Followers

Friday, November 15, 2013

Rembulan Berdarah : Bab 6


Dia baru selesai menyanyikan sebuah lagu diiringi petikan gitar sekumpulan pemuzik. Habis bernyanyi, dia menerima tepukan gemuruh dari pelanggan-pelanggan Blue Ocean. Tak kurang juga siulan-siulan nakal dilemparkan padanya. Dia tunduk sedikit, sebelum melangkah keluar dari pentas. Langkahnya segera dihela pantas ke bilik pakaian. Beberapa orang gadis kelihatan sedang berbual-bual di suatu sudut.

Dia tidak berniat mahu menegur gadis-gadis itu. Dibiarkan sahaja mereka riuh rendah menjaja pelbagai cerita. Anting-anting yang dipakai segera ditanggalkan. Matanya menjunam ke arah cermin besar di hadapannya. Wajahnya yang bermekap tebal itu dipandang agak lama. Sampai bila dia mahu terus begini? Ini bukanlah dirinya yang sebenar. Semua solekan, pakaian bergemerlapan dan gaya rambut itu bukanlah menunjukkan dirinya yang sebenar, tapi orang lain.

Duha Maisara segera menyapu mekap di wajahnya. Dia benci bermekap tebal. Dia benci berpakaian singkat seperti ini. Tapi apa dayanya, dia terpaksa tanpa rela. Hendak dikarang dukanya pada siapa, jika tiada siapa yang mahu mendengar. Mahu berkeluh kesah dengan Zafran, lelaki itu tentunya sedang sibuk dengan tugas barunya. Lagipun sampai sekarang Zafran masih belum tahu yang dia bekerja di tempat seperti itu. Dia sendiri tidak berniat mahu Zafran tahu. Jika lelaki itu tahu, pasti Zafran mengamuk sakan.

“Kamu nak kerja apa? Siapa yang akan ambil kamu kerja dengan setakat sijil STPM kamu tu? Kerja kilang? Shiftnya saja bukan main panjang. Lebih baik kamu ikut kata aku, kerja di tempat Mami Jun tu. Kerjanya senang, gajinya pun banyak.” Bicara ayahnya hampir setahun yang lalu, membuatkan airmatanya berlinangan tanpa sedar.

Ayah! Duha tahu ayah bencikan Duha. Duha tahu yang Duha tidak ada tempat yang istimewa di hati ayah seperti Zafran. Sebab itu ayah tak pernah mahu memandang wajah Duha lama-lama. Benci benar ayah pada Duha. Selama ini hanya Duha seorang sahaja yang menyimpan perasaan kasih dan hormat pada ayah. Sedangkan ayah?

“Duha, pergi cuci pinggan lepas tu masak nasi. Jangan ganggu Zafran nak belajar.” Jerit lelaki itu tatkala dia menjenguk Zafran yang sedang belajar.

“Biarlah ayah, Duha pun nak belajar juga. Biarlah dia temankan Yan kat sini.” Pintas Zafran pula.

“Jangan nak melawan cakap aku. Tugas kamu belajar Zafran, bukannya melayan dia. Lagipun kalau dia ada di situ, apa yang dia boleh buat?”

“Itulah dari dulu lagi Yan dah suruh ayah sekolahkan Duha, tapi ayah tak nak. Ayah suruh dia buat macam-macam kerja macamlah dia pembantu rumah kita.” Zafran mencebik. Sinis.

Ayahnya tergaman. Bulat mata lelaki itu memandang Zafran yang selamba sahaja menuturkan ayat berbisa. Dia menoleh ke arah Zafran. Anak muda itu tersengih memandangnya. Dia hanya mampu tersenyum dengan tingkahlaku Zafran. Namun mujurlah Zafran sentiasa ada untuknya. Mengharungi hidup seharian bersamanya.

Kerana Zafran juga, setahun kemudian dia mengambil peperiksaan SPM sebagai calon bebas. Semunya kerana jasa Zafran memaksa ayahnya membayar yuran peperiksaan untuknya.

“Abang nak Duha ambil buku-buku lama abang ni, dan kemudian study rajin-rajin. Abang tak boleh bantu Duha study, tapi kalau sesekali abang balik, abang akan bantu Duha mana yang terdaya. Tapi Duha kena usaha lebih sikit.” Ujar Zafran sebelum menyambung pelajaran ke kolej perubatan.

“Semua nota-nota lama abang ada kat dalam fail tu. Duha gunakanlah sebaiknya. Abang harap Duha akan berjaya.” Sambung Zafran.

“Kalau lulus tu bolehlah, tapi Duha tak rasa Duha akan dapat keputusan yang cemerlang macam abang.” Ujarnya merendah diri.

“Siapa kata tak boleh?” Zafran mencerlung tajam ke arahnya. Memang sejak dulu, Zafran sering memarahinya kalau fikirannya sentiasa negatif.

“Duha jangan putus asa. Duha dah tengok kan bagaimana cara abang study? Bagaimana keadaan rumah kita, keadaan ayah? Semua yang berlaku langsung tak menggugatkan semangat abang untuk berjaya. Kenapa? Sebab abang dah bosan hidup dalam rumah sempit ni. Abang dah bosan dengan ayah yang selalu berjudi siang malam. Abang nak ubah kehidupan kita.” Bisik Zafran.

Duha Maisara tersenyum. Kata-kata Zafran suatu masa dulu selalu membakar semangatnya untuk terus tabah mengharungi liku-liku hidup. Lamunan Duha Maisara terpadam tatkala seorang pelayan di situ memanggil namanya.

“Duha, ayah kau nak bercakap dengan kau.” Ujar gadis itu sambil menunjukkan gagang telefon ke arahnya. Duha Maisara segera mendapatkan gagang telefon dari tangan gadis itu.

“Hello, assalamualaikum.” Bicara Duha Maisara penuh hormat.  “Ya ayah, Duha bercakap ni.”

Sejurus kemudian, Duha Maisara meletakkan gagang telefon. Wajahnya pucat lesi. Dia merenung gagang telefon itu tidak berkelip. Tubuhnya terkulai layu di suatu sudut. Perkhabaran dari lelaki itu membuatkan dia resah. Oh tuhan, mana aku nak dapatkan wang sebanyak itu? Gaji yang ada hanya cukup untuk duit makan dan biaya bil-bil yang tertunggak sejak sekian lama. Selebihnya pula disimpan untuk Zafran jika lelaki itu memerlukannya. Manalah dia ada duit sebanyak itu untuk menjamin ayahnya. Duha Maisara kian buntu. Aduh! Kenapalah lelaki itu selalu terlibat dalam masalah? Seingatnya, dalam tempoh tidak sampai 6 bulan, sudah dua kali ayahnya ditahan polis. Kali pertama ayahnya dituduh mencuri di pasaraya. Kali ini sebab apa pula?

Ringan tangannya ingin mendail nombor telefon Zafran. Namun seketika kemudian, gagang telefon cepat-cepat diletakkan. Pesanan ayahnya jelas di ingatannya.

            “Kamu jangan sesekali beritahu hal ni pada Zafran. Kalau tidak, masak kamu aku kerjakan nanti.” Lelaki itu memberi amaran keras. Takut benar dia jika hal itu sampai ke pengetahuan anak kesayangannya.

            Duha Maisara mengeluh panjang. Sukarnya dia mahu bertenang jika cara penyelesaian kepada masalah itu kian samar. Dia termenung panjang, sehingga tidak sedar derap sepatu melangkah perlahan mendekatinya dari arah belakang.

            Mami Jun menggeleng melihat anak gadis itu termenung dengan wajah muram. Dia berdehem beberapa ketika, namun renungan Duha Maisara bagaikan terawang-awang. Dia sedar Duha Maisara sedang asyik memikirkan sesuatu. Jika tidak masakan kerut di wajah manis itu, tampak gusar.

*  *  *  *

Duha Maisara bergegas menaiki tangga ke bangunan besar di hadapan matanya. Sempat dia berhenti bertanya pada anggota polis yang bertugas di kaunter. Apabila mendapat jawapan di mana ayahnya berada, dia terus menuju ke tingkat dua, lalu mencari-cari bilik ke tiga dari arah kanannya. Begitulah peta yang dicanang oleh pegawai polis yang berada di kaunter pertanyaan.

Setelah berjumpa bilik yang dicari, Duha Maisara tanpa berfikir panjang terus menerpa masuk. Namun dia cuba mengelak apabila menyedari pintu di hadapannya tiba-tiba tertolak ke arahnya. Dia tergaman. Kerana tidak sempat mengelak, kepalanya terhantuk pada pintu, menyebabkan tubuhnya terdorong ke arah lantai. Beg yang dibawanya tercampak sama.

Tergaman dia melihat barang-barang yang terkeluar dari dalam begnya. Pantas dia meluru ke arah barang-barangnya, lalu mula mengutip. Satu persatu barang-barang itu dikutip lalu dimasukkan kembali ke dalam tas tangannya, sambil dia merungut panjang. Namun apabila tangannya hendak mencapai lipsticknya yang tergolek, matanya tertancap pada sepasang kaki berkasut kulit sedang berdiri di hadapannya. Duha Maisara pantas mendongakkan kepala.

Satu renungan tajam singgah di wajahnya, membuatkan dia jadi gugup. Lelaki itu menatap ke arahnya tidak berkelip. Duha Maisara turut memandang lelaki itu dengan perasaan hairan. Aneh dia ni! Kenapa pandang aku macam tu sekali? Dia buat-buat tidak peduli lalu terus mengutip barang-barangnya. Setelah itu Duha Maisara bingkas bangun. Sekali lagi dia memberanikan dirinya memandang lelaki bertubuh tinggi lampai itu. Mata lelaki itu masih ke arahnya. Duha Maisara mengerutkan dahinya. Dia kenal akukah?

“Maaf encik, saya nak lalu.” Ujar Duha Maisara apabila menyedari tubuh lelaki itu menghadang jalannya. Namun lelaki itu buat-buat tidak peduli. Duha Maisara tercengang. Laa biar betul mamat ni. Kenapa dengan dia agaknya!

Belum sempat dia mahu melangkah pergi, tiba-tiba Duha Maisara terdengar suara bersiul dari arah belakang. Dia segera menoleh. Dua lelaki bergari tangannya dipimpin anggota polis berlalu di hadapannya sambil tersengih-sengih ke arahnya. Duha Maisara terkedu. Dia memandang pakaian yang membalut tubuhnya. Baru dia perasan, pakaian yang dipakainya sedikit terdedah menampakkan peha. Lagipun dia bergegas datang ke situ dari Blue Ocean. Langsung dia terlupa menukar baju sebelum datang. Aduh! Malunya dirasakan pada anggota polis yang turut menjelingnya.

Perlahan-lahan dia menoleh ke arah lelaki tadi. Baru dia faham kenapa lelaki itu memandangnya satu macam. Pasti fikiran lelaki itu dipenuhi andaian yang bukan-bukan terhadap dirinya.

Seorang lelaki lain tiba-tiba muncul dari arah belakang bersama seorang gadis. Menyedari kehadiran lelaki dan perempuan itu, Nashriq segera menoleh. Duha Maisara segera memalingkan wajahnya ke arah lain. Entah kenapa dia benar-benar segan dengan keadaan dirinya.

“Dah beres, rasanya tiada dakwaan akan dibuat terhadap kau.” Ujar Erman. Suraya yang berada di sisi lelaki itu nampak serba-salah mahu memandang wajah Nashriq.

“Nasib baik ada Cik Suraya ni. Kau kena berterima kasih pada dia, Naz. Kalau bukan Cik Suraya tampil sebagai saksi, belum tentu kau terlepas dari dakwaan itu. Lagipun yang bengkak bengkil mereka, bukannya kau. Kalau mereka buat cerita yang bukan-bukan, teruk juga kau kena bersoal jawab dengan polis. Nasib baik semua dah selesai sekarang.” Sambung Erman.

Nashriq terdiam. Silapnya juga kerana melampau membelasah Syahrul dan teman-temannya. Dia memandang Suraya yang turut menatap ke arahnya.

“Terima kasih sebab you sanggup bantu I,” ucap Nashriq perlahan. Suraya tersenyum. Entah mengapa dia gembira kerana Nashriq sudah mula menunjukkan sikap lembut terhadapnya.

“I yang salah, kalau bukan you yang bantu I, entah apa akan jadi pada I agaknya.” Balas Suraya merendah diri.

Nashriq tersenyum. “Hari dah lewat, you patut pulang sekarang.” Saran Nashriq. Dia memandang ke arah Erman. “Abang, tolong hantarkan Cik Suraya pulang.” Pinta Nashriq. Suraya terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Meskipun dia masih ingin bersama Nashriq, namun dia akui, malam semakin larut.

“Kalau begitu I ucapkan terima kasih sekali lagi. Selamat malam.” Ucap Suraya sebelum beredar mengekori langkah Erman. Sempat dia berpaling memandang Nashriq yang tercegat memerhatikannya.

Sebaik kelibat Suraya dan Erman hilang dari pandangan matanya, Nashriq kembali memandang gadis di sebelahnya. Dia tersenyum sinis melihat wajah Duha Maisara yang nampak serba-salah mahu memandangnya. Melihat tubuh gadis itu berbalut dengan pakaian sendat berlabuci, hati Nashriq tertanya-tanya sendiri. Apa pekerjaan gadis ini agaknya. Lagi-lagi dia muncul tiba-tiba pada waktu tengah malam berpakaian menjolok mata.

Mata Nashriq tidak putus-putus merenung wajah gadis itu. Orangnya cantik juga. Sayang kalau gadis secantik ini, terjerumus dalam gejala yang tidak sihat. Dia merengus sendirian. Tapi ini Kuala Lumpur. Di bandar ini, apa sahaja mungkin berlaku. Lagipun dia sering terbaca di berita-berita utama tentang gadis muda yang mencari kesenangan dengan cara mudah. Barangkali gadis ini salah seorang darinya.

Nashriq ingin melangkah pergi. Namun melihat gadis itu seolah berpeluk tubuh menahan kedinginan malam hari,  sambil tak putus-putus menarik kain skirtnya yang singkat, dia tidak sampai hati pula. Pantas kot yang sedang dipegangnya dihulurkan ke arah gadis itu.

Duha Maisara tergaman. Tindakan lelaki itu mengejutkannya. Namun wajah itu tidak lagi merenung dingin ke arahnya. Dia memandang kot yang dihulurkan ke arahnya. Hatinya serba-salah.

“Ambil kot ni. Tutup tubuh kau tu. Di sini ramai penjahat, juga lelaki mata keranjang. Takkan kau nak mereka semua ghairah melihat kau  berkeadaan begini.” Selamba lelaki itu menghamburkan kata-kata. Duha Maisara terkesima dengan kata-kata lelaki itu. Namun dia akui kata-kata itu ada kebenarannya. Mahu tak mahu kot di tangan lelaki itu berganti tangan.

Dia ingin mengucapkan terima kasih, namun lelaki itu lebih pantas melangkah pergi. Duha Maisara hanya mampu memerhatikan derap sepatu lelaki itu semakin menjauh. Kot di tangannya direnung lama. Entah mengapa hatinya terasa senang. Dia tahu lelaki itu ikhlas membantu. Siapa dia sebenarnya?

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!