Followers

Friday, June 25, 2010

Dedalu Di Hati : Bab 17

SUDAH agak lama dia menanti di luar, berkira-kira untuk masuk menemui lelaki itu. Namun kemudiannya dia jadi ragu-ragu. Haruskah dia menemui lelaki itu dan bertanya tentang hal yang satu itu? Atau tidakkah nanti lelaki itu akan mengesyaki sesuatu?

Aliya termenung panjang. Keraguan yang bersarang di hatinya kini menjadi keresahan yang tak berpenghujung. Tapi kalau dia menangguh-nagguhkan soal ini, sampai bila pun dia takkan mampu memperolehi jawapan yang diinginkannya.

“Ya Aliya, ada apa?” Adam menoleh ke arahnya. Lelaki itu ketika itu sedang melayan pertanyaan beberapa orang pelajarnya.

Aliya tergaman. Menyedari bahawa dia sudah berada di hadapan bilik lelaki itu yang terbuka luas. Entah sejak bila salah seorang pelajar membuka pintu bilik lelaki itu lalu membiarkannya terbuka luas sehingga menyerlahkan wajahnya.

Melihat Aliya diam sahaja, Adam kembali meneruskan perbincangannya dengan pelajar-pelajarnya. Sesekali dijelingnya Aliya melalui sudut mata, memerhatikan gelagat gadis itu. Hati kecilnya tertanya-tanya. Apa yang membawa anak gadis itu ke biliknya kali ini? Mahu berbincang tentang tesis barangkali. Tapi anehnya wajah itu tampak resah dan tidak bermaya.

Lepas satu-satu, hadir pula beberapa kumpulan pelajar lagi di bilik lelaki itu. Aliya tercengang. Dia akui dalam masa yang singkat, lelaki itu begitu disenangi oleh pelajar-pelajarnya. Ini kerana sikapnya yang peramah dan mudah didampingi. Tidak seperti sesetengah pensyarah lain yang bersikap lepas tangan dengan pelajar. Pengajarannya juga mudah difahami dan tidak berjela-jela. Kadangkala lelaki itu juga suka berjenaka apabila dilihatnya suasana kelas agak muram.

Dalam diam-diam Aliya melirik ke arah lelaki itu. Dia akui dirinya juga menyenangi lelaki itu. Suka? Ya, mungkin juga kerana keramahan dan perwatakan lelaki itu menarik perhatiannya.

Anehnya pertemuan pertama mereka tidak mendatangkan satu tanggapan yang baik darinya terhadap lelaki itu. Mungkin juga kerana sikapnya yang terlalu melindungi diri sendiri. Dia akui selama ini dia terlalu menjaga hubungannya dengan teman-teman sekampus terutama pelajar lelaki.

Kadang-kadang dia mendengar sendiri komen teman-temannya yang lain tentang dirinya. Tentang bagaimana sukarnya mendekati dirinya. Apabila dikomen begitu, paling-paling pun dia cuma akan tersenyum.

Tidak ada seorang pun yang memahami perasaannya selama ini. Kehilangan ibu dan ayahnya secara tiba-tiba menyebabkan dia takut untuk menyayangi seseorang. Ini kerana dia bimbang akan kehilangan lagi. Dia tahu, jika sekali lagi dia kehilangan orang yang disayanginya, mana mungkin dia akan dapat bertahan lagi. Tidak mungkin. Sebab itu lebih mudah untuknya tidak terlalu menyayangi seseorang. Kerana dia tidak perlu menanggung perasaan takut itu. Dia tidak perlu merasa takut untuk merasa kehilangan lagi.

Aliya mengetap bibirnya rapat-rapat. Menyedari seakan-akan ada air yang mahu tumpah menuruni cerun pipi, cepat-cepat disekanya dengan jari-jemarinya yang runcing sebelum sesiapa pun menyedarinya. Apabila dia memandang ke arah Adam, dilihatnya lelaki itu masih ‘sibuk’ melayan pelajar-pelajar yang tidak pernah putus-putus singgah. Aliya mengerling pergelangan tangannya. Dia hampir lewat untuk kelas berikutnya. Perlahan-lahan dia beredar dari situ. Mungkin bukan rezekinya untuk berjumpa lelaki itu pada hari itu.

Sebaik habis kelas Prof. Madya Siti Zurina, Aliya berjalan perlahan-lahan menuju ke arah perpustakaan. Dia mahu meminjam beberapa buah bahan rujukan untuk menyelesaikan assigmentnya yang tinggal dua minggu sahaja datelinenya.

Apabila dia melintasi kawasan parkir kereta di kawasan perpustakaan, tiba-tiba dia dikejutkan dengan bunyi hon kenderaan yang agak kuat. Aliya tergaman, serentak berpaling mencari arah bunyi itu. Dari jauh, dia terpandang sebuah Toyota Harrier berhenti di tepi jalan. Kepala Adam terjengul keluar dari dalam cermin kereta yang terbuka luas.

“Aliya, jom naik.” Pelawa lelaki itu separuh menjerit.

“Err..tapi Encik Adam saya nak ke library. Pinjam buku,” dalih Aliya serba salah.

“Aliya, kat sini tak boleh berhentikan kereta. Kalau Aliya tak naik, saya akan terus tunggu Aliya kat sini. Aliya tentu tak mahu sekuriti kampus clamp kereta saya kan?” Kata-kata lelaki itu seperti memaksa kali ini.

Aliya mengerutkan dahinya. Perasaan serba-salah bertukar bingung. Hendak tak hendak dia terpaksa menurut. Lelaki itu hanya tersenyum apabila melihat dia beralah. Toyota Harrier itu terus dipandu laju sehingga sampai ke hadapan pintu pagar utama universiti.

“Kita nak ke mana ni Encik Adam?” Soal Aliya apabila dilihatnya mereka sudah berada di luar kawasan kampus.

“Pergi minum.” Ringkas jawapan yang diberi lelaki itu.

“Kenapa sampai kat luar?”

Adam berpaling. Senyumannya meleret di bibir.

“Aliya nak kawan-kawan Aliya nampak Aliya minum berdua dengan saya dalam kawasan kampus? Tak takut gosip?” Soal lelaki itu.

Aliya terdiam. Betul juga cakap-cakap lelaki itu. Kawasan kampus ni bukanlah besar sangat. Tentu teruk dia disindir kawan-kawannya kalau mereka tahu dia pergi minum dengan pensyarah yang menjadi perhatian ramai gadis-gadis kolej.

Dia senyap sahaja sepanjang perjalanan. Adam juga seolah-olah tidak ada apa yang hendak diperkatakan. Masing-masing berdiam diri sehinggalah kereta lelaki iu membelok ke sebuah restoran. Dia hanya mengekor lelaki itu bagaikan lembu dicucuk hidung.

Tempat duduk yang dipilih lelaki itu mengadap ke arah tasik kecil yang dipenuhi bunga teratai. Cantik! Puji Aliya di dalam hati. Dia asyik memandang persekitaran restoran itu sehingga tidak sedar Adam memandangnya. Apabila dia berpaling, lelaki itu tidak pula bertindak melarikan anak matanya. Tiba-tiba Aliya jadi gementar. Renungan lelaki itu membuatkan dia jadi gugup.

“Kenapa Encik Adam pandang saya macam tu?” Aliya serba salah. Dadanya berdebar-debar tidak keruan ditatap begitu. Ada perasaan aneh menular ke dalam hatinya.

“Maaf, saya pandang sebab Aliya cantik.” Ujar Adam berterus-terang. Selamba.

Merah padam wajah Aliya. Dia tahu lelaki itu sekadar mengusiknya. Dia ingin mengatakan sesuatu, tapi tidak jadi apabila seorang pelayan singgah di meja mereka. Aliya mendengar lelaki itu lancar membuat pesanan dua nasi goreng Cina dan jus mangga.

“Makanan kat restoran ni sedap. Saya selalu singgah makan di sini dengan Doktor Aidit kalau berkesempatan.” Ujar lelaki itu sebaik pelayan itu beredar.

Aliya hanya diam. Dia tidak berniat mahu memberi komen. Apatah lagi perasaan malunya masih menebal ketika duduk berhadapan begitu dengan lelaki itu. Sepanjang hidupnya, inilah kali pertama dia keluar makan bersama seorang lelaki.

“Kenapa Aliya datang ke bilik saya tadi? Saya cari Aliya tapi Aliya dah pergi. Bosan menunggu saya ya?” Lembut suara Adam menuturkan kata-kata.

Aliya tidak menjawab. Patutkah dia bertanyakan lelaki itu tentang ayah angkatnya, atau adakah lebih baik dibiarkan sahaja? Dia semakin serba salah.

“Tak ada apa-apalah Encik Adam, saya cuma nak tanya fasal tesis saja tadi.” Aliya berdalih. Minta-mintalah lelaki itu tidak mengesyaki sesuatu!

“Itu saja? Tapi Aliya nampak macam susah hati. Macam orang nak menangis pun ada.” Pancing Adam seraya merenung gadis di hadapannya.

“Eh! Tak adalah, saya tak susah hati pun.” Nafi Aliya separuh gugup. Alamak! Dia nampak ke aku menangis tadi? Malunya!

“Betul ke?” Adam seperti enggan percaya.

“Betul. Oh ya saya dah dapat syarikat untuk buat Latihan Industri nanti.” Beritahu Aliya. Dia sengaja mengalih topik agar lelaki itu tidak terus bertanya yang bukan-bukan.

“That’s good! Di mana?”

“Perkasa Budi.”

“Hmm good choice. Pandai Aliya pilih,” Puji lelaki itu.

“Sebenarnya saya tak minta pun, lagipun tak confident boleh dapat. Kebanyakan syarikat besar kan selalu bersikap double-standard pada perempuan. Saya minta syarikat kecil-kecil saja tapi tak sangka pula, alih-alih dapat syarikat tu.” Aliya rancak bercerita.

“Bukan semua syarikat besar tu double-standard. Kebolehan perempuan pada masa kini sama saja dengan lelaki. Kalau Aliya tengok di negara-negara Barat, pekerja perempuan pegang jawatan yang sama dengan pekerja lelaki. Tiada langsung diskriminasi Tak payah pergi jauh, lihat saja di negara kita. Bukankah ramai wanita-wanita berkaliber mampu bergelar CEO syarikat-syarikat besar. Mungkin suatu hari nanti saya juga berpeluang lihat Aliya bergelar CEO?” Adam tersenyum.

“Saya? Jadi CEO? Hemm…nampaknya berjanggutlah Encik Adam kalau nak tunggu saya jadi CEO.” Aliya ketawa. Lelaki itu tergelak sama.

“Kenapa? Tak confident? Kalau Aliya tunjukkan usaha yang baik semasa training, mungkin Perkasa Budi akan menggaji Aliya terus.” Ujar Adam memberi galakan.

“Saya tak terfikir pula begitu.. Lagipun saya dah ada rancangan lain.” Balas Aliya sambil tersenyum.

“Rancangan lain?”Adam tercengang.

“Saya nak mengajar.”

“Mengajar?”

Aliya melihat wajah lelaki itu dipenuhi tanda tanya. Dia hanya tersenyum.

“Saya nak mengajar di rumah anak-anak yatim Seri Kenangan. Itulah janji saya dulu pada Ibu Fatimah. Sebaik saya dah dapat segulung ijazah, saya akan pulang ke sana menabur bakti.” Ujar Aliya.

“Siapa Ibu Fatimah tu?” Soal Adam ingin tahu. Wajahnya berkerut.

“Pengetua di rumah Seri Kenangan. Kat situlah saya dibesarkan Encik Adam.” Aliya tersenyum hambar. Adam terdiam seketika.

“Mana ibu bapa Aliya?”

Aliya tidak terus menjawab. Entah mengapa setiap kali ditanya mengenai kedua ibu bapanya, hatinya bagai terguris pedih.

“Mereka dah lama meninggal.” Aliya sebak. Dia tunduk memandang ke bawah. Segan untuk memandang lelaki di hadapannya. Matanya berkaca.

Adam mengeluh. Dia menyalahkan diri sendiri kerana bertanya. Jika dia tak menyebut, pasti gadis di hadapannya itu takkan bersusah hati.. Dia teragak-agak mahu menyapu airmata yang mengalir di pipi gadis itu. Takut tidak manis kelihatan di mata orang lain.

“Aliya, hidup dan mati itu takdir tuhan. Suatu hari nanti, saya percaya Aliya akan dikurniakan dengan orang-orang yang menyayangi Aliya pula. Percayalah, manusia tak dijadikan Allah di dunia ini untuk berseorangan.” Kata-kata lelaki itu begitu lembut tersusun. Aliya terpesona mendengar kata-kata itu.

“Syazana contohnya, saya tengok tak pernah berenggang langsung dengan Aliya. Asyik berkepit saja dua puluh empat jam. Ibu Fatimah pun tentu paling sayangkan Aliya kan?” Sambung lelaki itu lagi.

Aliya tersenyum akhirnya. Memang diakuinya dia dan Ibu Fatimah paling rapat di rumah anak-anak yatim itu. Malah dia amat menyenangi wanita bertudung labuh yang berwajah penyayang itu. Ibu Fatimah tidak pernah berkahwin. Budi dan baktinya hanya ditaburkan pada anak-anak yatim di Rumah Seri Kenangan. Wanita itu tidak ubah seperti ibu baginya.

“Doktor Aidit tu pun tak sudah-sudah bercerita fasal Aliya saja dengan saya. Sampaikan saya rasa kita seperti dah lama berkenalan. Tengok, semua orang sayangkan Aliya. Saya pun.....” Adam tiba-tiba menghentikan bicara. Dia mengetapkan bibirnya lalu tersenyum. Perlahan-lahan direnungnya wajah Aliya yang sedikit berubah.

“Saya pun ambil berat fasal Aliya. Aliya tak ubah macam adik saya sendiri.”

“Encik Adam ada adik perempuan?” Tanya Aliya ingin tahu.

Adam tidak terus menjawab. Wajah Aliya ditatap lama. Seketika kemudian dia mengangguk sambil tersenyum. “Ya, saya teramat menyayanginya. She’s almost everything for me.” Bisik lelaki itu.

* * * *

Dia menyandarkan dirinya di kepala katil. Syazana di katil sebelah sudah lama dibuai mimpi. Hanya tinggal dia seorang yang tidak mampu melelapkan mata. Wajah Adam asyik bermain-main di tubir matanya. Senyuman bening lelaki itu entah kenapa memukau perasaannya.

Kalaulah ada yang tahu aku keluar makan dengan pensyarah sendiri, pasti kecoh satu fakulti nanti. Tak fasal-fasal aku jadi bahan gossip. Dia tersenyum sendiri.

Apabila isyarat ‘beep’ singgah di pendengarannya, Aliya pantas mendapatkan laptopnya. Sudah agak lama dia tidak berbual-bual dengan daddynya dalam chatting room. Sudah hampir seminggu lamanya.

Melihat ID yang terpapar di skrin bukannya ID daddynya, Aliya jadi hampa. Dia menjenguk ke arah mesej yang ditinggalkan oleh Haikal dalam Yahoo Messenger. Aliya tersenyum sendiri.

Kadang-kala timbul rasa kasihannya pada Haikal yang tidak putus-putus mengajaknya keluar, meskipun sudah acapkali dia menolak. Apa salahnya Aliya kalau sesekali kau keluar dengan Haikal. Lagipun esok hujung minggu dan lelaki itu pun muda dua tahun dari kau! Entah kenapa hati kecilnya berbisik begitu.

Aliya tersenyum. Dengan pantas dia menekan punat-punat abjad membalas mesej Haikal.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!