Followers

Wednesday, March 20, 2013

Alamak! Lagi-Lagi Dia : Bab 1


BUNYI ketawa mengekek  itu menganggu gegendang telinganya. Pelbagai ton ejekan dan jeritan sudah lali di telinga setiap kali dia melintas kelas 5A. Kelas itu nama sahaja dipenuhi dengan pelajar-pelajar yang bijak, tapi kurang kesedaran sivik. Dan dia sentiasa menjadi mangsa usikan yang melemaskan. Annoying!

“Loser! Loser! Loser!”  Ya itulah perkataannya. Menggambarkan dirinya dari persepsi pelajar-pelajar di kelas itu. Dia dipanggil Loser.Kalau menurut kamus, Loser maksudnya orang yang memalukan. Disgrace! Dan dia menjadi si Loser itu sepanjang tahun. Terhina, diejek serta diletakkan di tempat yang paling rendah, hanya gara-gara sekeping surat cinta.

Idham Hariz. Nama yang memaparkan karisma. Aktif bersukan dan berekreasi. Selalu pula terlibat dengan banyak aktiviti-aktiviti di sekolah. Paling penting, lelaki itu antara yang paling popular di sekolah dan memiliki ramai peminat perempuan. Dan dia adalah salah seorang dari peminat Idham Hariz, meskipun lelaki itu tidak pernah menyedari kewujudannya.

Namun satu peristiwa, satu kisah membuatkan tanggapannya terhadap lelaki itu tersasar jauh. Kerana sekeping surat cinta yang jatuh dari fail yang dipegangnya, lelaki yang terlihat agung di matanya kini menjadi racun yang menusuk ke hati.

“Loser!” Jerit seorang pelajar perempuan ketika melewatinya.

Dia terpempan. Melihat renungan tajam pelajar perempuan tingkatan 5 itu, hatinya mulai kecut. Tak cukup dengan itu, si gadis tiba-tiba meluru ke arahnya lalu menampar pipinya berulangkali. Peritnya Tuhan sahaja yang tahu. Dia mengaduh kesakitan sambil mengalirkan airmata menahan sakit. Namun pelajar perempuan itu hanya berhenti memukulnya setelah puas.

“Muka tak malu macam kau ni lebih baik berhenti sekolah sahaja. Loser!” tutur pelajar perempuan itu agak lancang. Dengusan nafas pelajar perempuan itu singgah ke gegendang telinganya sebelum gadis itu beredar.

Sebaik ditinggalkan, dia mengengsot-engsot sambil menahan sakit. Ada cecair likat meleleh di bibirnya. Apabila dia menyentuhnya, darah pekat itu melekat di tangannya. Wajahnya cemas. Tentu esok bibirnya akan kelihatan lebam dan kebiru-biruan.

Ada beberapa orang pelajar perempuan lalu di situ. Tapi melihat dia di dalam keadaan lemah, semuanya hanya memandang jijik tanpa ada niat mahu membantu. Hatinya sedih. Dia merasa terpinggir dan terluka. Hendak diluahkan, dia tidak tahu siapa yang akan mendengarnya. Untuk pertama kali dia merasa bersendirian di bumi ALLAH yang luas ini. Dan nama The Loser itu terus kekal sehingga ke hari-hari berikutnya. Cika! Cika The Loser. Yup, it’s me!

*  *  *  *

DIA terjaga dari tidur. Terkelip-kelip memerhatikan siling bilik yang berwarna putih. Untuk seketika dia cuba mengingatkan nightmare yang dialaminya. Ya! Idham Hariz adalah nightmare dalam kehidupannya. Lelaki yang harus dielakkan jika bertemu di jalanan. Lelaki yang harus dijauhi tanpa perlu berfikir dua kali.

Di telinganya masih tergiang-giang panggilan Cika The Loser. Dan panggilan itu terus melekat di fikirannya meskipun tahun berganti tahun. Itu sumpahan yang tak boleh dirungkai, meskipun dia melakukan apa sahaja untuk melupakan semua peristiwa pahit itu.

            Dia bingkas bangun dari katilnya. Selimutnya dicampak ke tepi. Jarum jam di dinding bilik diperhatikan. Baru pukul 2 pagi tapi dia sudah mengigau dan bermimpi ngeri. Dengan langkah malas dia mengatur arah ke bilik air.

            Di hadapan cermin, dia menilik wajah sendiri.. Membandingkan rupanya yang sekarang dengan wajahnya 12 tahun yang lalu sewaktu dia berusia 16 tahun. Ketika itu dia dara sunti yang memiliki wajah nerd. Berambut ikal yang sering diikat ekor kuda dan cermin mata tebal yang hampir menyamai tahap rabun neneknya di Melaka.

Kalau dikira dari segi populariti, of course dia bukan golongan pelajar perempuan yang akan diminati oleh lelaki sekacak Idham Hariz. The truth is, dia langsung tidak popular. Cikai adalah dengan wajah serabai dan penampilan yang sedikit kelam kabut. Agaknya sebab itulah dia dipanggil Cika oleh ibu bapanya sendiri. Nama yang cukup sesuai untuk seorang gadis yang simple sahaja dari atas kepala sehingga ke hujung kaki.

            Itu portfolionya sewaktu dia berusia 16 tahun. Sekarang dengan usia yang menjangkau 28 tahun, dia bukan lagi terkategori gadis yang cikai atau selekeh. Kini dia adalah seorang perunding hartanah profesional yang menguruskan urusan jual beli hartanah yang sudah lima tahun berkembang pesat di ibukota.

            Sepatutnya dalam keadaan sekarang, dia berbangga dengan apa yang sudah dikecapinya. Malah dia pernah bergelar top real estate agent dengan listings mencecah hampir 400 lebih hartanah dengan sebuah syarikat bumiputera sebelum dia berhenti dan membuka perniagaannya sendiri. Pendek kata dia sudah berjaya! No more Cika The Loser!

            Masalahnya sekarang, siang tadi dia menerima sekeping kad undangan. Pengirimnya ialah Sarah, presiden alumni sekolah menengah lamanya. Dan kad undangan itu adalah trauma terbaru untuknya kali ini. Sebab itu sampai sekarang dia masih gagal melelapkan matanya walau sepicing.

 

DENGAN SEGALA HORMATNYA, ANDA DIJEMPUT MENGHADIRI REUNION DI SEKOLAH MENENGAH X SESI 2000/2001. KEHADIRAN ANDA ADALAH AMAT DIALU-ALUKAN. SILA BERHUBUNG DENGAN AHLI JAWATANKUASA ALUMNI SECEPAT YANG MUNGKIN UNTUK BUTIR PERINCIAN. TERIMA KASIH.

 

            Kad yang simple tapi elegen dan cantik. Warna emas yang digunakan menandakan majlis itu pasti akan meriah. Tapi warna hatinya saat membaca kad tersebut ialah keruh macam air kapur di dalam makmal.

            Jika dia hadir ke perjumpaan reunion itu, pasti dia akan dipertemukan semula dengan Idham Hariz. Gila ke apa? Dia takkan sesekali menjejakkan kakinya ke perjumpaan reunion sekolah menengahnya itu. Memikirkannya juga tidak!

            Sedang dia asyik termenung, telinganya mendengar suatu bunyi datangnya dari luar biliknya. Dahi Cika berkerut. Bunyi apa pulak tu? Tikuskah? Atau barangkali kamelion milik abangnya Ubek sudah terlepas dari sangkar? Kalau betullah itu bunyi kamelion, rasanya dia surrender mahu keluar menjenguk. Dia memang geli-geleman dengan benda yang serupa biawak itu. 

            Tapi makin lama bunyi itu semakin jelas kedengaran. Macam bunyi tapak kaki pun ada. Cika memberanikan diri menghampiri tombol pintu. Perlahan-lahan pintu di hadapannya dikuak lebar. Tapi sesusuk tubuh yang sedang menyelinap di luar biliknya, membuatkan dia terkejut besar. Mak opocot!

            “Abang buat apa ni?” Tanya Cika dengan wajah berkerut. Merenung seorang lelaki yang sedang berjingkit-jingkit di hadapan pintu biliknya.

            Ubek tidak menjawab. Sebaliknya senyuman lebar singgah di wajah itu.  Jari telunjuknya bergerak di tengah bibir. Memberi isyarat agar anak gadis itu berdiam diri.

            “Abang nak pergi memancing kat Ulu Yam.” Bisik Ubek.

            “Tengah malam macam ni?”

            Ubek mengangguk. “Malam-malam macam ni la banyak ikan. Ikan kan suka suasana sunyi-sunyi. Abang dengar malam ni ramai kaki pancing yang akan bercamping kat Ulu Yam, sebab ikan tengah banyak sekarang kat situ. Ada ganjaran besar lagi. Adik jangan beritahu umi ya.” Pesan Ubek.

            Cika mengeluh kecil mendengar kata-kata abangnya. Memang Ubek kaki pancing paling gila pernah dikenalinya. Abangnya itu nama sahaja seorang jurutera, tapi lelaki itu lebih suka pada ikan dan jorannya dari sibuk mencari seorang teman wanita untuk dibuat special girlfriend.

            “Adik jangan beritahu umi tau. Esok pagi abang balik.” Pesan Ubek bertalu-talu. Takut benar dia jika ibunya tahu dia diam-diam menyelinap dari rumah tengah-tengah malam buta gara-gara kerana mahu pergi memancing.

            “Cika tak jamin kalau ibu tahu.” Ujar Cika dengan wajah nakal.

            “Adik..” Wajah Ubek berubah kelat. Mati dia kalau dia ditangkap warden rumah itu yang dipanggil Puan Bahyah. Hukuman penjara seumur hiduplah jawabnya!

            “Cika akan tolong abang simpan rahsia tapi dengan satu syarat.”

            Ubek tercengang. Alahai, syarat apalah pulak ni?

            “Syaratnya, abang kena bawa Cika sekali.”

            No way!” Bantah Ubek pantas.

            “Cika nak ikut jugak. Cika tak boleh tidurlah malam ni. Baik Cika ikut abang ke Ulu Yam. Manalah tau ikan kat tasik tu tertawan dengan kejelitaan Cika ni.” Gelak Cika dengan nada tertahan, bimbang didengar ibunya.

            “Nanti umi tahu.”

            “Bolehlah abang.” Pujuk Cika berharap.

            Ubek mendengus perlahan. Hendak tak hendak dia mengangguk akhirnya. Pasrah dalam paksa. Hah nak ikut sangat? Ikutlah! Esok kalau dua-dua kena pelengkung kepala dengan umi, jangan pulak nak sengal-sengal mengadu atau merungut, getus hati kecil Ubek.

            Tersenyum lebar Cika dibuatnya. Cepat-cepat dia masuk semula ke biliknya mengambil apa-apa yang patut untuk dibawa bersama. Termasuklah bantal strawberry kesayangannya.

            Menjeling panjang Ubek melihat bantal strawberry berbentuk love di tangan Cika. Aku dah agak dah! Kalau nak ke mana-mana tak berenggang langsung dengan bantal tu! Rungut Ubek dengan wajah bengang.

1 comment:

Giles said...

I really enjoyed your blog, thanks for sharing

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!