Followers

Saturday, June 26, 2010

Mitos Cinta Suria : Bab 14

Seorang lelaki berpakaian serba putih menyelak kain putih di hadapannya. Izwan pula sedang memakai sarung tangan plastik yang tersedia di salah sebuah sinki di bilik itu, sebelum menyertai Doktor Ibrahim dan seorang lelaki lain ke tengah bilik. Matanya asyik memerhatikan sekujur mayat yang terbujur kaku di hadapannya. Kordi yang tiba-tiba menjengah masuk, tergaman melihat intro siasatan sudah bermula.

Kordi memandang Izwan yang merenungnya agak tajam. Dia tersengih menutup gugupnya. “Maaf tuan, saya terlambat. Jalan sesak tadi.” Ujar Kordi memberi alasan. Lelaki itu hanya mengangguk sambil mengisyaratkan agar Kordi segera menyertai mereka.

“Doktor?” Izwan memandang lelaki itu.

Doktor Ibrahim mengangguk, memahami isyarat yang dipamerkan Izwan sebentar tadi. Pandangannya beralih ke arah mayat di hadapannya. Renungannya singgah lama pada mayat itu sebelum menumpukan perhatiannya pada Izwan yang kelihatan tenang. Adib Mustaza dari Jabatan Kimia turut menyertai sesi mereka hari itu.

“Berdasarkan bentuk rangka tubuh mangsa yang agak kecil serta organ-organ badannya, kami pasti mangsa seorang wanita dalam lingkungan usia 20an. Dari penurunan suhu badan mangsa, saya percaya mangsa meninggal dunia dalam tempoh tak kurang dari empat jam sebelum mayatnya dibawa ke mari. Ini boleh dibuktikan dengan adanya kesan hypostasis pada badan mangsa semasa dibawa ke mari.” Jelas Doktor Ibrahim.

“Hypostasis?” Kordi kelihatan keliru.

“Bila berlaku kematian, bahagian badan yang paling bawah akan menjadi lebam disebabkan darah berkumpul di situ. Hypostasis atau lebam biasanya akan berlaku selepas satu jam kematian dan hilang selepas lapan jam berikutnya.” Sahut Adib Mustaza yang arif dengan tugas seorang koroner. Doktor Ibrahim hanya mengangguk.

“Dari perubahan warna pada bahagian perut serta berurat, menunjukkan mangsa mati tak kurang dari 48 jam. Dari situ kami mengagak mangsa meninggal dunia antara jam tiga hingga empat pagi.” Sambung Doktor Ibrahim lagi. Izwan memandang Adib Mustaza yang kebetulan turut memandang ke arahnya.

“Selain dari tanda hypostasis pada peringkat awal, ada juga kesan bruises dan lecet pada tubuh mangsa.” Doktor Ibrahim menunjukkan ke arah lengan mayat itu. Izwan merenung lebam yang berwarna merah tua itu. Dahinya berkerut memandang Adib Mustaza.

“Lebam lama?” Dia menyoal.

Adib Mustaza mengangguk. “Mangsa mungkin diculik atau dikurung sebelum dibawa ke tempat itu. Lebam-lebam ni dianggarkan berusia lebih dari dua minggu. Seluruh tubuhnya penuh dengan kesan-kesan luka. Dari bentuk luka serta kerosakan tisu kulit, aku berani kata ini lacerated wound. Luka pada tubuhnya tidak sekata dan mempuyai kesan kerosakan tisu maksima. Seolah-olah dia seperti dibaham sesuatu.”

“Binatang buas?” Izwan merenung Adib Mustaza.

Adib Mustaza dan Doktor Ibrahim saling berpandangan. Soalan Izwan terbiar sepi.

“Susah nak kata. Kecederaan di tubuh dan leher mangsa memang mirip dengan kesan gigitan binatang buas. Malah saya dah ambil sampel enzim pada luka mayat untuk dikaji. Tapi anehnya paten luka tak sama dengan bahagian taring mana-mana binatang buas. Sepatutnya luka akibat gigitan bintang buas boleh dibuktikan dengan adanya sampel air liur binatang tersebut yang akan melekat pada pemukaan luka. Tapi dalam kes ini. tak ada sebarang kesan air liur binatang buas atau bukti-bukti kimia yang lain ditemui. Ini kali pertama saya temui kes aneh seperti ini.” Keluh Doktor Ibrahim. Dia menarik nafas panjang. Semua ini memang sukar dipercayai.

“Kalau bukan gigitan binatang buas, jadi angkara apa?” Soal Kordi pula ingin tahu.

“Itu yang menjadi kemusykilan saya dan pegawai-pegawai perubatan yang lain. Tapi saya ada menemui sesuatu yang agak pelik pada luka di tubuh mangsa.”

“Apa dia?” Serentak Izwan dan Kordi bertanya.

“Saya temui satu bahan seperti garam laut pada luka mangsa yang terdedah. Garam laut itu terhablur pada lapisan luka mangsa beberapa jam selepas kami jalankan post mortem.” Ujar Doktor Ibrahim.

“Garam laut?” Izwan sempat mengerling ke arah Adib Mustaza.

“Macamana boleh ada garam laut sedangkan tempat mangsa tu mati, jauh dari laut?” Kordi melahirkan kesangsian.

“Bagaimana dengan bukti-bukti fizikal lain seperti cap jari atau darah?” Izwan meneruskan soalannya tanpa mengendahkan pertanyaan Kordi. Tapi kali ini soalan itu ditujukan kepada Adib Mustaza.

“Tak ada sebarang cap jari pada tubuh mangsa. Tapi aku ada ambil sampel tompokan darah dari pakaian mangsa dan hantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis. Selain dari darah mangsa sendiri, kami dapat kesan beberapa tompokan darah yang bernukleus dan tidak termendak sewaktu Precipitin .” Ujar Adib Mustaza.

“Dan?”

“Aku mungkin ada berita baik dan berita buruk untuk kau. Yang mana yang kau nak dengar dulu?” Soal Adib Mustaza dengan wajah serius.

“Straight to the point.” Pinta Izwan, juga serius,

“Berita baiknya, kita mungkin dah dapat DNA pembunuh itu. Berita buruknya pula, pembunuh ini kemungkinan besar bukan manusia dan pasti bukannya binatang buas.” Ujar Adib Mustaza.

Kata-kata lelaki itu mengejutkan Izwan. Kordi turut terlopong.

“Sel darah manusia biasanya berbentuk bulat dan tidak mempunyai nukleus. Begitu juga dengan sel bintang. Tapi yang anehnya kedua-dua sifat itu tidak ada pada tompokan darah yang ditemui. Malah kami juga gagal mengesan sebarang agglutinogen wujud pada darah tersebut. Aku nak kau tengok bahagian leher ni lebih teliti, Wan.” Adib Mustaza menunjukkan ke arah leher mangsa.

Izwan tunduk lebih dekat. Tengkuk gadis itu direnung penuh teliti. Selain kesan luka di leher jenjang itu, dia juga melihat ada kesan merah tua mengelilingi tengkuk itu.

“Ligature mark?” Izwan memandang ke arah Adib Mustaza.

“Yup, dia pernah dijerut dengan tali tapi rasanya bukan ini yang menjadi sebab kematian dia. Sebab waktu mayat ni dijumpai, tidak ada tali dijumpai di kawasan kejadian. Tapi dari kesan lecet di leher, tali yang digunakan mungkin tali rapia yang biasa. Mungkin bertujuan untuk memaksa perempuan ni mengikut kehendak dia.” Ujar Adib Mustaza.

“Kau kata jerutan tali tu bukan punca kematian mangsa. Jadi apa punca kematiannya?” Soal Izwan. Adib Mustaza menarik nafas panjang. Doktor Ibrahim memandang ke arah Izwan.

“Kehilangan darah cukup banyak boleh jadi punca kematian. Dalam kes ini, mangsa mengalami kehilangan darah yang banyak sekali.” Balas Doktor Ibrahim.

“Berdasarkan bentuk luka pada leher mangsa, kami berdua percaya, darah mangsa dihirup sehingga mangsa lemah dan mati.” Celah Adib Mustaza pula. Izwan menghembus nafas. Kordi yang turut sama mendengar terlongo.

“Are you sure?” Izwan memandang ke arah Adib Mustaza. Lelaki itu hanya mengangguk. Renungan matanya bersinar ke arah Izwan.

“Ada kecederaan lain dari segi seksual?”

Doktor Ibrahim dan Adib Mustaza serentak menggelengkan kepala.

“Siapa yang berdendam begini, sehingga sanggup memperlakukan gadis ni sampai macam tu sekali,” keluh Doktor Ibrahim. Izwan menggelengkan kepalanya. Lama matanya merenung ke arah mayat tidak berwajah itu. Siapa kau sebenarnya?

* * * *

“Kurt, awak balik pejabat dulu, cuba padankan maklumat yang kita dapat tu dengan kes ini. Minta bahagian analisis maklumat bantu.” Arah Izwan pada lelaki itu. Kordi hanya mengangguk tanpa banyak soal.

Sebaik lelaki itu berlalu, Izwan memusingkan tubuhnya. Adib Mustaza tersenyum memandangnya. Izwan juga tersenyum, lantas menghampiri lelaki itu perlahan-lahan. Secara tiba-tiba, dia merangkul tubuh lelaki di sampingnya. Adib Mustaza tergelak besar.

“Aku tahu kau gembira jumpa aku semula, but this is not the right way to treat your buddy.” Usik Adib Mustaza. Izwan ketawa kecil.

“Dah lama tak jumpa. Aku gembira dapat jumpa kau balik.”

“Aku pun sama. Good to see you again Wan. Aku dah kumpulkan team lama kita macam yang kau suruh. Mereka semua tengah tunggu kat pejabat baru kita. Tapi boleh aku tanya kau sesuatu?” Mata lelaki itu berkerut memandangnya. Izwan menaikkan keningnya.

“Kalau pihak kerajaan beria-ria nak kita selesaikan kes ni, kenapa tak support kita dengan tempat yang lebih baik? That place is suck, man!” Rungut Adib Mustaza.

“Mujurlah peralatannya setanding dengan peralatan semasa kita bertugas di Unit Risikan dulu.” Sambungnya. Izwan ketawa kecil.

“Pihak atasan suruh kita berhati-hati. Kes ini harus dirahsiakan. Dalam government, not everyone can be trusted. Lagipun kes ini akan menyukarkan banyak pihak jika dapat liputan meluas. Cuba kau bayangkan impak kepada masyarakat jika mereka tahu punca kematian gadis itu. Kita sekarang bukan berhadapan dengan seorang pembunuh biasa. Ada sesuatu yang tak kena dengan kes ni.”

“Kau masih fikir kes ni sama dengan kes-kes yang kita pernah siasat dulu di Johor Bharu?”

“Patennya sama bukan?” Izwan tersenyum. Hampir dua bulan lamanya mereka cuba memecahkan kebuntuan. Hari ini di tempat yang berbeza, dan masa yang berbeza, pembunuhan itu berlaku lagi.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!