Followers

Tuesday, November 6, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 17


            TENGKU Amar mendengus kasar sebaik menatap akhbar di tangannya. Lantas dia mengguman geram seraya mencampakkan suratkhabar tersebut ke atas meja. Tengku Saida yang baru keluar dari arah dapur terpinga-pinga melihat reaksi suaminya. Dia segera mengambil akhbar di atas meja lalu diselak. Seketika bibirnya tersenyum lebar. Kini baru dia faham kenapa lelaki itu bersikap begitu. Dia mengerling suaminya. Wajah lelaki itu kelihatan berang.

            Tengku Saida melipat akhbar di tangannya lalu diletakkan di atas meja. Gelas-gelas kosong di hadapannya dituang dengan jus oren. Segelas jus diletakkan di hadapan suaminya. Tengku Amar mencapai lalu menghirupnya tanpa banyak soal.

            “Awak nak marahkan Filman lepas ni” Tanya Tengku Saida selamba.

            Tengku Amar menjeling. Ada rasa tidak senang menyelinap ke dalam sanubarinya tatkala dia mendengar nama Filman disebut isterinya.

            Filman ni dah gila agaknya. Ada ke dia bercakap dengan press bagi pihak penduduk-penduduk tu. Mana saya nak letak muka saya ni depan Datuk Kamaruzzaman tu?” Sanggah Tengku Amar, melahirkan kekesalannya.

            Tengku Saida ketawa kecil seraya menggeleng-gelengkan kepalanya.

            “Hah yang awak ni ketawa kenapa? Apa yang lucunya?” Herdik Tengku Amar. Terasa bengang kerana diketawakan isterinya sendiri.

            “Saya gelakkan awak sebenarnya. Dulu awak yang paksa Filman terima kes ni. Dia dah cakap dia tak mahu mewakili Datuk Kamaruzzaman tu, tapi awak paksa juga dia. Sekarang awak nak salahkan dia pulak?” Tengku Saida tersenyum-senyum.

            “Saya suruh dia wakili Datuk Kamaruzzaman, bukannya penduduk-penduduk tanah haram tu.” Tukas Tengku Amar tidak mahu mengalah.

            “Tak baik awak cakap macam tu bang. Barangkali memang betul, arwah ayah Datuk Kamaruzzaman yang wakafkan tanah tu. Bila dia tak ada, urusan soal pengistiharan tu tak sempat dibuat.” Selar Tengku Saida, tanpa niat mahu menyokong Filman.

            “Yang awak ni macam tau-tau je, awak yakin ke benda yang awak cakap ni?”

            “Apa pulak tak yakin? Saya dengar perkara ni dari mulut Filman sendiri, mestilah saya percaya. Filman kan anak saya.” Balas Tengku Saida tersengih.

            “Sebab dia anak awak, sebab tu awak telan cakap dia bulat-bulat? Kalau orang suruh awak terjun perigi, awak ikut?” Perli Tengku Amar.

            “Kalau Filman suruh saya terjun lombong sekali pun saya ikut bang. Tapi kat KL ni mana ada dah lombong-lombong ni semua.” Tengku Saida berlawak. Ketawanya semakin kuat. Wanita itu memang suka bergurau senda.

            Tengku Amar menjegilkan matanya ke arah isterinya. Wanita yang dikahwininya hampir tiga puluh lima tahun itu memang sentiasa ceria dan penuh dengan sense of humour.

            “Bang, awak kena faham satu perkara. Filman sebenarnya bukan mempertahankan penduduk-penduduk tu, dia hanya bercakap berdasarkan apa yang betul. Apa yang boleh dilakukan untuk kebaikan kedua-dua belah pihak. Itu saja!” Ujar Tengku Saida apabila ketawanya mula reda. Dia memang berani melahirkan pendapatnya di hadapan suaminya yang terkenal panas baran.

            “Filman anak kita bang. Saya paling faham dengan perangai Filman tu. Berbanding adik beradiknya yang lain, Filman yang paling baik hati. Mungkin Firdaus yang paling cerdik tapi hati Filman yang paling rapuh, senang terluka. Awak ingat lagi masa awak paksa dia ambil jurusan undang-undang? Semalaman dia berkurung dalam biliknya. Bila saya tanya, dia kata dia tak apa-apa. Tapi sebagai ibu saya tahu, Filman kecewa kerana awak memaksanya. Dia betul-betul berminat nak jadi arkitek, tapi demi awak, dia terpaksa lupakan cita-citanya. Kecewa dia pernah tak awak cuba fahamkan?” Selar Tengku Saida.

            Tengku Amar terdiam. Dia mati kutu mahu menjawab pertanyaan isterinya.

            “Sekarang bila dia dah jadi peguam seperti yang awak inginkan, awak tak pernah beri dia kebebasan untuk dia memilih siapa yang harus diwakilinya. Filman tu cerdik bang, saya minta sangat-sangat awak biarlah Filman buat keputusan sendiri. Jangan campur tangan dalam kes dia atau awak jangan paksa dia terima lagi kes-ks yang melibatkan kawan-kawan awak tu. Kalau perlu awak sendirilah mewakili kawan-kawan awak tu. Jangan suruh Filman lagi.” Ujar Tengku Saida lagi.

            “Awak cakap macamlah saya ni teruk benar.” Tengku Amar seolah tersinggung dengan tuduhan isterinya. Dia menolak gelas jus di hadapannya. Seleranya tiba-tiba tumpul dengan kata-kata wanita itu.

            “Bila pulak saya kata awak macam tu?” Bangkang Tengku Saida.

            “Dahlah, malas saya nak cakap lagi. Mana yang lain-lain?” Tanya Tengku Amar. Sengaja mahu mengalihkan topik perbincangan mereka yang terasa berbahang. Nama sahaja dia peguam yang handal dan dikenali ramai, namun dia sentiasa kalah dengan hujah isterinya di rumah. Matanya mengintai kelibat anak-anaknya, namun seorang pun tidak turun pagi itu. Masih tidurkah?

            “Melly mana?”

            Ada kat atas dengan Kak Mah. Kak Mah tengah mandikan dia.”

            “Yang lain-lain?”

            Filman dah bangun tadi. Katanya nak berjogging dengan Aliff. Naj pula masih tidur.” Canang Tengku Saida satu persatu.

            Hai anak dara awak tu masih tidur? Kenapa tak dikejutkan saja dia?” Tengku Amar membeliakkan matanya.

            “Biarlah bang, lagipun hari ni kan hari minggu. Biarlah Naj tidur lama sikit.” Balas Tengku Saida.

            “Itulah awak manjakan sangat budak-budak tu. Mana tak naik lemak si Najla tu. Lama kelamaan nanti, diikutnya perangai yang tak semengah, susah awak nanti.” Leter Tengku Amar.

            “Tak adanya Najla macam tu. Saya kenal anak-anak saya lebih dari awak kenal mereka bang.” Getus Tengku Saida selamba.

            “Habis? Awak ingat saya ni tak kenal hati budi anak-anak saya?” Balas Tengku Amar sambil menjegilkan matanya besar-besar. Siapa tak hot bila dia dikenakan isterinya  sehingga dua kali dalam satu masa! Nasi goreng yang panas berwap di dalam pinggan sudah tidak berselera di anak tekaknya. Dia bingkas bangun dari kerusi menyebabkan Tengku Saida terpinga-pinga.

            “Abang nak ke mana tu bang? Kan belum makan lagi ni. Jamahlah sikit.” Tegur Tengku Saida.

Tengku Amar tidak menjawab. Lelaki itu sekadar memandang kosong  makanan di atas meja sebelum beredar menghala ke arah ruang tamu. Kata-kata isterinya langsung tidak diendahkan.

“Hai dah tua-tua pun masih merajuk lagi ke?” Keluh Tengku Saida sambil tersengih sendiri. Dia memandang nasi goreng di pinggan suaminya yang masih belum luak disentuh. Hai nasi goreng, nampaknya tuan kau tak sudi nak menjamah kau hari ni, keluh Tengku Saida separuh berlelucon.

*  *  *  *

            Potret lama keluarganya yang terletak di atas meja kerjanya, diambil lalu ditatap. Potret itu potret yang sama yang menghiasi pelantar almari sudut di ruang tamu. Matanya mencerun meneliti setiap wajah yang tertera di dalam potret tersebut. Gambar itu diambil semasa mereka sama-sama menyambut Hari Raya Aidil Fitri dua tahun yang lalu.

Jika melihat pada potret tersebut, orang ramai takkan ragu-ragu mengatakan mereka keluarga bahagia. Apatah lagi jika menatap senyuman yang terpamer pada setiap wajah di dalam potret tersebut. Tapi mampukah mereka meneka perasaan hatinya sendiri selaku seorang ayah? Hakikatnya semua anak-anaknya ada di dalam potret itu kecuali seorang. Seorang sahaja!

            Tengku Amar menghindarkan bingkai itu di tangannya. Tubuhnya membongkok mengadap ke arah meja tulisnya. Dia menarik sebuah laci di situ. Sekeping potret lain dikeluarkan dari dalam laci lalu ditenung. Lama matanya terpaku pada potret tersebut. Entah kenapa hati tuanya tidak pernah surut dengan getaran rasa yang menyakitkan. Sebuah wajah, sebuah senyuman menyulam rindu yang tidak pernah putus di hatinya. Membangkitkan kenangan dan kerinduan yang tidak berpenghujung.

            “Daus menang lagi. Ayah kalah!” Ketawa anak muda itu bergema Dia memandang lurus ke suatu arah. Imbasan wajah Firdaus muncul di situ. Senyuman anak muda itu melebar setelah berjaya mengalahkannya dalam permainan catur yang cukup digemarinya.

            “Daus main tipu ni kan?”

            Eh mana ada ayah. Dulu ayah selalu tewaskan Daus. Sekarang ni giliran Daus pulak. Lagipun Daus belajar ni pun dari ayah.” Ungkap kata anak muda itu, seolah mahu menyakinkannya.

            Dia tersengih sendirian. Ketawa Firdaus meletus lagi. “Daus ni memang sengaja nak kenakan ayah.” Dia mengguman geram. Firdaus tersenyum sambil matanya memandang buah catur yang baru saja dialihkan ke posisi checkmate.

            “Kalau Daus tak alihkan queen ni pun, Daus tetap menang sebab kuda ni. Macam yang ayah cakap dulu, untuk menang kita hanya perlukan strategi, tidak perlu bergantung pada ketua atau pemimpin.” Sahut Firdaus petah.

            Dia tersenyum. Senang hatinya mendengar kata-kata Firdaus yang sejak kecil menunjukkan kepintaran. Memang Firdaus adalah anak kesayangannya. Anak emasnya dalam keluarga. Sejak kecil dia mendidik Firdaus agar anak itu suatu hari nanti akan dapat menggantikan kedudukannya di dalam syarikat. Malah asuhan yang sama diberikan pada Filman agar suatu hari nanti mengikut jejak langkahnya menjadi peguam. Kerana itu dia tidak ragu-ragu membangunkan firma guamannya yang diberi nama Amar & Sons Co.

Mujurlah Filman mahu mengikut cadangannya mahu menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang. Filman memang lebih banyak beralah dengannya. Dia cukup mengerti Filman sebenarnya tidak berminat mahu menyambung legasi keluarga mereka dalam bidang undang-undang. Anak itu hanya memaksa diri. Belajar mencintai bidang undang-undang meskipun Filman lebih berminat dalam bidang seni bina. Malah keputusan Filman dalam peperiksaan dulu lebih baik dalam bidang sains tulen.

“Apa yang tak kena lagi dengan Filman? Awak patutnya menyokong dia, bukannya tambah melemahkan semangatnya.” Kata-kata isterinya Tengku Saida suatu ketika dulu tergiang-giang di telinganya. Ketika itu dia membantah keras apabila Filman beria-ria ingin menerima kes pertama yang agak berisiko.

Entah kenapa hatinya berat mahu membenarkan Filman mewakili anak guamnya dalam kes bunuh. Dalam kes itu, seorang wanita dituduh membunuh suaminya kerana cemburu. Dan dalam penilaiannya, kes yang ditawarkan kepada firmanya memang agak sukar. Dia merancang mahu menyerahkan kes itu kepada peguam yang agak senior, namun Filman tiba-tiba sahaja menawarkan diri semasa mesyuarat. Itulah yang membuatkan anginnya tiba-tiba memuncak.

Dia sebenarnya risau jika Filman gagal melaksanakan tugas itu dengan baik. Apatah lagi Filman baru dua bulan memulakan tugas di firmanya ketika itu.

            “Ayah jangan risau. Fil akan pastikan yang Fil takkan kalah dalam kes ini. Lagipun semasa Fil ambil kes ni, Fil dah kaji bahan bukti. Ada banyak kecelaruan dalam fakta kes. Kemungkinan besar kita boleh buktikan terdapat unsur-unsur ‘provocation’ dalam kes ni.” Ujar Filman.

            Namun keyakinan diri Filman tidak disenanginya. Dia sendiri tidak tahu kenapa. Malah dalam diam-diam, dia sering membandingkan antara Firdaus dengan Filman. Mengukur setiap kelemahan Filman berbanding Firdaus yang sempurna serba-serbi.

Tuhan, salahkah aku kerana sering membeza-bezakan mereka? Tapi demiMU aku sayangkan kesemua anak-anakku. Mungkin dengan Firdaus, aku bersikap pilih kasih. Tapi ini kerana Firdaus pandai menghiburkan hatiku, pandai mengambil hatiku yang sering kesunyian! Bisiknya sayu. Kalau bukan kerana tragedi itu, tentu sekarang dia dapat menatap wajah Firdaus yang mendamaikan. Atau bermain catur dengan anak kesayangannya itu. Tapi sekarang, segala-galanya telah musnah. Luka di hatinya semakin berdarah setiap kali dia teringatkan arwah Firdaus. Begitu juga dengan sakit hatinya yang semakin bercambah setiap kali dia teringatkan kata-kata temannya Ismail Habib beberapa bulan yang lalu.

“Pihak peguambela dah hantar petisyen rayuan di mahkamah. Mereka nak adakan semula perbicaraan.” Ujar lelaki itu.

Dia tersentak. Wajahnya turut berubah. “Kenapa?”

Kononnya pihak peguambela minta kemukakan saksi baru. Saksi tu ada rakaman di tempat kejadian ketika berlaku pembunuhan tu.” Ujar Ismail Habib.

“Tak mungkin.” Getusnya dengan wajah bingung.

“Amar, kau tahu maksudnya kan? Kalau bukti dan saksi itu memihak padanya, dia akan dibebaskan Amar.” Ujar Ismail Habib.

Nafasnya dihela resah. Dia mengerti kata-kata lelaki itu. Aneh! Macamana saksi yang dikatakan itu boleh muncul sekarang? Kenapa tidak dari dulu?

            Bunyi daun pintu diketuk perlahan, mengejutkan Tengku Amar dari khayalan. Dia tergaman. Cepat-cepat dia mengesat airmata yang mula bertakung di penjuru matanya. Potret Firdaus segera disimpan kembali ke dalam laci mejanya.

            Ayah ada kat dalam?” Suara Aliff muncul dari luar pintu. Tengku Amar segera bingkas lalu menuju ke muka pintu. Tombol pintu di hadapannya dikuak lebar. Terserlah wajah Aliff yang sedang menanti di luar. Anak muda itu tersenyum memandangnya.

            Aliff baru balik jogging dengan abang Filman. Ma kata ayah belum sarapan lagi. Mari ayah, kita sarapan sama-sama.” Pelawa Aliff.

Tengku Amar terdiam. Perutnya memang berkeroncong, tapi dia segan pula dengan isterinya. Itulah tadi dek kerana melayan perasaan, dia pura-pura jual mahal. Sekarang dia yang menyesal.

            “Ma dengan Mak Mah dah ke pasar tadi. Abang Filman yang hantar.” Ujar Aliff lagi bagaikan tahu apa yang bersarang di kepala lelaki itu. Tengku Amar mengangguk. Dia pantas mengatur langkah mengikuti Aliff ke meja makan.

            Sambil menjamah nasi goreng yang dimasak isterinya tadi, mereka rancak berbual-bual. Sesekali pecah ketawa mereka bila berbual hal-hal yang melucukan. Tengku Amar memang benar-benar senang berbual dengan anak muda itu. Entah kenapa, melihat Aliff ketika itu, bagaikan dia melihat aura Firdaus. Perwatakan kedua-duanya hampir serupa. Malah anak muda di hadapannya itu adalah klon Firdaus yang dirinduinya saban waktu. Sikap kedua-dua mereka juga hampir sama. Dan dalam sedar tak sedar, kehadiran Aliff lah yang berjaya mengubat kelukaan hatinya sejak sekian lama.

*  *  *  *         

            Sebaik Najla melangkah masuk ke bilik bacaan, dia terpandang kelibat Aliff yang sedang membaca sambil duduk di atas sofa rehat di situ. Bibir Najla serta-merta menguntum senyuman. Dia sudah menduga dari awal, lelaki itu akan berada di situ. Sejak remaja lagi, Aliff memang suka menghabiskan masa di bilik bacaan Tengku Amar. Malah hampir semua buku-buku yang ada di situ, pernah dibelek-belek anak muda itu.

            Diam-diam dia meraut wajah Aliff yang kelihatan asyik. Ketampanan lelaki itu membuatkan hatinya cair. Sejak usianya belasan tahun lagi, dia sudah menyimpan perasaan terhadap Aliff. Malah kadang-kala, perasaannya pada lelaki itu sengaja dipertontonkan. Sengaja dipersembahkan dengan cara yang cukup halus untuk memancing perasaan Aliff agar mengasihinya. Namun dia tidak tahu apakah sebenarnya Aliff memahami perasaannya atau sengaja berpura-pura tidak mengerti.

            Naj, buat apa kat sini?” Tegur Aliff sebaik ternampak kelibat Najla di muka pintu. Najla terkejut. Dadanya berombak-ombak seketika. Dia mengalihkan pandangan ke arah Aliff yang sedang memandangnya. Wajah anak muda itu berkerut.

            Aliff baca buku apa tu?” Najla bertanya separuh gugup. Risau lelaki itu menyedari tindak tanduknya yang seperti gila angau.

            Human Right karya Brighton Crochilte!” Jawab Aliff. Najla mengangguk. Dia memandang anak muda itu lagi. Perasaannnya benar-benar tidak keruan kali ini. Lidahnya bagaikan kelu mahu menuturkan kata-kata.

            “Naj nak cakap sesuatu dengan Aliff ke?” Tanya Aliff sebaik menyedari gerak geri Najla seakan kaku bila berhadapan dengannya. Mata Aliff merenung sepasang mata Najla yang bagaikan takut-takut mahu memandangnya.

            Err…Aliff seronok belajar kat London?” Terkeluar pertanyaan itu dari bibir Najla. Dia mengetap bibirnya. Lain yang mahu ditanya, lain pula yang keluar!

            Aliff merenung Najla tidak berkelip. Pertanyaan gadis itu mengundang rasa hairannya. Dia ketawa sendiri. “Kenapa Naj tanya? Naj pun nak ikut Aliff belajar kat London jugak ke?” Soal anak muda itu.

            Najla terdiam. Matanya mencerun ke arah wajah Aliff yang menyeringai kelucuan. “Kenapa Aliff ketawakan Naj? Salah ke Naj tanya?” Suara Najla seolah merajuk. Entah mengapa dia mudah tersinggung hati dengan tingkah laku Aliff.

            “Tak salah. Saja Aliff tanya, kut-kut Naj ada hati nak ikut Aliff balik London.” Usik Aliff. Sejak dulu sehingga sekarang, dia memang gemar menyakat Najla yang kerap merajuk.

            Siapa kata Naj nak ikut? Naj tanya je. Manalah tahu Aliff dah seronok sangat bergaul dengan gadis-gadis mat salleh yang cantik-cantik kat sana, sampai lupa dengan Naj yang tersadai kat sini.” Bunyi suara Najla jelas berjauh hati. Aliff tertawa kecil!

            Hmm..memang kalau diikutkan Aliff rasa rindu pulak nak balik sana. Mana tak nya, kat sana boleh jumpa awek-awek Aliff. Stephanie, Julia, Meredith, Katya…diaorang pun tentu rindu dengan Aliff.” Balas Aliff seraya mengerutkan dahinya seolah-olah terkenangkan seseorang.

            Mendengar nama-nama yang dicanang lelaki itu, hati Najla berdegup kencang. Dia merenung Aliff dengan wajah mencuka. Benarkah Aliff mempunyai ramai teman wanita bermata biru, atau dia sekadar bercanda denganku? Tapi kalau ya pun tentu tidak mustahil, kerana Aliff seorang yang mudah didekati, ramah dan kacak orangnya.

            Melihat Najla terdiam, Aliff tersenyum. Wajah Najla yang keruh dipandangnya. “Kenapa ni? Naj cemburu ya?” Bisiknya.

Najla terkedu. Senyuman Aliff tak lekang-lekang dari bibir, sedangkan hati Najla sudah dilambung gelisah. Apakah Aliff tahu apa yang bersarang di hatinya selama ini?

            Siapa cemburu?” Suara Najla gugup mencari helah.

            Betul Naj tak cemburu?” Duga Aliff.

            Najla menggeleng pantas. Bibirnya dijuihkan membuatkan Aliff ketawa besar.

Kepala Filman tiba-tiba terjengul masuk dari arah luar. “Amboi rancaknya berbual. Cerita apa ni?” Tegur Filman tersengih.

            Ketawa Aliff singgah lagi. “Tak ada apa-apalah bang, saja berbual dengan Naj ni.” Dalih Aliff. Filman memandang ke arah adiknya. Najla diam sahaja.

            Ni anak dara apa ni, baru bangun. Baik tolong Ma dengan Mak Mah masak lagi baik. Cuti-cuti hujung minggu ni, semua lekat kat rumah nak merasa masakan Naj. Abang pun baru balik teman Ma ke pasar tadi.” Usik Filman.

            Mulut Najla mencebik. “Tolonglah bang, Naj dah lama bangun tahu. Abang tu aje yang tak sedar. Pagi tadi masa abang dengan Aliff buka pintu pagar nak keluar berjogging, Naj dah bangun pun. Sampai hati pergi jogging tak ajak Naj ya.” Rungut Najla.

            Manalah kami tahu puteri lindungan bulan ni dah lama bangun. Lagipun sejak bila Naj suka berjogging ni? Dulu tak ada pun.” Sahut Filman.

Najla tercengang. Kata-kata Filman membuatkan dia jadi segan dengan Aliff. Jika diikutkan memang dia tidak suka berjogging sebenarnya. Tapi sejak Aliff ada, semua kesukaan Aliff menjadi kesukaannya juga.

            “Siapa kata Naj tak suka jogging? Abang pandai aje buat kesimpulan sendiri.” Balas Najla, cuba menutup gelodak di hatinya. Tapi melihat Filman dan Aliff seolah sepakat mengetawakannya, Najla mula sedar yang dirinya dipermain-mainkan. Dia segera memasamkan mukanya.  Bengang!

1 comment:

Unknown said...

cian kat naj,pendam perasaan terhadap aliff yang di cintai dalam diam...aliff sedar or wat2 tak faham jer!konflik nyer kes yang dikendali kan filman,susah bile melibat kan sahabat bapa sendiri.yang tersepit nye filman but keadilan harus di dulu kan filman dari ikut jer telunjuk yang sah2 salah...utama kan prinsip u filmam walau pun kerjaya u bukan atas dasar hati sendiri...sian gak kat filman neh,hehe

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!