat nak balik ke rumah ni.” Balas Syarifah Asmah seraya menyelak helaian majalah di riba lalu pura-pura membaca.

“Itulah awak, manjakan sangat budak tu. Daripada dia menghabiskan duit saya tak tentu pasal, bukan ke lebih baik dia ikut saya ke pejabat. Kerja dengan Hazril. Dah dua bulan balik dari luar negara, tapi masih tak buat apa-apa. Melepak sana sini macam minah rewang. Saya hantar dia ke luar negara suruh belajar, tapi apa dia buat? Bukannya ijazah yang dia bawa balik sebaliknya padah pula yang dicari.” Dengus Syed Rahim sambil bingkas bangun.

Terkebil-kebil mata Syarifah Asmah memerhatikan suaminya beredar ke tingkat atas. Seketika kemudian, senyuman sinis mula terukir di bibirnya. Rahim..Rahim…keluhnya!

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!