“AYAH!” Jerit Danira sekuat hati. Dia bingkas bangun
dari pembaringan. Nafasnya tercungap-cungap tidak keruan. TUHAN! Mimpi apakah
yang KAU berikan kepadaku saat aku mahu melupakan semuanya? Peristiwa itu
terlalu perit mahu dibongkar semula dari helaian ingatannya. Terlalu pahit
rasanya dia mahu menanggung semua ini.
Gelas air masak di tepi katil dicapai lalu dihirup dengan
rakus. Sambil memegang gelas yang
sudah kosong, matanya memerhatikan ruangan bilik tidurnya. Baru dia teringat
yang dia kini berada di taska milik Kamila. Bukan di bilik kerja ayahnya yang
sering dihabiskan waktunya semenjak dia masih bersekolah. Bukan juga di sel
penjara yang dihuninya sejak enam tahun yang lalu. Dia mengguman resah sambil
menyapu peluh renek di dahi. Ingatannya bertebar lagi.
“Maaf,
suami puan disyaki dibunuh. Boleh saya tahu kalau-kalau Profesor Adnan ada
musuh?” Lelaki berpakaian uniform kemas itu bertanya. Dia mendongak wajahnya ke
arah uminya yang nampak pucat. Hampir kering airmata wanita itu kerana
menangisi kematian suami tercinta. Dia tahu perasaan uminya tertekan. Lagi-lagi
dengan kejadian yang tidak diduga begini.
“Maaf
kerana saya bertanya begini, tapi saya hanya menjalankan tugas. Siapa pun orang
yang melakukannya, kami berjanji akan membawanya ke muka pengadilan.” Ujar
lelaki itu. Namun ibunya masih tidak memberi sebarang reaksi.
“Adik…”
mata anggota polis itu kini tertumpu pula ke arahnya. Dia tergaman. Uminya juga
sudah memandang ke arahnya.
Pegawai
polis itu tunduk sedikit ke arahnya. “Pakcik cuma nak tahu kalau-kalau semasa
kejadian, ada tak adik perasan apa-apa yang aneh berlaku di tempat tu?
Contohnya ayah adik pernah bercakap dengan siapa? Atau ada sesiapa yang
berjumpa dia ketika itu? Apa sahaja yang adik ingat?” Soal lelaki itu.
Dia
termenung panjang. Wajah lelaki yang memiliki tatoo itu kembali. Dia nampak jelas lelaki itu keluar dari bilik
ayahnya ketika itu. Tapi baru sahaja dia hendak membuka mulut, uminya tiba-tiba
bersuara.
“Maaf
tuan, anak saya masih terkejut dengan kejadian ni. Kalau boleh, saya harap tuan
jangan libatkan dia dalam proses siasatan tuan.” Ujar ibunya. Pegawai polis itu
menarik nafas panjang.
“Beginilah
puan, saya akan hentikan sementara soal siasat ni. Tapi saya harap selepas puan
dan anak puan bertenang, puan hubungilah saya. Saya harap kes ini dapat
diselesaikan secepat mungkin. Ini kad saya.” Ujar pegawai polis itu lalu
menghulurkan sekeping kad ke arah ibunya.
Dia hanya mampu
memandang ibunya. Tiada suara keluar dari bibir yang pucat itu. Naufal yang
bingung di sisi ibunya ditatap dengan mata berkaca. Sejak adiknya itu tahu apa
yang berlaku pada ayah mereka, suara Naufal langsung tidak kedengaran. Dia tahu
Naufal sedang memendam perasaan sedihnya.
Matanya berkalih
ke arah ibunya yang kebetulan sedang memandangnya. Wajah wanita itu pucat lesi.
Meskipun ibunya tidak menangis, tapi dia tahu, jauh di sudut hati, wanita itu sedang
meratap sedih.
“Umi nak makan apa-apa? Nanti Nira masakkan sesuatu untuk
umi ya.” Dia menegur wanita itu.
Ibunya menggeleng. “Tak payahlah Nira. Umi tak lapar.”
“Tapi umi
dah sehari suntuk tak makan. Umi jamahlah sikit. Nanti Nira bawakan bubur ya.”
Ujarnya lalu bingkas ke arah dapur. Di situ dia mengambil periuk lalu mula
mereneh bubur. Sejenak kemudian dia termenung panjang di situ. Airmatanya
perlahan-lahan berderai. Sejak kelmarin, dia sengaja menahan diri dari menangis.
Semuanya kerana ibunya.
“Makcik tahu Nira anak yang tabah, kuat semangat.
Sekarang ayah dah tak ada, Nira kena jadi orang yang boleh jaga umi dengan adik
Nira. Tunjukkan kekuatan Nira tu. Biar umi rasa tenang sedikit.” Pesan Puan Suhaila,
wanita beranak tiga yang menjadi jirannya.
“Kalau Nira sedih, umi Nira lagi sedih. Nira kena bersabar sayang.” Sambung pula
Zaharah yang menjadi teman baik ibunya.
Kerana
kata-kata itulah dia memaksa diri bertenang. Kesedihannya dilontar jauh-jauh.
Dalam meniti usia 14 tahun, dia dipaksa menjadi dewasa lebih awal. Tapi jika
dia boleh menelan kesedihannya, ibunya berbeza pula. Wanita itu seolah-olah
hilang pedoman hidup. Ibunya mula berubah sikap. Urusan rumahtangga langsung
tidak dipedulikan. Setiap hari kerja ibunya hanya termenung sahaja.
“Dah teruk si Zahlia
ni. Kita kena buat sesuatu. Dah dua bulan dia tak keluar dari rumah. Kalau kita
biarkan Zahlia macam ni, lambat laun dia boleh jadi gila.” Kata-kata Zaharah
sempat ditangkap pendengarannya ketika wanita itu datang berkunjung bersama
teman-teman ibunya yang lain.
“Lia, aku ni Ara. Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Wanita itu merenung ibunya yang duduk termenung
di kerusi rehat di beranda bilik.
“Kau tak boleh
terus macam ni Lia. Kau kena kuatkan semangat, relakan pemergian Adnan tu.
Lagipun kau masih ada Danira dan Naufal yang harus kau jaga. Jangan singkirkan anak-anak kau semata-mata
kerana kau kecewa dengan kematian Adnan. Kasihankanlah anak-anak kau, Lia.”
Bisik Zaharah.
Namun
kata-kata itu ibarat menyiram air ke daun keladi. Keadaan ibunya tetap tidak
berubah. Sejak hari itu, dia menjadi pengganti ibunya. Setiap pagi sebelum ke
sekolah, dia akan menyiapkan sarapan pagi untuk ibunya, serta bekal untuk
Naufal bawa ke sekolah. Balik dari sekolah, dia akan singgah ke pasar untuk
membeli barang-barang keperluan. Sesudah itu dia akan memasak makanan
tengahari, mencuci pakaian serta mengemas rumah. Dan itulah rutin sehariannya
setelah ibunya ‘jatuh sakit’.
Suatu
hari, ketika baru pulang dari sekolah, dia terkejut apabila melihat ibunya
sedang memasak makanan tengahari. Perlahan-lahan dia mendekati wanita itu.
Ibunya menoleh. Senyuman kecil terukir di bibir itu.
“Dah balik?
Pergilah tukar baju, lepas tu turun makan.” Suruh ibunya.
Dia tetap tidak berganjak dari situ. Matanya meraut
dengan teliti, setiap tingkahlaku ibunya. Kelmarin, wanita itu masih dengan
dunianya. Hari ini, dia bagaikan melihat wanita yang berbeza.
“Kenapa Nira tengok umi macam tu?” Ibunya tersenyum
memandangnya.
“Umi..umi tak apa-apa ke?”
“Umi sihat. Tak ada apa-apa pun.” Balas wanita itu, seraya menyenduk nasi ke
dalam pinggan. Dia mengekori ibunya ke meja makan. Matanya masih mengawasi gerak-geri
ibunya.
“Nanti Nira tak
payahlah ambil Naufal dari sekolah. Umi
akan ambil dia.” Ujar wanita itu.
Dia terdiam. Mengangguk tidak, menggeleng pun
tidak. Namun hatinya berasa lega kerana ibunya sudah kembali hidup. Sesuatu
yang benar-benar diharapkannya selama ini. Selepas menunaikan solat, dia
tertidur di biliknya.
Sebaik terjaga dari tidurnya, matanya segera
mencari-cari kelibat ibunya. Namun tidak ada tanda-tanda ibunya berada di rumah.
Namun dia tidak bimbang, apatah lagi wanita itu sudah mengatakan mahu menjemput
Naufal dari sekolah.
Dia bercadang mahu menyiapkan kerja sekolah
yang harus dihantar pagi esok. Sejak rutin hidupnya bertukar, masa yang ada di
sekelilingnya tiba-tiba menjadi terlalu singkat. Dia tidak pernah ada masa lagi
untuk menonton wayang, bertemu kawan-kawannya di luar waktu sekolah atau
sekadar mahu menonton televisyen dan mendengar radio di rumah. Setiap dari
masanya yang ada, hanya untuk menguruskan rumah dan menjaga uminya yang sakit, tak
terkecuali melayan kerenah Naufal yang agak nakal.
Baru
hendak menyelongkar beg sekolahnya, dia diganggu bunyi deringan telefon. Keluhannya
menerpa keluar. Dengan langkah malas, dia memaksa diri bergerak ke arah telefon
yang masih rancak berbunyi.
“Hello.” Dia menyapa terlebih dahulu.
“Hello,
kakak ya. Naufal ni. Kenapa kakak tak jemput Naufal kat sekolah?” Suara kecil
itu seolah merajuk. Dia tersentak. Naufal masih di sekolahkah? Tapi bukankah
ibunya pergi menjemput adiknya? Dia terkedu. Kegelisahan mula bersarang di fikiran.
“Naufal
tunggu kat sana
ya, nanti kakak datang.” Suruhnya lalu segera meletak gagang telefon. Namun
sesaat kemudian, dia terfikir sesuatu. Dia segera mendail nombor telefon
Zaharah pula.
“Aunty Ara, Nira ni. Aunty kena tolong Nira.
Umi..umi…dia hilang.” Suaranya tersekat-sekat memberitahu. Dia seperti ingin
menangis ketika memberitahu Zaharah perihal uminya yang menghilang entah ke
mana.
* * * *
Sebaik
terdengar sebuah kenderaan memasuki perkarangan rumah, dia segera menjenguk
dari tirai jendela. Kereta Zaharah! Melihat wanita itu turun dari perut kereta sambil
memimpin tangan ibunya, hatinya serta-merta beransur lega. Syukur pada ALLAH,
ibunya tidak apa-apa! Dia segera menerpa ke muka pintu, menanti dengan sabar
kelibat Zaharah dan ibunya menghampiri pintu.
“Naufal
dah balik?” Tanya Zaharah.
Dia mengangguk. Namun matanya masih terpaku
pada wajah ibunya yang kelihatan pucat dan bingung.
“Umi pergi mana
tadi? Umi buat Nira risau,” keluhnya.
Zaharah
memandangnya seraya menggelengkan kepala. Wanita itu seolah mengisyaratkan agar
dia berdiam diri. Selepas menghantar ibunya ke bilik, Zaharah datang kepadanya.
“Aunty nak cakap
sikit dengan Nira.” Ujar wanita
itu seraya menariknya ke arah sofa. Dia mengerutkan dahinya. Wajah serius
Zaharah mengundang resahnya. Fasal umikah?
“Maaf,
kalau cakap aunty ni tak sedap kedengaran, tapi aunty rasa umi Nira ni sakit.”
Ujar Zaharah berterus-terang.
Dia tersentak. Sakit? Ibunya sakit apa?
“Tadi
aunty cari umi Nira di merata tempat. Mujurlah aunty teringat nak cari dia di
pusara ayah Nira. Bila aunty tanya, dia kata dia pun tak sedar bila masanya dia
ke sana . Bila
aunty cakap fasal Naufal, dia kata dia tak kenal siapa Naufal.” Bisik Zaharah
bercerita panjang lebar.
“Apa
maksud aunty? Takkan Umi tak kenal Naufal? Naufal kan anak umi.” Pintasnya, terkejut dan separuh
bingung mendengar kata-kata Zaharah.
“Aunty
pun tak faham. Tapi sejak ayah Nira meninggal, aunty tengok sikap umi Nira ni berlainan
benar dari dulu. Kerap termenung sana
sini. Kadangkala menangis aje kerjanya. Aunty bimbang kalau dibiarkan sahaja,
dia akan jadi lebih teruk. Aunty rasa kita kena hantar umi Nira ke hospital
buat pemeriksaan.” Cadang wanita itu.
Dia
terdiam. Hantar umi ke hospital? Kalau umi di hospital, aku dan Naufal
macamana?
“Nira
jangan bimbang. Untuk sementara waktu ni, Nira tinggal dengan Pak Long dan Mak
Long Nira dulu. Aunty rasa mereka tentu tak keberatan.” Ujar Zaharah, bagaikan
tahu apa yang bersarang dalam kotak fikirannya.
Dia memandang tepat ke wajah Zaharah. Serentak
kepalanya digelengkan. Cadangan wanita itu benar-benar tidak dipersetujuinya.
“Tak
mahulah aunty. Soal kami aunty jangan risau, Nira boleh jaga Naufal.” Dia
menolak. Berat hatinya untuk bersetuju dengan rancangan Zaharah. Selama ini, pakcik
dan makcinya itu tidak pernah mempedulikan dia dan Naufal. Inikan pula untuk membawa
mereka tinggal sebumbung.
“Nira
kan masih bersekolah.
Macamana Nira nak jaga Naufal nanti?” Pujuk Zaharah cuba berdiplomasi.
“Tak
apa aunty, Nira tahulah macamana nak uruskan dia. Selama ibu macam ni pun,
Nira yang masak dan hantar Naufal ke sekolah.” Ujarnya tidak mahu kalah. Zaharah
dilihatnya terdiam sejenak.
“Kalau itu kata Nira,
tak apalah. Harap-harap umi Nira cepat sembuh.”
Keesokan harinya, Zaharah membawa ibunya ke hospital
menjalani pemeriksaan. Dan dia
pula dengan rutin hariannya menguruskan rumah. Sesekali Naufal merungut kerana
jarang dapat merasa makanan sedap air tangan ibunya.
“Naufal
ni cerewetlah. Makanlah apa yang ada, jangan nak memilih,” pujuknya. Naufal
dilihatnya mencebik.
“Kakak
masak tak sedap, tak macam umi masak.” Rungut Naufal lalu menolak pinggan nasi
ke tepi. Adiknya itu segera menghilangkan diri ke suatu arah.
“Naufal, habiskan nasi ni dulu. Susah payah kakak masak!”
Panggilnya dengan suara lantang. Geram sungguh hatinya melayan kedegilan Naufal
yang semakin menjadi-jadi. Sejak
ibunya jatuh sakit, Naufal semakin berani membuat onar yang memeningkan
dirinya.
“Kata
doktor, umi Nira kena tinggal di hospital buat sementara waktu. Doktor nak
pastikan tentang penyakitnya.” Kata Zaharah ketika singgah di rumahnya petang
itu.
“Teruk
ke sakit umi tu aunty?”
Zaharah
terdiam. Wanita itu kelihatan serba salah mahu menjelaskannya.
“Entahlah
Nira, aunty pun tak tahu. Tapi aunty akan berusaha bantu ubati penyakit umi
Nira. Nira jangan bimbang ya sayang.” Pujuk wanita itu lagi.
Dia hanya mampu membisu. Kebimbangan mula bersarang
di jiwa. Meskipun dia masih muda, namun dia bukannya bodoh untuk mengetahui
riak yang terukir di wajah Zaharah bagaikan menyembunyikan sesuatu. Apakah sakit
uminya benar-benar teruk?
Petang
itu dia berkeras mahu mengikut Zaharah melawat ibunya di hospital. Naufal
dibawanya bersama. Sebaik melihat kelibat ibunya, Naufal tidak dapat menahan perasaan
gembira. Pantas anak itu meluru lalu memeluk wanita di hadapannya.
Ibunya kelihatan terkejut. Serentak wanita itu
menolak tubuh kecil Naufal menyebabkan Naufal nyaris tersungkur. Mujurlah
Zaharah ada di belakang dan sempat menyambut tubuh anak itu. Dia sendiri
tergaman melihat apa yang berlaku.
“Lia, kenapa dengan kau ni? Ini anak kau Naufal. Nira pun
ada datang sekali.” Ujar Zaharah sambil mengusap-gusap kepala Naufal yang masih
terkejut diperlakukan sedemikian rupa.
“Anak?” Ibunya memandang tepat ke arah Naufal yang diam
membisu di sisi Zaharah. Seketika mata wanita itu beralih ke arahnya yang
berdiri di belakang Naufal. Sepasang mata cengkung milik ibunya tertumpu lama
ke wajahnya, sebelum kembali ke wajah Naufal.
Sejurus kemudian, wanita
itu menggelengkan kepalanya.
“Aku
tak kenal! Aku tak kenal mereka!” Jerit ibunya dengan nafas tercungap-cungap.
Melihat keadaan ibunya, hatinya serta-merta dirundung sayu. Rupa ibunya yang
pucat lesi dan kurus cengkung, membuatkan airmatanya mula membirai di kelopak
mata.
“Puan
Zaharah, doktor pesan suruh puan ke biliknya.” Sapa seorang jururawat yang
tiba-tiba muncul di muka pintu. Zaharah mengangguk. Mata wanita itu segera
beralih ke arahnya.
“Aunty
nak jumpa doktor sekejap. Nira dan Naufal tunggu di sini ya. Kejap lagi aunty
datang semula.” Ujar Zaharah sebelum terburu-buru keluar dari bilik itu. Dia
menghantar pemergian wanita itu dengan ekor matanya. Seketika matanya dikalihkan
ke arah Naufal yang turut memandangnya dengan riak wajah resah.
“Naufal,
kakak nak keluar sekejap beli air. Naufal tunggu sini temankan umi ya.” Pintanya.
Naufal pantas memandangnya. Kepala anak itu digelengkan.
“Tak mahulah kak. Naufal takut tengok umi, Naufal nak
ikut kakak.” Ujar Naufal seraya
menjeling ke arah wanita yang sedang termenung jauh di atas katil.
“Apa Naufal cakap
ni? Umi kan ibu kita. Dia yang jaga kakak dengan Naufal selama ini. Sampai hati
Naufal cakap macam tu.” Marahnya. Matanya
sengaja dijegilkan besar-besar ke arah anak kecil itu.
“Sudah!
Kakak tak mahu Naufal cakap macam tu lagi. Tunggu kat sini, kakak pergi sekejap
aje.” Dia segera melangkah keluar meninggalkan Naufal bersendirian bersama
ibunya.
Langkahnya
dihela ke arah bilik doktor yang terletak berhampiran dengan wad ibunya.
Sewaktu dia mengikut Zaharah tadi, wanita itu ada mengetuk pintu bilik itu
untuk bertemu seorang doktor bernama Azlan. Agaknya aunty Zaharah ada kat situ,
bisik hati kecilnya.
Perlahan-lahan
dia menolak daun pintu yang sedikit renggang. Dari luar, dia mengintai kelibat
Zaharah yang sedang berbual-bual dengan seorang doktor muda berkaca mata.
Tiba-tiba hatinya tergerak mahu mengikuti perbualan tersebut.
“Saya
tak faham doktor. Doktor kata penyakit dimentia
ni hanya dihidapi oleh golongan berusia 65 tahun ke atas. Tapi Zahlia baru
berusia 35 tahun. Dia masih muda doktor.” Suara Zaharah jelas kedengaran.
“Memang
kebanyakan kes dimentia begitulah,
puan. Tapi golongan yang lebih muda juga tidak terlepas dari penyakit ni. Penyakit ini kita
panggil pre-senile dimentia. Dimentia ni sebenarnya adalah sebahagian
dari proses penuaan. Semua
golongan yang berusia 20 tahun akan mula mengalami proses kematian sel otak dan
ini akan menyebabkan otak mula mengecut. Lebih cepat sel-sel otak mati, maka
lebih cepatlah pesakit terdedah kepada dimentia.”
Jelas Doktor Azlan.
“Saya
dah jalankan Abreviated Mental Test Score
terhadap Puan Zahlia. Ujian soal selidik ini bertujuan untuk mengenalpasti
tahap mental pesakit secara umum, dengan menyoal pesakit tentang
maklumat-maklumat tentang kehidupan di sekitar mereka. Dan saya dapati ada
banyak benda yang tidak dapat dijawab oleh Puan Zahlia. Tindakbalas beliau
terhadap ujian ini juga amat pasif. Saya juga dah jalankan ujian CT dan EEG dan
saya dapati berlaku penurunan dari segi kewujudan gelombang di otak Puan Zahlia.
Ini menyakinkan saya yang Puan Zahlia mungkin mengidap dimentia.” Sambung
doktor itu.
“Habis,
apa yang kita patut buat doktor?”
“Untuk
sementara, saya boleh bekalkan suntikan vitamin B12 dalam darah untuk
merangsang ingatan Puan Zahlia. Tapi dukacita saya nak ingatkan puan yang
setakat ini penyakit ini tidak ada ubatnya. Terdapat sejenis ubat lagi yang
dipanggil Tacrine yang berfungsi untuk
menghasilkan acetylcholine dalam
otak, tapi penggunaan ubat ini tidak berapa digalakkan.”
“Kalau
tak ada ubat, bagaimana kita nak sembuhkan Zahlia doktor?” Zaharah kelihatan
resah.
“Saya
rasa puan patut tumpukan pada kebajikan dan kawalan terhadap Puan Zahlia. Kalau
menurut pemerhatian saya pada Puan Zahlia, beliau mempunyai kecenderungan physcosis. Loss of contact with reality. Dia tak ingat yang suaminya sudah
meninggal. Dia juga tidak tahu apa yang telah dilakukannya dalam jarak masa dua
hingga tiga jam sebelumnya. Macam puan kata tadi, dia juga tidak ingat dengan
anak-anaknya. Ini semua adalah tanda-tanda awal psychosis. Dia sedang membuang semua realiti yang ada di
sekelilingnya. Dalam kes seperti ini, pesakit biasanya kami rujuk pada pakar
psikiatri.”
Dia menghindar
dari pintu itu perlahan-lahan. Perasaannya berbelah bahagi. Apa yang
didengarnya dari mulut doktor itu membuatkan fikirannya celaru sekaligus
bingung. Akalnya susah mahu mencerna kata-kata doktor itu. Benarkah ibunya
sudah lupa siapa dia dan Naufal?
“Nira jangan bimbang, aunty dan doktor-doktor kat sini
akan berusaha sedaya upaya kami untuk sembuhkan umi Nira.” Zaharah memeluk bahunya ketika mereka
meninggalkan bilik ibunya.
Dia tidak memberi sebarang reaksi. Matanya tertumpu
ke arah sekawan merpati yang terbang di luar jendela bilik. Entah kenapa,
matanya sengaja dilarikan. Dia tidak mahu wanita itu melihat airmata yang mula
bertakung di kelopak matanya.
Naufal juga tidak banyak bercakap kali ini.
Mata anak itu asyik memandang wajah ibunya yang pucat lesi dan asyik termenung
di atas katil. Ketika Naufal disuruh mencium tangan ibunya, anak itu langsung
tidak berganjak dari sisi Zaharah.
2 comments:
ALLAH HU AKBAR...terharu nye ngan nasib malang nadira n naufal,cian nye dalam usia yang masih kecil,pelbagai ujian yang harus dilalui!muge nadira terima lah ujian ALLAH dengan redha.
Suspen...
Post a Comment