Followers

Wednesday, October 10, 2012

Mencari Kiblat Cinta : Bab 5


            “AYAH!” Jerit Danira sekuat hati. Dia bingkas bangun dari pembaringan. Nafasnya tercungap-cungap tidak keruan. TUHAN! Mimpi apakah yang KAU berikan kepadaku saat aku mahu melupakan semuanya? Peristiwa itu terlalu perit mahu dibongkar semula dari helaian ingatannya. Terlalu pahit rasanya dia mahu menanggung semua ini.

            Gelas air masak di tepi katil dicapai lalu dihirup dengan rakus. Sambil memegang gelas yang sudah kosong, matanya memerhatikan ruangan bilik tidurnya. Baru dia teringat yang dia kini berada di taska milik Kamila. Bukan di bilik kerja ayahnya yang sering dihabiskan waktunya semenjak dia masih bersekolah. Bukan juga di sel penjara yang dihuninya sejak enam tahun yang lalu. Dia mengguman resah sambil menyapu peluh renek di dahi. Ingatannya bertebar lagi.

            “Maaf, suami puan disyaki dibunuh. Boleh saya tahu kalau-kalau Profesor Adnan ada musuh?” Lelaki berpakaian uniform kemas itu bertanya. Dia mendongak wajahnya ke arah uminya yang nampak pucat. Hampir kering airmata wanita itu kerana menangisi kematian suami tercinta. Dia tahu perasaan uminya tertekan. Lagi-lagi dengan kejadian yang tidak diduga begini.

            “Maaf kerana saya bertanya begini, tapi saya hanya menjalankan tugas. Siapa pun orang yang melakukannya, kami berjanji akan membawanya ke muka pengadilan.” Ujar lelaki itu. Namun ibunya masih tidak memberi sebarang reaksi.

            “Adik…” mata anggota polis itu kini tertumpu pula ke arahnya. Dia tergaman. Uminya juga sudah memandang ke arahnya.

            Pegawai polis itu tunduk sedikit ke arahnya. “Pakcik cuma nak tahu kalau-kalau semasa kejadian, ada tak adik perasan apa-apa yang aneh berlaku di tempat tu? Contohnya ayah adik pernah bercakap dengan siapa? Atau ada sesiapa yang berjumpa dia ketika itu? Apa sahaja yang adik ingat?” Soal lelaki itu.

            Dia termenung panjang. Wajah lelaki yang memiliki tatoo itu kembali. Dia nampak jelas lelaki itu keluar dari bilik ayahnya ketika itu. Tapi baru sahaja dia hendak membuka mulut, uminya tiba-tiba bersuara.

 “Maaf tuan, anak saya masih terkejut dengan kejadian ni. Kalau boleh, saya harap tuan jangan libatkan dia dalam proses siasatan tuan.” Ujar ibunya. Pegawai polis itu menarik nafas panjang.

            “Beginilah puan, saya akan hentikan sementara soal siasat ni. Tapi saya harap selepas puan dan anak puan bertenang, puan hubungilah saya. Saya harap kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Ini kad saya.” Ujar pegawai polis itu lalu menghulurkan sekeping kad ke arah ibunya.

Dia hanya mampu memandang ibunya. Tiada suara keluar dari bibir yang pucat itu. Naufal yang bingung di sisi ibunya ditatap dengan mata berkaca. Sejak adiknya itu tahu apa yang berlaku pada ayah mereka, suara Naufal langsung tidak kedengaran. Dia tahu Naufal sedang memendam perasaan sedihnya.

Matanya berkalih ke arah ibunya yang kebetulan sedang memandangnya. Wajah wanita itu pucat lesi. Meskipun ibunya tidak menangis, tapi dia tahu, jauh di sudut hati, wanita itu sedang meratap sedih.

            “Umi nak makan apa-apa? Nanti Nira masakkan sesuatu untuk umi ya.” Dia menegur wanita itu.

            Ibunya menggeleng. “Tak payahlah Nira. Umi tak lapar.”

            “Tapi umi dah sehari suntuk tak makan. Umi jamahlah sikit. Nanti Nira bawakan bubur ya.” Ujarnya lalu bingkas ke arah dapur. Di situ dia mengambil periuk lalu mula mereneh bubur. Sejenak kemudian dia termenung panjang di situ. Airmatanya perlahan-lahan berderai. Sejak kelmarin, dia sengaja menahan diri dari menangis. Semuanya kerana ibunya.

            “Makcik tahu Nira anak yang tabah, kuat semangat. Sekarang ayah dah tak ada, Nira kena jadi orang yang boleh jaga umi dengan adik Nira. Tunjukkan kekuatan Nira tu. Biar umi rasa tenang sedikit.” Pesan Puan Suhaila, wanita beranak tiga yang menjadi jirannya.

            “Kalau Nira sedih, umi Nira lagi sedih. Nira kena bersabar sayang.” Sambung pula Zaharah yang menjadi teman baik ibunya.

            Kerana kata-kata itulah dia memaksa diri bertenang. Kesedihannya dilontar jauh-jauh. Dalam meniti usia 14 tahun, dia dipaksa menjadi dewasa lebih awal. Tapi jika dia boleh menelan kesedihannya, ibunya berbeza pula. Wanita itu seolah-olah hilang pedoman hidup. Ibunya mula berubah sikap. Urusan rumahtangga langsung tidak dipedulikan. Setiap hari kerja ibunya hanya termenung sahaja.

            Dah teruk si Zahlia ni. Kita kena buat sesuatu. Dah dua bulan dia tak keluar dari rumah. Kalau kita biarkan Zahlia macam ni, lambat laun dia boleh jadi gila.” Kata-kata Zaharah sempat ditangkap pendengarannya ketika wanita itu datang berkunjung bersama teman-teman ibunya yang lain.

            “Lia, aku ni Ara. Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” Wanita itu merenung ibunya yang duduk termenung di  kerusi rehat di beranda bilik.

            “Kau tak boleh terus macam ni Lia. Kau kena kuatkan semangat, relakan pemergian Adnan tu. Lagipun kau masih ada Danira dan Naufal yang harus kau jaga. Jangan singkirkan anak-anak kau semata-mata kerana kau kecewa dengan kematian Adnan. Kasihankanlah anak-anak kau, Lia.” Bisik Zaharah.

            Namun kata-kata itu ibarat menyiram air ke daun keladi. Keadaan ibunya tetap tidak berubah. Sejak hari itu, dia menjadi pengganti ibunya. Setiap pagi sebelum ke sekolah, dia akan menyiapkan sarapan pagi untuk ibunya, serta bekal untuk Naufal bawa ke sekolah. Balik dari sekolah, dia akan singgah ke pasar untuk membeli barang-barang keperluan. Sesudah itu dia akan memasak makanan tengahari, mencuci pakaian serta mengemas rumah. Dan itulah rutin sehariannya setelah ibunya ‘jatuh sakit’.

            Suatu hari, ketika baru pulang dari sekolah, dia terkejut apabila melihat ibunya sedang memasak makanan tengahari. Perlahan-lahan dia mendekati wanita itu. Ibunya menoleh. Senyuman kecil terukir di bibir itu.

            “Dah balik? Pergilah tukar baju, lepas tu turun makan.” Suruh ibunya.

            Dia tetap tidak berganjak dari situ. Matanya meraut dengan teliti, setiap tingkahlaku ibunya. Kelmarin, wanita itu masih dengan dunianya. Hari ini, dia bagaikan melihat wanita yang berbeza.

            “Kenapa Nira tengok umi macam tu?” Ibunya tersenyum memandangnya.

            “Umi..umi tak apa-apa ke?”

            “Umi sihat. Tak ada apa-apa pun.” Balas wanita itu, seraya menyenduk nasi ke dalam pinggan. Dia mengekori ibunya ke meja makan. Matanya masih mengawasi gerak-geri ibunya.

            “Nanti Nira tak payahlah ambil Naufal dari sekolah. Umi akan ambil dia.” Ujar wanita itu.

Dia terdiam. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Namun hatinya berasa lega kerana ibunya sudah kembali hidup. Sesuatu yang benar-benar diharapkannya selama ini. Selepas menunaikan solat, dia tertidur di biliknya.

Sebaik terjaga dari tidurnya, matanya segera mencari-cari kelibat ibunya. Namun tidak ada tanda-tanda ibunya berada di rumah. Namun dia tidak bimbang, apatah lagi wanita itu sudah mengatakan mahu menjemput Naufal dari sekolah.

Dia bercadang mahu menyiapkan kerja sekolah yang harus dihantar pagi esok. Sejak rutin hidupnya bertukar, masa yang ada di sekelilingnya tiba-tiba menjadi terlalu singkat. Dia tidak pernah ada masa lagi untuk menonton wayang, bertemu kawan-kawannya di luar waktu sekolah atau sekadar mahu menonton televisyen dan mendengar radio di rumah. Setiap dari masanya yang ada, hanya untuk menguruskan rumah dan menjaga uminya yang sakit, tak terkecuali melayan kerenah Naufal yang agak nakal.

            Baru hendak menyelongkar beg sekolahnya, dia diganggu bunyi deringan telefon. Keluhannya menerpa keluar. Dengan langkah malas, dia memaksa diri bergerak ke arah telefon yang masih rancak berbunyi.

“Hello.” Dia menyapa terlebih dahulu.

            “Hello, kakak ya. Naufal ni. Kenapa kakak tak jemput Naufal kat sekolah?” Suara kecil itu seolah merajuk. Dia tersentak. Naufal masih di sekolahkah? Tapi bukankah ibunya pergi menjemput adiknya? Dia terkedu. Kegelisahan mula bersarang di fikiran.

            “Naufal tunggu kat sana ya, nanti kakak datang.” Suruhnya lalu segera meletak gagang telefon. Namun sesaat kemudian, dia terfikir sesuatu. Dia segera mendail nombor telefon Zaharah pula.

            “Aunty Ara, Nira ni. Aunty kena tolong Nira. Umi..umi…dia hilang.” Suaranya tersekat-sekat memberitahu. Dia seperti ingin menangis ketika memberitahu Zaharah perihal uminya yang menghilang entah ke mana.

*  *  *  *

            Sebaik terdengar sebuah kenderaan memasuki perkarangan rumah, dia segera menjenguk dari tirai jendela. Kereta Zaharah! Melihat wanita itu turun dari perut kereta sambil memimpin tangan ibunya, hatinya serta-merta beransur lega. Syukur pada ALLAH, ibunya tidak apa-apa! Dia segera menerpa ke muka pintu, menanti dengan sabar kelibat Zaharah dan ibunya menghampiri pintu.

            “Naufal dah balik?” Tanya Zaharah.

Dia mengangguk. Namun matanya masih terpaku pada wajah ibunya yang kelihatan pucat dan bingung.

            “Umi pergi mana tadi? Umi buat Nira risau,” keluhnya.

Zaharah memandangnya seraya menggelengkan kepala. Wanita itu seolah mengisyaratkan agar dia berdiam diri. Selepas menghantar ibunya ke bilik, Zaharah datang kepadanya.

“Aunty nak cakap sikit dengan Nira.” Ujar wanita itu seraya menariknya ke arah sofa. Dia mengerutkan dahinya. Wajah serius Zaharah mengundang resahnya. Fasal umikah?

            “Maaf, kalau cakap aunty ni tak sedap kedengaran, tapi aunty rasa umi Nira ni sakit.” Ujar Zaharah berterus-terang.

Dia tersentak. Sakit? Ibunya sakit apa?

            “Tadi aunty cari umi Nira di merata tempat. Mujurlah aunty teringat nak cari dia di pusara ayah Nira. Bila aunty tanya, dia kata dia pun tak sedar bila masanya dia ke sana. Bila aunty cakap fasal Naufal, dia kata dia tak kenal siapa Naufal.” Bisik Zaharah bercerita panjang lebar.

            “Apa maksud aunty? Takkan Umi tak kenal Naufal? Naufal kan anak umi.” Pintasnya, terkejut dan separuh bingung mendengar kata-kata Zaharah.

            “Aunty pun tak faham. Tapi sejak ayah Nira meninggal, aunty tengok sikap umi Nira ni berlainan benar dari dulu. Kerap termenung sana sini. Kadangkala menangis aje kerjanya. Aunty bimbang kalau dibiarkan sahaja, dia akan jadi lebih teruk. Aunty rasa kita kena hantar umi Nira ke hospital buat pemeriksaan.” Cadang wanita itu.

            Dia terdiam. Hantar umi ke hospital? Kalau umi di hospital, aku dan Naufal macamana?

            “Nira jangan bimbang. Untuk sementara waktu ni, Nira tinggal dengan Pak Long dan Mak Long Nira dulu. Aunty rasa mereka tentu tak keberatan.” Ujar Zaharah, bagaikan tahu apa yang bersarang dalam kotak fikirannya.

Dia memandang tepat ke wajah Zaharah. Serentak kepalanya digelengkan. Cadangan wanita itu benar-benar tidak dipersetujuinya.

            “Tak mahulah aunty. Soal kami aunty jangan risau, Nira boleh jaga Naufal.” Dia menolak. Berat hatinya untuk bersetuju dengan rancangan Zaharah. Selama ini, pakcik dan makcinya itu tidak pernah mempedulikan dia dan Naufal. Inikan pula untuk membawa mereka tinggal sebumbung.

            “Nira kan masih bersekolah. Macamana Nira nak jaga Naufal nanti?” Pujuk Zaharah cuba berdiplomasi.

            “Tak apa aunty, Nira tahulah macamana nak uruskan dia. Selama ibu macam ni pun, Nira yang masak dan hantar Naufal ke sekolah.” Ujarnya tidak mahu kalah. Zaharah dilihatnya terdiam sejenak.

“Kalau itu kata Nira, tak apalah. Harap-harap umi Nira cepat sembuh.”

            Keesokan harinya, Zaharah membawa ibunya ke hospital menjalani pemeriksaan. Dan dia pula dengan rutin hariannya menguruskan rumah. Sesekali Naufal merungut kerana jarang dapat merasa makanan sedap air tangan ibunya.

            “Naufal ni cerewetlah. Makanlah apa yang ada, jangan nak memilih,” pujuknya. Naufal dilihatnya mencebik.

            “Kakak masak tak sedap, tak macam umi masak.” Rungut Naufal lalu menolak pinggan nasi ke tepi. Adiknya itu segera menghilangkan diri ke suatu arah.

            “Naufal, habiskan nasi ni dulu. Susah payah kakak masak!” Panggilnya dengan suara lantang. Geram sungguh hatinya melayan kedegilan Naufal yang semakin menjadi-jadi. Sejak ibunya jatuh sakit, Naufal semakin berani membuat onar yang memeningkan dirinya.

            “Kata doktor, umi Nira kena tinggal di hospital buat sementara waktu. Doktor nak pastikan tentang penyakitnya.” Kata Zaharah ketika singgah di rumahnya petang itu.

            “Teruk ke sakit umi tu aunty?”

            Zaharah terdiam. Wanita itu kelihatan serba salah mahu menjelaskannya.

            “Entahlah Nira, aunty pun tak tahu. Tapi aunty akan berusaha bantu ubati penyakit umi Nira. Nira jangan bimbang ya sayang.” Pujuk wanita itu lagi.

Dia hanya mampu membisu. Kebimbangan mula bersarang di jiwa. Meskipun dia masih muda, namun dia bukannya bodoh untuk mengetahui riak yang terukir di wajah Zaharah bagaikan menyembunyikan sesuatu. Apakah sakit uminya benar-benar teruk?

            Petang itu dia berkeras mahu mengikut Zaharah melawat ibunya di hospital. Naufal dibawanya bersama. Sebaik melihat kelibat ibunya, Naufal tidak dapat menahan perasaan gembira. Pantas anak itu meluru lalu memeluk wanita di hadapannya.

Ibunya kelihatan terkejut. Serentak wanita itu menolak tubuh kecil Naufal menyebabkan Naufal nyaris tersungkur. Mujurlah Zaharah ada di belakang dan sempat menyambut tubuh anak itu. Dia sendiri tergaman melihat apa yang berlaku.

            “Lia, kenapa dengan kau ni? Ini anak kau Naufal. Nira pun ada datang sekali.” Ujar Zaharah sambil mengusap-gusap kepala Naufal yang masih terkejut diperlakukan sedemikian rupa.

            “Anak?” Ibunya memandang tepat ke arah Naufal yang diam membisu di sisi Zaharah. Seketika mata wanita itu beralih ke arahnya yang berdiri di belakang Naufal. Sepasang mata cengkung milik ibunya tertumpu lama ke wajahnya, sebelum kembali ke wajah Naufal.  Sejurus kemudian, wanita itu menggelengkan kepalanya.

            “Aku tak kenal! Aku tak kenal mereka!” Jerit ibunya dengan nafas tercungap-cungap. Melihat keadaan ibunya, hatinya serta-merta dirundung sayu. Rupa ibunya yang pucat lesi dan kurus cengkung, membuatkan airmatanya mula membirai di kelopak mata.

            “Puan Zaharah, doktor pesan suruh puan ke biliknya.” Sapa seorang jururawat yang tiba-tiba muncul di muka pintu. Zaharah mengangguk. Mata wanita itu segera beralih ke arahnya.

            “Aunty nak jumpa doktor sekejap. Nira dan Naufal tunggu di sini ya. Kejap lagi aunty datang semula.” Ujar Zaharah sebelum terburu-buru keluar dari bilik itu. Dia menghantar pemergian wanita itu dengan ekor matanya. Seketika matanya dikalihkan ke arah Naufal yang turut memandangnya dengan riak wajah resah.

            “Naufal, kakak nak keluar sekejap beli air. Naufal tunggu sini temankan umi ya.” Pintanya. Naufal pantas memandangnya. Kepala anak itu digelengkan.

            “Tak mahulah kak. Naufal takut tengok umi, Naufal nak ikut kakak.” Ujar Naufal seraya menjeling ke arah wanita yang sedang termenung jauh di atas katil.

            “Apa Naufal cakap ni? Umi kan ibu kita. Dia yang jaga kakak dengan Naufal selama ini. Sampai hati Naufal cakap macam tu.” Marahnya. Matanya sengaja dijegilkan besar-besar ke arah anak kecil itu.

 “Sudah! Kakak tak mahu Naufal cakap macam tu lagi. Tunggu kat sini, kakak pergi sekejap aje.” Dia segera melangkah keluar meninggalkan Naufal bersendirian bersama ibunya.

            Langkahnya dihela ke arah bilik doktor yang terletak berhampiran dengan wad ibunya. Sewaktu dia mengikut Zaharah tadi, wanita itu ada mengetuk pintu bilik itu untuk bertemu seorang doktor bernama Azlan. Agaknya aunty Zaharah ada kat situ, bisik hati kecilnya.

            Perlahan-lahan dia menolak daun pintu yang sedikit renggang. Dari luar, dia mengintai kelibat Zaharah yang sedang berbual-bual dengan seorang doktor muda berkaca mata. Tiba-tiba hatinya tergerak mahu mengikuti perbualan tersebut.

            “Saya tak faham doktor. Doktor kata penyakit dimentia ni hanya dihidapi oleh golongan berusia 65 tahun ke atas. Tapi Zahlia baru berusia 35 tahun. Dia masih muda doktor.” Suara Zaharah jelas kedengaran.

            “Memang kebanyakan kes dimentia begitulah, puan. Tapi golongan yang lebih muda juga tidak terlepas dari penyakit ni. Penyakit ini kita panggil pre-senile dimentia. Dimentia ni sebenarnya adalah sebahagian dari proses penuaan. Semua golongan yang berusia 20 tahun akan mula mengalami proses kematian sel otak dan ini akan menyebabkan otak mula mengecut. Lebih cepat sel-sel otak mati, maka lebih cepatlah pesakit terdedah kepada dimentia.” Jelas Doktor Azlan.

            “Saya dah jalankan Abreviated Mental Test Score terhadap Puan Zahlia. Ujian soal selidik ini bertujuan untuk mengenalpasti tahap mental pesakit secara umum, dengan menyoal pesakit tentang maklumat-maklumat tentang kehidupan di sekitar mereka. Dan saya dapati ada banyak benda yang tidak dapat dijawab oleh Puan Zahlia. Tindakbalas beliau terhadap ujian ini juga amat pasif. Saya juga dah jalankan ujian CT dan EEG dan saya dapati berlaku penurunan dari segi kewujudan gelombang di otak Puan Zahlia. Ini menyakinkan saya yang Puan Zahlia mungkin mengidap dimentia.” Sambung doktor itu.

            “Habis, apa yang kita patut buat doktor?”

            “Untuk sementara, saya boleh bekalkan suntikan vitamin B12 dalam darah untuk merangsang ingatan Puan Zahlia. Tapi dukacita saya nak ingatkan puan yang setakat ini penyakit ini tidak ada ubatnya. Terdapat sejenis ubat lagi yang dipanggil Tacrine yang berfungsi untuk menghasilkan acetylcholine dalam otak, tapi penggunaan ubat ini tidak berapa digalakkan.”

            “Kalau tak ada ubat, bagaimana kita nak sembuhkan Zahlia doktor?” Zaharah kelihatan resah.

            “Saya rasa puan patut tumpukan pada kebajikan dan kawalan terhadap Puan Zahlia. Kalau menurut pemerhatian saya pada Puan Zahlia, beliau mempunyai kecenderungan physcosis. Loss of contact with reality. Dia tak ingat yang suaminya sudah meninggal. Dia juga tidak tahu apa yang telah dilakukannya dalam jarak masa dua hingga tiga jam sebelumnya. Macam puan kata tadi, dia juga tidak ingat dengan anak-anaknya. Ini semua adalah tanda-tanda awal psychosis. Dia sedang membuang semua realiti yang ada di sekelilingnya. Dalam kes seperti ini, pesakit biasanya kami rujuk pada pakar psikiatri.”

            Dia menghindar dari pintu itu perlahan-lahan. Perasaannya berbelah bahagi. Apa yang didengarnya dari mulut doktor itu membuatkan fikirannya celaru sekaligus bingung. Akalnya susah mahu mencerna kata-kata doktor itu. Benarkah ibunya sudah lupa siapa dia dan Naufal?

            “Nira jangan bimbang, aunty dan doktor-doktor kat sini akan berusaha sedaya upaya kami untuk sembuhkan umi Nira.” Zaharah memeluk bahunya ketika mereka meninggalkan bilik ibunya.

Dia tidak memberi sebarang reaksi. Matanya tertumpu ke arah sekawan merpati yang terbang di luar jendela bilik. Entah kenapa, matanya sengaja dilarikan. Dia tidak mahu wanita itu melihat airmata yang mula bertakung di kelopak matanya.

Naufal juga tidak banyak bercakap kali ini. Mata anak itu asyik memandang wajah ibunya yang pucat lesi dan asyik termenung di atas katil. Ketika Naufal disuruh mencium tangan ibunya, anak itu langsung tidak berganjak dari sisi Zaharah.

2 comments:

Unknown said...

ALLAH HU AKBAR...terharu nye ngan nasib malang nadira n naufal,cian nye dalam usia yang masih kecil,pelbagai ujian yang harus dilalui!muge nadira terima lah ujian ALLAH dengan redha.

Unknown said...

Suspen...

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!