Followers

Friday, August 21, 2009

Bunga Syurga 6

Tok Ayah asyik merenung potret kecil yang terhias sepi di atas meja kecil di kamarnya. Wajah seorang wanita ayu memangku seorang anak kecil, sentiasa ditatapinya saban hari. Hati tuanya setiap waktu mengamit kerinduan yang teramat. Hari-hari dia merindui wajah-wajah itu. Malah setiap hari selepas solat, dia tidak lupa menyedekahkan al-Fatihah pada insan-insan tersayang yang pernah menemani hidupnya suatu ketika dulu.
Satu saat dulu, hidup mereka bahagia. Dia cukup bersyukur dikurniakan seorang isteri yang baik dan seorang anak perempuan yang bijak. Walaupun hidup mereka kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, namun rezeki yang diberi tuhan sentiasa ada. Cukuplah untuk mereka bertiga. Anak perempuannya pula rajin belajar, sentiasa memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan. Malah dia tidak putus-putus menggalakkan Akma belajar sehingga ke peringkat tertinggi. Hati mana yang tak bangga bila anak kesayangan mendapat peluang belajar di luar negara.
“Dah habis mengemas?” Tegurnya sambil membetulkan jaring di anjung rumah. Akma kelihatan diam. Wajahnya risau merenung si ayah yang kelihatan lesu.
“Ayah….,” dia memanggil.
Dia mengangkat muka. Merenung wajah gadis itu yang seolah-olah ingin mengucapkan sesuatu.
“Kenapa ni? Akma nak cakap apa?” Soalnya lembut. Jaring di tangannya ditolak ke tepi. Saat itu keinginan Akma lebih penting dari segala-galanya.
“Akma…Akma rasa berat hati nak pergi.” Ucap gadis itu.
Dia tersenyum nipis. Dia faham perasaan anak itu. Dia dan isterinya juga berat hati mahu berpisah dengan satu-satunya darah daging mereka. Namun demi masa depan Akma, dikuatkan semangatnya. Dia mahu Akma menjadi satu-satunya wanita dalam kampung itu yang berjaya dalam pelajaran, dihormati oleh masyarakat kampung. Itulah harapannya yang sentiasa mengunung tinggi.
Namun keputusannya menghantar Akma ke luar negara, rupa-rupanya suatu keputusan yang salah. Dia tersilap membuat perhitungan. Dua tahun di luar negara, Akma pulang membawa derita. Menconteng arang ke wajahnya sekeluarga.
“Ayah…ibu, Akma minta ampun. Maafkan Akma.” Tangisan Akma berkumandang di setiap ruang rumah kayu itu.
“Kenapa ini balasan yang kamu beri pada ayah dan ibu, Akma? Apa selama ini tidak cukup didikan agama yang kami berikan pada kamu?”
Pedih hatinya memandang anak yang selama ini ditatang dan dijaga bagaikan minyak yang penuh. Anak yang sering dibangga-banggakan bukan pulang membawa segulung ijazah, tapi pulang membawa berita duka. Isterinya Rogayah menangis sepanjang malam. Meratapi sengsara sehingga merosak badan sendiri. Dan dia pula terpaksa menahan telinga mendengar cerca dan nista orang kampung.
“Nama aje guru silat, tapi anak sendiri tak terjaga. Entah mat salleh mana yang dah membuntingkan anak si Hijab tu,” tersayat pilu hatinya mendengar kata-kata itu. Kalau tidak cukup sabar di hatinya, tidak cukup ilmu agama di dadanya, asudah lama dia jadi gila. Isterinya Rogayah yang paling teruk tersiksa. Kerana saban hari terpaksa mendengar umpat keji orang, Rogayah mula sakit-sakit, kesihatannya mula tidak menentu. Akhirnya suatu malam, isterinya menghembuskan nafas terakhir di ribanya. Pilu hatinya hanya tuhan yang tahu.
Sejak itu dia mula berubah. Cakapnya juga sudah tidak banyak. Anak yang dulu disayanginya sudah tidak dipedulikan. Dia lebih suka menyendiri di biliknya.
“Aki, aku nak kamu bawa anak tu jauh dari mata aku. Biar ke mana pun aku tak kisah, asalkan jangan di depan mata aku. Aku tak mahu tengok dia lagi,” ujarnya tegas.
“Tapi ini cucu kamu Hijab, sekurang-kurangnya peganglah dia. Tengok wajahnya.” Temannya Aki memujuk. Sesekali Aki memandang isterinya Hasnah yang kelihatan sebak di sisi Akma yang masih lemah.
“Tidak, itu bukan cucu aku. Aku tak mahu keturunan aku yang lahir dari benih kotor. Kamu hantarlah dia di mana-mana sahaja yang kamu suka. Aku tak kisah.” Dia tetap berdegil.
“Ayah, tolong jangan pisahkan Akma dengan anak Akma. Akma merayu,” tangis Akma. Dia cuba bangun biarpun badannya masih lemah. Bayi kecil di tangan lelaki tua itu cuba digapai.
“Pak Aki, tolong serahkan anak Akma balik. Akma nak tengok dia,” rayu Akma sambil menangis.
“Aki, jangan benarkan dia tengok anaknya, kamu pergi sekarang juga. Bawa anak tu pergi sebelum aku bunuh dia!” Herdiknya lantang. Akma tergaman. Tak disangkanya, hati ayahnya sekeras kerikil. Sanggupkah ayah yang selama ini cukup dihormatinya, membunuh cucunya sendiri?
Akma tidak bersuara lagi. Matanya memandang ayahnya dengan pandangan sebak. Badannya benar-benar tidak bermaya. Dia hanya mampu menatap bayi kecil di pangkuan lelaki yang merupakan teman baik ayahnya. Namun lama-kelamaan, pandangannya menjadi semakin kelam. Semakin lesu. Ayah, maafkan Akma. Anakku, maafkan ibu kerana tak dapat melindungimu!
“Akma…Akma…bang, tengok Akma ni.” Sayup-sayup dia mendengar suara memanggil namanya. Namun badannya terlalu lemah. Kekecewaan hatinya membuatkan dia ingin tidur. Matanya dipejamkan buat selama-lamanya.
Tok Ayah mengesat airmata yang tak pernah kering. Sudah hampir 25 tahun, dia keseorangan meratap luka yang tidak pernah sembuh. Hatinya masih tersiksa. Bagaikan ada beban berat yang meremukkan hatinya saban waktu. Akma, ayah sebenarnya terlalu menyayangi kamu. Maafkan ayah Akma!
“Tok Ayah, kenapa ni?” Seorang wanita berbaju kurung muncul di muka pintu. Cepat-cepat Tok Ayah menyeka airmatanya dengan tuala kecil yang sentiasa tergantung di bahunya. Dia tidak mahu petugas rumah itu, melihat airmata sendu yang bertakung di celah kelopak matanya.
“Tok Ayah kenapa tak bercampur gaul dengan teman-teman lain kat luar sana? Asyik berkurung saja kat dalam bilik ni buat apa? Tengok tu tingkap pun tak buka. Tak dapat cahaya matahari, macamana nak sihat,” tegur Hafifah yang rajin mengajaknya berbual. Hanya dia yang membekukan diri, tidak mahu melayan sesiapa pun yang cuba berkawan.
Hafifah menggelengkan kepalanya. Dari dulu sampai sekarang, cukup sukar hendak melunturkan perangai degil orang tua ini. Dah bermacam-macam cara dicuba, tapi lelaki tua yang panas baran itu tetap tidak mahu berubah. Tetap suka memencilkan diri.
“Tok Ayah, tengok apa Pipah bawa ni? Sup ayam. Tadi cucu Tok Ayah datang. Dia yang bawakan sup ayam ni. Hmm…cuba rasa, sedap ni. Bertuah Tok Ayah ada cucu macam tu, tiap-tiap minggu dia datang bawakan makanan yang sedap-sedap untuk Tok Ayah.” Hafifah tersenyum. Dia cuba memancing lelaki itu agar bersuara.
Mangkuk sup diletakkan di atas meja lelaki itu. Lelaki itu masih berdiam diri. Matanya asyik merenung mangkuk sup yang berada di mejanya. Seketika kemudian, dia mengangkat muka merenung Hafifah yang sentiasa tersenyum.
“Berapa kali aku nak cakap pada kamu, jangan ambil apa yang dia bagi. Buang! Jangan bawa masuk dalam bilik aku ni, aku tak suka. Kamu faham tak?” Tengking Tok Ayah lalu menepis mangkuk berisi sup yang masih panas berwap. Hafifah terkejut dengan reaksi Tok Ayah. Berdebar-debar dadanya takutkan tongkat orang tua itu kalau tiba-tiba dibalun ke arahnya. Dia tidak berani bersuara lagi.
“Kenapa Tok Ayah tu kak Pipah?” Tanya Umar, salah seorang petugas di rumah warga tua itu.
“Sudahlah Umar, tak payahlah pedulikan Tok Ayah tu. Dah memang macam tu perangai dia. Kesian akak tengok cucu dia, bersusah payah nak memujuk hati orang tua tu. Tapi kalau dah namanya keras kepala, memujuk macamana pun takkannya mahu dia tu lembut hati,” sahut Hafifah separuh merungut.
* * * *
“Macamana kak? Tak apalah kalau macam tu, terima kasih sebab beritahu Hijjaz.” Telefon diletakkan di gagangnya. Nurul Hijjaz termenung panjang. Hatinya sebak. Entah mengapa di saat-saat begitu dia selalu merasa dirinya keseorangan. Tiada tempat untuk mengadu.
Berita yang dibawa oleh kak Hafifah tentang datuknya, selalu meremukkan hatinya. Dia tidak faham kenapa lelaki itu terlalu membencinya. Apa salah Hijjaz ni datuk? Kenapa datuk selalu bersikap memusuhi Hijjaz? Berkali-kali Hijjaz cuba mendekati datuk, menjaga perasaan datuk, dan setiap kali itu jugalah hati Hijjaz yang sengsara.
“Hijjaz?” Syafinaz tiba-tiba muncul. Melihat mata Nurul Hijjaz yang merah berair, dia tidak jadi meneruskan kata-katanya. Nurul Hijjaz cepat-cepat menyeka airmata yang berjurai di pipinya. Dia tidak mahu Syafinaz beranggapan yang bukan-bukan pula.
“Kenapa ni?” Gadis bercermin mata itu merenung ke arahnya.
Nurul Hijjaz hanya tersenyum sambil mengeleng-gelengkan kepalanya. “Tak ada apa-apa.”
“Ini mesti fasal datuk kau lagi kan? Hal apa pula kali ni?”
“Tak adalah Finaz, datuk aku okey aje. Kak Pipah baru call tadi, katanya datuk aku suka sangat makan sup yang aku hantar tu. Itu yang buat aku terharu,” Nurul Hijjaz berdalih.
“La itu aje pun boleh buat kau nangis? Memang sah kau ni minah bunga tau tak,” Syafinaz tertawa. Nurul Hijjaz turut tertawa mendengar kata-kata teman baiknya itu. Dia lebih suka kalau Syafinaz tidak tahu apa-apa tentang masa lalunya. Biarlah keperitan itu dia seorang yang menanggungnya.
“Cik Nurul Hijjaz?”
“Ya saya….” Nurul Hijjaz berpaling. Seorang lelaki bertopi sedang berdiri sambil memegang sejambak bunga di hadapannya. Syafinaz di sebelahnya sudah tercengang menatap jambangan bunga yang cukup indah itu.
“Ada kiriman bunga untuk cik. Tolong tandatangan kat sini.” Lelaki itu menghulurkan jambangan itu ke arahnya, tapi cepat saja direbut oleh Syafinaz. Nurul Hijjaz hanya ketawa melihat tingkahlaku Syafinaz.
“Wow cantiknya, istimewa buat gadis comelku…Nurul Hijjaz…dari DI. Mak oii, romantiknya mamat ni, siapa DI ni Hijjaz?” Syafinaz bertanya.
Nurul Hijjaz mengambil kad di tangan Syafinaz. DI? Tentunya singkatan untuk Daniel Iqbal. Sudah masuk kali kedua lelaki itu menghantar jambangan bunga seperti ini. Bukannya murah, paling-paling kurang pun mahu terbang juga tiga ratus ringgit. Tak takut membazir ke? Nurul Hijjaz tersenyum nipis.
* * * *
Agak lama juga Nurul Hijjaz mengintai dari celah tirai yang terbuka, namun studio itu nampak kosong sahaja. Hampir sejam dia menunggu di situ. Pada awalnya dia cuba menelefon Riffki namun panggilannya tidak dijawab. Oleh sebab itu dia hanya meninggalkan pesan sahaja di dalam ‘inbox’ telefon bimbit lelaki itu. Mana dia ni? Lelaki muda yang pernah memegang kunci bilik studio dulu, juga tidak kelihatan di situ.
Lenguh berdiri, Nurul Hijjaz duduk di tangga studio. Fikirannya menerawang jauh teringatkan hidupnya yang tidak terurus sejak berpuluh tahun yang lalu. Cepatnya masa beredar. Dalam tak sedar, hampir 25 tahun dia menjalankan kehidupan ini seorang diri. Membesar tanpa kasih sayang seorang ayah dan ibu. Tanpa pelukan seorang datuk dan nenek.
Semasa di rumah anak yatim, dia sempat tinggal dengan sebuah keluarga besar. Tapi dia dilayan seperti orang gaji. Dia dipaksa melakukan segala kerja rumah meskipun keluarga itu memiliki dua orang pembantu rumah. Kerana tidak tahan, Nurul Hijjaz nekad melarikan diri. Dia melakukan berbagai kerja untuk menyara hidup. Di saat gadis-gadis lain menikmati alam persekolahan, dia pula bertungkus lumus bekerja mencari sesuap nasi. Mujurlah tuan punya restoran yang mengupahnya, sanggup menanggung perbelanjaan sekolahnya. Malah dia disuruh tinggal bersama mereka. Hingga sekarang Nurul Hijjaz amat berterima kasih pada kedua suami isteri itu kerana sudi menumpangkan dia berteduh. Sehingga akhir hayat pun dia takkan mampu membalas budi itu.
Nurul Hijjaz tergaman apabila dikejutkan dengan bunyi hon kereta bertalu-talu. Dia memandang ke sisi kanannya. Sebuah kereta Toyota Vios berwarna silver metalik berhenti tidak jauh darinya. Nurul Hijjaz mengecilkan matanya, cuba memerhatikan pemandu kereta itu. Namun dia agak terkejut melihat Riffki Aidan keluar dari perut kereta lalu menuju ke arahnya. Dia bingkas bangun.
“Apa kau buat kat sini?” Lelaki itu memandangnya dari atas ke bawah.
“Kata nak bincang fasal pameran tu,” Nurul Hijjaz berlagak bodoh. Dia melihat lelaki itu tertawa besar mendengar kata-katanya. Tanpa sedar bibirnya diketapkan rapat-rapat. Geram. Sudahlah aku menunggu macam pak pacak, dia boleh tertawakan aku pulak.
“Kau ni pekak agaknya, apa aku cakap dengan kau tempohari? Jumpa esok di studio. Esok tu bermakna kelmarin. Faham?”
Amboi-amboi sedapnya bahasa mamat ni? Kau ingat aku ni tak ada kerja lain? Asyik nak mengikut masa kau aje, banyak cantik! Rungut Nurul Hijjaz tapi kata-kata itu hanya mampu ditelan sendiri.
“Tak apalah macam tu, nanti aje Encik Riffki aturkan masa lain untuk perbincangan. Kalau macam tu saya balik dululah,” ujar Nurul Hijjaz selamba. Malas dia nak bertekak dengan lelaki itu lagi. Buang masa!
Riffki hanya memerhatikan Nurul Hijjaz melangkah di hadapannya.
“Tunggu.” Lelaki itu menahan tapi Nurul Hijjaz buat tidak dengar, terus juga melangkah. Melihatkan kedegilan Nurul Hijjaz, Riffki segera mengejar gadis itu. Tangan Nurul Hijjaz dipaut kuat. Tersentak anak gadis itu melihat Riffki menariknya sehingga ke kereta. Pintu kereta dibuka di hadapan Nurul Hijjaz.
Nurul Hijjaz tercengang. Apa mahunya dia?
“Masuk,” arah Riffki namun gadis di hadapannya enggan berganjak. Riffki mulai geram lalu menolak tubuh itu ke dalam perut kereta. Nurul Hijjaz hampir terdorong ke hadapan.
“Kita nak ke mana ni?” Nurul Hijjaz memandang lelaki itu cemas. Riffki tidak menjawab, sebaliknya dia terus sahaja membelokkan keretanya ke arah jalan utama. Apabila sampai ke sebuah deretan bangunan pusat beli belah, dia memberhentikan keretanya.
“Turun, kita pergi ke mall tu sekejap,” ujar Riffki tanpa memandang Nurul Hijjaz. Nurul Hijjaz mengeluh panjang. Hendak tak hendak, dia terpaksa mengikut lelaki itu mendaki pusat beli belah. Lama dia mengekori lelaki itu sehingga naik lenguh kakinya. Mana dia ni nak pergi? Nurul Hijjaz mulai geram.
Apabila Riffki memasuki sebuah butik pakaian, Nurul Hijjaz tidak jadi ikut. Dia tercegat macam tunggul kayu di hadapan kedai itu. Menyedari Nurul Hijjaz tidak bergerak, Riffki berpaling. Matanya dibulatkan memandang gadis itu. Wajah gadis itu dipandang tepat.
“Kenapa tak masuk?” Soalnya selamba. Dia seakan tidak peduli dengan renungan marah Nurul Hijjaz yang menyala-nyala.
“Saya nak balik, apa yang awak nak buat, buatlah. Tapi jangan babitkan saya,” balas Nurul Hijjaz. Dia cuba beredar, tapi sepantas kilat pegangan tangan Riffki melekat kuat di lengannya.
“Lepas, saya nak balik.”
Riffki tidak bersuara, tapi wajahnya kelihatan marah. Dia terus menarik lengan Nurul Hijjaz ke dalam butik itu. Matanya asyik membelek pakaian-pakaian yang bergantungan di rak. Sepasang dress malam berwarna hitam menarik perhatiannya. Dia menarik pakaian itu lalu mencampakkannya ke arah Nurul Hijjaz. Nurul Hijjaz tergaman.
“Tukar pakaian tu.”
“Kenapa saya nak ikut cakap awak? Gila!”
Mata Riffki bulat memandang ke arahnya. Kata-kata Nurul Hijjaz menaikkan darahnya. Perlahan-lahan dia mendorong Nurul Hijjaz sehingga memaksa gadis itu berundur ke belakang.
“Kau tu yang rugikan masa aku sebenarnya. Sepatutnya aku ada majlis malam ni tapi terpaksa berkejar ke studio selepas menerima mesej kau. Suka hati kau saja nak datang bila-bila masa kau suka ke studio aku.”
Nurul Hijjaz tunduk. Dia tahu dalam hal itu dia yang bersalah.
“Disebabkan kau, aku tak sempat mencari teman untuk ke majlis tu. Tapi kebetulan kau ada, aku nak minta kau temankan aku. Tapi kalau kau betul-betul tak suka, kau boleh pergi. Kau bebas pergi ke mana saja kau suka.”
Nurul Hijjaz terdiam. Dia rasa serba-salah terhadap Riffki. Rupa-rupanya dia meminta aku menemani dia saja. Lain kali cakaplah awal-awal tak boleh ke? Ini tak, mengajak macam nak menculik. Nurul Hijjaz tersenyum sendiri, tidak sedar Riffki masih memandangnya.
“Hah, kenapa tak pergi lagi?” Suara lelaki itu meninggi.
“Err…kalau betul awak nak saya temankan tak ada masalah tapi….saya….err tapi…” Nurul Hijjaz tergagap-gagap hendak menyebut.
“Tapi apa?”
“Err..sebenarnya saya lebih suka dress warna ungu tu.” Nurul Hijjaz menunjuk dengan jarinya. Riffki terdiam. Dia memandang pakaian yang tergantung di hadapannya, sebelum memandang Nurul Hijjaz kembali.
* * * *
Dalam diam-diam, Riffki asyik menjeling Nurul Hijjaz dari ekor matanya. Pakaian yang dipakai oleh gadis itu nampak kena sahaja dengan tubuhnya. Rambutnya yang panjang mengurai hanya digulungkan. Ringkas tapi menawan. Mekap tipis yang menyaluti wajah itu membuatkan Nurul Hijjaz nampak berlainan dari selalu. Walaupun tak secantik Nurlaila, namun wajahnya tetap sedap mata memandang.
Nurul Hijjaz diam sahaja sepanjang perjalanan. Dia sendiri tidak sangka dirinya diminta menemani lelaki itu hadir ke majlis makan malam. Diam-diam dia melirik ke arah Riffki. Lelaki itu nampak tampan dengan kot hitam dan bow yang senada warnanya. Dia ingin berkata sesuatu, tapi kata-katanya terpaksa ditelan semula. Wajah Riffki nampak serius. Sesekali lelaki itu dilihat memandang pergelangan tangannya. Nurul Hijjaz mengerutkan dahinya. Lewat sangatkah dia? Jarum jam baru nak masuk pukul 8.30 malam.
Sebaik mereka sampai, Riffki tiba-tiba menoleh ke arahnya. Lama matanya terpaku ke wajah Nurul Hijjaz. Nurul Hijjaz terasa dadanya berdebar-debar direnung begitu.
“Kalau mereka tanya, katakan saja kau dah lama kenal aku. Faham? Lagi satu, jangan nak melebih-lebih di majlis tu. Tugas kau hanya temani aku, hal lain aku yang uruskan. Mengerti?”
Nurul Hijjaz mengangguk. Apa-apa ajelah. Aku pun bukan nak sangat pergi majlis tu, kau yang heret aku sampai ke sini.
Dia agak terkejut apabila tiba-tiba, Riffki memegang tangannya sebelum masuk ke dewan utama. Pipinya tiba-tiba terasa merah.
“Riff, lama tak jumpa. Apa khabar?” Seorang lelaki berusia awal 40an menegur ramah. Riffki tersenyum.”Fine. How are you Dato’?”
“Biasalah, macam selalu. And who was this lovely girl? Aha, girlfriend baru ke?” Mata lelaki itu tidak sudah-sudah menatap Nurul Hijjaz. Nurul Hijjaz tersenyum. Dia mahu membuka mulut, tapi mata Riffki seperti mengisyaratkan agar dia berdiam diri.
“Teman lama saya Dato’. Perkenalkan Nurul Hijjaz. Hijjaz sayang, ini Dato’ Faizul.” Riffki memperkenalkannya pada lelaki itu. Nurul Hijjaz bagai hendak tergelak mendengar lelaki itu memanggilnya begitu. Pesan aku jangan melebih-lebih, padahal dia sendiri yang lebih. Nurul Hijjaz menghulurkan tangannya ke arah Dato’ Faizul. Lelaki itu tiba-tiba sahaja memegang dan membawa tangannya ke bibir lalu dikucup. Nurul Hijjaz terkedu. Amboi, romantiknya lelaki tua ni.
Riffki tiba-tiba meleraikan tangannya dari pegangan lelaki tua itu. “Er sayang, you pergi ambil makanan dulu. Nanti I datang okey,” bisik lelaki itu di telinganya tapi masih mampu ditangkap sepasang telinga milik Dato’ Faizul. Mahu tak mahu Nurul Hijjaz terpaksa beredar.
“Pandai you pilih teman Riff, cantik orangnya. Kalau you dah boring, kenal-kenallah dekat I okay?” Mata Dato’ Faizul tak putus-putus memandang Nurul Hijjaz. Riffki hanya tersenyum. Dia faham hasrat hati lelaki itu.
“Hai, I nampak you datang dengan Riffki, betul ke?” Nurul Hijjaz ditegur dua orang gadis yang kelihatan seperti model. Dengan mulut penuh dengan makanan, dia hanya mampu mengangguk.
“You ni teman wanita Riffki atau…” Kedua-dua gadis itu tersenyum sambil memandang sesama sendiri. Gerak geri Nurul Hijjaz dipandang curiga.
“Atau apa?” Soal Nurul Hijjaz lurus. Dia tidak faham apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh gadis-gadis itu.
“Well you know Riffki, sering bertukar-tukar pasangan. Agaknya you ni perempuan yang ke berapa agaknya?” Gadis-gadis itu tertawa sesama sendiri. Nurul Hijjaz terdiam. Dia mengerti maksud mereka.
“Kalau saya ni teman wanita dia pula kenapa?” Nurul Hijjaz bertanya. Kedua gadis itu terlopong. Bulat mata kedua-duanya memandang Nurul Hijjaz yang kelihatan selamba.
“Really? You mean you mampu gantikan tempat Laila dalam hidup dia?”
“Laila?” Dahi Nurul Hijjaz berkerut. Nama itu asing baginya.
“Dia tak pernah beritahu you siapa Laila? That’s strange. Kalau you nak tahu Laila tu teman wanita Riff, tapi sayang….” Kata-kata gadis itu terhenti. Teman di sisinya turut terdiam. Masing-masing melamun seketika.
“Kenapa? Apa sebenarnya yang dah berlaku?” Nurul Hijjaz tiba-tiba berminat ingin tahu. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang telah berlaku pada lelaki itu selama ini. Lagipula nama Nurlaila benar-benar menarik minatnya.
“Girls, Dato’ Faizul minta you all pergi bergambar kat sana. Kenapa diganggu teman Riff?” Tiba-tiba perbualan mereka dikejutkan oleh suatu suara. Nurul Hijjaz berpaling. Seorang lelaki berpakaian kot kemas menghampirinya sambil tersenyum.
“Kian, kawan Riffki,” ujarnya lalu menghulurkan tangannya.
“Nurul Hijjaz.” Dia menyambut huluran tangan itu.
“Nurul Hijjaz? Hmm, nice name. Sejak bila you kenal dengan Riffki?“ Lelaki itu bertanya. Matanya tak putus-putus merenung Nurul Hijjaz yang nampak janggal. Tapi orangnya boleh tahan menawan. Siapa agaknya dia? Mangsa terbaru Riffkikah? Kian mencongak sendiri.
“Dah lama kenal. Dia teman satu sekolah dengan aku dulu,” sampuk Riffki yang tiba-tiba muncul. Kian tersengih.
“Oh I see, cantik orangnya. Berminat nak jadi model?” Mata Kian merayap tepat ke wajah Nurul Hijjaz.Nurul Hijjaz menggelengkan kepala sambil tersenyum.
“Dia tak sesuai jadi model,” pantas Riffki menjawab bagi pihaknya. Nurul Hijjaz memasamkan muka. Walaupun dia tak pernah terfikir untuk jadi model, namun dia tidak suka mendengar Riffki membuat keputusan bagi pihaknya.
“Aku tak fikir macam tu, aku rasa wajah dia sesuai.”
“Kalau sesuai sekali pun, aku tak mahu dia jadi model.” Suara Riffki tiba-tiba meninggi. Wajah Kian sedikit berubah. Tapi sejurus kemudian Kian tergelak kecil.
“Okay fine, I’m just asking, that’s all.” Pandangan Kian beralih ke wajah Nurul Hijjaz. Dahinya berkerut. Kenapa Riffki seolah-olah terlalu mengambil berat fasal gadis ini? Apa istimewanya dia?
“Kenapa awak marah-marah ni? Kawan awak cuma tanya saja, itu pun nak naik marah,” rungut Nurul Hijjaz sebaik Kian beredar.
“Aku tak suka kau terlibat dalam bidang ni. Bidang ni tak sesuai dengan perempuan macam kau.” Sahut Riffki tenang.
“Perempuan macam saya? Macam apa saya ni?Perempuan kampung? Itu maksud awak Encik Riffki?” Nurul Hijjaz memandang lelaki itu tepat. Namun Riffki tidak menjawab. Nurul Hijjaz sedikit mengeluh. Dia benar-benar tersinggung dengan sikap Riffki terhadapnya.

No comments:

DEDALU DI HATI - STOK TERHAD!!

DEDALU DI HATI  - STOK TERHAD!!

PESANAN NOVEL DEDALU DI HATI SEDANG DIBUKA SEKARANG!!!

Harga = RM25.90
Kos Pos = RM7 (pos laju)
Total = RM32.90

Emailkan nama dan butiran diri ke arr_nita@yahoo.com.
Pesanan sehingga stok ke 3 ini kehabisan..

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)

NANTIKAN VENOM SURIA DI PESTA BUKU ANTARABANGSA  PWTC MULAI 27 APRIL, TERBITAN BUKU PRIMA (RM25.90)
Suria gadis ceria dan periang, namun miliki sejarah hitam dalam kelahiran. Yang membuatkan dia diburu dan dijejaki untuk meleraikan sebuah kisah sumpahan, lalu mempertemukan dia dengan dua lelaki berbeza sifat. Izwan jenis yang dingin dan panas baran. Cakapnya harus dipatuhi atau dia akan meletup! Nazrul sentiasa cool tapi punya rahsia terpendam yang menyiksa jiwa. Seorang lelaki ditakdirkan menjadi penyelamat. Seorang lagi ditakdirkan membunuhnya. Kedua-duanya muncul tak diundang, tetapi meninggalkan kesan mendalam. Lalu bermulalah permainan cat and mouse antara mereka sehingga game over!